Categories
SELANGOR

SILK diminta benarkan MIROS buat kajian U-turn Jalan Sungai Yong

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

KAJANG, 18 MAC : Pihak pengurusan Lebuhraya Lingkaran Kajang Sdn Bhd (SILK) digesa membenarkan proses kajian permohonan pembinaan laluan pusingan di Jalan Sungai Yong, kata Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming.

Beliau berkata ketetapan itu diperlukan bagi membolehkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menjalankan kajian berhubung isu keselamatan di kawasan itu.

SILK“Penduduk mahu laluan pusingan U-turn dibuat supaya mereka tidak perlu membayar tol jika ingin ke Kuala Lumpur.

“Jadi saya bawa isu ini kepada MIROS supaya mereka boleh buat beberapa kajian keselamatan.

“Tetapi malangnya SILK menolak permintaan itu atas alasan keselamatan dan faktor kemalangan,” katanya.

Kian Ming berkata, MIROS sebagai sebuah institusi yang mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam menentukan standard keselamatan jalan raya dihalang menjalankan kajian mengenainya.

“Serahkan kepada MIROS sama ada pusingan U-turn itu merbahaya atau tidak,” katanya dalam sidang media Majlis Perasmian Pembukaan Jalan dari Lebuhraya Silk ke Taman Bukit Sungai Long, hari ini.

Pada masa sama, Kian Ming berkata beliau juga pernah membawa isu tersebut kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada 2013 bagi tujuan penelitian itu.

Namun sehingga kini tiada perkembangan positif mengenainya selepas LLM mengambil kira beberapa faktor keselamatan pengguna lebuhraya itu.

Keputusan itu katanya memaksa pengguna membayar lebih harga tol selepas Kerajaan Persekutuan mengumumkan kadar kenaikan baru hujung tahun lalu.

“Penduduk Sungai Long tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa membayar tol pada harga membebankan pengguna,” katanya.

Ketika ini, pengguna lebuhraya SILK melalui Jalan Sungai Yong dikenakan bayaran tol RM1.80 berbanding kadar sebelumnya, RM1.00.

EZY

Categories
SELANGOR

Lingkaran SILK bantu 40,000 pengguna atasi kesesakan trafik

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

KAJANG, 18 MAC : Pembukaan laluan baru dari Lebuhraya Kajang (SILK) ke Taman Bukit Sungai Long mampu mengatasi masalah kesesakan lalu lintas kepada penduduk setempat.

Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Mohd Sayuthi Bakar, berkata projek dirancang sejak 2002 itu juga dilihat mampu membawa perkembangan positif kepada infrastruktur di kawasan itu diluluskan Kerajaan Persekutuan pada Januari 2011.

“Ini merupakan inisiatif MPKj untuk mengatasi masalah kesesakan trafik di kawasan ini. Walaupun pada mulanya prosesnya sukar kerana Kementerian Kerja Raya menolak permohonan kami pada 2002.

SILK“Alasannya, pengguna boleh menggunakan jalan masuk sedia ada melalui Bandar Sungai Long dan pembinaan projek ini berlakunya peningkatan kos penyelenggaraan lebuhraya.

“Namun pemaju dan MPKj secara komited mengemukakan rayuan kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk pertimbangan dan akhirnya diluluskan pada 28 Januari 2011,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan majlis pembukaan laluan baru itu di Taman Bukit Sungai Long hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Hulu Langat Dr Che Rosli, Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Min Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong, Ng Tien Chee, ADN Dusun TUa Radzali Hassan.

Laluan baru itu siap dibina pada November lalu dan mendapat surat pengesahan siap sepenuhnya daripada LLM dan pengiktirafan Sijil Kesempurnaan Pembinaan (SKP) awal Mac lalu.

Pembukaan laluan itu dilaksanakan susulan laluan keluar masuk ke Bandar Sungai Long yang melalui Jalang Sungai Long dari Bandar Mahkota Cheras dan Lebuhraya Cheras Kajang tidak dapat menampung pertambahan jumlah kenderaan.

Penduduk mengalami masalah kesesakan terutamanya pada waktu puncak selain faktor kepesatan pembangunan di kawasan itu yang melebabkan lagi aliran trafik di kawasan terbabit.

Mengulas lanjut, Mohd Sayuthi berkata pembukaan lalu tersebut bakal memberi faedah kepada lebih kurang 40,000 penduduk di kawasan berdekatan.

“MPKJ berharap pembukaan laluan baru ini dapat meningkatkan keselesaan dan kemudahan infrastruktur kepada penduduk setempat terutama di kawasan Bandar Sungai Long dan sekitarnya,” katanya.

EZY