Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pengusaha premis sembelihan halal wajar diiktiraf, dorong lebih ramai miliki sijil

SHAH ALAM, 4 MAC: Pengusaha pusat sembelihan yang memiliki sijil halal wajar diberi pengiktirafan sebagai dorongan agar terus melaksanakan operasi mengikut piawaian dan patuh syariah.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata penghargaan itu juga bagi menggalakkan lebih ramai pengusaha premis di negeri ini memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

“Pada masa sama ia juga mampu memberi kesedaran kepada masyarakat dan pengguna berhubung kepentingan memilih dan membeli produk sembelihan yang dijamin halal, bersih, berkualiti serta selamat.

“Justeru, kita berharap pengusaha yang sudah ada perakuan halal ini konsisten mematuhi syarat dan peraturan dikuatkuasakan,” katanya pada Majlis Anugerah Premis Sembelihan Halal Terbaik Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

EXCO Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni bercakap kepada media selepas majlis Anugerah Premis Sembelihan Halal Terbaik Negeri Selangor sempena Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 4 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, beliau berkata Selangor menjadi negeri pertama menganjurkan penganugerahan tersebut dengan kerjasama Halal International Selangor (HIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha melaksanakan pelbagai aktiviti dari semasa ke semasa bagi menyokong pembangunan industri halal,” katanya.

Terdahulu, syarikat Ayamas Food Corporation Sdn Bhd dinobatkan selaku pemenang kategori besar dan sederhana manakala Rumah Sembelihan Shah Alam diangkat juara kategori kecil sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000.

Sebanyak tujuh premis sembelihan menyertai program julung kali itu dengan proses penilaian berlangsung sepanjang bulan lalu.

Panel penilai terdiri Bahagian Pengurusan Halal Jais, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Bahagian Regulatori, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan wakil jawatankuasa Industri Halal Selangor.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Pengusaha premis diberi masa pindah lokasi sesuai, dapat sijil halal

SHAH ALAM, 4 MAC: Kerajaan Negeri akan memberi ruang dan menetapkan tempoh masa kepada pengusaha premis sembelihan yang tidak memiliki sijil halal untuk memindahkan operasi ke kawasan sesuai.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pendekatan tersebut diambil supaya mereka tidak dikenakan tindakan penguatkuasaan dan pemindahan ke lokasi disasarkan membolehkan proses mendapatkan sijil halal dilakukan.

“Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesan kebanyakan pemilik premis mengusahakannya di atas tanah pertanian. Kita akan bincang dengan jabatan itu untuk menetapkan tempoh masa kepada mereka mencari kawasan industri.

“Jadi dalam tempoh diberikan, mereka boleh mencari tempat lebih baik berbanding sedia ada. Kita percaya ini semua demi kepentingan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Anugerah Premis Sembelihan Halal Terbaik Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Jais Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Menurut Mohd Zawawi, setakat Januari lalu hanya 14 daripada 343 premis sembelihan di Selangor memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

“Pemindahan pusat berkenaan ke premis industri bagi memudahkan operasi dan tidak menimbulkan isu pencemaran.

“Mungkin selepas ini sisa sembelihan seperti darah dan sebagainya dapat diurus dengan lebih baik kerana matlamat kita adalah untuk memelihara alam sekitar daripada tercemar,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kerjasama strategik tingkat jumlah syarikat muslim peroleh sijil halal

SHAH ALAM, 17 MAC: Kerajaan Negeri akan menjalin kerjasama strategik dengan agensi berkaitan bagi meningkatkan jumlah syarikat muslim memiliki sijil halal.

EXCO industri halal berkata inisiatif itu diambil berikutan perkembangan kurang memberangsangkan dengan hanya kira-kira 30 peratus syarikat mempunyai sijil berkenaan.

“Menerusi kerjasama ini, kita mahu usahawan bukan menjadi peniaga semata-mata tetapi turut memiliki sijil halal dalam pelbagai sektor termasuk makanan, kosmetik dan farmaseutikal.

“Perkara ini dapat memberi nilai tambah dengan pengguna lebih yakin terhadap produk mereka yang dianggap bersih,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni kepada SelangorKini.

Beliau berkata sebelum ini pengurusan halal negeri hanya tertumpu kepada isu pensijilan dan penguatkuasaan manakala pembangunan industri tidak mempunyai portfolio khusus.

“Dengan tertubuhnya jawatankuasa industri halal diuruskan portfolio saya, semua urusan dan aktiviti disatukan di bawah satu bumbung sekali gus memudahkan pembangunan berkaitan sektor halal di Selangor,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian Pembangunan Usahawan sedia bantu dapat sijil halal

LUMUT, 26 OKT: Kementerian Pembangunan Usahawan sedia memberi konsultansi dan bimbingan kepada usahawan terutama pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, ini adalah usaha bagi menggalakkan usahawan IKS yang menghadapi halangan daripada segi pemahaman untuk memohon sijil berkenaan yang dianggap sukar berikutan perlu melepasi syarat tertentu yang dikenakan.

“Ada isu yang timbul iaitu kesukaran untuk mendapatkan sijil halal tetapi kalau barangan kita memang menepati syarat daripada aspek premis, sumber makanan, proses pembuatan dan sebagainya tiada masalah.

“Sebab itu perlu dapatkan panduan, kita akan bantu dari segi konsultansi kalau ada halangan dari aspek pemahaman untuk memudahkan cara dan boleh merujuk kepada bahagian berkenaan di bawah Jakim untuk bimbingan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Koperasi dan Usahawan Parlimen Lumut 2019 di Seri Manjung, di sini, hari ini.

Program anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Perak itu diadakan selama dua hari bermula hari ini dengan pelbagai aktiviti menarik seperti jualan usahawan, pertandingan dan cabutan bertuah.

Mohd Hatta yang juga Ahli Parlimen Lumut berkata, kesediaan pihaknya membantu usahawan untuk mendapatkan sijil halal daripada Jakim bukan bermakna jalan pintas sebaliknya mencari kaedah terbaik isu berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya Mohd Hatta berkata, gerakan koperasi negara tidak lagi dilabelkan sebagai pertubuhan sosial semata-mata tetapi sebuah entiti perniagaan yang setanding dengan koperasi di negara maju dunia.

Menurutnya, SKM meletakkan sasaran perolehan gerakan koperasi sebanyak RM50 bilion pada tahun tahun depan dan ia dapat dicapai sekiranya gerakan koperasi kekal berdaya saing serta agresif merebut peluang yang disediakan kerajaan.

Katanya mengikut statistik 2018, Perak antara lima negeri tertinggi yang menyumbang kepada perolehan keseluruhan gerakan koperasi dengan jumlah perolehan pada 2018 sebanyak RM0.67 bilion.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2020: Rebut peluang peroleh sijil halal

KUANTAN, 20 OKT: Usahawan digesa merebut peluang terhadap peruntukan RM10 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 berhubung pensijilan halal, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Beliau berkata peruntukan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) itu boleh membantu usahawan yang sebelum ini gagal mendapatkan pensijilan halal kerana tidak menepati kriteria yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Malaysia (JAKIM).

Katanya, dengan memiliki pensijilan halal, usahawan akan memperoleh banyak kelebihan dalam aspek pemasaran produk mereka.

“Memang terdapat banyak kes di mana usahawan gagal memperoleh pensijilan halal kerana mereka tidak menepati syarat yang ditetapkan.

“Peruntukan itu boleh digunakan usahawan untuk membawa perniagaan mereka selangkah ke hadapan dengan menambah baik perniagaan mereka bagi memohon pensijilan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program sambutan Hari Kemahiran dan Keusahawanan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Pahang 2019 serta Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS) di Serambi Teruntum di sini, hari ini.

Semasa membentangkan Belanjawan 2020, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan akan memperuntukkan RM10 juta kepada MED bagi khidmat nasihat dan kesedaran untuk pensijilan halal, pembangunan produk halal dan menyediakan platform kepada peserta pasaran untuk bersaing di pasaran halal antarabangsa yang kini dianggarkan bernilai US$3 trilion.

Terdahulu dalam ucapannya, Fuziah berkata golongan wanita yang keluar daripada sektor pekerjaan kerana ingin menjadi suri rumah boleh kembali bekerja jika mengetahui cara yang betul.

“Biarpun sekadar suri rumah, anda juga boleh berjaya dan menjana pendapatan lumayan. Saya sedar tanggungjawab wanita di rumah amat besar namun ia tidak membataskan keupayaan wanita untuk berjaya dan melangkah lebih jauh.

“Saya beri contoh wanita yang saya temui baru-baru ini yang sudah lama tidak bekerja dalam bidang perakaunan. Saya kata cari syarikat kecil yang tiada akaun dan ambil upah buat akaun mereka di mana satu kedai atau syarikat anda boleh ambil upah RM200, kalau lima kedai sebulan sudah dapat RM1,000,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Syarikat bukan bumiputera banyak mohon sijil halal

AMPANG, 25 SEPT: Potensi pertumbuhan produk halal syarikat bukan bumiputera berada pada momentum terbaik apabila 80 peratus permohonan pensijilan halal direkodkan Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) setakat ini.

Ketua Penolong Pengarah JAIS, Mahdi Al-Hilmy Arshad berkata, peratusan itu membuktikan kesedaran berkaitan halal bukan hanya daripada sudut kerohanian, malahan merangkumi keseluruhan aspek jaminan keselamatan dan kualiti sesuatu produk, seterusnya menepati konsep ‘halalan toyyiban’.

“Permintaan tinggi dari seluruh dunia terhadap produk halal yang kini mencecah hampir AS$2 trilion (RM7.97 trilion) juga membuka mata dalam kalangan pengusaha termasuk bukan Islam untuk memperoleh pensijilan halal.

“Dengan pensijilan halal ini membolehkan mereka untuk terus bersaing di pasaran bukan sahaja dalam negara, bahkan di peringkat antarabangsa,” katanya pada temu bual eksklusif bersama SelangorKini di seminar anjuran JAIS, De Palma Hotel, di sini, baru-baru ini.

Buat pertama kalinya, Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (SIHC) menyaksikan kerjasama dua entiti iaitu JAIS dan Halal International Selangor (HIS) pada penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2019, di bawah seliaan agensi penggerak pelaburan negeri, Invest Selangor Berhad.

Sidang kemuncak yang memasuki edisi ketiga itu dijadual berlangsung empat hari bermula 10 hingga 13 Oktober, di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Mengakui perkembangan industri halal didorong peningkatan kesedaran dan pendidikan, Pengurus Pembangunan Perniagaan HIS, Mohd Hanafi Jamiat berkata, ia berlaku kerana masyarakat kini mementingkan produk halal yang mempunyai standard kebersihan serta kesucian yang tinggi.

Katanya, produk halal adalah sesuatu yang mempunyai kualiti, mutu dan prospek ekonomi bagi perspektif golongan bukan muslim,

“Potensi pertumbuhan produk halal bukan hanya terhad kepada pengguna Islam, tetapi semakin mendapat momentum dan penerimaan dalam kalangan pengguna bukan Islam kerana mereka kebiasaannya menganggap produk ini sudah melepasi pemeriksaan dan kawalan standard ketat.

“Mereka (bukan muslim) akan mengelakkan diri daripada makan makanan tidak sihat dan berlemak dalam kuantiti yang banyak,” katanya.

Sehingga kini, difahamkan negara bukan Islam masih menjuarai 10 tangga teratas sebagai pengeksport utama produk halal dalam pasaran halal global.

Negara terbabit adalah India, Brazil, Australia, Amerika Syarikat, Argentina, New Zealand, Thailand, Singapura, Filipina dan Perancis.

Malaysia dan Indonesia pula menjadi antara dua negara Islam utama di dunia yang berjaya menempatkan diri untuk menerajui sebahagian kecil pasaran halal global.

Categories
AGENSI SELANGOR

JAIS rekod 2,399 permohonan sijil Halal sehingga Julai

SHAH ALAM, 27 OGOS: Sejumlah 2,399 permohonan sijil halal oleh syarikat bukan bumiputera direkodkan Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di negeri ini bermula Januari hingga Julai tahun ini.

Ketua Penolong Pengarah JAIS, Mahdi Al-Hilmy Arshad berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 67 peratus berbanding 1,654 permohonan diterima pada tempoh sama tahun lalu.

Katanya, kesemua pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang mendapat sijil berkenaan akan dipantau sekurang-kurangnya satu kali sepanjang tempoh permohonan bagi memastikan piawaian halal dipatuhi secara konsisten.

“Kami menjalankan proses audit di lapangan bertujuan mengesahkan pematuhan kepada standard serta manual prosedur pensijilan halal, selain menerima, memproses dan membuat semakan kepada permohonan halal.

“Hasil auditan akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengesahan Halal Negeri Selangor yang dianggotai badan berautoriti dan profesional untuk mendapatkan kelulusan,” katanya kepada SelangorKini.

Dalam perkembangan sama, Mahdi berkata, pengeluaran sijil dan logo halal yang seragam di seluruh negara antara kejayaan besar dicapai setakat ini bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Pengeluaran sijil halal membantu pengguna mengenalpasti produk halal, selamat dan berkualiti, sekali gus mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penyelewengan serta penipuan pihak tidak bertanggungjawab.

“Malah, pensijilan halal di negara ini bukan hanya menekankan pematuhan hukum syarak, malahan menggungakan standard antarabangsa, khususnya daripada aspek keselamatan dan kebersihan makanan serta produk.

“Ini juga menjamin produk halal Malaysia benar-benar berkualiti bagi tujuan eksport,” katanya.

Categories
NASIONAL

Pengusaha jangan tertipu sijil halal sesetengah perunding

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 14 JUN: Orang ramai disaran berhati-hati terhadap status halal produk makanan atau minuman yang meragukan susulan terdapat beberapa kes penipuan yang berlaku baru-baru ini.

Ketua Pegawai Operasi Halal Academy, Khairul Anwar Kamal berkata, ini kerana terdapat beberapa kes membabitkan perunding yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap pengusaha.

“Sesetangah perunding mengenakan caj ratusan ribu kepada pengusaha tetapi mereka tidak tahu cara untuk lakukan dan mendapatkan sijil berkenaan.

“Kesudahannya, pengusaha tidak memperolehi status halal yang sah,” katanya dalam sidang media di ruang legar Bangunan Annex, SUK Negeri Selangor, hari ini.

Pada masa sama, Anwar menasihatkan kepada pengguna supaya menyemak status berkenaan jika terdpat keraguaan terhadap sesuatu produk sebelum menyebarkan di media sosial.

Categories
SELANGOR

JAIS: Patuhi arahan pensijilan Halal

OLEH NORHAYATI UMOR

SEKINCHAN, 14 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terus komited menjaga kualiti industri Halal yang terdapat di pasaran masa kini.

Pengarahnya, Dato’ Haris Kasim berkata, Bahagian Pengurusan Halal JAIS sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan melakukan operasi bersepadu antara agensi.

“Ia termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Veterinar, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Operasi ini bagi memastikan pemegang Sijil Halal mematuhi aspek penilaian yang ditetapkan dan tiada pihak cuba mengambil kesempatan menyalahgunakan Sijil Halal yang dikeluarkan oleh JAKIM dalam cubaan untuk menarik perhatian pengguna atau masyarakat tanpa mematuhi prosedur Halal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM), Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat, penyampaian sumbangan dan perasmian masjid, di Masjid Nurul Falah, Tali Air 7, Kampung Sungai Leman, di sini, semalam.

Haris berkata, penghasilan produk Halal merangkumi proses tertentu bermula daripada peringkat pemilihan sumber, penyediaan bahan, proses pengilangan, pengeluaran, penyimpanan, pemindahan, pengedaran sehingga produk dipasarkan kepada pengguna.

“Oleh itu, masyarakat disarankan untuk mengutamakan dan menggunakan produk, makanan dan perkhidmatan yang mempunyai pensijilan Halal yang sah dalam kehidupan seharian.

“Ini kerana, produk, makanan dan perkhidmatan yang Halal adalah terjamin selamat, suci, bersih dan berkualiti,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya komited bekerjasama dengan agensi berminat mendapatkan Pensijilan Halal untuk membuka pasaran besar di Malaysia termasuk pasaran global.

Terdahulu, JAIS menjalankan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan menyeluruh sepanjang Ramadan ini.

Pemantauan itu dilakukan bagi memastikan tiada individu atau premis makanan mengambil kesempatan dalam mempromosikan hidangan berbuka puasa ‘Buffet Ramadan’ tanpa sijil halal.

Haris berkata, pihaknya memandang serius penyalahgunaan ungkapan atau penandaan halal kerana ia boleh mengelirukan umat Islam.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Categories
NASIONAL

Promo Ramadan tiada sijil halal berisiko didenda hingga RM10 juta

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 8 MEI: Pemilik premis makanan, restoran dan hotel yang tidak memiliki sijil pengesahan halal dilarang mengiklankan ungkapan ‘Bufet Ramadan’ kerana ia akan mengelirukan umat Islam.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi kenyataan di facebook berkata, mereka berisiko dikenakan denda sehingga RM500,000 dan tidak melebihi RM10 juta.

“Larangan itu berpandukan Akta Perihal Dagangan (APD 2011) di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) serta Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal).

“Pengiklanan ini termasuk sebarang iklan di mana-mana media sama ada risalah bercetak, media massa atau media sosial yang merujuk kepada frasa makanan umat Islam untuk berbuka puasa,” katanya.

Antara ungkapan lain yang digunakan ialah ‘Citarasa Ramadan’, ‘Iftar Ramadan’, ‘Dijamin Halal’ atau ‘Jom Berbuka’.

Orang ramai dinasihatkan membuat semakan premis makanan, restoran dan hotel yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia dengan melayari www.halal.gov.my atau memuat turun aplikasi Verify Halal.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Wajibkan pengusaha restoran ada sijil halal sebelum operasi

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu mewajibkan semua pengusaha premis makanan halal mendapatkan sijil pengesahan halal bagi kemudahan pelanggan Islam.

Presiden Persatuan Pengusaha Makanan Melayu Islam Wilayah Persekutuan & Selangor (PERMAS), Ayob Abd Majid berkata, syarat itu perlu bagi semua premis termasuk restoran, warung dan kendera saji sama ada yang sedang beroperasi atau ingin memulakan perniagaan.​​​​​​

Katanya, langkah itu dapat membantu pelanggan Muslim yang kadangkala keliru dengan status halal sesebuah restoran menjual makanan kepada pelanggan beragama Islam.

“Setakat ini kita dapati tiada lagi garis panduan dari JAKIM yang mewajibkan pengusaha restoran untuk ada sijil halal kerana selagi pengusaha ada sijil boleh berniaga dari Pihak Berkuasa Tempatan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, mereka boleh terus membuka restoran.

“Restoran besar seperti hotel dan francais, mereka perlu ada sijil halal JAKIM untuk mula beroperasi, justeru PERMAS mencadangkan supaya mewajibkan juga perkara ini kepada pengusaha restoran yang menjual makanan halal supaya pelanggan lebih yakin,” katanya kepada BERNAMA.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berkenaan pemeriksaan bersepadu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang dijalankan semalam terhadap sebuah restoran di Shah Alam, yang mendapati pemilik bersama restoran itu beragama Hindu.

Pemeriksaan lanjut JAIS mendapati restoran yang disangka restoran ‘mamak’ itu memiliki hampir semua pekerja termasuk tukang masak beragama Hindu selain hanya dua orang sahaja beragama Islam, serta kesalahan menjual daging kambing yang tiada sijil halal.

Justeru, Ayob menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati sebelum memasuki sesebuah restoran, dan terus melaporkan kepada pihak berwajib jika mendapati terdapat keraguan berkenaan status halal restoran itu.

“Memang pihak berkuasa seperti JAIS sering membuat operasi sebegini terhadap restoran tetapi orang ramai perlu turut lebih berhati-hati apabila memasuki sesebuah restoran, jangan main ikut orang sahaja tanpa memastikan status halalnya.

“Orang ramai di sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan yang ingin membuat aduan boleh terus menghubungi JAIS atau jika ingin mengadu kepada PERMAS boleh dibuat di laman Facebook bagi tindakan susulan,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Permohonan sijil halal di Selangor paling menggalakkan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 APR: Selangor mencatatkan jumlah permohonan sijil halal paling menggalakkan berbanding negeri lain, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim.

Beliau berkata, hal itu berikutan meningkatnya kesedaran pengguna bagi memperoleh produk yang terjamin baik daripada hukum syarak atau kualiti.

DSC_0029“Masyarakat dilihat lebih selesa mendapatkan produk harian yang diberi jaminan halal melalui logo dipamerkan.

“Kempen kesedaran yang dilaksanakan secara meluas membolehkan produk yang mempunyai logo halal akan lebih menjadi pilihan,” katanya ketika merasmikan Seminar Eksekutif Halal Negeri Selangor 2016, di Hotel Concorde, di sini, semalam.

Seminar sehari itu disertai 209 peserta yang mewakili 95 syarikat termasuk milik bukan Islam.

-NFN-