Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Data internet percuma ceriakan calon SPM, bantu mudahkan pembelajaran

KAJANG, 26 OKT: Seperti pelajar lain, penutupan sekolah seluruh negara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menuntut D. Dibashini mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara maya.

Namun, proses pembelajaran remaja berusia 17 tahun itu sering terganggu gara-gara langganan pas internet RM4 setiap dua hari sering kehabisan kuota ekoran terpaksa berkongsi dengan dua adiknya.

Situasi itu meresahkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Jaya yang mengakui kadangkala terpaksa ponteng PdPR berikutan kekangan tersebut.

Namun keceriaan terukir di wajah anak sulung daripada tiga beradik hari ini apabila menerima kad modul pengenalan pelanggan (SIM) percuma yang dibiayai sepenuhnya Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI selama setahun.

Dibashini berkata dia gembira kerana terpilih sebagai salah seorang penerima kad SIM yang dilengkapi internet 15 gigabit (GB) setiap bulan selepas permohonan dibuat kepada Ahli Dewan Negeri Balakong Wong Siew Kii awal bulan lalu.

ADN Balakong Wong Siew Ki menyantuni penerima kad sim percuma yang hadir di Pusat Khidmat ADUN Balakong Taman Kasturi, Kajang pada 26 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Sebelum ini saya rasa susah hati untuk masuk kelas Google Meet dan pernah berputus asa. Mana tidaknya, kuota internet sedia ada cepat habis… kadang-kadang tak sampai dua hari sebab bukan saya seorang sahaja guna.

“Tetapi hari ini saya bersyukur, bantuan ini akan menyuntik semangat untuk belajar bersungguh-sungguh memandangkan akan menduduki SPM tahun depan,” katanya ditemui di pejabat pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri Balakong di sini.

Sementara itu, ibunya, B. Kumutha, 38, berterima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana menyediakan kemudahan tersebut kepada dua anaknya termasuk Dibashini.

Suri rumah yang menetap di Cheras Prima turut berharap kedua-dua anaknya memanfaatkan kad SIM tersebut untuk tujuan pembelajaran seterusnya membanggakan orang tua.

Terdahulu, seramai 46 penduduk sekitar Balakong menerima kad SIM Celcom dengan kesemuanya pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang memiliki adik-beradik ramai.

Pada 4 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati kad SIM dan data internet percuma selama 12 bulan dengan peruntukan RM17.5 juta.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan sebanyak 200 kad SIM diagih ke setiap DUN untuk diberi kepada individu yang layak.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Unisel: Tuisyen dalam talian percuma untuk calon SPM

SHAH ALAM, 21 JUN: Universiti Selangor (Unisel) menyediakan kelas tuisyen Matematik dan Bahasa Inggeris dalam talian percuma kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Presiden dan naib canselornya berkata program e-Tome e-Tuisyen dijalankan dengan kerjasama pusat khidmat masyarakat Parlimen Hang Tuah Jaya menerusi saluran sekolah maya Unisel (UVS).

“Program dikendalikan sepenuhnya pensyarah Unisel dan guru cemerlang terpilih, memfokuskan akademik dan penerapan elemen motivasi untuk menyuntik semangat pelajar sekali gus menjadikan medium lebih menarik.

“Diharap inisiatif ini memberi manfaat kepada pelajar membuat persiapan menghadapi peperiksaan,” kata Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Majlis pelancaran program disempurnakan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menerusi sidang video pada Sabtu.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat Unisel Hasril Abu Hassan menjelaskan calon lain di seluruh negara masih boleh mengikuti pembelajaran melalui saluran UVS tanpa sebarang bayaran.

“Penyertaan dibuka kepada pelajar dari semasa ke semasa dengan syarat mereka perlu mendaftar. Konsep yang disediakan juga sama iaitu ada kelas dan ceramah,” katanya ketika dihubungi.

Mereka yang berminat boleh mendaftar melalui pautan https://uvs.unisel.edu.my/.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KPT: Faktor kekangan masa, permohonan UPUOnline dilanjut hingga 2 Julai

PUTRAJAYA, 21 JUN: Permohonan UPUOnline bagi kemasukan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti program Sijil, Asasi dan Diploma ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Institusi Latihan Kemahiran Awam sesi akademik 2021/2022, dilanjutkan sehingga 5 petang, 2 Julai 2021.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi kenyataan hari ini menyatakan, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira faktor kekangan masa yang dihadapi pemohon, termasuk terdapat pelajar yang belum menerima keputusan semakan semula peperiksaan SPM 2020, oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.

“Pelanjutan tempoh ini akan membolehkan pelajar mengemas kini permohonan dan memilih program pengajian di UPUOnline,” kata KPT yang menyarankan pemohon melayari portal rasmi upu.mohe.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.

KPT sebelum ini mengumumkan pembukaan semula permohonan tersebut mulai 15 hingga 21 Jun.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Anwar : Kerajaan Umno-BN harus pertingkat prasarana sebelum wajib lulus BI

anwar - MB

SHAH ALAM 7 SEPT : Kerajaan Umno-BN digesa mempertingkatkan prasarana pembelajaran Bahasa Inggeris yang mencukupi menjelang 2016 sebelum melaksanakan dasar wajib lulus matapelajaran itu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ketiadaan kemudahan pembelajaran yang mencukupi terutamanya di kawasan luar bandar hanya menambahkan beban kepada pelajar dan pengajar.

“Wajib lulus dalam keadaan yang tidak sempurna antaranya dari segi mutu guru, kemudahan belajar dan kemudahan perpustakaan di sekolah-sekolah di desa termasuk di sekolah-sekolah aliran Cina dan Tamil. Dasar itu perlu diteliti terlebih dahulu,” jelas Anwar.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan subjek Bahasa Inggeris dijadikan mata pelajaran wajib SPM menjelang 2016 sempena pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

“Ini masalah Menteri dan pimpinan politik yang tidak mempunyai kesinambungan dengan realiti yang berlaku di bawah,” tegas Anwar.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Seminar Dunia Kebangkitan Islam di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Turut bersama Anwar adalah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Anwar turut mengulangi gesaan ramai pihak yang mahu Kerajaan Pusat agar mengangkat dan melestarikan Bahasa Melayu dengan memastikan pelajar menguasai bahasa rasmi itu dengan baik.

“Penguasaan Bahasa Melayu perlu terus dipertingkatkan mutu penguasaannya. Ini perlu jelas dalam dasar dan pelan induk yang harus diselesaikan,” tegas beliau.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Yayasan Selangor Cemerlang Di bawah Pakatan Rakyat

Debat Yayasan Selangor Halimah ali 2

SHAH ALAM 6 MAC : Perkhidmatan Yayasan Selangor (YS) lebih cemerlang dan semakin diyakini di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) sepanjang 2008 hingga 2012 .

Keadaan ini berbanding dengan tahun sebelumnya ketika diperintah Umno-BN, kata Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Jelas Dr Halimah, dalam tempoh itu, YS menaja 3.5 kali ganda pelajar peringkat menengah berbanding pada 2007 yang hanya berjumlah 1,385 orang.

Katanya, bilangan pelajar dalam Program Rancangan Khas Pendidikan YS – RKPYS itu mula meningkat kepada 1,409 orang pada 2008, 1,554 orang pada 2009 dan melonjak kepada 3,288 orang pada 2012 dan akan ditingkatkan lagi kepada 5,000 orang pelajar pada 2013.

“Peningkatan ini menunjukkan YS berjaya memberikan perkhidmatan pendidikan kepada lebih ramai pelajar berbanding sebelum tahun 2008 dengan gandaan yang besar,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Bangunan SUK, di sini.

Menurut Dr Halimah, lebih membanggakan pencapaian peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Bagi PMR dan SPM, pelajar mendapat keputusan 5A ke atas menunjukkan peningkatan. Sebagai contoh, pada 2007 hanya 62.9 peratus dan meningkat kepada 80.8 peratus.

“Manakala SPM, pada 2007 hanya 32.8 peratus seterusnya melonjak naik kepada 66.1 peratus pada 2011,” katanya.

Dalam pada itu, YS juga menambah peruntukkan biasiswa dari tahun ke tahun bermula tahun 2008.

Pada 2007, hanya 518 pelajar mendapat Biasiswa Kecil, 159 mendapat Biasiswa Khas dan 36 pelajar mendapat Dermasiswa.

Namun pada 2012, YS menawarkan 1,783 pelajar mendapat Biasiswa Kecil, 1,140 pelajar mendapat Biasiswa Khas dan 96 pelajar mendapat Dermasiswa.

Dr Halimah menambah, kutipan bayaran balik pinjaman pelajaran YS lebih efisien kerana peningkatannya iaitu RM2.1 juta pada 2008 kepada RM2.2 juta pada 2009.

RM2.9 juta pada 2010 dan terus meningkat kepada RM3.8 juta pada tahun 2011 serta RM3.9 juta pada 2012.

“Ia membabitkan peningkatan sebanyak 186 peratus prestasi kutipan itu.

Malah, bilangan sekolah tajaannya juga meningkat daripada 27 buah pada 2007-2008 kepada 33 buah pada tahun 2009-2011 dan terus meningkat kepada 53 buah pada 2012 dan 63 buah pada tahun 2013,” katanya.

Categories
SELANGOR

Lebih 13 Ribu Pelajar Nikmati Program PTRS

SHAH ALAM, 12 JULAI : Seramai lebih 13 ribu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Selangor menikmati manfaat daripada program Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) sejak dilancarkan pada 2009 dengan peruntukan RM3.45 juta.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, Kerajaan Negeri melaksanakan PTRS atau Tuisyen Percuma dengan sasaran golongan pelajar yang akan menduduki SPM dan berasal dari keluarga berpendapatan kurang RM1,500 sebulan.

Menurutnya, program tersebut dijalankan di seluruh Selangor mengikut DUN sebanyak 56 kawasan dengan setiap kawasan diberi kuota sebanyak 100 tempat sahaja.

“Kerajaan negeri konsisten memberikan peruntukan sama pada 2010, 2011 dan tahun ini bagi meneruskan perlaksanaan program ini. Selama tiga tahun perlaksanaannya, Kerajaan Negeri berjaya mengumpulkan seramai 13,367 peserta PTRS.

“PTRS dirangka khusus untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan dan mempunyai prestasi pencapaian pendidikan yang lemah. Objektif Kerajaan Negeri dalam melaksanakan program ini adalah untuk meningkatkan prestasi pencapaian pelajar dan memperbaiki sahsiah atau akhlak pelajar,” katanya ketika menjawab pertanyaan Yap Lum Chin (Balakong – BN) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Dr Halimah menjelaskan PTRS menawarkan empat matapelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah dalam membantu pelajar meningkatkan pencapaian mereka.

Jelasnya, ini kerana penilaian ke atas pelajar hanya dapat dibuat melalui empat matapelajaran itu sahaja  dengan semua pelajar akan menduduki ujian prestasi dalam PTRS sebelum menghadapi SPM.

Prestasi keputusan SPM tahun lalu, tambahnya, melibatkan 4,526 pelajar PTRS mengikut pelajaran adalah Bahasa Melayu ialah 4,012 mencapai kredit dengan peningkatan 15 peratus, 411 lulus (menurun 33 peratus) dan 103 gagal (menurun 75 peratus); Bahasa Inggeris (3,292 kredit – meningkat 28 peratus, 1,029 lulus – tiada perubahan, 205 gagal – menurun 79 peratus); Matematik (3,600 kredit – meningkat 59 peratus, 926 lulus – meningkat 29 peratus), kosong  – menurun 100 peratus) manakala Sejarah (3,806 kredit – meningkat 61 peratus, 617 lulus – meningkat 20 peratus, 103 gagal – menurun 94 peratus).