Categories
AGENDA NASIONAL

Veterinar siasat ladang susulan tarik balik telur dari pasaran Singapura

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah menjalankan siasatan terhadap ladang CES 008 Lay Hong di Jeram, Selangor untuk mengenal pasti punca pencemaran Salmonella Enteritidis (SE) pada telur.

DVS dalam kenyataan hari ini memaklumkan jabatan itu telah membuat daya jejak sumber jangkitan SE, menjalankan siasatan penyakit, menyemak rekod pemvaksinan, pengeluaran telur dan rekod program survelan (pengawasan) penyakit di ladang.

Pada masa sama, DVS juga menjalankan pensampelan (sampel persekitaran, kloaka, makanan ternakan, air minuman dan telur) untuk pengesanan SE.

“Telur keluaran ladang CES 008 tidak dibenarkan dijual di pasaran tempatan sebagai telur sajian sehingga keputusan siasatan diperolehi. Telur daripada ladang ini hanya untuk penghasilan produk telur yang melalui rawatan haba di kilang pemprosesan syarikat yang terletak di Kapar dan Meru, Selangor.

“DVS juga menjalankan siasatan dan ujian SE terhadap semua ladang milik syarikat Lay Hong Berhad bagi memastikan telur keluaran ladangnya adalah bebas SE. DVS tidak membenarkan kemasukan semula telur ‘recall’ CES 008 ke Malaysia,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, DVS memaklumkan penggantungan CES 008 ke Singapura tidak menjejaskan pengeksportan bekalan telur dari lain-lain ladang ke negara itu dan bekalan untuk pasaran tempatan.

Selain itu, DVS memaklumkan bahawa melalui Program Survelan Penyakit Haiwan Kebangsaan, Salmonellosis merupakan salah satu penyakit yang dipantau di semua ladang ayam di Malaysia.

Semalam, Bernama melaporkan Singapura telah mengarahkan empat pengimportnya menarik balik telur keluaran Lay Hong di Malaysia daripada pasaran republik itu sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut Agensi Makanan Singapura (SFA), arahan itu dibuat berikutan penemuan bakteria SE pada produk tersebut yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan sekiranya produk berkenaan dimakan mentah atau separuh masak.

DVS memaklumkan terdapat lebih 2000 spesies Salmonella dan gejala pada manusia akibat jangkitan SE antaranya sakit perut, cirit-birit, loya, muntah serta demam. Namun, SE boleh dimusnahkan dengan cara memasak produk berkenaan dengan sempurna.

Terdahulu, DVS memaklumkan jabatan itu telah membuat sesi libat urus bersama pihak pengurusan Lay Hong hari ini.

“Terdapat 10 ladang ayam yang terdiri daripada dua ladang pullet dan lapan ladang ayam penelur milik syarikat Lay Hong Berhad. Hanya satu ladang iaitu CES 008 yang mengeksport telur ke Singapura.

“Pihak syarikat memaklumkan bahawa 100 peratus telur keluaran daripada ladang CES 008 adalah untuk pasaran eksport ke Singapura.

“Pihak syarikat bersetuju untuk melaksanakan tindakan pembetulan dan pemantauan lebih kerap dan meningkatkan kawalan biosekuriti,” demikian menurut kenyataan tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Tiga rakyat Malaysia dikesan positif Covid-19 di Singapura

SINGAPURA, 5 MAC: Tiga rakyat Malaysia antara 18 kes import baharu Covid-19 yang dilaporkan di Singapura pada Khamis, demikian menurut Kementerian Kesihatan republik itu.

Kementerian itu menerusi data penuh yang dikeluarkan lewat malam tadi memaklumkan kesemua meraka tiba dari negara asal dan asimptomatik.

Kes import lain ialah dari Bangladesh, Ghana, India, Indonesia, Filipina dan Amerika Syarikat.

Setakat tengah hari semalam, Singapura mencatat 19 kes baharu, satu daripadanya merupakan kes dalam komuniti, menjadikan jumlah jangkitan di sini kepada 59,998 kes.

Sehingga kini, kementerian mengklasifikasikan 3,160 daripada kes yang dilaporkan adalah import, 2,327 kes dalam komuniti dan 54,511 melibatkan penghuni asrama.

Pada masa ini, terdapat dua kluster Covid-19 di Singapura.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Singapura siasat pemandu lori Malaysia positif Covid-19

SINGAPURA, 22 FEB: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) menyatakan mereka kini sedang menyiasat seorang pemandu lori rakyat Malaysia yang tidak dibenarkan memasuki negara itu pada 18 Feb, selepas diuji positif Covid-19 menggunakan ujian rapid antigen (ART) di pusat pemeriksaan Woodlands.

Kementerian itu menyatakan ujian polymerase chain reaction (PCR) terhadap penghantar kerja bebas itu juga yang diterima pada keesokan harinya juga didapati positif Covid-19.

MOH menyatakan, perjalanan ke Singapura lelaki itu sebelum itu ialah pada 8 Feb, apabila beliau diuji negatif pada ujian ART di pusat pemeriksaan.

“Siasatan kami mendapati yang beliau telah ke Kasino Resorts World Sentosa pada 9 Feb, sebelum pulang ke Malaysia pada hari yang sama,” menurut kenyataan dikeluarkan MOH hari ini.

Walaupun lelaki itu tidak termasuk dalam perkiraan kes kerana beliau tidak dibenarkan untuk memasuki Singapura selepas keputusan ujian yang positif, kementerian itu menyatakan yang mereka akan mengambil tindakan sewajarnya sebagai langkah berjaga-jaga, termasuk mengkuarantin kesemua kontak rapat lelaki tersebut.

Kementerian itu menjelaskan yang pemandu lori Malaysia tidak dibenarkan untuk bergaul dalam komuniti, selain untuk tujuan penghantaran dan tidak dibenarkan untuk bermalam.

MOH menyatakan, siasatan juga sedang dijalankan bagi melihat sama ada berlakunya sebarang pelanggaran langkah pencegahan yang berkaitan.

Sehingga tengah semalam, Singapura melaporkan 11 kes jangkitan Covid-19 baharu, kesemuanya kes import, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 59,869 kes.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: 11 jangkitan baharu di Singapura, ada kes positif B117

SINGAPURA, 10 FEB: Sebanyak 11 kes jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan di Singapura semalam dan satu daripadanya termasuk seorang kru kabin Singapore Airlines yang saringan awalnya didapati positif strain B117, kata Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu.

Dalam laporan lengkapnya di sini, kementerian itu berkata wanita rakyat Singapura berusia 41 tahun itu berlepas dari Singapura pada 30 Januari lepas dalam satu penerbangan ke Emiriah Arab Bersatu yang kembali pada 1 Februari lalu dan dia tidak pernah turun daripada pesawat semasa di destinasi seberang laut itu.

Pada 7 Februari lepas, MOH berkata kabin kru itu didapati positif Covid-19 dalam saringan yang merupakan sebahagian daripada peraturan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura yang mewajibkan kru kabin disaring sebaik tiba dari luar negara.

“Keputusan ujian tergembleng ke atasnya didapati positif Covid-19 pada 8 Februari dan dia dibawa ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit untuk calitan individu dan diasingkan. Keputusan saringannya terhadap jangkitan Covid-19 didapati positif keesokan hari,” katanya.

Dilabelkan sebagai Kes 60102 kru kabin itu menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 pada 2 Februari.

“Oleh kerana vaksin itu tidak mengandungi virus hidup, dia tidak mungkin dijangkiti menerusi pemvaksinan.

“Ada kemungkinan untuk seseorang dijangkiti sebelum atau sebaik sahaja selepas menerima pemvaksinan kerana beberapa minggu diperlukan untuk seseorang membina keimunan selepas melengkapkan pemvaksinan,” kata kementerian itu.

Selain Kes 60102, kementerian itu berkata empat lagi penumpang yang dalam penerbangan sama didapati positif Covid-19 dalam saringan awal bulan ini dan juga didapati positif strain B117 di peringkat awal.

Setakat 12 tengah hari tadi, tiada kes penularan tempatan dilaporkan di Singapura, kesemuanya adalah kes import dan menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 59,732 kes.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Rakyat Malaysia antara 22 kes import di Singapura

SINGAPURA, 5 FEB: Seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 43 tahun adalah antara 22 kes baharu import Covid-19 yang dilaporkan di Singapura pada Khamis, demikian menurut Kementerian Kesihatan republik itu.

Menurut data penuh yang dikeluarkan Kementerian itu lewat malam tadi, lelaki pemegang permit kerja itu tiba dari Malaysia dan bergejala.

Setakat tengah hari Khamis, tiada kes baharu jangkitan tempatan dilaporkan di Singapura, semua kes baharu merupakan kes import, menjadikan keseluruhan kes 59,624.

Daripada 22 kes baharu yang diimport, 19 adalah tidak bergejala manakala tiga didapati bergejala.

Kes import lain adalah dari India, Indonesia, Jerman, Jepun, Nigeria, Filipina, dan Emiriah Arab Bersatu.

Seorang lelaki warga Singapura berusia 56 tahun yang pulang dari Malaysia juga merupakan antara kes import bergejala di sini. Setakat ini, Singapura mempunyai tiga kluster.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Tiga lelaki Malaysia antara kes import tanpa gejala di Singapura

SINGAPURA, 29 JAN: Tiga lelaki rakyat Malaysia adalah antara 32 kes import asimptomatik yang disahkan di Singapura pada Khamis, menurut Kementerian Kesihatan Singapura.

Ketiga-tiga mereka merupakan pemegang permit kerja dan tiba ke Singapura dari negara asal, menurut kementerian itu dalam data penuh yang dikeluarkan di sini lewat malam tadi.

Sehingga tengah hari Khamis, Singapura mencatatkan sejumlah 34 kes import dengan 32 daripadanya adalah asimptomatik, manakala dua lagi bergejala.

Seorang wanita pemastautin Singapura berumur 29 tahun yang baru kembali dari Malaysia adalah antara kes import asimptomatik di sini.

Singapura turut melaporkan dua kes import dari Bangladesh dan India yang keputusan ujian awal menunjukkan positif bagi strain B117.

Lain-lain kes import adalah dari Indonesia, Oman, Sri Lanka, Pakistan, Romania, Emiriah Arab Bersatu, dan Amerika Syarikat.

Singapura melaporkan tiada penularan tempatan jangkitan Covid-19 pada Khamis, dan jumlah jangkitan di sini kini adalah 59,425.

Jumlah kluster yang dikesan kekal enam, selepas tiada kluster baharu dikesan.

Sehingga kini 29 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi disebabkan jangkitan Covid-19 di Singapura.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Lebih 113,000 terima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech di Singapura

SINGAPURA, 29 JAN: Lebih 113,000 individu di Singapura menerima dos pertama vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech manakala lebih 50 individu menerima dos kedua mereka yang sekali gus menyempurnakan regimen penuh vaksinasi, setakat 27 Januari lepas.

Antara lebih 113,000 individu yang menerima vaksin itu, 432 kesan sampingan telah dilaporkan termasuk tiga kes anafilaksis yang merupakan permulaan reaksi alergi yang teruk.

“Anafilaksis adalah kesan sampingan yang diketahui namun jarang berlaku terhadap vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech,” menurut Pengarah Perkhidmatan Perubatan di Kementerian Kesihatan republik (MOH) itu, Profesor Madya Kenneth Mak dalam kenyataan semalam.

Seperti vaksin lain, Mak berkata akan terdapat sebilangan kecil individu yang mudah mengalami reaksi alergi yang teruk semasa vaksinasi.

“Kami telah mengambil langkah berjaga-jaga seperti saringan pravaksinasi dan pemerhatian pasca-vaksinasi bagi memastikan bahawa program vaksinasi kami dapat dilaksanakan dengan selamat.

“Kesemua tiga kes anafilaksis telah menerima rawatan segera dan berada dalam keadaan baik,” katanya.

Menurut kenyataan itu, individu terbabit yang berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an, mengalami pelbagai gejala seperti ruam, sesak nafas, bibir bengkak, sakit tekak dan pening.

Ketiga-tiga individu mempunyai sejarah alergi termasuk rinitis alergi dan alergi makanan seperti kerang-kerangan namun tidak mempunyai sejarah anafilaksis yang akan mengecualikan mereka daripada menerima vaksin itu, katanya.

Sementara itu, kebanyakan yang lain melaporkan gejala biasa seperti bengkak serta kesakitan di tempat suntikan, demam, sakit kepala, keletihan, sakit badan, pening, rasa mual dan reaksi alergi iaitu gatal, ruam bengkak mata atau bibir.

Meskipun menjangkakan terdapat keperluan seperti ini, MOH berkata pihaknya akan memperkenalkan satu program bantuan kewangan kecederaan vaksin bagi vaksinasi Covid-19 (VIFAP) bagi menyediakan bantuan kewangan kepada mereka yang terjejas sekiranya berlaku kesan sampingan yang dinilai mempunyai kaitan dengann vaksin Covid-19 yang diberikan di Singapura.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Lelaki Malaysia antara tiga kes import baharu bergejala di Singapura

SINGAPURA, 28 JAN: Seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 26 tahun adalah antara tiga kes import baharu bergejala yang dilaporkan di Singapura semalam, menurut Kementerian Kesihatan republik itu.

Dilabelkan sebagai Kes 59676, pemegang permit kerja itu tiba di sini dari negara asalnya, kata kementerian itu dalam data lengkap yang dikeluarkannya malam tadi.

Setakat 12 tengah hari, Singapura merekodkan 25 kes import baharu dengan 22 daripadanya tidak bergejala sementara tiga lagi bergejala.

Lain-lain kes import adalah dari India, Filipina dan Emiriah Arab Bersatu.

Tiada penularan jangkitan tempatan Covid-19 dilaporkan semalam dan menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 59,391 kes.

Kementerian itu berkata kesemua 25 kes import sudah dikenakan Notis Duduk di Rumah (SHN) sebaik sahaja tiba di Singapura.

Tiada kluster baharu dilaporkan menjadi jumlah kluster keseluruhan kekal enam.

Setakat ini, 29 orang meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan Covid-19 di sini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Singapura catat tiga kes positif bagi strain B117

SINGAPURA, 27 JAN: Tiga kes Covid-19 yang diilaporkan sebelum ini telah diuji positif bagi varian B117 dan mungkin mempunyai kaitan, demikian menurut Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) semalam.

Menurut kementerian itu, perkara tersebut didedahkan menerusi penjujukan genom keseluruhan dan analisis filogenetik yang dikendalikan Makmal Kesihatan Awan Kebangsaan.

Menerusi data penuh yang dikeluarkan di sini, the MOH berkata siasatan epidemiologi mendedahkan bahawa Kes ke-59,340 dan ke-59,351 telah berkunjung ke Lapangan Terbang Jewel Changi pada 31 Disember 2020 antara 2.35 petang dan 9.50 malam manakala Kes ke-59,028 berada di Terminal 3, Lapangan Terbang Changi pada hari sama antara 7.48 malam dan 8.49 malam.

Sebagai langkah berjaga-jaga, MOH berkata ia akan memulakan satu operasi khas yang menawarkan ujian saringan kepada kakitangan yang bertugas dari 31 Disember di Lapangan Terbang Jewel Changi dan di kedai serta tempat makan yang dibuka kepada orang awam di Terminal 3, Lapangan Terbang Changi.

Kes ke-59,028 ialah seorang lelaki rakyat Korea berusia 24 tahun yang bekerja dengan Azur di Plaza Crowne Lapangan Terbang Changi dan telah disahkan dijangkiti Covid-19 pada 5 Januari lepas.

Kes ke-59,340 pula merupakan seorang rakyat tempatan yang bertugas dengan Persatuan Pengakap Singapura dan disahkan dijangkiti virus itu pada 15 Januari lepas.

Kes ke-59,351 merupakan pasangan Kes ke-59,340 dan bekerja di OCBC Tampines Centre One dan dia disahkan dijangkiti Covid-19 pada 15 Januari.

B117 dianggap sebagai strain virus Covid-19 berpotensi lebih mudah berjangkit yang kini menular di United Kingdom.

Sehingga tengah hari semalam, republik itu melaporkan 14 kes baharu, kesemuanya import, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 59,366.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Dua rakyat Malaysia antara 22 kes import di Singapura

SINGAPURA, 26 JAN: Dua rakyat Malaysia antara 44 kes import baharu Covid-19 yang dilaporkan di Singapura pada Isnin, menurut Kementerian Kesihatan republik itu.

Berdasarkan data penuh kementerian yang dikeluarkan lewat malam tadi, kedua-dua pemegang permit kerja itu tiba dari Malaysia.

Kes pertama yang dilabel sebagai 59,644 adalah seorang lelaki berusia 26 tahun dan dia asimptomatik atau tanpa gejala manakala kes kedua dilabel sebagai 59,645 adalah seorang wanita berusia 33 tahun yang mempunyai gejala.

Setakat tengah hari Isnin, Singapura mencatatkan 44 kes import baharu yang 40 daripadanya adalah asimptomatik manakala empat lagi bergejala.

Seorang lelaki penduduk tetap Singapura berusia 60 tahun yang pulang dari Malaysia juga antara kes import tidak bergejala.

Beliau dikaitkan dengan Kes 59,532 yang dilaporkan pada 22 Jan, seorang lelaki warga Singapura berusia 61 tahun yang pulang dari Malaysia juga.

Kes-kes lain yang diimport adalah dari Bangladesh, Perancis, India, Indonesia, Jepun, Kazakhstan, Poland, Rusia, Sepanyol, Belanda, Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Republik tersebut melaporkan tiada jangkitan penularan tempatan pada Isnin, menjadikan jumlah jangkitan Covid-19 di negara itu kepada 59,352.

Menurut kementerian itu, semua 44 kes import tersebut dikenakan notis duduk di rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di Singapura.

Tiada kluster baharu dilaporkan pada Isnin, menjadikan jumlah kluster kekal enam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Wanita Malaysia antara 41 kes import tidak bergejala di Singapura

SINGAPURA, 25 JAN: Seorang wanita Malaysia berusia 38 tahun merupakan antara 41 kes import Covid-19 baharu yang tidak bergejala dilaporkan di Singapura pada Ahad, menurut Kementerian Kesihatan republik itu.

Berdasarkan data penuh kementerian yang dikeluarkan malam tadi, pemegang permit kerja yang tiba dari negara asalnya itu dilabelkan sebagai Kes 59586.

Seorang wanita penduduk tetap Singapura berusia 39 tahun yang kembali dari Malaysia juga merupakan antara kes import tidak bergejala di negara itu.

Kementerian memaklumkan satu kes import juga dilaporkan membabitkan seorang kru kapal pemegang pas khas yang menaiki kapal dari Malaysia dan belum diturunkan dari kapal berkenaan.

Lelaki berusia 45 tahun dari Filipina itu dibawa ke hospital selepas menunjukkan gejala sebelum diuji positif Covid-19, menurut kementerian itu.

Setakat tengah hari Ahad, Singapura melaporkan sebanyak 48 kes import iaitu 41 tidak bergejala manakala tujuh mengalami gejala.

Kes import lain adalah dari Bangladesh, Colombia, Mesir, Perancis, India, Indonesia, Myanmar, Nigeria, Filipina, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Amerika Syarikat (AS).

Republik itu melaporkan tiada jangkitan penularan tempatan pada Ahad, menjadikan jumlah jangkitan Covid-19 di negara itu kepada 59,308 kes.

Kementerian menyatakan kesemua 48 kes import itu dikenakan notis duduk di rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di Singapura.

Tiada kluster baharu dilaporkan pada Ahad, menjadikan jumlah kluster kekal kepada enam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Rakyat Malaysia antara empat kes dalam komuniti di Singapura

SINGAPURA, 22 JAN: Seorang wanita warganegara Malaysia berusia 46 tahun merupakan antara empat kes baharu jangkitan tempatan Covid-19 yang dilaporkan di Singapura pada Khamis menurut Kementerian Kesihatan Singapura (MOH).

Menurut data penuh yang dikeluarkan Kementerian itu lewat malam tadi, wanita itu yang dilabel sebagai Kes 59513, merupakan seorang pemegang pas kerja yang bekerja sebagai jurujual di Toppan Merrill PTe Ltd di Church Street, tetapi tidak bertemu secara langsung dengan pelanggan.

Kementerian itu menyatakan, wanita itu merupakan kontak rapat kepada Kes 59474, seorang wanita warganegara Malaysia berusia 28 tahun yang bekerja sebagai kakitangan bahagian kewangan di BD Industrial & Industrial Supply Pte Ltd, yang telah disahkan dijangkiti Covid-19 pada 20 Januari.

“Beliau alami hidung tersumbat pada 19 Januari dan berada di rumah hampir keseluruhan hari tersebut. Disebabkan beliau dikenal pasti sebagai kontak rapat Kes 59474, beliau telah dihubungi MOH pada 20 Januari dan diletakkan dalam kuarantin,” menurut MOH.

MOH menyatakan yang wanita itu telah memberitahu mengenai simtomnya dan kemudiannya dihantar ke Hospital Besar Sengkang di mana beliau menjalani ujian saringan Covid-19.

“Hasil ujian pada hari yang sama mendapati beliau positif. Ujian serologinya didapati negatif, menunjukkan yang merupakan jangkitan semasa,” menurut kementerian itu.

Beliau kini sebahagian daripada kluster Kes 59429 yang kini mempunyai tujuh kes disahkan termasuk tiga lagi rakyat Malaysia.

Sehingga tengah hari Khamis, Singapura mencatatkan sejumlah 38 kes baharu, di mana 34 merupakan kes import dan empat kes jangkitan tempatan, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 59,235.

Pada masa ini terdapat sejumlah enam kluster di republik tersebut.

– BERNAMA