Categories
AGENSI SELANGOR

Siri pencerahan Selangor: 39 karya agung sudah diterjemah

SHAH ALAM, 11 OGOS: Sebanyak 39 karya agung sudah diterjemah menerusi Siri Pencerahan Selangor ‘Mencambah Karya Agung’ sejak 2017 sehingga tahun lalu, kata pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Mastura Muhammad berkata program inisiatif Kerajaan Negeri dengan kerjasama Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dan PPAS bertujuan mengangkat karya besar dunia termasuk falsafah, islamik, sastera dan biografi.

“Sehingga kini 29 judul buku sudah berada di pasaran dan dijual pada kadar berpatutan iaitu RM100 dan ke bawah.

“Antara tajuk yang sudah berada di pasaran ialah Dari Pesantren ke Istana, Imam di Kota Paris, Riwayat Politik Suharto, Athens dan Kelahiran Demokrasi, Jagat Kehidupan dan Pemikiran Einstein dan Tunas Pemodenan Politik Turki,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Mastura berkata orang ramai perlu mengambil peluang membeli buku terjemahan berkenaan kerana harga asalnya mencecah lebih RM200.

“Tetapi Kerajaan Negeri menawarkan pada harga amat rendah, inisiatif ini dilakukan kerana mahu rakyat Selangor membaca serta memahami isi kandungan yang disampaikan menerusi karya agung ini.

“Bagi memperhebatkan lagi promosi jualan buku terjemahan terbabit, orang ramai boleh melayari YouTube PPAS untuk mendengar ulasannya. Bagi memudahkan pembelian, kita akan menyediakan laman portal bagi tujuan itu,” katanya.

Pada 21 Ogos 2018, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Siri Pencerahan Selangor ‘Mencambah Karya Agung’ dengan IBDE berperanan menerbit dan menterjemahkan karya besar dunia, manakala Nusantara Audiobook menterjemahkan buku cetak ke dalam bentuk digital audio.

Usaha terbabit mula digerakkan sejak 2017 dengan 15 karya diterjemahkan diikuti 14 (2018) dan 10 (tahun lalu).