Categories
AGENDA NASIONAL

Khairy: Majikan perlu terima salinan sijil digital MySejahtera

KLUANG, 27 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) meminta semua majikan di negara ini supaya menerima pakai salinan sijil digital perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO), atau surat pelepasan kuarantin (RO) bagi mengelakkan kesesakan di pusat penilaian Covid-19 (CAC).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia susulan ramai pesakit datang ke CAC akibat majikan mereka tidak menerima sijil digital, sebaliknya meminta notis secara bertulis.

Beliau berkata pelaporan kepada pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) kebangsaan mendapati 30 hingga 50 peratus kes yang hadir ke CAC, bukan untuk penilaian bagi kes kesihatan merosot semasa menjalani pemantauan di rumah.

“Sebanyak 90 peratus daripadanya adalah untuk discaj bagi dapatkan notis bertulis (HSO). Ini menyebabkan penambahan beban tugas kepada staf KKM. Mereka sepatutnya membuat penilaian untuk pesakit bukan tulis notis HSO.

“Selepas tempoh isolasi berakhir, pesakit perlu melakukan salinan paparan skrin sijil digital HSO untuk makluman lanjut pihak majikan dan pihak berkaitaan,” katanya pada sidang media di CAC Klinik Kesihatan Simpang Renggam di sini, hari ini.

Khairy berkata orang ramai boleh membuat aduan kepada KKM jika majikan mereka tidak menerima sijil digital HSO atau RO.

Bercakap mengenai CAC secara maya, Khairy berkata sehingga 23 Februari, ia telah memantau 361,283 kes aktif di rumah, dengan mengesan kemerosotan keadaan pesakit Covid-19 yang menjalani pemantauan rumah di seluruh negara melalui saringan kesihatan.

“Bukan suka-suka kita minta untuk menjawab soalan. Bila mereka jawab soalan itu, kita mempunyai sistem untuk melihat kepada gejala bertanda amaran. Kalau tanda amaran merisaukan, kita akan minta mereka hadir secara fizikal ke CAC,” katanya.

Justeru itu, beliau meminta individu yang menjalani isolasi di rumah supaya menjawab soalan pada aplikasi MySejahtera setiap dua kali sehari, berikutan purata kes aktif yang menjawab soalan adalah hanya 55 peratus meskipun KKM membuat sasaran sekurang-kurangnya 70 peratus.

Katanya ia penting agar KKM dapat mengesan kes berisiko tinggi yang memerlukan rawatan segera sekali gus mengurangkan kes kematian di luar hospital (BID).

Sementara itu, Khairy memaklumkan sejak 13 hingga 19 Februari, kes menjalani isolasi di rumah yang dirujuk kepada PKRC adalah 0.4 peratus manakala dirujuk ke hospital pula adalah 0.2 peratus.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Majikan perlu terima sijil digital, elak kesesakan di Pusat Penilaian Covid-19

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Majikan atau pihak yang berkaitan diseru agar menerima salinan sijil digital Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan Perintah Pelepasan Kuarantin (RO) setelah tempoh isolasi pesakit berakhir, bagi mengelakkan kesesakan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata berdasarkan pelaporan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), sejumlah 90 peratus daripada mereka yang hadir ke CAC adalah untuk tujuan discaj daripada HSO, iaitu terdapat pesakit atau majikan yang mendesak untuk mendapatkan notis secara bertulis.

Beliau berkata 30 hingga 50 peratus kes yang hadir ke CAC bukan untuk penilaian bagi kes yang merosot semasa menjalani pemantauan di rumah.

“Hal yang sedemikian menyebabkan penambahan beban tugas di CAC iaitu fokus petugas kesihatan adalah kepada aspek penilaian dan perawatan kes yang memerlukan perhatian khusus.

“Oleh yang demikian, semua majikan diseru untuk peka terhadap perkara ini dan menerima sijil digital HSO dan RO yang dikemukakan, serta tidak lagi mendesak pekerja untuk mendapatkan pengesahan daripada CAC,” katanya.

Mengenai penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 di hospital, Dr Noor Hisham berkata enam negeri menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus iaitu Kelantan (86 peratus), Johor (59), Labuan (57), Kuala Lumpur (54), Sabah (52) dan Melaka 50 peratus.

Merujuk kes positif Covid-19 yang dicatatkan semalam, beliau berkata 32,070 kes direkodkan dengan 99.4 peratus atau 31,890 kes kategori satu dan dua, manakala 180 kes atau 0.56 peratus merupakan kategori tiga, empat dan lima.

Katanya sebanyak 23,332 kes sembuh dilaporkan, menjadikan kumulatif kes sembuh 3,018,172.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tempoh seminggu selesai isu individu lengkap vaksin tiada sijil digital Mysejahtera

PUTRAJAYA, 9 SEPT: Pasukan MySejahtera telah diarah menyelesaikan isu sijil digital di aplikasi MySejahtera bagi individu yang lengkap menerima vaksin dalam tempoh seminggu, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Katanya arahan itu dikeluarkan susulan kebimbangan orang ramai yang masih belum mendapat sijil digital vaksinasi mereka meskipun sudah melengkapkan dos vaksin Covid-19.

Menurut Khairy bagi individu yang mendapati sijil digital aplikasi MySejahtera belum dikemas kini, mereka boleh menggunakan kad fizikal vaksin untuk sementara waktu.

“Semua masalah berkaitan MySejahtera saya telah mengarahkan pasukan MySejahtera untuk selesaikan dengan segera termasuk masalah tidak ada sijil digital….saya beri mereka tempoh seminggu untuk selesaikan,” katanya di sini hari ini.

Khairy berkata demikian dalam sidang media perkembangan Covid-19 yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut Khairy individu yang menerima vaksinasi menerusi program Vaksin Selangor (SelVAX) boleh menggunakan sijil digital dalam SELangkah sehingga mendapat sijil digital di aplikasi MySejahtera.

Mengenai permintaan yang semakin meningkat untuk membolehkan individu bujang berkunjung ke luar negara bagi melawat ibu bapa mereka, Khairy berkata perkara itu sedang dibincangkan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa melihat kepada data dan penilaian risiko. Saya sentiasa membincangkan perkara ini dengan Ketua Pengarah dan kami berpendapat bahawa telah tiba masanya untuk kita membuat syor kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Justeru, Khairy meminta orang ramai supaya bersabar bagi membolehkan KKM melihat indikator penting seperti soal kapasiti kesihatan di tahap yang baik untuk membuat syor kepada MKN supaya aktiviti rentas negeri dibenarkan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Mohon CITF benarkan sijil digital SELangkah jadi dokumen pengesahan sementara

SHAH ALAM, 8 SEPT: Kerajaan Selangor memohon Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) membenarkan sijil digital Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) digunakan sebagai dokumen pengesahan buat sementara waktu.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia susulan aduan peserta program Vaksin Selangor (Selvax) yang belum memperoleh sijil pengesahan di aplikasi MySejahtera walaupun sudah mendapat dos lengkap vaksin Covid-19.

Menurutnya setakat semalam, SELangkah menghantar 159,919 rekod peserta Selvax kepada MySejahtera namun 3,632 individu masih belum menerima sijil digital.

Dr Siti Mariah Mahmud. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Dikhuatiri angka sebenar lebih ramai. CITF menjelaskan MIMOS Berhad (MIMOS) menghadapi masalah teknikal untuk mengintegrasi data peserta Selvax ke sistem MySejahtera.

“MIMOS juga perlukan masa mengatasi masalah itu namun tidak dapat memberi kepastian bila isu ini dapat diselesaikan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Siti Mariah berkata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin akan membawa saranan itu ke Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

“Kita masih menunggu maklum balas dan berharap cadangan diluluskan segera demi kepentingan rakyat Selangor,” katanya.

Pada Mac kerajaan memaklumkan individu lengkap vaksinasi diberikan sijil digital di MySejahtera sebagai bukti pengambilan vaksin dan ia menjadi keperluan pada masa depan.

Ketika ini kerajaan memberi kelonggaran kepada individu lengkap pelalian antaranya boleh berjemaah di masjid serta makan di kedai.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kad fizikal lengkap suntik vaksin belum dikeluarkan, hanya sijil digital

PUTRAJAYA, 23 JULAI: Kerajaan belum mengeluarkan sijil lengkap pengambilan dos vaksin berbentuk kad yang dicetak, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Beliau juga menegaskan bahawa sebarang kad yang dijual di pasaran dan ditularkan baru-baru ini, bukan dikeluarkan oleh kerajaan.

“Tidak ada kad fizikal, hanya ada sijil digital di aplikasi MySejahtera. Itu sahaja,” katanya dalam sidang media perkembangan PICK bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba di sini hari ini.

Dr Adham turut menegaskan bahawa kad tersebut tidak diiktiraf kerajaan atau diterima sebagai bukti telah melengkapkan dos suntikan vaksin.

Menurutnya kerajaan akan mengeluarkan MY Covid-19 Vaccination Badge dalam bentuk kad dicetak tidak lama lagi sebagai bukti bahawa seseorang individu telah menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Hanya sijil digital dalam aplikasi MySejahtera sahaja diakui kerajaan. Buat masa ini, kami menunggu kelulusan Kabinet untuk keluarkan MY Covid-19 Vaccination Badge,” katanya.

-BERNAMA