Categories
AGENDA NASIONAL

Silat terima pengiktirafan UNESCO

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Seni mempertahankan diri silat berjaya disenaraikan di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pengiktirafan itu diberikan pada persidangan mesyuarat sesi ke-14 Intergovernmental Committee for the Safeguarding of Intangible Cultural Heritage yang berlangsung di Bogota, Colombia dari 9 hingga 14 Disember.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, perkara itu diputuskan oleh badan dunia itu yang dianggotai oleh 24 Ahli Jawatankuasa yang bermesyuarat, terdiri daripada negara-negara anggota yang dipilih untuk mengisi kerusi jawatankuasa itu untuk tempoh enam tahun.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi- Foto BERNAMA

“Penyenaraian di peringkat UNESCO merupakan pengiktirafan bertaraf dunia ke atas satu daripada khazanah warisan negara bagi warisan kebudayaan tidak ketara.

“Penyenaraian ini juga akan memperlihatkan komitmen Malaysia dalam melindungi warisan dunia dan secara tidak langsung akan mendapat perhatian pelbagai pihak dan dunia,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Pencalonan silat di bawah senarai itu dan dokumen berkaitan telah dihantar kepada UNESCO di Paris pada 30 Mac tahun lalu dan ia mendapat kerjasama dan bantuan yang baik daripada pelbagai agensi kerajaan Persekutuan dan negeri.

Mohamaddin berkata, pengiktirafan kali ini amat bermakna selepas Malaysia telah mendapat pencalonan dunia kali pertama iaitu ‘Mak Yong’ dalam kategori Masterpieces of the Oral and Intangible Cultural Heritage of Humanity (Originally Proclaimed 2005) semasa persidangan sesi ke-3 jawatankuasa itu di Istanbul, Turki pada 2008.

Ia diikuti kejayaan kali kedua apabila Malaysia mendapat pengiktirafan ‘Dondang Sayang’ dalam kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity semasa persidangan sesi ke-13 di Port Louis, Mauritius pada 2018.

Jelasnya, pengiktirafan itu sekali gus akan mengukuhkan hubungan jaringan dengan kebanyakan negara anggota yang secara langsung akan membantu memudahkan Malaysia mengangkat lebih banyak pencalonan warisan kebudayaan tidak ketara pada masa akan datang.

Delegasi Malaysia ke persidangan itu diketuai Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara Mesran Mohd Yusop dan turut disertai antaranya Timbalan Perwakilan Tetap Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke UNESCO Zuraini Abidin selain turut dihadiri Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam.

– BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Tingkat usaha subur kembali seni silat

BANTING, 13 OKT: Usaha menyuburkan kembali persilatan akan terus dipergiat khususnya dalam kalangan belia di Selangor, kata EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman.

Katanya, seni mempertahankan diri bangsa Melayu itu mampu menjadi alat perpaduan masyarakat tanpa mengira perbezaan latar belakang dan ideologi politik.

”Kita sememangnya memiliki ramai pesilat, tetapi semakin lama jumlah itu semakin berkurang memandangkan ramai yang sudah beralih kepada permainan maya.

“Maka, menjadi tanggungjawab kita bersama menaikkan kembali seni silat yang ada di negeri ini kerana jika tidak dikhuatiri akan terus berkurangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Himpunan Perguruan Silat Selangor 2019, di Istana Bandar, di sini, hari ini.

Tengku Dato’ Mohamed Al Haj Tengku Harun, (dua, tengah) bersama Khairuddin Othman, (dua, kiri) menyerahkan watikah ketika Himpunan Perguruan Silat Selangor di Istana Bandar, Banting pada 13 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terdahulu, kira-kira 70 persatuan seni silat daripada pelbagai nama dan latar belakang dianugerahkan watikah dan sandang yang disampaikan Tengku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya Kuala Langat merangkap Orang Besar Daerah Kuala Langat, Tengku Dato’ Mohamed Alhaj Tengku Harun.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Adi Faizal Ahmad Tarmizi dan Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharuddin.

Pada masa sama, Mohd Khairuddin berkata, Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan terhadap usaha mendekati semua persatuan dan pesilat berdaftar termasuk yang tidak berdaftar di seluruh Selangor.

Katanya, persatuan silat yang berada di kampung seharusnya didampingi secara lebih dekat memandangkan mereka memiliki jumlah pengikut yang ramai bagi mempelajari ilmu seni bela diri.

Tengku Dato’ Mohamed Al Haj Tengku Harun, (tengah) bersama Khairuddin Othman, (tiga, kiri) menyaksikan persembahan seni silat ketika Himpunan Perguruan Silat Selangor di Istana Bandar, Banting pada 13 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kebiasaannya silat olahraga banyak diuruskan Majlis Sukan Negeri, tetapi kita merasakan pesilat yang tinggal di kampung perlu diberi perhatian supaya mereka dapat menggerakkan persatuan masing-masing,” katanya.

Mengulas program selama dua hari itu, Mohd Khairuddin berkata, beliau bangga apabila himpunan julung kali diadakan berjaya menarik ramai pengunjung, sekali gus membuktikan kepekaan masyarakat dalam seni persilatan.

“Ada yang datang dari Pulau Pinang, Kedah dan Singapura dengan mempamerkan imej serta identiti masing-masing. Jadi, kita mengharapkan Selangor menjadi tuan rumah bagi Himpunan Silat Malaysia pada tahun akan datang,” katanya.

Pelbagai acara menarik diadakan antaranya, acara pembukaan gelanggang setiap perguruan, seni silat tari, silat tempur dan persembahan gendang serta serunai.

Turut diadakan kenduri rakyat, pameran tanjak, senjata tradisional, demonstrasi busana Melayu dan reruai pameran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor, Tourism Selangor juga HIJRAH Selangor.

Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

Angkat martabat Silat Melayu

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 7 JUL: Seni warisan persilatan Melayu perlu dipertahankan agar ia tidak lapuk ditelan kemajuan era permodenan kini, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Klang, Saari Sungip.

Beliau berkata, tradisi itu perlu diangkat kembali peranannya agar lebih ramai golongan belia berminat dengan seni mempertahankan diri itu.

“Melihat kepada keadaan semasa ketika ini, seni mempertahankan diri seperti silat ini wajar diangkat dan dikekalkan.

“Galakan pembabitan golongan muda terhadap keistimewaan seni ini, perlu disebar luas menerusi pelbagai usaha dan gerak kerja semua pihak dan organisasi.

“Ini termasuklah penambahan peruntukan dan komitmen berterusan masyarakat untuk mengekalkan seni silat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kelas Latihan Ibu Pejabat Lembah Keramat Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) di Lembah Keramat, malam tadi.

Hadir sama, Guru Utama PSSCM, Datuk Maideen Kadir Shah dan Penghulu Mukim Hulu Kelang, Azman Hamzah.

Sementara itu, Saari turut merasmikan penubuhan Kelab Sukan Komuniti Lembah Keramat (KESUMAT) yang diwujudkan PSSCM untuk menarik lebih ramai golongan muda berminat dengan aktiviti persilatan di kawasan itu.

Memuji inisiatif dilaksanakan organisasi setempat itu, Saari komited membantu fungsi organisasi berkenaan menerusi pemberian insentif peruntukan sedia ada kepada PSSCM.

“Selain menggunakan peruntukan sedia ada, saya juga menggunakan wang sendiri untuk membantu peranan PSSCM menyebar luas seni silat ini kepada masyarakat belia,” katanya.

Terdahulu, PSSCM ditubuhkan atas dasar memberikan latihan persilatan berterusan kepada masyarakat setempat di Lembah Keramat sejak 1988.

Sepanjang penubuhannya, pelbagai fasa perubahan berjaya dilakukan termasuklah kejayaan memiliki premis sendiri dan kemudahan latihan bersilat.

Orang awam yang berminat boleh membuat pendaftaran terus di Ibu Pejabat PSSCM di AU4 Keramat, dengan kadar yuran bulanan serendah RM30.00.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

INPENS raih gangsa Pertandingan Silat Antarabangsa

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 4 APR: Kolej Antarabangsa Inpens (INPENS) berjaya meraih pingat Gangsa dalam Pertandingan Silat Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kali ke-9 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor UPSI, Tanjung Malim pada 20 hingga 25 Mac lalu.

INPENS dalam kenyataannya berkata, selain hanya fokus dalam bidang berkemahiran, INPENS juga menggalakkan graduannya aktif dalam bidang kokurikulum.

“Menjadi hasrat INPENS untuk turut melahirkan graduan seimbang dalam pencapaian akademik dan kokurikulum.

“Pingat Gangsa tersebut diraih melalui Airish Azmar Abdul Rahman dari Sektor Teknologi Automoti,” katanya.

Katanya, ia merupakan penglibatan tahun kedua INPENS selepas penampilan sulung pada tahun lalu.

Pada masa sama, INPENS turut menampilkan persaingan sengit apabila dua pesilat wanita berjaya ke suku akhir dan seorang lagi pesilat lelaki turut menjejakkan kaki ke peringkat suku akhir.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Kembangkan seni silat kepada kaum lain

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 18 NOV: Pertubuhan Silat seperti Pesaka Selangor disaran mengambil inisiatif bagi mengembangkan seni persilatan kepada kaum lain.

Pembantu Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Razaly Hassan berkata, inisiatif itu berpotensi sebagai medium untuk menyatukan masyarakat pelbagai kaum.

“Diseru pertubuhan silat mengambil inisiatif mengembangkan seni persilatan bukan hanya kepada Melayu malah kepada kaum lain seperti Cina, India, Orang Asal dan lain-lain.

“Selain itu, bagi memastikan kesinambungan seni silat, diharap akan ada usaha menyelidik dan mengenalpasti lebih mendalam seni silat ini melalui kewujudan pertubuhan silat seperti Pesaka Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian mewakili Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi merangkap Pengerusi PADAT, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi yang tidak dapat hadir.

Temasya Silat Seni dan Warisan Selangor anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) bermula hari ini sehingga esok itu menawarkan hadiah lebih RM4,000.

Ia bertujuan mempersembahkan kesenian gerak dan langkah dalam persilatan Melayu, memelihara kelestarian seni bagi generasi akan datang sekaligus berperanan sebagai medan menghimpunkan para pesilat.

Penyertaan dibahagikan kepada dewasa dan kanak-kanak dengan lima kategori dipertandingkan.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Wujudkan kokurikulum silat di sekolah agama

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 MAC: Bagi memastikan seni persilatan Melayu tidak pupus ditelan zaman, Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman mencadangkan supaya diwujudkan kokurikulum silat di sekolah-agama di negeri itu.

Mohd Khairuddin berkata, sekiranya dilaksanakan, Selangor bakal menjadi negeri pertama menjadikan seni persilatan sebagai aktiviti korikulum di sekolah agama.

YB KHAI“Setiap bangsa mempunyai identiti adat dan seni masing-masing dan silat merupakan seni milik Melayu. Bagaimanapun kehebatan Melayu sebagai sebuah bangsa kerana agama Islam yang dianutinya.

“Oleh sebab itu, kita usahakan pertemuan melibatkan semua penggerak persatuan silat tanpa meninggalkan perguruan silat kecil di kampung tradisi untuk bertemu dengan Dato’ Ahmad Yunus dalam masa terdekat,” kata Mohd Khairuddin kepada SelangorKini hari ini.

Terdahulu, pada Sabtu lalu, Mohd Khairuddin yang mewakili Dr Ahmad Yunus Hairi merasmikan Festival Dunia Seni Silat Melayu Selangor yang diadakan di Galeri Shah Alam, Persiaran Tasik di sini.

Dalam festival sehari itu, pelbagai acara diadakan termasuklah persembahan seni silat dan lain-lain persembahan lain.

EZY