Categories
AGENDA NASIONAL

Penerima Sinovac, individu 60 tahun ke atas perlu dos penggalak sebelum 31 Mac

SHAH ALAM, 24 FEB: Kementerian Kesihatan hari ini setuju melanjutkan tempoh masa bagi penerima vaksin Sinovac berumur 18 tahun ke atas untuk memperoleh dos penggalak kepada 31 Mac ini.

Sebelum ini, individu terbabit perlu mendapatkan dos penggalak sebelum 28 Februari bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap mereka.

Ia turut membabitkan warga emas berumur 60 tahun ke atas yang sudah menerima semua jenis vaksin.

“Mulai 1 April status vaksinasi lengkap akan ditukar kepada tidak lengkap sekiranya masih belum mendapat dos penggalak,” kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada sidang media di Putrajaya hari ini.

 

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB nasihat segera ambil dos penggalak, elak status vaksin tidak lengkap

SHAH ALAM, 14 FEB: Dato’ Menteri Besar mengingatkan penduduk negeri ini yang menerima vaksin Sinovac segera mengambil dos penggalak sebelum 1 Mac.

“Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan sijil vaksinasi penerima Sinovac bakal bertukar status sekiranya masih tidak mengambil dos penggalak sebelum 1 Mac ini.

“Warga Selangor diingatkan utk mendapatkan dos penggalak segera demi keselamatan diri dan keluarga,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

Pada 7 Februari Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan penerima dos lengkap Sinovac berusia 18 tahun ke atas perlu mengambil suntikan penggalak sebelum 1 Mac bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap.

Jika gagal berbuat demikian status vaksinasi individu berkenaan dianggap tidak lengkap dan maklumat itu tertera dalam aplikasi MySejahtera.

Arahan turut melibatkan warga emas tanpa mengira jenis vaksin pertama dan kedua.

Categories
AGENDA NASIONAL

PPV integrasi sedia dos penggalak Sinovac mulai 14 Februari

SHAH ALAM, 12 FEB: Vaksin Sinovac bagi dos penggalak disediakan di semua pusat pemberian vaksin (PPV) integrasi (offsite) bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mulai Isnin.

Suntikan tanpa janji temu terbuka kepada individu yang lengkap dua dos vaksin dengan menyemak senarai PPV melalui pautan www.protecthealth.com.my, maklum ProtectHealth Corporation Sdn Bhd.

“Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih mengesyorkan dos penggalak jenis Pfizer untuk penerima Sinovac kerana ia menawarkan tahap perlindungan lebih tinggi,” kata agensi itu.

Pada 7 Februari, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan penerima dos utama Sinovac (dos pertama dan kedua) dibenar mengambil vaksin sama sebagai dos penggalak.

Menurut laporan media, seramai 3.5 juta penerima vaksin Sinovac belum mengambil suntikan penggalak.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi 03-86872525 atau emel [email protected].

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Hasil kajian bukti dos penggalak heterologous tawar lebih perlindungan

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Dos penggalak heterologous (vaksinasi primer Sinovac diikuti dos penggalak Pfizer) menawarkan lebih perlindungan terhadap jangkitan berbanding dos penggalak homologous (tiga dos vaksin Sinovac) dalam kalangan penerima Sinovac, menurut Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) Kementerian Kesihatan (KKM).

Menyangkal dakwaan Pharmaniaga Berhad berhubung keberkesanan lebih rendah penggalak heterologous dalam kalangan penerima vaksinasi primer Sinovac terhadap Omicron, ICR berkata fakta dan bukti sedia ada telah disalah tafsir.

“Di peringkat global, terdapat bukti yang konsisten dan baru muncul bahawa vaksinasi penggalak heterologous menghasilkan tindak balas imun yang lebih kuat dan efektif berbanding penggalak homologous bagi penerima primer vaksin tidak aktif (Sinovac).

“Selari dengan bukti baru muncul dan gelombang Omicron yang sedang berlaku, KKM terus mengesyorkan Pfizer atau AstraZeneca sebagai dos penggalak pilihan untuk penerima vaksin Sinovac,” menurut ICR dalam kenyataan, semalam.

Kenyataan itu menyebut di Malaysia, kajian Program Keberkesanan Dunia Sebenar Vaksin COVID-19 di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan menggunakan data dari 21 Nov 2021 hingga 7 Jan 2022, bagi membandingkan kadar jangkitan dalam kalangan penerima dos penggalak dan individu yang hanya melengkapkan vaksinasi primer.

“Analisis itu adalah berdasarkan data sebenar iaitu merangkumi 13 juta penduduk yang telah menerima vaksinasi primer Pfizer dan Sinovac.

“Selepas mengambil kira perancu, mereka yang baru sahaja menerima dos penggalak berdepan kemungkinan sekurang-kurangnya 90 peratus untuk tidak dijangkiti COVID-19 berbanding individu yang hanya mengambil dua dos vaksin,” katanya.

Merujuk kajian yang dijalankan di beberapa negara sebagai contoh, ICR turut menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai keberkesanan dos penggalak heterologous bagi vaksinasi primer Sinovac.

“Kajian yang dijalankan di Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong menunjukkan bahawa dua dos Sinovac disusuli dos penggalak Pfizer heterologous berupaya meningkatkan paras antibodi peneutralan terhadap varian Omicron selepas tiga hingga lima minggu menerima dos penggalak.

“Bagaimanapun, tiga dos Sinovac gagal untuk mengeluarkan antibodi peneutralan yang bertindak balas terhadap Omicron bagi kebanyakan penerima.

“Dalam satu lagi kajian di Brazil, dos penggalak heterologous (dengan AstraZeneca, Janssen dan Pfizer) menyaksikan tindak balas imun yang lebih baik berbanding dos penggalak homologous dengan dos penggalak Sinovac sekali gus berpotensi memberi perlindungan lebih utuh,” katanya.

Menurut ICR, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan menyebut rejim dos penggalak homologous mahupun heterologous secara imunologinya adalah berkesan.

“Satu pracetak daripada kajian di Chile mendapati keberkesanan vaksin yang diubah suai ke atas jangkitan COVID-19 bergejala adalah 78.8 peratus bagi tiga dos Sinovac, 96.5 peratus bagi dos penggalak Pfizer (menyusuli dua dos Sinovac) dan 93.2 peratus bagi dos penggalak AstraZeneca (menyusuli dua dos Sinovac).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penerima Sinovac boleh ambil dos penggalak jenis sama – Khairy

PUTRAJAYA, 7 FEB: Penerima vaksin dos primer Sinovac kini boleh menerima jenama vaksin yang sama sebagai dos penggalak, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Katanya, ia berikutan keengganan segelintir penerima vaksin Sinovac menerima suntikan dos campuran Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca.

“Walaupun KKM (Kementerian Kesihatan) masih berpandangan bahawa kita lebih galakkan mereka terima Pfizer atau AstraZeneca, tetapi mana-mana dos penggalak lebih baik daripada tiada dos penggalak langsung,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di sini, hari ini.

Sebagai analoginya, beliau berkata KKM menyarankan individu mengembara ke tempat musim sejuk dan memberi kot percuma tetapi mereka enggan menerimanya dan hanya memakai kemeja-T sahaja.

“Okaylah, kemeja-T itu lebih baik daripada mereka tidak pakai apa-apa, jadi kita akan beri mereka pilihan,” katanya menambah bahawa sehingga kini terdapat 3.5 juta penerima vaksin primer Sinovac masih belum mendapat (dos) penggalak mereka lagi dan KKM akan mengeluarkan janji temu bagi dos penggalak,” katanya.

Menurut Khairy lagi, sijil vaksinasi penerima dos primer Sinovac dalam aplikasi MySejahtera juga akan bertukar menjadi putih sekiranya individu berkenaan tidak mendapatkan dos penggalak sebelum Mac ini.

“Jika mereka tidak mendapatkan dos penggalak pada Februari ini, sijil vaksinasi kuning mereka akan bertukar menjadi putih mulai 1 Mac,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengulangi peringatan agar semua penduduk berusia 60 tahun dan ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac 2022.

Mengenai bekas pesakit Covid-19 yang dibenarkan pulang dari pusat kuarantin dan kebolehjangkitan virus sekiranya berada dalam ruang kenderaan yang terhad, Khairy berkata kesannya adalah sangat minimum.

“Sangat-sangat minimum (kebolehjangkitan). Sebaik sahaja anda keluar dari PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19), anda adalah negatif (daripada wabak itu),” katanya menyarankan agar mengelakkan sentuhan pada individu dalam kenderaan.

Mengenai kesan advers susulan imunisasi (AEFI) berkaitan dos penggalak, Khairy berkata Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan mengeluarkan laporan mingguan kes dan kategori AEFI untuk orang ramai menyemak maklumat atau kes tular di media sosial seterusnya memberi keyakinan kepada mereka mendapatkan dos penggalak.

Beliau berkata secara keseluruhan, Sistem Pelaporan AEFI NPRA telah menerima 24,788 laporan AEFI termasuk 1,004 laporan melibatkan dos penggalak vaksin Covid-19 sehingga 31 Jan lepas.

“Kadar pelaporan AEFI bagi dos penggalak direkodkan pada 84 bagi setiap satu juta dos berbanding kadar pelaporan AEFI keseluruhan 390 per satu juta dos.

Laporan untuk AEFI bagi dos penggalak secara berkadaran adalah jauh lebih kurang (rendah) berbanding dos primer. Ini terpaksa saya bangkitkan kerana sekarang ini berlaku banyak tuduhan mengatakan dos penggalak telah menyebabkan kesan advers yang serius,” katanya.

Beliau berkata daripada jumlah laporan AEFI bagi dos penggalak, 64 laporan diklasifikasikan sebagai serius bersamaan kadar lima laporan bagi setiap satu juta dos.

Katanya, jumlah itu jauh lebih rendah berbanding laporan AEFI serius yang diterima bagi keseluruhan termasuk dos pertama dan kedua, iaitu pada kadar 27 laporan bagi setiap satu juta dos.

“Majoriti AEFI yang dilaporkan adalah ringan dan biasanya akan pulih dalam tempoh masa beberapa hari sahaja. Trend ini adalah setara dengan pelaporan yang diterima bagi dos primer tetapi dengan kadar pelaporan yang lebih rendah untuk dos penggalak,” katanya.

Beliau berkata kadar pelaporan ISRR (Immunisation stress-related reaction) bagi dos penggalak lapan kali lebih rendah berbanding dengan dos pertama dan tiga kali lebih rendah berbanding dengan dos kedua.

Khairy berkata laporan pemantauan kesan advers di negara rujukan lain seperti Amerika Syarikat dan Australia menunjukkan penemuan sama dengan Malaysia iaitu tiada perubahan trend pelaporan kesan advers yang dilaporkan semasa pemberian dos penggalak berbanding dos primer.

Selain itu, beliau memaklumkan pelaporan AEFI melibatkan kanak-kanak setakat hari ini adalah sifar daripada hampir 18,000 dos vaksin yang diberikan.

Mengenai pelaporan AEFI bagi pemberian lebih 5.6 juta dos vaksin kepada remaja berumur 12 tahun sehingga 17 tahun, beliau berkata sebanyak 74 pelaporan AEFI serius iaitu 0.013 per seribu dos dan kebanyakan kes itu telah pulih.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Menteri: Elak sijil vaksin terbatal, penerima Sinovac mesti ambil dos penggalak

SHAH ALAM, 7 FEB: Penerima dua dos vaksin Sinovac diminta segera mengambil dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac 2022.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin berkata mereka boleh mendapatkan suntikan itu secara terus di mana-mana pusat pemberian vaksin berhampiran.

“Semua penduduk berusia 60 tahun dan ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac 2022.

“Kementerian Kesihatan amat mengalakkan penduduk mendapatkan dos penggalak dengan seberapa segera bagi melindungi diri, keluarga dan negara terutama dengan peningkatan kes yang mendadak berkaitan dengan varian Omicron,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Menurut beliau, daripada 32,034 kematian sehingga 6 Februari 2022, sebanyak 18,362 atau 57.32 peratus melibatkan warga emas.

“Risiko jangkitan teruk juga adalah lebih tinggi dalam kalangan warga emas. Setakat ini lebih kurang 32 peratus atau satu juta warga emas masih belum mengambil dos penggalak,”katanya.

Hari ini, Malaysia merekodkan sebanyak 11,034 kes, angka itu tertinggi setakat ini.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kajian: Tiga dos vaksin Sinovac berkesan terhadap Omicron

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Data penyelidikan terbaharu diterbitkan Sinovac Biotech Ltd menunjukkan bahawa tiga dos vaksin Sinovac Covid-19 menghasilkan antibodi peneutral lebih tinggi dalam 95 peratus penerima berbanding 3.3 peratus pada dos kedua terhadap varian yang dibimbangi (VOC), termasuk Omicron.

Jurucakap Sinovac Biotech Ltd Pearson Liu dalam kenyataan dikeluarkan Pharmaniaga Berhad hari ini berkata penyelidikan itu memberi jaminan bahawa vaksin tidak aktif, iaitu antara vaksin paling banyak digunakan di seluruh dunia, kekal berkesan memerangi Covid-19.

“Ketika dunia sedang berusaha memerangi kemunculan varian baharu Covid-19, hasil penyelidikan ini menyokong regimen imunisasi tiga dos bagi memastikan perlindungan yang lebih baik terhadap Covid-19, sekali gus ia selari dengan nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pihak berkuasa kesihatan tempatan di seluruh dunia bagi semua jenis vaksin Covid-19,” katanya.

Pharmaniaga adalah pembekal tunggal vaksin Sinovac di Malaysia.

Menurut kenyataan itu, penyelidikan tersebut yang dikongsikan di jurnal perubatan bioRxiv, telah dijalankan di China dengan memeriksa tindak balas imun CoronaVac (Sinovac) ke atas 120 peserta.

Dalam penyelidikan yang dijalankan dalam kalangan peserta yang telah menerima tiga dos CoronaVac, para penyelidik mengasingkan 323 antibodi monoklonal manusia (antibodi yang dibuat dengan mengklonkan sel darah putih yang unik), yang menyasarkan pelbagai kawasan virus bagi pembunuhan yang berkesan.

Kenyatan itu menyebut daripada 323 antibodi tersebut, lebih 300 antibodi menunjukkan aktiviti pembunuhan yang memadai ke atas kebanyakan VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI), dan penyelidikan juga menunjukkan majoriti antibodi tersebut mempunyai keupayaan untuk bertindak balas dengan domain pengikat reseptor (RBD) Omicron.

Ia menambah kira-kira sedozen antibodi menunjukkan kesan peneutralan langsung dan sangat kuat untuk varian Omicron, dengan antibodi tersebut melaksanakan peneutralannya dengan menyekat secara terus interaksi antara virus dan sel manusia.

“Ini membuktikan bahawa dos penggalak vaksin Sinovac Covid-19 akan mengaktifkan sel T terhadap varian Omicron, dengan cara yang sama dengan strain asal,” menurut kenyataan itu.

Pharmaniaga Berhad ialah syarikat farmaseutikal terkemuka milik kumpulan syarikat Boustead Holdings Berhad dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera, yang kedua-duanya merupakan pemegang saham utama.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penerima Pfizer, AstraZeneca disaran ambil dos penggalak selepas tiga bulan

SHAH ALAM, 28 DIS: Kerajaan menyarankan individu yang menerima vaksin Pfizer dan AstraZeneca sekurang-kurangnya tiga bulan lalu mengambil dos penggalak.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata suntikan dos penggalak disyorkan kepada golongan warga emas, dewasa dan mempunyai penyakit kronik.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan sebahagian penduduk mula menerima dos penggalak pada Januari dan Februari depan. Keutamaan janji temu suntikan dibuat mengikut turutan umur dan status kesihatan.

“Kita akan buka lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) dan klinik kesihatan swasta bagi pemberian dos penggalak sama seperti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata KKM mengutamakan dos penggalak jenis vaksin Pfizer dan Astrazeneca manakala jenis Sinovac diberikan jika individu berkenaan mempunyai masalah kesihatan.

Mengulas lanjut, katanya hasil kajian awal melibatkan 21 juta pemberian dos penggalak di United Kingdom menunjukkan data keselamatan yang amat meyakinkan.

“Justeru, badan regulatori seperti di United Kingdom, Kanada dan Australia serta panel pakar kesihatan kini mengesyorkan sela masa bagi vaksinasi dos penggalak boleh diberi seawal tiga bulan selepas menerima vaksin primer,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kumpul 663 sampel kajian kesesuaian Sinovac terhadap kanak-kanak

SIBU, 11 DIS: Kementerian Kesihatan (KKM) mengumpul 663 sampel di seluruh negara untuk kajian bagi menentukan sama ada vaksin Sinovac sesuai diberikan kepada golongan kanak-kanak berusia tiga hingga 11 tahun dalam pencegahan penularan Covid-19 sebelum kelulusan dikeluarkan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Aaron Dagang berkata kajian tersebut yang ditaja oleh Sinovac Life Sciences Company Limited, China diadakan di sembilan hospital termasuk Hospital Sibu dan Hospital Miri di Sarawak dan melibatkan 2,000 kanak-kanak.

Menurutnya, dapatan awal kajian tersebut boleh diperoleh antara tempoh enam bulan hingga setahun dan daripada jumlah sampel itu sebanyak 508 adalah dari Sarawak.

“Sasaran kajian itu memerlukan 2,000 sampel. Malaysia perlu membuat kajian sendiri terlebih dahulu walaupun sudah ada dapatan kajian sama dari negara-negara lain. Kita amat berhati-hati sebelum meluluskan penggunaan vaksin ini kepada kanak-kanak berusia tiga hingga 11 tahun di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan kajian yang dijalankan di Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) Hospital Sibu hari ini.

Beliau berkata kajian serupa juga telah dibuat sebelum kelulusan penggunaan bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun sebelum ini dikeluarkan oleh kerajaan.

Aaron berkata setiap kanak-kanak yang terlibat dalam kajian tersebut akan menjalani penilaian tahap kesihatan terlebih dahulu untuk menentukan mereka sihat, dan mereka juga akan menjalani ujian tahap antibodi sebelum dan selepas vaksin.

Pada sidang media sama, Ketua CRC Hospital Sibu Dr Toh Teck Hock berkata sasaran sampel yang perlu diambil Hospital Sibu ialah 410 sampel dan keputusan dapatan awal boleh diperoleh dalam tempoh lebih kurang enam bulan.

Beliau berkata setiap kanak-kanak yang menyertai kajian tersebut juga akan menjalani pemeriksaan menyeluruh dilakukan oleh pakar kanak-kanak.

Katanya, kajian di Hospital Sibu akan dilakukan secara berterusan dan kanak-kanak yang terlibat juga akan dipantau setiap minggu.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Hospital Sibu Dr Rachel Teng Li Chin.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM pertimbang Sinovac, AstraZeneca sebagai dos penggalak

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mempertimbangkan vaksin Sinovac dan AstraZeneca digunakan untuk suntikan dos penggalak, kata menteri berkenaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata perkara itu sedang dibincangkan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dalam mesyuarat yang sedang dipengerusikan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Antara agenda dalam mesyuarat ini adalah akan mempertimbangkan Sinovac dan AstraZeneca sebagai dos penggalak dan apabila PBKD membuat keputusan saya akan umumkan dasar kita,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau membangkitkan perkara itu bagi menjawab celahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (HARAPAN-Bandar Kuching) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk membolehkan vaksin Sinovac diberikan sebagai dos penggalak terutama kepada penerima vaksin jenis itu.

Bagi mempercepatkan pelaksanaan pemberian suntikan dos penggalak di negara ini, Khairy berkata KKM akan mengembalikan beberapa pusat pemberian vaksin untuk tujuan itu, selain penggunaan klinik-klinik swasta serta perubatan awam.

Menyentuh isu moratorium terhadap kesalahan percubaan bunuh diri, Khairy berkata KKM menyediakan Memorandum Jemaah Menteri berhubung hal itu di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan (KK).

“Memorandum ini memohon Jemaah Menteri untuk meluluskan tempoh moratorium segera iaitu tiada sebarang dakwaan sabitan di bawah Seksyen 309 KK bagi kes percubaan bunuh diri sehingga pemansuhan atau pindaan seksyen itu dilaksanakan di Parlimen.

“Memorandum ini telah dipersetujui oleh pihak pengurusan kementerian (KKM) dan dalam semakan unit kabinet KKM untuk dikemukakan pada jemaah menteri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata KKM akan menilai semula Garis Panduan Pelaksanaan Perintah Fi (Perubatan) (Kos Perkhidmatan) 2014 kepada golongan kanak-kanak bawah 18 tahun bukan warganegara yang ibu atau bapanya merupakan warganegara atau pemastautin tetap, dalam masa terdekat.

“Berdasarkan garis panduan ini, kanak-kanak berumur 18 tahun dan ke bawah layak diberikan perkhidmatan kesihatan di fasiliti KKM pada kadar caj warganegara sekiranya bapa atau ibunya adalah seorang warganegara atau pemastautin tetap di Malaysia.

“Buat masa ini, kelayakan ini adalah tertakluk kepada pembuktian dokumen status taraf kewarganegaraan Malaysia kanak-kanak itu seperti dokumen sijil kelahiran Malaysia atau kad pengenalan MyKid atau MyKad yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Utama dos penggalak kepada golongan berisiko dijangkiti wabak

KLANG, 24 OKT: Penerima vaksin jenis Sinovac di bawah program Vaksin Selangor (Selvax) boleh mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19 jenis Comirnaty (Pfizer-BioNTech), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari bagaimanapun mencadangkan pemberian dos penggalak itu diberi kepada golongan rentan, warga emas dan petugas barisan hadapan yang berdepan risiko jangkitan wabak.

Menurutnya, kesan sampingan mungkin membabitkan kelompok awal penerima vaksin tetapi data di luar negara menunjukkan keberkesanan mencapai sehingga 87 peratus dan penggunaannya turut disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mereka yang ingin dos penggalak boleh dapatkan secara percuma di program suntikan yang dilaksanakan kerajaan pusat, setiap vaksin mempunyai selang waktu sehingga enam bulan sebelum keberkesanannya berkurang.

“KKM putus untuk beri kepada penerima Sinovac, tetapi bagi saya lebih baik suntik golongan rentan, warga emas, doktor dan barisan hadapan terlebih dahulu,” katanya selepas meninjau hari pertama Selvax Remaja di Dewan Serbanguna Majlis Perbandaran Klang Pandamaran Jaya di sini, hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Pemberian vaksin Sinovac kepada remaja dilulus KKM

KLANG, 24 OKT: Dato’ Menteri Besar menjelaskan pemberian vaksin Sinovac di bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja dibenarkan secara bersyarat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mengikut keputusan Kerajaan Pusat suntikan pelalian jenis itu boleh diberikan kepada individu berusia 12 hingga 17 tahun yang tidak mempunyai penyakit kronik.

Menurutnya, penerima suntikan Selvax Remaja diperiksa doktor untuk mengetahui status kesihatan mereka serta diberi penerangan bersama ibu bapa.

“Doktor akan bertanya soalan-soalan relevan sebelum mereka menerima vaksin,” katanya selepas meninjau hari pertama Selvax Remaja di Dewan Serbanguna Majlis Perbandaran Klang Pandamaran Jaya di sini, hari ini.

Beliau mengulas pemberian vaksin Sinovac kepada peserta Selvax Remaja manakala vaksin jenis Comirnaty (Pfizer-BioNTech) di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Pada 1 Oktober lalu, mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-364 meluluskan penggunaan vaksin Sinovac kepada remaja berumur 12 tahun ke atas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan PKBD  menyarankan penggunaan Sinovac dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun buat masa ini diutamakan kepada remaja tanpa komorbiditi.

Selain itu Sinovac turut diberikan kepada individu mempunyai masalah alahan atau tidak sesuai untuk menerima Pfizer.