Categories
AGENDA NASIONAL

Asnaf Selangor ditawar kursus dalam sektor ladang

SHAH ALAM, 22 NOV: Golongan asnaf yang berdaftar di Selangor ditawar mengikuti kursus teknikal dan operasi dalam sektor perladangan.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) memaklumkan peserta yang tamat program akan mengisi 5,873 kekosongan pelbagai jawatan di Sime Darby Plantation Berhad di seluruh negara.

“Permohonan dibuka sepanjang tahun. Jangan tunggu lagi, jom rebut tawaran ini segera. Program kemahiran, pensijilan dan penempatan pekerjaan sekaligus,” tulisnya di Facebook.

Menurutnya, program latihan jangka pendek diadakan selama satu hingga dua bulan menggunakan modul latihan yang dibangunkan iCEPS Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) dan Sime Darby Plantation Berhad.

“Kos latihan, tempat tinggal dan keseluruhan kos program adalah percuma dan gaji ditawarkan selepas latihan bermula dari RM1,200,” katanya.

Mereka yang berminat boleh mendaftar di laman sesawang https://bit.ly/Uitm-Simedarby-LZS

 

 

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS tawar latihan, kerja dalam sektor ladang kepada asnaf

SHAH ALAM, 5 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menawarkan kursus percuma kepada golongan asnaf negeri ini bagi mendapat pekerjaan dalam sektor perladangan di Sime Darby Plantation Berhad.

Agensi berkata mereka yang melengkapkan latihan selama satu hingga dua bulan berpeluang memperoleh sijil industri dan diambil bekerja dalam bidang teknikal serta operasi.

Menurutnya, latihan diberi berdasarkan modul dibangunkan Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional UiTM (iCEPS) dan Sime Darby Plantation.

“Kos latihan, tempat tinggal dan keseluruhan kos program adalah percuma.

“Penawaran gaji selepas latihan bermula dari RM1,200. Terdapat 5,873 kekosongan pelbagai jawatan di Sime Darby Plantation di seluruh negara,” katanya di Facebook hari ini.

LZS berkata permohonan dibuka sepanjang tahun dan golongan asnaf berminat boleh mendaftar di https://bit.ly/Uitm-Simedarby-LZS.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ketua pegawai eksekutif kumpulan Sime Darby positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Sime Darby Bhd, Datuk Jeffri Salim Davidson telah didapati positif Covid-19 dan kini sedang menjalani kuarantin dan menerima rawatan perubatan.

Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata Jeffri tidak pernah melawat mana-mana premis Sime Darby dalam tempoh 16 hari lepas.

“Kakitangan yang menjadi kontak dengannya dalam tempoh tersebut telah melakukan kuarantin sendiri dan menjalani pemeriksaan perubatan yang diperlukan,” katanya.

Kumpulan itu sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan kesihatan dan keselamatan para pekerjanya, termasuk menjalankan pengesanan kontak untuk mengenal pasti mereka yang telah menjadi kontak dengan GCEO.

Ia berkata bahawa ketua pegawai kewangan kumpulan, Mustamir Mohamad telah mengambil alih tanggungjawab GCEO semasa ketiadaannya dalam memastikan kesinambungan perniagaan.

Sementara itu, premis Sime Darby di seluruh negara ditutup dari 18 hingga 31 Mac sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan oleh Kerajaan.

Syarikat itu telah memulakan pelan kesinambungan perniagaannya dan semua kakitangannya yang berpangkalan di Malaysia akan bekerja dari jarak jauh.

Sime Darby juga telah memulakan pelan kesinambungan perniagaannya di seluruh operasi kumpulan di Asia Pasifik untuk memastikan gangguan yang minimum terhadap operasi.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri sokong Sime Darby Property jaya projek rumah mampu milik

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 OKT: Kerajaan Negeri menyambut baik dan menyokong usaha Sime Darby Property melaksanakan projek perumahan berkonsep Divergent Dwelling Design (D3) dengan kadar harga mampu dimiliki rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, usaha dijalankan Sime Darby Property itu adalah selaras dengan pendekatan Kerajaan Negeri memperkenalkan Rumah Selangorku iaitu rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat di negeri itu.

“Satu usaha yang baik dan Kerajaan Negeri akan memberi sokongan penuh di mana Sime Darby Property memperkenalkan beberapa pendekatan baharu dengan rumah ditawarkan mempunyai kualiti dan suasana baik serta dalam masa sama memperkenalkan konsep hijau.

“Saya berharap projek ini dapat dilaksanakan segera dan dapat memenuhi pasaran,” katanya kepada Media Selangor.

i

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke unit Pameran Rumah Lestari D3 Sime Darby Property di sini, hari ini.

Turut hadir, Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha dan Ketua Pengarah Kumpulan Sime Darby Property, Dato’ Seri Amrin Awaluddin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha Sime Darby Property itu sedikit sebanyak dapat membantu Kerajaan Negeri untuk mencapai sasaran bagi menyediakan rumah selesa kepada rakyat.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya projek perumahan D3 itu ingin dilabelkan sebagai rumah mampu milik, Sime Darby Property perlu mengadakan perbincangan bersama Lembaga Hartanah dan Perumahan Selangor (LHPS).

“Itu peraturan Kerajaan Negeri di mana dapat dasar dan pelan induknya serta kadar harga ditetapkan.

“Mereka boleh berbincang dengan LHPS untuk mendapatkan kata putus tetapi yang penting perlu dalam situasi ‘menang-menang’,” katanya.

Projek perumahan D3 dijalankan Sime Darby Property adalah inovasi dalam sistem pembinaan kediaman mampu milik merangkumi penggunaan teknologi dan reka bentuk dipertingkat secara holistik.

Ia dirancang dilancarkan penghujung tahun ini sebagai projek perintis Rumah Lestari D3 Sime Darby Property dinamakan Harmoni 1 di Elmina West, City of Elmina, Shah Alam.

Projek itu perangkumi tiga blok kediaman setinggi 19 ke 20 tingkat dengan sejumlah 562 unit berukuran 900 – 1,000 kaki persegi.

Categories
EKONOMI

Zeti dilantik pengerusi Sime Darby Property

KUALA LUMPUR 24 JUL: Sime Darby Property Bhd melantik bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz sebagai pengerusi barunya berkuat kuasa semalam.

Zeti yang kini memegang jawatan pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), menggantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar yang bersara 30 Jun lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Amrin Awaluddin dalam satu kenyataan menyebut kehadiran Zeti memperkukuh komitmen PNB ke atas bekas gabenor itu serta perjalanan transformasinya.

“Kami berharap dapat bekerja di bawah kepimpinan Zeti dalam memajukan syarikat pada masa depan dan merealisasikan nilai kepada pihak berkepentingan,” katanya.

Syarikat itu turut melantik Datin Norazah Mohamed Razali sebagai pengerusi baru jawatankuasa pencalonan dan pengiraan, menggantikan Datuk Rohana Mahmood yang meletak jawatan 30 Jun lalu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Sime Darby Plantation catat keuntungan 40%

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM,23 FEB: Sime Darby Plantation mencatat keuntungan 40 peratus pada suku kedua berakhir 31 Disember lalu menjadikan jumlah RM477 juta berbanding RM341 juta, sebelum ini.

Ia ekoran peningkatan hasil daripada Upstream Malaysia juga penurunan kos kewangan ekoran pinjaman lebih redah.

Pendapatan pula menunjukkan peningkatan daripada RM3.92 billion kepada RM4.08 billion bagi suku sama, pada tahun 2016.

Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata. keuntungan itu dirangsangkan oleh prestasi kumpulan selepas ia mengambil langkah penyenaraian pada November 2017.

“Operasi haluan kami disediakan secara strategik ke arah mencapai inisiatif bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan kos dan keuntungan,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Ali Rustam dilantik Senator, Menteri JPM, ketuai PNB demi upah politik?

umno-retakSHAH ALAM, 27 OGOS: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melantik pemimpin ditolak rakyat dalam pentadbiran kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dikesali kerana tindakan itu dianggap sebagai upah politik demi menjaga kepentingan politik beliau menjelang Pemilihan Agung Umno yang bakal dilangsungkan tidak berapa lama lagi.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin, Najib sepatutnya melantik individu yang mempunyai pengalaman serta trek rekod yang bersih selaras dengan prinsip wasatiah dan bukan melantik pemimpin yang mempunyai rekod prestasi yang buruk dan terpalit dengan pelbagai skandal rasuah.

“Saya lihat ada satu trend pengagihan jawatan penting untuk mengemudi syarikat startegik negara kepada mereka yang kalah seperti Datuk Abdul Ghani Othman di Sime Darby, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim di Tabung Haji dan terbaru Datuk Seri Mohd Ali Rustam pula diwarkan bakal mengemudi Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) atau Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Malangnya ada diantara mereka bukan sahaja ditolak rakyat, malah tidak mempunyai latar belakang ekonomi dan lebih teruk lagi mempunyai rekod perkhidmatan yang tidak menyinar seperti Ali Rustam yang menyebabkan Melaka berhutang sebanyak RM900 juta dan skandal perkahwinan anak beliau yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).”

Shamsul berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah media semalam, Mohd Ali dipercayai bakal dilantik mengetuai PNB dan senator bagi membolehkan beliau dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Untuk rekod, Lembaga Disiplin Umno sebelum ini juga pernah menggantung Ali Rustam daripada bertanding dalam Pemilihan Agung Umno 2009 apabila didapati bersalah memberi rasuah kepada perwakilan agar memberikan pencalonan bagi membolehkan beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Shamsul menambah, trend melantik demi upah politik yang dipraktikan Umno-BN mampu memburukkan lagi keadaan prestasi ekonomi dan sekaligus membawa kewangan negara terus berada dalam keadaan defisit yang semakin tinggi.

“Malaysia sekarang ini sejak Najib dilantik sebagai Perdana Menteri berada dalam keadaan ‘auto pilot’ dan tiada pencapaian yang boleh dibanggakan dilakukan Najib selepas 100 selepas pilihan raya dan diburukkan lagi dengan amalan memberi upah politik untuk dapatkan balasan politik,” ujar Shamsul yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan.

Sebelum ini amalan melantik semula pemimpin politik dari Umno-BN tanpa mengambil kira trek rekod, pengalaman dan latar belakang ke jawatan penting dalam organisasi strategik kerajaan dengan gaji lumayan mula dilihat sebagai trend pentadbiran Najib.

Selain Abdul Ghani, Abdul Azeez dan terbaru Mohd Ali, pemimpin Umno lain, Datuk Seri Isa Samad yang pernah terpalit dengan rasuah politik wang dilantik sebagai Pengerusi Felda dan Tan Sri Rahim Thamby Chik yang didakwa dikaitkan dengan skandal rogol gadis bawah umur turut mendapat tempat dalam pentadbiran Najib.- MZA

Categories
SELANGOR

Selangor Selesaikan Projek Perumahan Pekerja Ladang Bukit Raja

Dr Xavier Projek Perumahan Pekerja Ladang Bandar Bukit Raja 01

KLANG 21 MAC : Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan projek perumahan bermasalah untuk 76 bekas pekerja ladang di Bandar Bukit Raja di sini dengan pembinaan rumah teres bernilai RM 77,000 di satu kawasan berhampiran.

Pembinaan projek perumahan itu dijayakan dengan kerjasama pemilik hartanah, Sime Darby Property Berhad (Sime Darby) dan dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata persetujuan dicapai antara Kerajaan Negeri dan Sime Darby bagi pembinaan projek perumahan ini.

Sebelum ini, 76 bekas pekerja tersebut memnuntut rumah teres daripada majikan mereka kerana rumah asal yang dijanjikan kepada mereka tidak sesuai.

Kumpulan itu akhirnya terpaksa membawa kes mereka ke mahkamah.

“Rumah ini dijual kepada bekas pekerja ladang dengan harga RM 70,000 iaitu diskaun RM 7,000 dari harga asal RM 77,000. Untuk makluman harga pasaran sebenarnya ialah RM 250,000.

“Biarpun ada masalah pada awalnya termasuk kes mahkamah tetapi ia dapat diselesaikan dan semua 76 bekas pekerja ladang ini akan memiliki rumah mereka.

“Semua mereka juga sudah memilih nombor lot rumah untuk diduduki,” katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan di Bandar Bukit Raja di sini hari ini.

Bagi bekas pekerja ladang yang lanjut usia, beliau menambah, Kerajaan Negeri membolehkan mereka menamakan pewaris di dalam dokumen perjanjian bagi mendapatkan pinjaman dari institusi kewangan.

Katanya, projek itu juga adalah salah satu dari Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dari Sime Darby.

“Sime Darby turut menyediakan kawasan bagi padang permainan dan dewan di kawasan ini.

“Dalam lima tahun ini kita telah selesaikan banyak kes seperti ini di beberapa kawasan lain seperti di Semenyih dan Kajang,” katanya.

Categories
NASIONAL

Hubungan Dagang Malaysia-Israel Guna 4 Pelabuhan Israel

SHAH ALAM, 20 FEB: Malaysia dan Israel menjalin hubungan dagang menerusi empat pelabuhan di negara zionis tersebut melalui Pelabuhan Klang dan Tanjung Pelepas, Johor.

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Baharin atau lebih dikenali dengan Chegu Bad berkata menerusi carian laman web www.linescape.com pihaknya telah menemukan beberapa transaksi.

Menurut Chegu Bad hubungan dagang tersebut didakwa melibatkan syarikat perkapalan ZIM (yang punya kepentingan Israel) dengan menggunakan pelabuhan Haifa (Israel) terus ke Pelabuhan Klang.

“Terdapat juga laluan perdagangan lain antara Israel-Malaysia termasuklah melibatkan beberapa pelabuhan utama kedua-dua buah negara yang kononnya tidak mempunyai hubungan diplomatik.

“Antaranya ialah Haifa(Israel)-Pelabuhan Klang, Ashdod(Israel)-Pelabuhan Klang dan Ashdod(Israel)-Tanjung Pelepas dan Ashdod(Israel)- WestPort Klang.” kata beliau.

Menurut beliau sikap hipokrit kerajaan Malaysia membuktikan helah politik untuk menipu rakyat negara ini sedangkan hakikatnya Malaysia- Israel merupakan rakan dagang yang baik.

“Dr. Mahathir minggu lepas konon mengatakan betapa data permedagangan Israel – Malaysia dibekalkan oleh Israel kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah sebuah tuduhan terdesak serta memperkukuhkan lagi amalan fitnah yang diamalkan Mahathir selama ini.

“Sedangkan data kemasukan perdagangan Israel melalui kapal ZIM ini hanya memerlukan carian di ruang awam maka terdedahlah hipokrasi regim Umno.” jelas beliau yang juga Ketua Cabang Rembau.

Sehubungan itu SAMM meminta rakyat Malaysia dan masyarakat dunia yang prihatin dengan nasib Palestin menuntut jawapan dari kerajaan mengenai pendedahan terbaru tersebut.

Pada 8 Febuari 2012 lalu, SAMM telah membuat pendedahan awal mengenai wujudnya dagangan Sawit terus oleh syarikat tempatan dan penghantaran secara terus dilakukan dari Johor ke Israel.

Namun tiada jawapan rasmi dari kerajaan. Pada hari yang sama SAMM telah dihantar kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa serta salinan ke Perdana Menteri dan pihak media untuk memberikan respon mengenai perkara ini.

Sementara dalam ‘Index Mundi’ dan IMF menunjukkan bagaimana penjualan minyak sawit Malaysia dalam matawang New Israeli Syeqel dan harga minyak sawit Malaysia telah di senaraikan dalam futures trading (harga masa depan) sehingga Januari 2012.

Melalui index tersebut mencatatkan Syarikat Sime Darby dari Malaysia terlibat dalam urusan penjualan minyak sawit tersebut.

Sime Darby adalah syarikat milik kerajaan (GLC) hasil penggabungan Golden Hope, Guthrie dan Sime Darby yang menimbulkan kontroversi pada awal tahun 2000 lalu.