Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM siasat kegiatan rasuah doktor untuk sijil vaksin

PUTRAJAYA, 31 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius dakwaan berlakunya kegiatan merasuah doktor bagi mendapatkan sijil vaksinasi tanpa menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata siasatan berhubung perkara itu sedang dilakukan dan jika ia benar-benar berlaku, perbuatan tersebut bukan saja menjejaskan reputasi profesion pengamal perubatan malah mencalarkan imej mereka.

“Setakat ini, SPRM belum menerima sebarang aduan berkaitan isu berkenaan namun akan menyiasat dan melakukan risikan ke lokasi-lokasi yang disyaki melakukan perbuatan penyelewengan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia Dr Steven Chow pada Rabu mendakwa beberapa ahlinya ditawarkan RM1,000 oleh beberapa individu untuk memalsukan sijil digital vaksin.

Menurut Dr Steven, tidak semua individu yang membuat tawaran itu adalah golongan antivaksin malah terdapat segelintir yang memerlukan sijil berkenaan untuk melakukan perjalanan dalam tempoh segera.

Susulan pendedahan itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Prof Datuk Dr M Subramaniam semalam menggesa pihak berkuasa menyiasat laporan media berkenaan beberapa individu cuba merasuah doktor untuk mendapatkan sijil digital lengkap vaksinasi Covid-19 tanpa disuntik vaksin.

Azam dalam pada itu meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku tersebut untuk menghubungi SPRM di talian utama (hotline) 1-800-88-6000 atau portal aduan rasuah di portaladuan.sprm.gov.my.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Suami isteri buat eksperimen sosial di kedai makan ditahan polis

SHAH ALAM, 24 OGOS: Polis Klang Selatan menahan seorang lelaki dan seorang wanita susulan tular satu kenyataan di Facebook berkenaan satu eksperimen sosial yang dilakukan iaitu masuk ke beberapa kedai dan makan di kedai makan walaupun belum mendapat suntikan dua dos vaksin Covid-19.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata pihaknya menerima aduan berkaitan satu kenyataan pemilik akaun Facebook bernama Mujaheeda Soleha, yang menceritakan tentang eksperimen sosial beliau masuk ke beberapa kedai dan gambar makan di dalam kedai bersama anak dan suami walaupun belum mendapatkan dua dos suntikan vaksin.

“Pemilik akaun juga turut memuat naik kenyataan yang telah mendatangkan ketakutan dan kegentaran kepada orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kedua-dua suspek berumur 35 dan 36 tahun itu ditahan polis di kawasan Bandar Putera 2, Klang dekat sini pada 5 petang semalam.

Shamsul Amar berkata kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan/Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan/Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi Malaysia.

“Orang ramai diminta agar sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menjalani kehidupan harian, sebagai usaha bersama untuk membendung penularan wabak Covid-19,” katanya.

-BERNAMA