Categories
AGENDA NASIONAL

Perkeso salur RM629.2 juta bantu individu hilang kerja, pendapatan berkurang

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM629.2 juta menerusi Sistem Insurans Pekerja (SIP) sejak awal 18 Mac 2020 sehingga 5 Nov lepas.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata bantuan kewangan itu melibatkan tiga kategori iaitu elaun mencari pekerjaan sebanyak RM588.5 juta, elaun pendapatan berkurangan (RM6.9 juta) dan elaun bekerja semula awal (RM33.8 juta).

“Berdasarkan statistik SIP, bilangan permohonan faedah dari 18 Mac 2020 hingga 5 Nov 2021 adalah sebanyak 148,926 permohonan dan daripada jumlah itu, 119,500 permohonan telah diluluskan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Su Keong Siong (PH-Kampar) yang ingin tahu secara terperinci bilangan tuntutan dan jumlah pembayaran yang telah di bayar oleh Perkeso di bawah SIP.

Menurutnya negara merekodkan 55,742 kehilangan pekerjaan sejak Januari hingga 5 Nov lepas dan sebanyak RM324.6 juta telah diluluskan untuk pembayaran faedah kepada individu terlibat.

Sementara itu, beliau berkata hampir 90 peratus individu yang memohon melalui portal MYFurtureJobs telah mendapat pekerjaan.

Menjawab soalan Charles Anthony Santiago (PH-Klang) mengenai rancangan kerajaan untuk meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500, Awang berkata Majlis Perundingan Gaji Negara telah melaksanakan Kajian Semula Perintah Gaji Minimum 2020.

Katanya Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara telah mengadakan perundingan awam dan sesi libat urus melibatkan wakil majikan, pertubuhan majikan, wakil pekerja, kesatuan sekerja dan orang awam bagi mendapatkan input tentang impak pelaksanaan gaji minimum ke atas sosiokonomi negara.

“Proses kajian semula turut mengambil kira indikator-indikator sosioekonomi seperti pendapatan garis kemiskinan, penengah gaji (keupayaan majikan untuk membayar gaji), kadar pengangguran, produktiviti buruh dan perubahan indeks harga pengguna yang mencerminkan kos sara hidup. Indikator-indikator sosioekonomi ini akan mencerminkan pasaran tenaga kerja semasa.

“Kerajaan prihatin dengan kesan kenaikan kadar gaji minimum terhadap perusahan mikro, kecil dan sederhana. Oleh itu, peningkatan gaji minimum sewajarnya dilaksanakan secara berperingkat agar tidak memberi tekanan dan membebankan majikan serta menjejaskan operasi syarikat dan mendedahkan pekerja kepada risiko kehilangan pekerjaan,” katanya.

Justeru, katanya Majlis Perundingan Gaji Negara yang bersidang pada 9 Dis lepas telah menyelesaikan perbincangan dan dalam proses penyediaan kertas Jemaah Menteri untuk dikemukakan bagi pertimbangan dan persetujuan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pekerja, majikan terjejas Covid-19 diminta dapatkan faedah sistem insurans

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Pekerja dan majikan dalam semua sektor termasuk peruncitan dan membeli-belah yang terkesan akibat pandemik Covid-19 diminta mendapatkan bantuan atau faedah sementara ditawarkan kerajaan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara bantuan SIP bagi pekerja yang kehilangan pekerjaan adalah Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB), Elaun Latihan dan faedah bantuan pencarian pekerjaan.

“Selain itu, fi latihan juga dibayar kepada penyedia latihan yang berdaftar dengan jumlah maksimum sebanyak RM4,000.

SIP merupakan satu program jaringan keselamatan sosial bertujuan membantu pekerja kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan bantuan kewangan secara sementara dan membantu mereka yang terkesan untuk mendapatkan pekerjaan agar dapat meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan individu berinsurans akan diberi nasihat dan bantuan serta peluang untuk meningkatkan kemahiran melalui skim latihan disediakan kerajaan.

“Pekerja yang kehilangan pekerjaan juga boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia secara dalam talian berhubung permasalahan dihadapi,” menurut kenyataan itu.

KSM turut meminta agar permohonan tuntutan faedah SIP dibuat sama ada secara dalam talian di portal SIP atau hadir di mana-mana kaunter Perkeso berhampiran.

Selain itu, pekerja yang terkesan juga boleh melayari Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs di http://www.myfuturejobs.gov.my yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

“Pada masa ini terdapat 242,598 kekosongan jawatan aktif yang berdaftar di bawah Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari pautan https://eiscentre.perkeso.gov.my/ms/utama/ atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 1-300-22-8000 atau melalui e-mel ke [email protected].

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 90,000 pekerja carum SIP henti kerja setakat 13 Nov

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Sejumlah 95,995 pekerja yang mencarum di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) diberhentikan kerja setakat 13 November lepas, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata daripada jumlah itu 40,766 adalah dalam kalangan mereka terlibat dengan sektor penerbangan, perhotelan dan pelancongan.

“Sehingga kini, RM110 juta diluluskan untuk pembayaran kepada pemohon SIP daripada sektor itu… jika terdapat sebarang kes kegagalan pembayaran SIP, sila berjumpa terus dengan saya supaya tindakan sewajarnya boleh diambil,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021.

Sementara itu, Saravanan berkata kerajaan menyasarkan 500,000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan dalam usaha kerajaan mengatasi pengangguran melalui Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) seperti dicadangkan dalam Belanjawan 2021 dengan peruntukan RM3.7 bilion.

“Untuk mencapai sasaran ini, tiga inisiatif di bawah Skim JanaKerja dirancang yang mana dua inisiatif dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Sumber Manusia, iaitu Insentif Penjana Kerjaya di bawah Perkeso; dan Program Reskilling dan Upskilling di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dan lain-lain kementerian.

“…Program peningkatan kemahiran dan latihan semula disediakan di bawah Perkeso dan PSMB dijangka boleh mengurangkan jurang kemahiran terutamanya dalam bidang kemahiran digitalisasi dan kemahiran lain berpandukan perkembangan Revolusi Industri 4.0,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Perkeso: Lebih 27,000 hilang kerja di Selangor dari Januari hingga Oktober

SHAH ALAM, 20 NOV: Seramai 27,234 individu hilang pekerjaan sepanjang Januari hingga Oktober lalu, kata Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor.

Pengarahnya, Mustafa Draman berkata jumlah itu berdasarkan data permohonan Sistem Insurans Pekerja (SIP) yang membantu mereka yang terlibat mendapat pekerjaan semula serta bayaran tunai sementara.

“Permohonan SIP meningkat mulai Mac dan Jun mencatatkan permohonan tertinggi iaitu 18,579. Faktor penularan pandemik Covid-19 hingga menyebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan antara punca ramai hilang sumber pendapatan.

“Bagaimanapun bermula Julai, trend kembali menurun secara berterusan hingga bulan lalu,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Mustafa berkata program anjuran kerajaan seperti inisiatif kewangan kepada majikan yang mengambil pekerja membantu mengurangkan bilangan permohonan SIP.

“Majikan mula mengambil pekerja sekali gus membuka industri serta perusahaan. Ini menjamin peluang pekerjaan.

“Perkeso Selangor turut memberi sokongan terhadap sebarang program anjuran Kerajaan Negeri sebagai langkah membantu individu hilang kerja,” katanya.

Susulan krisis Covid-19, Selangor melancarkan beberapa inisiatif antaranya peruntukan RM100.7 juta untuk sektor pendigitalan yang mencipta peluang pekerjaan baharu serta menjaga pekerjaan sedia ada.

Kerajaan Negeri turut mengadakan pelbagai program bagi menjana pendapatan rakyat. Antaranya e-dapur, e-bazar raya, e-bazar Selangor 11.11 selain Program Jelajah Selangor Bekerja 2020.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Segerakan Skim Insuran Pekerja bela nasib rakyat

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menggesa Kerajan Persekutuan menyegerakan pelakanaan Skim Insuran Pekerja (SIP) demi membela nasib pekerja.

Katanya, negara jiran seperti Thailand dan Vietnam sudah melaksanakan skim ini sejak 2004 serta 2009 menerusi sistem berkomputer.

“Saya masih bertegas dan meminta Kerajaan Perekutuan menumpukan kepada permasalahan 2017 kerana perkara ini sudah dibangkitkan, sejak tiga tahun dahulu.

abdullah sani“Jika dibuat pada 2014, tentu mereka yang teraniaya pada 2016 sudah dibantu. Saya minta segerakan pembentangan supaya mereka (pekerja) mendapat faedah,” katanya ketika diminta mengulas jawapan menteri mengenai SIP di Lobi Parlimen, hari ini.

Pada sesi pertanyaan jawab lisan, Abdullah Sani meminta kerajaan menyatakan langkah yang diambil untuk menyegerakan pelaksanaan SIP bagi membantu pekerja yang diberhentikan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib dalam jawapannya di Dewan Rakyat berkata, kertas cadangan draf SIP akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat untuk diluluskan.

Selain itu, Rang Undang-Undang SIP akan dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat akan datang sebelum dilaksanakan, pada 2018.

SIP adalah penambahbaikan skim buruh sedia antara lain bertujuan membantu pekerja yang diberhentikan memperoleh pekerjaan baru bagi satu tempoh tertentu.

-NFN-