Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor terima lebih 4,000 bakul makanan sumbangan Sime Darby

GOMBAK, 2 OKT: Kerajaan Selangor menerima 4,500 bakul makanan serta keperluan dapur dari Sime Darby Property Bhd hari ini.

Dato’ Menteri Besar berkata sumbangan berupa barang makanan kering akan diagih kepada individu memerlukan sekitar Parlimen Gombak.

“Terima kasih kepada Sime Darby yang menjadi penyumbang terbesar. Sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) Kerajaan Negeri secara konsisten berikan lebih 2,000 bakul makanan di setiap DUN.

“Kali ini dengan sumbangan yang ada kita perbanyakkan sekitar Parlimen Gombak untuk membantu mereka yang memerlukan selain kawasan rukun tetangga serta pusat khidmat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas menerima sumbangan dan melancarkan skuad bencana DUN Gombak Setia hari ini.

Pada 9 Jun beliau mengumumkan bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 kepada semua Ahli Dewan Negeri.

Pakej bertemakan ‘Bersama-sama Menuju Kejayaan’ bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada 23 Ogos turut mengingatkan semua wakil rakyat untuk turun padang mengesan penduduk yang memerlukan bantuan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah golongan ini perlu sentiasa dicari, bukan hanya ketika ingin mendapatkan undi sewaktu pilihan raya sahaja.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sultan : Jangan Mudah Terpedaya Dengan Fitnah Dan Khabar Angin

sultan mb masjid jelutong 01

SHAH ALAM 17 MAC : Umat Islam diperingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan berita fitnah dan khabar angin yang disebarkan melalui pelbagai media.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar setiap berita harus diteliti dengan lebih mendalam dan terperinci sebelum membuat sesuatu kenyataan atau mengambil tindakan.

“Setiap gerak-geri, percakapan, perbuatan, serta keputusan yang diambil akan menentukan masa depan diri sendiri, keluarga dan negara,” titah Sultan Sharafuddin.

Baginda bertitah demikian semasa Majlis Perasmian Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong di sini.

Masjid tersebut dibina dengan kos RM 25.5 juta.

Kos itu ditampung sumbangan wang wakaf Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebanyak RM 6 juta, Kerajaan Selangor (RM 11 juta), Sime Darby Property Bhd (RM 6 juta) dan kutipan ahli-ahli kariah masjid sebanyak (RM 2.5 juta).

sultan mb masjid jelutong 03

Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong yang juga Masjid Diraja dibina pada Mei 2010 dan siap sepenuhnya pada Mac 2013.

Ia mempunyai keluasan 2.07 hektar dan mampu memuatkan kira-kira 4,000 jemaah ada satu-satu masa.

Sultan Sharafuddin juga bertitah agar ahli jawatankuasa Masjid Tengku Ampuan Jemaah hendaklah terdiri daripada mereka yang sanggup memikul segala tanggungjawab yang diamanahkan.

“Beta berkenan supaya Ahli Jawatankuasa Masjid ini sentiasa bersikap amanah, berwibawa dan professional serta dapat bekerjasama antara satu sama lain dengan erat bagi merangka program yang boleh memakmurkan masjid.

“Diharap Masjid ini juga dijadikan tempat untuk umat Islam di kawasan ini bersatu padu dengan semangat persaudaraan yang kukuh dan teguh.

“Masyarakat di sini hendaklah sentiasa hidup dalam harmoni dan bersikap muhibbah,” titah Baginda Sultan.

Turut hadir dalam majlis itu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

sultan mb masjid jelutong 02