Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Internet percuma beri semangat belajar, saran lebih banyak kuota dibuka

SHAH ALAM, 29 SEPT : Ibu bapa perlu memantau anak menggunakan data internet percuma diberi Kerajaan Negeri sebaiknya, kata Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Selangor.

Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Selangor Mohd Azuan Mohd Nawawi

Mohd Azuan Mohd Nawawi berkata tindakan itu penting bagi mengelak kemudahan tersebut disalah guna perkara tidak bermanfaat.

“Internet percuma beri semangat kepada pelajar untuk belajar yang mungkin sebelum ini berdepan masalah mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Namun, ibu bapa juga berperanan memantau penggunaan internet, pastikan anak-anak tidak gunakan untuk perkara tidak berfaedah,” katanya ditemui selepas sesi penyerahan SIM percuma Data Internet Selangor di Kediaman Dato’ Menteri Besar di sini.

Sesi serahan 7,000 kad SIM disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kepada pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Selangor Rozlina Abd Ghani turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri memberi internet percuma selama 12 bulan.

Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Selangor Rozlina Abd Ghani

“Setakat ini, seramai 431 pelajar di Hulu Selangor terima manfaat ini. Kita harap lebih banyak permohonan dibuka kerana masih ramai yang mahukan faedah tersebut,” katanya.

Pada 4 Ogos, Amirudin memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati SIM dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.

Beliau berkata inisiatif itu menyasar pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.

Turut menerima manfaat ialah pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Data internet percuma, MBI pertimbang rayuan 2,000 pelajar

KUALA SELANGOR, 11 SEPT: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan membantu 2,000 lagi pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) mendapat kad modul pengenalan pelanggan (SIM) percuma.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Ahmad Azri Zainal Nor berkata ketika ini seramai 7,000 daripada 9,000 pelajar PTRS layak menerima manfaat tersebut.

“Kuota penerima SIM hanya 7,000 sedangkan keseluruhan pelajar PTRS seramai 9,000. Kita akan cuba bantu baki yang tidak mendapat inisiatif ini menerusi proses rayuan.

“Setakat ini 500 permohonan rayuan diterima dan keutamaan MBI mahu pastikan semua pelajar PTRS dapat SIM supaya proses pembelajaran berjalan lancar,” katanya selepas melawat bekas jaguh olahraga para kebangsaan Mohd Raduan Emeari.

Lawatan disertai Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli turut menyerahkan bantuan wang tunai serta bakul makanan.

Hujung bulan ini pelajar yang menyertai program Data Internet Selangor akan menikmati kemudahan data internet percuma selama setahun.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati SIM dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu menyasar pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.

Turut menerima manfaat ialah pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.