Categories
RENCANA WAWANCARA

Tiga siswazah jual sayur murah bantu petani, masyarakat

Oleh Siti Salwa Shaari

MEMBANTU pekebun memasarkan hasil pertanian yang segar pada harga murah menjadi pegangan tiga siswazah universiti ini ketika mula berjinak-jinak dalam bidang pertanian pada awal tahun lepas.

Ia sekali gus memudahkan golongan petani menjual hasil tanaman serta masyarakat boleh mendapatkan bekalan diperlukan itu di pasaran pada harga berpatutan.

Untuk itu, Muhammad Naqib Azam, 31, bersama dua rakan sebayanya Mohd Syamim Aizat Zaki, dan Muhammad Zaid Zuhri, bersetuju supaya keuntungan purata sayur-sayuran jualan mereka ditetapkan di bawah 50 sen sekilogram.

Sebagai contoh, Muhammad Naqib berkata timun yang dibeli daripada pekebun pada harga RM2.70 sekilogram dijual pada harga RM3 sekilogram iaitu lebih murah berbanding RM3.50 yang ditetapkan pada skim kawalan harga.

“Kami berani menjual pada harga begitu kerana tidak perlu melalui pelbagai lapisan memandangkan semuanya dilakukan sendiri daripada mencari pekebun, membawa hasil ke pusat pengumpulan untuk dibungkus sehinggalah menghantar kepada pembeli.

“Hubungan baik dengan pekebun juga membolehkan kami mendapatkan harga sedikit murah selain niat mahu membantu mereka supaya semua hasil kebun dapat dipasarkan tanpa banyak kerenah,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Ternakan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Projek Fertigasi Inderapura Kuantan, Pahang yang menjadi ‘pejabat’ mereka.

Anak jati Raub itu berkata bagi memastikan harga jualan dapat dikekalkan pada harga murah, mereka juga sepakat tidak mengambil kos pengangkutan secara berlebihan, malah pernah menyerap kos tersebut apabila harga sayur sedikit meningkat.

Selain timun, Muhammad Naqib berkata sayuran lain yang dijual seperti lada, bendi dan kacang panjang, bergantung hasil yang boleh diperoleh dari kebun di sekitar Kuantan dan Pekan pada hari tersebut.

Mengimbas penglibatan mereka dalam industri pertanian, Mohd Syamim berkata ia bermula semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila melihat ada pekebun tidak dapat memasarkan produk mereka disebabkan banyak kedai makan ditutup.
“Untuk membantu petani, kami menawarkan diri menjualkan hasil kebun mereka pada harga murah supaya sekurang-kurangnya mereka boleh dapat pulangan modal. Disebabkan tiada platform khusus, kami bermula dengan menjual kepada ahli keluarga, jiran dan penduduk taman perumahan.

“Iklan menerusi mulut ke mulut membantu orang ramai mengenali kami selain turut dipromosikan di media sosial termasuk di akaun Facebook ‘Dari Kebun’ supaya lebih mudah orang ramai menghubungi kami.

“Tanpa diduga kami semakin berminat dalam perniagaan sayur ini, lalu menubuhkan syarikat SZ Sayur Trading bagi melancarkan lagi operasi kerana sudah mempunyai pelanggan tetap memandangkan harga kami tawarkan lebih murah berbanding kebanyakan tempat,” katanya.

Sejak bergelar ‘saudagar sayur’ Mohd Syamim, merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kimia Industri Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkata rutin harian mereka bermula seawal 9 pagi dengan mengambil sayur di kebun dan dibawa ke pejabat untuk penggredan serta pembungkusan.

Penghantaran sayur bermula pada 12 tengah hari sebelum mereka bertiga kembali semula ke pejabat pada pukul 3 petang untuk menyambung operasi pembungkusan bagi slot penghantaran sebelah malam yang bermula selepas maghrib dengan tumpuan di pasar raya dan kedai.

Untuk melancarkan operasi, Muhammad Syamim berkata pembeli diwajibkan membuat tempahan sekurang-kurangnya sehari sebelum, supaya sayur yang diambil dalam kuantiti antara 500 kilogram dan satu tan sehari, dapat dihabiskan.

Sementara itu, Muhammad Zaid, yang juga lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian UPM berkata mereka berani terlibat dalam bidang pertanian dan perniagaan selepas mendapat nasihat Pejabat Pertanian Daerah Kuantan.

“Kami juga merancang untuk menanam beberapa jenis sayur di sini, bagi membolehkan kami terus menawarkan harga murah kepada masyarakat.

“Ini juga boleh sebahagian daripada cabang sedekah yang boleh dilakukan untuk membantu orang ramai,” katanya sambil memaklumkan ketiga-tiga mereka bekerja dalam bidang berbeza sebelum PKP.

– BERNAMA