Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dua kilang gagal urus sisa kena kompaun RM16,000

SHAH ALAM, 21 FEB: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengeluarkan kompaun RM16,000 terhadap dua kilang di Petaling Jaya dan Sepang kelmarin, ekoran gagal menguruskan sisa dengan betul.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan tindakan itu diambil selepas penguat kuasa melakukan rondaan dan siasatan aduan di sekitar kawasan perindustrian Gombak, Petaling Jaya, Johan Setia dan Sepang.

“Premis dikompaun itu adalah kilang yang menghasilkan produk kecantikan dan membiarkan loji rawatan air sisa beroperasi tanpa pengawasan serta tidak melabelkan bekas buangan terjadual.

“Sebuah lagi di Sepang yang gagal menguruskan buangan terjadual dengan baik,” katanya menerusi kenyataan.

Pada masa sama, JAS Selangor turut menyiasat aktiviti pembakaran terbuka di Bukit Kemuning, di sini dan mendapati terdapat kesan kabel getah terbakar di kawasan perumahan terbabit.

Jelasnya, tindakan amaran dan kompaun sudah dikeluarkan kepada pelaku.

“Seterusnya, siasatan turut dijalankan terhadap kes pembakaran terbuka sampah haram di Jalan Bukit Kemuning dan mendapati terdapat pembakaran terbuka sisa sampah yang dibakar di atas tanah lapang,” ujarnya.

Justeru, JAS Selangor berharap orang ramai dapat melaporkan kes pencemaran kepada pihaknya di talian bebas tol :1-800-88-2727 atau melalui e-aduan di [email protected].

Orang ramai juga boleh melaporkan kes yang melibatkan pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau talian bebas tol 1-800-88-994 dan SMS 03-88880964.

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Maritim tahan kapal kargo buang sisa minyak di perairan Selangor

LUMUT, 7 MAC: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal kargo yang disyaki membuang sisa minyak di perairan Selangor kira-kira 21.7 batu nautika timur laut Pulau Jarak dekat sini.

Pengarahnya, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata terdahulu, pesawat agensi itu memaklumkan rondaan di perairan perairan berkenaan dan mengesan tindakan kapal kargo yang mencurigakan sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada Maritim Malaysia Selangor.

Beliau berkata susulan maklumat itu, pihaknya melalui Kapal Maritim (KM) Gagah yang sedang melakukan rondaan segera ke lokasi terbabit untuk melakukan pintasan serta penggeledahan secara menyeluruh ke atas kapal tersebut pada kira-kira 12 tengah hari kelmarin.

“Kapal kargo tersebut dikatakan dalam perjalanan menghala ke utara dan telah memasuki perairan negeri Perak.

“Kapal berkenaan (yang) berdaftar di Haiphong, Vietnam (sedang) dalam perjalanan menuju ke Eropah dengan dikendalikan 22 kru warga Vietnam berumur lingkungan 30 hingga 65 tahun yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Shahrizan berkata kapal itu disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) dan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana membuang sisa minyak ke dalam laut.

Beliau berkata kapal itu bersama kesemua kru kini ditahan di ‘South East Point’ (SEP) perairan Pulau Pangkor bagi tujuan pengambilan sampel minyak oleh Jabatan Alam Sekitar Perak untuk siasatan lanjut.

– BERNAMA