Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM ambil alih syarikat swasta, perluas khidmat urus sisa industri

SHAH ALAM, 24 FEB: KDEB Waste Management (KDEBWM) mengambil alih sepenuhnya pengurusan syarikat sampah swasta Sitamas Environmental System Sdn Bhd (Sitamas) mulai hari ini.

Pengarah urusannya berkata pembelian 100 peratus saham dengan kos RM9 juta sekali gus memberi tanggungjawab baharu kepada KDEBWM menguruskan sampah industri 1,300 kilang termasuk di Johor.

Ramli Mohd Tahir menjelaskan pembelian dimuktamadkan semalam dilihat sebagai usaha menyelesaikan isu pembuangan dan longgokkan sampah haram di negeri ini.

“Pengambilalihan syarikat yang beroperasi lebih 20 tahun ini akan melengkapkan kitaran pengurusan sisa pepejal terutama sisa industri, komersial dan institusi.

“Ketika ini, KDEBWM hanya menguruskan kutipan sampah domestik dan pukal di 600 kilang sekitar Kuala Langat dan Kuala Selangor dan akan mengembangkan lagi khidmat di kawasan lain,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

KDEBWM, syarikat pengendali sisa pepejal negeri mengambil alih sepenuhnya pengurusan kutipan sampah domestik di semua pihak berkuasa tempatan di Selangor pada Januari 2020.

Anak syarikat Kerajaan Negeri itu juga giat membersihkan kawasan terjejas banjir di beberapa daerah sejak 20 Disember tahun lalu secara berperingkat.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

JAS siasat gudang simpan sisa industri, ambil sampel untuk analisis

SHAH ALAM, 6 OKT: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengambil lima sampel sisa industri sebuah gudang di Batang Kali yang diserbu pada 30 September lalu.

Pengarahnya Nor Aziah Jaafar berkata sampel itu dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk menentukan secara terperinci jenis bahan yang dibuang.

“Kita hantar sampel untuk dianalisis untuk mengesahkan sama ada sisa industri itu adalah sisa berjadual yang dikawal oleh JAS atau sebaliknya.

“Keputusan akan diperoleh dalam tempoh dua ke tiga minggu dari tarikh dihantar pada 1 Oktober,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau menjelaskan sekiranya disahkan sisa berjadual yang ditetapkan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, tindakan penguatkuasaan dikenakan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

Baru-baru ini, sebuah gudang yang menjalankan aktiviti pembuangan sisa industri tanpa kebenaran dekat Batang Kali diserbu Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata pemeriksaan bersama Pejabat Tanah Selangor turut mendapati sisa berjadual juga tidak diurus mengikut piawaian yang ditetapkan.

Categories
SELANGOR

Kes buang sisa industri: Pemandu lori direman esok

KLANG, 19 MAC: Seorang pemandu lori tangki direman selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung kes pembuangan sisa industri di kolam takungan di Taman Eng Ann di sini, pada 14 Mac lalu.

Perintah berkenaan dikeluarkan Majistret Roslizi Sulaiman bermula hari ini selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh polis yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 277 Kanun Keseksaan.

Semalam, Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh dalam kenyataannya berkata, seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan di sebuah rumah di Jeram, Kuala Selangor pada pukul 4.30 petang.

Polis turut merampas sebuah lori tangki yang dipercayai digunakan untuk membawa sisa industri berkenaan.

Siasatan awal mendapati suspek disyaki menerima tempahan daripada sebuah syarikat bagi melakukan kerja pembuangan sisa berkenaan.

Terdahulu, Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata sebanyak 28,000 liter sisa industri berkenaan telah dikumpul dan disimpan di dalam tangki simpanan sementara sebelum dilupuskan mengikut kaedah yang sesuai.

Pada 14 Mac lalu, sebanyak 21 bahan dari sisa industri dikesan dibuang ke dalam kolam itu sehingga membawa kepada pencemaran kolam takungan tersebut.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Buang sisa industri di Klang, pemandu lori ditahan

SHAH ALAM, 19 MAC: Seorang pemandu lori tangki ditahan disyaki terbabit dalam pembuangan sisa industri secara haram di kolam tadahan banjir di Taman Eng Ann, Klang, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata, suspek lelaki berusia 26 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Jeram, Kuala Selangor pada jam 4.30 petang, semalam.

Beliau berkata, polis turut merampas lori tangki yang dipercayai digunakan untuk membawa sisa industri berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki menerima tempahan daripada sebuah syarikat bagi melakukan kerja pembuangan sisa berkenaan.

“Semakan rekod mendapati suspek tiada mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, polis akan memohon perintah tahanan reman terhadap suspek hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 277 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata kerja-kerja pembersihan kolam berkenaan selesai, pada 17 Mac lalu.

Sebanyak 28,000 liter sisa industri berkenaan berjaya dikumpul dan disimpan di dalam tangki simpanan sementara sebelum dilupuskan mengikut kaedah yang sesuai.

Pada 14 Mac lalu, sebanyak 21 bahan dari sisa industri dikesan dibuang ke dalam kolam itu sehingga membawa kepada pencemaran kolam tadahan tersebut.

– BERNAMA