Categories
NASIONAL SELANGOR

Belanjawan Pakatan: MyKad ganti tunai untuk penerima JKM dapatkan barang keperluan

mykad barang runcitKUALA LUMPUR 24 OKT : Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat (PR) 2014 mencadangkan Mykad digunakan bagi menggantikan amalan sistem wang tunai terus ke dalam akaun sebagai alat pembayaran di kedai yang ditetapkan.

Sistem Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedia ada perlu diganti dengan satu sistem pembayaran tunai yang membolehkan penerima yang layak memilih barangan mengikut apa yang mereka perlukan tanpa menggunakan wang tunai.

Ia sebagai salah satu langkah untuk memastikan rejim subsidi yang lebih adil dan tepat pada sasaran serta sistem kebajikan yang menyeluruh.

Kredit yang terkandung dalan MyKad penerima digunakan untuk membeli barangan keperluan seperti beras, tepung, gula dan barang keperlua lain.

PR juga mencadangkan, MyKad diguna untuk mengesan perbelanjaan yang dibuat penerima dan boleh digabung dengan program kementerian lain seperti memastikan anak ke sekolah serta kelas tambahan untuk ibu tunggal.

Lebih daripada lapan peratus rakyat hidup di bawah garis kemiskinan yang tidak menepati realiti kesusahan dengan ribuan isi rumah berpendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan.

Amalan biasa JKM yang menyediakan wang tunai terus ke dalam akaun penerima membawa masalah kelewatan berterusan dalam pemindahan dan ketidakupayaan untuk menentukan dengan tepat sama ada hasil yang disasarkan itu dipenuhi.

-NFN-