Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

JPS: 16 kali siren bahaya banjir dibunyikan di stesen Taman Sri Muda

SHAH ALAM, 5 JAN: Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) mendedahkan sebanyak 16 kali siren amaran bahaya banjir dibunyikan di stesen siren Taman Sri Muda 2 pada 18 Disember tahun lalu.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan selain itu siren amaran juga diberikan sebanyak enam kali di stesen siren sama.

Siren amaran di stesen siren Taman Sri Muda 2 berbunyi bermula jam 10.30 pagi manakala siren bahaya pula pada 12.30 tengah hari hingga 8 malam.

Bagi stesen siren Taman Sri Muda 3 pula sebanyak 10 kali siren dibunyikan masing-masing siren amaran dan bahaya.

Siren amaran di stesen tersebut bermula jam 2 pagi hingga 7 pagi sebelum siren bahaya berbunyi pada 11 pagi hingga 4 petang.

JPS turut memaklumkan terdapat beberapa operasi banjir dijalankan di Taman Sri Muda seperti menurunkan paras air Sungai Klang yang bermula pada 20 Disember.

Pada jam 4.23 petang, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengarahkan pemberhentian pelepasan air Empangan Batu dan Empangan Klang Gate manakala pintu pelepasan Empangan Batu dan pintu L10 Akses Kolam Desa ke Sungai Kerayong ditutup pada 5.45 petang.

Selain itu Empangan Klang Gate ditutup dan aliran Sungai Klang serta Sungai Ampang dilencongkan ke Takungan Kolam Berembang, SMART pada jam 8 malam.

Nadma juga mengarahkan mobilisasi aset pam tambahan ke Taman Sri Muda pada hari yang sama.

Bagi operasi pam air banjir genang di Taman Sri Muda pula empat unit pam bergerak (BPME Selangor) berfungsi penuh di pintu air Taman Sri Muda pada 17 Disember.

Dua ruang pintu air Taman Sri Muda dapat dibuka penuh pada 22 Disember.

Selain itu, kesemua 12 unit pam termasuk tiga unit pam kekal berfungsi penuh manakala sebuah unit pam kekal dalam keadaan bersiap sedia selepas menerima bantuan set janakuasa Tenaga Nasional Bhd dan bekalan diesel JPS serta Petronas. Banjir surut sepenuhnya pada 23 Disember.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor Ir Izham Hashim (kanan) bersama Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning Ganabatirau Veraman meninjau pintu air Taman Sri Muda, Shah Alam pada 29 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Taburan hujan luar biasa di antara 100 milimeter (mm) ke 400 mm secara berterusan mengakibatkan kejadian banjir di 186 kawasan di sembilan daerah di Selangor.

Antara yang terkesan teruk ialah Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam yang mana seramai 4,276 mangsa banjir berjaya diselamatkan dengan 4,080 mangsa dihantar ke 18 pusat pemindahan sementara (PPS).