Categories
AGENDA NASIONAL

Dos penggalak Pfizer diberi kepada penerima vaksin Sinovac mulai esok

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melanjutkan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 jenis Comirnaty (Pfizer-BioNTech) kepada individu yang telah lengkap dos vaksin Sinovac, sekurang-kurangnya selepas tiga bulan penerimaan dos kedua vaksin itu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pemberian dos penggalak secara heterologous itu adalah secara penggunaan off-label dan akan diberikan kepada penerima vaksin Sinovac yang layak mulai esok secara berfasa di seluruh negara.

“Sebagai permulaan, dos penggalak ini akan diberikan kepada individu berumur 60 tahun ke atas berdasarkan saranan Strategic Advisory Group of Expert (SAGE) on Immunisation daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang bersidang pada 4 hingga 7 Okt lepas.

“Pemberian itu akan dijadikan sebagai cabang kajian dalam kajian The Real World Evaluation of Covid-19 Vaccination (RECoVaM) dan kajian kesan serius selepas vaksinasi (SAFECOVAC), iaitu bagi semua penerima dos penggalak,” katanya pada sidang media hari ini.

Khairy berkata pemberian dos penggalak itu dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan objektif memastikan tempoh perlindungan optimum kepada penerima vaksin Covid-19 di Malaysia.

Katanya inisiatif itu akan diterajui oleh pengamal perubatan swasta di bawah penyelarasan Protect Health Corporation Sdn Bhd.

“Individu yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera dan melalui pesanan ringkas kepada nombor telefon yang berdaftar bagi individu yang tidak mempunyai MySejahtera.

“Kaedah janji temu pemberian dos penggalak akan ditambah baik dari semasa ke semasa dan tidak lama lagi penerima vaksin boleh membuat janji temu melalui sistem yang sedang dibangunkan oleh KKM,” katanya.

Terdahulu Menteri Kesihatan itu berkata pelaksanaan pemberian dos penggalak telah dimulakan di seluruh negara pada 13 Okt lepas menggunakan vaksin Comirnaty, melibatkan seramai 47,728 penerima setakat 19 Okt lepas.

Beliau berkata ketika ini pemberian dos penggalak diberikan kepada penerima vaksin Comirnaty sekurang-kurangnya enam bulan yang lepas dengan keutamaan kepada anggota barisan hadapan (kesihatan dan keselamatan), warga emas berusia 60 tahun dan ke atas dan individu dengan komorbid.

Mengenai situasi pandemik bagi minggu epid ke-41 (10 hingga 16 Okt), Khairy berkata jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) awam bagi Zon Tengah (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya) mula menunjukkan tren meningkat selepas kebenaran merentas negeri diberikan pada 11 Okt lepas.

Beliau berkata situasi sama turut berlaku di Sarawak, terutamanya bagi pesakit kategori tiga, empat, dan lima, selepas kebenaran rentas negeri diberikan.

“Begitu juga trend kemasukan pesakit Covid-19 kategori tiga, empat, dan lima ke hospital awam di Zon Selatan, dengan Negeri Sembilan mula menunjukkan trend meningkat bermula minggu epidemik ke-40,” katanya.

Sementara itu, Khairy turut mengumumkan pelancaran Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan yang akan menelitikan strategi ujian untuk Covid-19 yang lebih jelas seperti konteks apa yang diperlukan untuk melakukan ujian Covid-19.

Katanya dokumen itu akan dimuat naik di dalam laman sesawang KKM pada pagi esok.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bantu penerima Sinovac dapatkan dos penggalak bagi tunai umrah

SHAH ALAM, 20 OKT: Lembaga Tabung Haji memohon kerajaan membantu penerima vaksin Sinovac mendapatkan dos penggalak bagi membolehkan mereka menunaikan umrah.

Ia berikutan kerajaan Arab Saudi hanya memperakui dan membenarkan kemasukan jemaah yang mengambil suntikan Pfizer dan AstraZeneca, kata ketua pegawai eksekutif TH Travel and Services Sdn Bhd.

“Mewakili jemaah umrah, saya mengharapkan pertimbangan pihak berwajib atas ruang yang ada bagi membolehkan mereka (penerima vaksin Sinovac) mendapat dos penggalak.

“Isu vaksinasi menyebabkan mereka tidak layak dan gagal menetapkan tarikh menunaikan umrah kerana masih tertunggu kebenaran Arab Saudi,” kata Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali seperti dilapor Harian Metro.

Beliau berkata ramai individu berusia bawah 60 tahun berhasrat menunaikan umrah tetapi tidak memenuhi kelayakan kerana keutamaan dos penggalak untuk berstatus komorbid atau berisiko tinggi.

“Kerajaan ada pilihan lain, mungkin mempertimbang ruang kepada swasta dan bayar dengan harga munasabah untuk pemberian dos penggalak,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia meluluskan dos penggalak vaksin Pfizer membabitkan warga emas dan petugas hadapan yang menerima dos lengkap sekurang-kurangnya enam bulan lalu.

Setakat semalam, sebanyak 32,121 dos penggalak vaksin Covid-19 diberikan di seluruh negara.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Sinovac boleh diberi kepada remaja 12 tahun ke atas

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin CanSino, Sinovac untuk enam negeri dengan kadar suntikan bawah 50 peratus

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Vaksin dos tunggal CanSino dan Sinovac akan digunakan bagi meningkatkan vaksinasi di enam negeri yang masih mempunyai kadar vaksinasi populasi dewasa lengkap kurang daripada 50 peratus.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Datuk Seri Dr Adham Baba berkata Malaysia membeli 3.5 juta dos vaksin CanSino dengan kumpulan pertama 200,000 dos berkenaan telah diterima dan diedar ke negeri-negeri yang kadar vaksinasi rendah.

Katanya 300,000 dos CanSino akan diterima bulan depan bagi mempercepatkan proses mencapai imuniti kelompok.

“Vaksin CanSino ini boleh digunakan untuk kawasan yang sukar diakses, tempat terpencil dan bagi penduduk kawasan yang sukar mendapatkan dua dos,” katanya selepas lawatan kerja pertamanya ke kilang isi dan selesai Solution Biologics Sdn Bhd (SolBio) bagi vaksin Convidicea CanSino di Bukit Jalil hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam memberikan tempoh sehingga akhir bulan depan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Mosti memastikan enam negeri mencapai kadar vaksinasi Covid-19 melebihi 50 peratus pada akhir bulan depan.

Setakat semalam, enam negeri yang mencatatkan vaksinasi kurang daripada 50 peratus itu adalah Perak (46.9 peratus), Terengganu (46.8 peratus), Johor (46.1 peratus), Kedah (44.2 peratus), Kelantan (43.9 peratus) dan Sabah (38 peratus).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelayan restoran pilih vaksin Selangor kerana mahu disuntik Sinovac

HULU SELANGOR, 8 OGOS: Seorang pelayan restoran memilih program Vaksin Selangor (Selvax) kerana mahu mendapat suntikan jenis Sinovac.

Tan Sock Hian, 31, berkata beliau memilih vaksin jenis itu kerana mendakwa kesan selepas suntikan tidak seteruk jenis lain.

Tan Sock Hian

“Saya memang mahu Sinovac kerana kawan-kawan yang telah vaksin cakap ia lagi bagus kerana yang dapat vaksin jenis lain ada yang demam, sakit kepala.

“Jadi bila saya nampak hebahan tulis ada Sinovac terus saya daftar,” katanya ketika ditemui di Selvax Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali Dewan Dato Abdul Hamid hari ini.

Buruh warga Indonesia, Siti Maimunah Ansuri, 20, pula berkata beliau mahu pulang ke negara asal dan mengharapkan lebih ramai yang menerima vaksin di Malaysia bagi mempercepat imuniti kelompok.

Siti Maimunah Ansuri

“Dua tahun lalu saya datang dan kemudian Covid-19 melanda seluruh dunia terus saya tidak dapat balik ke Jawa Timur.

“Vaksin ini adalah salah satu ubat, keluarga saya di Indonesia juga divaksin jadi kita kena berusaha untuk bagi semuanya pulih seperti sedia kala,” katanya.

K Ramana

Manakala orang kelainan upaya (OKU) fizikal, K Ramana, 45, berkata beliau menerima vaksin kerana mahu memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk bermula dari keluarganya.

“Empat orang anak dan isteri saya telah pun terima vaksin cuma saya sahaja yang belum menerimanya sebelum ini.

“Saya gembira walaupun lambat masih dapat bukan tidak pernah daftar tetapi sehingga kini masih belum dipanggil,” katanya.

Pada 30 Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.

Program itu bakal memanfaatkan 1.25 juta penduduk di Selangor yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin mana yang lebih bagus lawan Covid-19, Sinovac atau Pfizer?

SHAH ALAM, 23 JULAI: Semua vaksin selamat dan berkesan melawan virus Covid-19 tetapi tahukah anda, mana yang lebih baik: Sinovac atau Pfizer?

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan kelebihan dua vaksin tersebut seperti berikut:

– Sinovac boleh mengurangkan jangkitan sebanyak 65.9 peratus, sementara Pfizer pula 64 peratus

– Sinovac berjaya mengurangkan kemasukan ke hospital sebanyak 87.5 peratus, sementara Pfizer pula lebih baik, 93 peratus

– Sinovac boleh mengurangkan kemasukan ke unit rawatan rapi 90.3 peratus, sementara Pfizer pula 93 peratus

– Sinovac mampu mencegah kematian sehingga 86.3 peratus, sementara KKM tiada maklumat tentang keupayaan Pfizer

KKM menegaskan semua vaksin yang diluluskan untuk digunakan di negara ini adalah selamat dan berkesan.

“Vaksin yang paling bagus adalah vaksin paling awal yang ditawarkan kepada anda,” kata kementerian melalui Facebooknya hari ini.

“Pengambilan vaksin untuk melindungi komuniti daripada penyakit Covid-19 yang teruk adalah prioriti sekarang.”

Categories
AGENDA NASIONAL

14 juta dos Sinovac boleh dibeli syarikat swasta, negeri berminat

SHAH ALAM, 21 JULAI: Sebanyak 14 juta dos vaksin Sinovac akan dijual Pharmaniaga Bhd kepada syarikat swasta dan negeri yang berminat mulai bulan ini sehingga September, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata penjualan vaksin secara terus kepada pihak yang berminat itu telah mendapat kebenaran Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dan diyakini akan mempercepatkan lagi usaha mencapai imuniti kelompok lebih awal daripada yang dirancang.

“Negeri-negeri juga ada berminat mahu beli secara terus, sebagai contoh Selangor telah lama meminta menjual terus kepada mereka tetapi Jawatankuasa ini mempunyai jadual program mereka sendiri, sebab itulah kita belum boleh berikan terus,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu Ismail Sabri menyaksikan penyerahan kelompok dos terakhir vaksin Sinovac kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba selaku wakil kerajaan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Datuk Zulkarnain Md Eusope.

Beliau berkata Pharmaniaga telah berjaya membekalkan 12 juta dos vaksin Sinovac empat setengah bulan lebih awal daripada jadual kontrak asal dan pada 19 Julai lepas, kerajaan telah bersetuju untuk pembelian dua juta dos Sinovac lagi, bagi menampung Operasi Lonjakan Kapasiti.

Ismail Sabri berkata senarai syarikat dan negeri yang memohon untuk pembelian vaksin itu akan dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk semakan.

“Mereka boleh membuat tempahan sekarang terus kepada Pharmaniaga, dan akan dirujuk kepada JKJAV kerana nama-nama penerima yang disenarai mungkin duplikasi ataupun telah menerima vaksin,” katanya.

Mengenai kelonggaran yang bakal diberikan kepada mereka yang telah lengkap dua dos vaksin Covid-19, Ismail Sabri berkata perkara itu masih dalam penelitian secara mendalam oleh kerajaan.

“Kemungkinan satu daripada syarat yang kami nak benarkan untuk kilang beroperasi semula adalah apabila pekerja mereka lebih 80 peratus telah lengkap dua dos vaksinasi, dan apabila kami boleh jual terus vaksin ini kepada kilang-kilang ini, saya percaya bolehlah mereka dibenarkan untuk memohon kebenaran membuka kilang mereka.

“Kami percaya walaupun dua dos telah diberikan namun Kementerian Kesihatan menganggap masih tidak selamat sepenuhnya tetapi sekurang-kurangnya dua dos berserta syarat-syarat lain seperti membuat ujian saringan setiap dua minggu dan sebagainya itu boleh membantu, tapi perkara itu masih dibincangkan lagi,” katanya.

Menurut Ismail Sabri pihak kerajaan juga menerima pelbagai saranan kelonggaran termasuk bagi pasangan jarak jauh yang telah lengkap divaksinasi dibenar merentas daerah atau negeri namun ada juga berpendapat masanya belum sesuai kelonggaran seperti itu diberikan.

“Ada juga pandangan agar membuka perniagaan atau industri yang tidak pernah ada kluster atau memberi kebenaran kepada pelanggan yang lengkap divaksinasi untuk makan di kedai, itu antara pandangan yang kami terima dan sedang dikaji,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sinovac, Pfizer sama berkesan rawat Covid-19, kurangkan kadar kematian

KUALA LUMPUR, 20 JULAI: Data perubatan mengenai penggunaan vaksin menunjukkan vaksin Sinovac dan Pfizer sama berkesan dalam melawan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam catatan Facebook hari ini, Dr Noor Hisham berkata pada 7 Julai, New England Journal of Medicine menerbitkan laporan mengenai pengalaman Sinovac di Chile mulai Februari hingga Mei 2021 yang melibatkan 4.2 juta individu diberi vaksin sepenuhnya berbanding 5.5 juta penduduk yang tidak diberi vaksin.

“Sinovac didapati boleh mengurangkan jangkitan Covid-19 sebanyak 65.9 peratus, mengurangkan rawatan di hospital sebanyak 87.5 peratus, mengurangkan jumlah pesakit ditempatkan unit rawatan rapi (ICU) sebanyak 90.3 peratus dan mengurangkan kadar kematian sebanyak 86.3 peratus,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata ujian Pfizer sebaliknya yang melaporkan keberkesanan 95 peratus adalah sangat kecil dan hanya menganalisis 170 kes Covid-19 melibatkan sekumpulan lapan individu yang divaksinasi dan 162 orang yang tidak divaksinasi.

Oleh itu, beliau berkata tidak banyak perbezaan antara vaksin Sinovac dan Pfizer dalam penggunaannya.

“Kedua-duanya sangat berkesan untuk mencegah penyakit yang teruk dan dimasukkan ke hospital, tetapi kurang efektif untuk melawan Covid-19 bergejala ringan atau tanpa gejala,” tambahnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Khairy: Pembekalan vaksin Sinovac selesai, tiada kaitan soal keberkesanan

PUTRAJAYA, 17 JULAI: Pemberhentian pemberian vaksin Sinovac dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah kerana pembekalannya telah selesai dan tiada kaitan dengan soal keberkesanannya, kata Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Pharmaniaga Bhd telah selesai membekalkan 12 juta dos vaksin keluaran China itu lebih awal daripada jadual asal kepada kerajaan.

“Kami akan menerima keseluruhan penghantaran (vaksin Sinovac) pada hujung bulan ini,” kata Khairy yang menolak spekulasi pemberhentian vaksin Sinovac dalam PICK berkaitan dengan soal keberkesanannya.

Pharmaniaga dalam kenyataan medianya memaklumkan proses pembekalan vaksin Sinovac untuk PICK telah selesai dengan kelompok dos terakhir akan dibekalkan pada 21 Julai ini. Kontrak Pharmaniaga adalah membekalkan sebanyak 12 juta dos vaksin Sinovac secara pengisian dan pembotolan dalam tempoh tujuh bulan iaitu antara Mei dan November 2021.

Khairy dalam sidang media perkembangan PICK secara maya bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini berkata kerajaan memutuskan untuk menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech bagi PICK mulai bulan depan manakala stok simpanan Sinovac hanya dikhususkan untuk mereka yang mempunyai alahan terhadap vaksin lain.

“Untuk tujuan itu, kerajaan telah menempah tiga juta dos vaksin Sinovac untuk dijadikan stok simpanan. Tempahan ini akan diterima akhir Julai atau awal Ogos ini,” katanya.

Sehingga kini, negara telah menerima 6.66 juta bekalan vaksin jenis Pfizer-BioNTech termasuk kira-kira satu juta dos yang disumbangkan oleh kerajaan Amerika Syarikat baru-baru ini.

Mengenai laporan media antarabangsa berhubung sekatan eksport vaksin AstraZeneca yang dikilangkan di Thailand, Khairy berkata beliau akan mengadakan perbincangan secara dua hala dengan negara jiran itu bagi memastikan tiada gangguan bekalan vaksin berkenaan ke Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, negara telah bersiap sedia dengan pelan alternatif sekiranya kerajaan Thailand menyekat eksport bekalan vaksin AstraZeneca keluaran negara Gajah Putih itu.

“Kami mempunyai pelan B iaitu meningkatkan pembelian vaksin Sinovac kerana kita sudah mempunyai fasiliti secara pengilangan di Malaysia (Pharmaniaga). Jadi Pharmaniaga tahu jika ada sebarang keperluan mendesak, kita akan memaklumkan kepada mereka untuk membekalkan kepada kerajaan Persekutuan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Arab Saudi iktiraf Sinovac, penerima vaksin boleh tunai haji, umrah

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Kerajaan Arab Saudi telah memasukkan Sinovac dalam senarai vaksin yang diterima bagi memasuki negara itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata orang ramai boleh menyampaikan berita gembira itu kepada ahli keluarga yang berniat untuk menunaikan ibadah haji dan umrah pada masa akan datang.

“Sama-Sama kita doakan urusan jemaah haji Malaysia yang diluluskan untuk menunaikan haji pada tahun ini dipermudahkan Allah SWT,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi beliau.

Zulkifli turut berkongsi pautan ke laman sesawang Kementerian Kesihatan Arab Saudi https://eservices.moh.gov.sa untuk rujukan permohonan masuk ke negara itu.

Dengan perkembangan terbaharu itu, Arab Saudi kini mengiktiraf enam jenis vaksin bagi Covid-19 iaitu Pfizer-BioNTech, Moderna, AstraZeneca, Janssen, Sinopharm dan Sinovac.

Sebelum ini, Kerajaan Arab Saudi dilaporkan membuat ketetapan hanya jemaah yang menerima vaksin jenis Pfizer dan AstraZeneca dibenar menunaikan haji sekali gus menimbulkan keresahan rakyat Malaysia yang menerima vaksin Sinovac.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Warga emas diberi vaksin Sinovac mulai minggu depan

PUTRAJAYA, 12 APRIL: Vaksin Sinovac keluaran China akan diberikan kepada golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas dalam Fasa 2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula 19 April ini, kata menteri penyelaras program berkenaan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ia diputuskan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) setelah mengambil kira data terkini serta perkembangan amalan penggunaan di negara lain yang menunjukkan vaksin tersebut adalah selamat, berkesan dan stabil untuk diberikan kepada warga emas.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu, contoh negara yang melaksanakan pemberian vaksin Sinovac kepada populasi 60 tahun ke atas ialah Turki iaitu lebih 11 juta penerima, Brazil lebih tujuh juta penerima dan Chile lebih tiga juta penerima.

Dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini, Khairy berkata berdasarkan ujian klinikal di Brazil dan hasil semakan mendapati peratus keberkesanannya adalah 83.7 peratus bagi kes sederhana dan 100 peratus bagi kes tenat.

Dalam pada itu, katanya, bilangan mereka yang sudah mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19 adalah seramai 8.513 juta.

Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan merekodkan pendaftaran paling tinggi dari segi ratio penduduk, manakala Sabah, Kelantan, Pahang, Terengganu dan Kedah masih perlahan, katanya.

Khairy berkata sejumlah 31,776 janji temu dihantar kepada penerima vaksin fasa kedua melalui aplikasi MySejahtera dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS).

Daripada 31,776 janji temu yang dihantar, 13,218 sudah jawab akan hadir, 343 menjawab mereka tidak hadir dan 18,215 atau 57 peratus lagi masih belum memberikan pengesahan kehadiran.

“Saya mohon kepada mereka yang terima butiran janji temu untuk menjawab sama ada mereka akan hadir atau tidak kerana ini membolehkan kita membuat perancangan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Kalau sekiranya kita tidak tahu berapa ramai yang akan datang, mungkin akan berlaku pembaziran vaksin, tidak cukup vaksin dibawa atau vaksin terlebih banyak dibawa ke PPV,” katanya.

Bagi mereka yang menjawab tidak dapat hadir, tarikh untuk mereka menerima vaksin Covid-19 akan dijadualkan semula dan sekiranya masih enggan hadir, pihaknya akan menyiasat punca keengganan mereka, katanya.

Ditanya mengenai perkembangan perolehan vaksin AstraZeneca, Khairy berkata perkara itu akan diputuskan pada minggu hadapan selepas mesyuarat JKJAV dan laporan daripada kumpulan pakar.

Menurut laporan media, Agensi Ubat-ubatan Eropah dilaporkan mengeluarkan kenyataan kejadian darah beku daripada suntikan AstraZeneca disenaraikan sebagai kesan sampingan jarang berlaku.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Thailand mulakan program pemvaksinan Covid-19

BANGKOK, 28 FEB: Thailand pada Ahad memulakan program vaksinasi Covid-19 dengan Timbalan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul menjadi antara individu pertama untuk menerima suntikan vaksin Sinovac Covid-19, CoronaVac dari China.

Anutin, yang juga Menteri Kesihatan Masyarakat dan empat menteri kabinet lain menerima vaksin Sinovac di Institut Penyakit Berjangkit Bamrasnaradura di Wilayah Nonthaburi untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan dan keberkesanannya.

Anutin diberikan suntikan vaksin oleh Dr Yong Yong Poovorawan, seorang profesor perubatan dalam bidang hepatologi pediatrik di Fakulti Perubatan Universiti Chulalongkorn.

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha yang turut hadir dan menyaksikan proses vaksinasi itu bagaimanapun tidak disuntik vaksin kerana beliau tidak tergolong di dalam kumpulan berusia 18 hingga 59 tahun yang layak menerima vaksin Sinovac.

“Hari ini adalah hari bersejarah apabila vaksinasi Covid-19 bermula. Saya harap Thailand akan mendapat vaksin yang mencukupi tidak lama lagi yang akan membawa kepada pemulihan ekonomi,” kata Prayuth.

Thailand menyasar untuk vaksinasi 50 peratus penduduknya menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu, di Samut Sakhon – pusat wabak terbaharu di negara itu sejak pertengahan Disember lepas, seramai 159 petugas barisan hadapan terdiri daripada kakitangan perubatan, polis, pegawai imigresen, media, dan pegawai pihak berkuasa tempatan adalah antara kumpulan awal yang menerima vaksinasi di Hospital Samut Sakhon hari ini.

Anutin yang turut melawat Samut Sakhon bagi menyaksikan proses vaksinasi itu memberi jaminan bahawa semua vaksin Covid-19 telah diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah Thailand (FDA).

Pada Rabu, Thailand menerima kumpulan pertama 200,000 dos vaksin Sinovac, dan 117,000 dos vaksin Oxford-AstraZeneca yang tiba pada hari yang sama.

Kementerian Kesihatan Awam memaklumkan bahawa vaksin Sinovac telah diedarkan ke 13 wilayah berisiko tinggi termasuk Bangkok yang akan mula memberikan suntikan vaksin kepada kumpula barisan hasapan dan mereka yang berisiko tinggi, tidak lama lagi.

Namun, vaksin AstraZeneca yang tiba pada Rabu masih perlu menjalani proses kawalan kualiti yang dijangka selesai pada minggu kedua Mac ini.

Thailand telah memesan sebanyak 61 juta dos buatan tempatan dari AstraZeneca.

Vaksin berkenaan akan dihasilkan secara tempatan oleh Siam Bioscience di bawah perjanjian pemindahan teknologi. Kumpulan pertama vaksin itu dijangka dapat diperoleh mulai Jun hingga Ogos (26 juta) dan dari September hingga Disember (35 juta).

Setakat ini, Thailand merekodkan 25,951 kes Covid-19 dengan 83 kematian.

– BERNAMA