Categories
SELANGOR

SIRIM komited bangun usahawan Bumiputera

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 DIS: Program Peningkatan Prestasi Keupayaan dan Daya Saing Pengusaha Kecil Sederhana (PKPKS) dikendalikan SIRIM Berhad (SIRIM) mampu membangunkan dan mewujudkan usahawan Bumiputera berdaya maju.

Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, program anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan itu dilaksanakan melalui dua sub program iaitu Program Peningkatan Kualiti Produk dan Perkhidmatan (Groom Big) dan program peningkatan kualiti produk satu daerah satu industri (SDSI).

Katanya, sepanjang ia berlangsung, usahawan didedahkan dengan modul pembangunan produk, promosi dan pemasaran melalui terknologi terkini serta berinovasi iaitu panorama dan BizApp.

“Usahawan terbabit mengikuti program ini selama 16 bulan bermula 1 Ogos tahun lalu.

“Melalui SDSI, usahawan perusahaan mikro dan kecil didedahkan dengan modul perkembangan produk dan perkhidmatan termasuk aspek promosi serta pemasaran.

“Ia melalui teknologi terkini dan berinovasi di bawah empat kluster iaitu produk makanan dan minuman, perkhidmatan kesihatan dan kecantikan, homestay serta kraftangan,” katanya dalam Majlis Penyampaian Sijil PKPKS bagi 2017/2018 di Hotel Concorde di sini, hari ini.

Ahmad Fadzli berkata, penganjuran bengkel secara berterusan akan dapat meningkatkan lagi semangat usahawan untuk terus berdaya mahu dan melakar kejayaan sebagai usahawan SDSI dan Groom Big sekali gus menjadi contoh kepada pengusaha lain.

“Saya berharap semua pihak dapat berganding bahu menggiatkan program bagi melonjakkan usahawan PKPKS ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Dalam program itu, seramai 159 usahawan Pengusaha Kecil Sederhana (PKS) berjaya mengikuti program berkenaan dan bagi tempoh itu, hanya dua daerah terbabit iaitu Sepang, Selangor dan Limbang, Sarawak.

 

Categories
SELANGOR

SIRIM terap elemen Industri 4.0 kepada PKS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 DIS: SIRIM Berhad (SIRIM) kini membangunkan rangka kerja kesediaan penilaian syarikat dalam mengguna pakai elemen Industri 4.0 kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, PKS perlu mengarap peluang untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan program itu.

Katanya, antaranya program SIRIM-Fraunhofer yang memberi manfaat kepada usahawan melalui audit teknologi dan program intervensi teknologi sesuai dengan keperluan khusus syarikat.

“SIRIM adalah agensi yang dapat membantu usahawan ke arah saranan kerajaan, bermula daripada pembangunan usahawan, penjenamaan, reka bentuk pembungkusan dan mesin serta latihan dan perundingan penambahbaikan produk.

“Dengan kelebihan di dalam penyelidikan dan inovasi teknologi, piawaian industri dan kualiti, SIRIM menawarkan penyelesaian khusus untuk memenuhi keperluan semua sektor industri, menjadikan SIRIM rakan inovasi terbaik untuk PKS,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyampaian Sijil Program Peningkatan Prestasi/Keupayaan dan Daya Saing Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKPKS) bagi 2017/2018, di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Ahmad Fadzli berkata, menerusi Rancangan Malaysia Ke 11, SIRIM sedar untuk turut terus memperkukuhkan ekonomi menerusi PKS.

“Oleh itu, usaha mewujudkan PKS yang berdaya tahan dan mampan akan terus dilaksana.

“Matlamat kerajaan adalah untuk meningkatkan sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar kepada 41 peratus pada 2020.

“Sumbangan PKS kepada eksport juga akan ditingkatkan melalui inisiatif pengantarabangsaan dan promosi eksport,” katanya.