Categories
AGENDA JENAYAH

Polis tumpas dua sindiket terbesar, sita RM25.6 juta dadah

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah terbesar dengan menahan seramai 23 individu dan merampas pelbagai jenis dadah dianggar bernilai RM25.6 juta.

Kesemua suspek ditahan menerusi operasi pada 22 hingga 24 Julai lepas di sekitar Lembah Klang, Johor dan Pahang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Ramli Din berkata kesemua suspek yang ditahan dalam sindiket itu, berusia lingkungan 25 hingga 57 tahun.

Beliau berkata suspek yang ditahan dalam dua operasi khas dadah iaitu Op Heron dan Op Watercress, dipercayai bergiat aktif menyeludup dadah ke Indonesia dan Sabah sejak lima bulan lepas.

“Tiga belas serbuan dilancarkan dalam dua operasi itu. Seramai 17 lelaki tempatan, empat wanita tempatan selain dua wanita masing-masing warga Vietnam dan Thailand dipercayai terlibat sebagai ketua dan ahli sindiket telah ditahan,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.

Ramli berkata pelbagai jenis dadah yang dirampas melibatkan berat keseluruhan 296.8kg, antaranya syabu seberat 68kg dan pil ekstasi 228.6kg selain 208 biji pil kuda dan 750 mililiter cecair syabu (methamphetamine).

Katanya semua dadah yang dirampas itu boleh digunakan lebih sejuta penagih untuk satu-satu masa.

Mengulas lanjut, Ramli berkata sindiket itu, dipercayai bertindak menjalankan aktiviti pengedaran dadah berkenaan menerusi pantai di Johor dan Negeri Sembilan selain di Sabah dengan menggunakan laluan udara.

“Polis dalam masa sama turut menyita sejumlah 15 kereta, wang tunai selain barang kemas dan jam tangan yang bernilai lebih RM2.3 juta dalam serbuan berkenaan,” katanya.

Ramli berkata semua suspek direman selama empat hari dari tarikh ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis akan terus mengesan saki baki ahli sindiket yang bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MPK sita premis niaga warga asing tanpa lesen

SHAH ALAM, 17 MEI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyita dua premis perniagaan termasuk milik warga asing yang beroperasi tanpa lesen di beberapa lokasi sekitar Klang semalam.

MPK dalam kenyataan hari ini berkata tindakan dilakukan itu hasil pemeriksaan di Pasar Pagi Jalan Selampit Klang Jaya, Pangsapuri Arista Bandar Parkland dan Sekitar Bandar Sultan Suleiman.

“Satu premis warga asing di Pangsapuri Arista disita mengikut UUK 3 iaitu Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian kerana berniaga tanpa lesen.

“Manakala satu lagi premis di kawasan Bandar Sultan Suleiman disita kerana tiada lesen perniagaan namun menjual ayam hidup di dalam premis. Dua premis lain dikompaun kerana melakukan halangan di kaki lima,” katanya.

Katanya, dalam pemeriksaan di Pasar Pagi Jalan Selampit pula mendapati lima penjaja berniaga tanpa lesen dan tindakan sitaan dilakukan terhadap barang perniagaan dan sebuah van di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil UUK 3 Penjaja (MPK) 2007.

“Sitaan barang perniagaan dilakukan di bawah UUK 3 PTPP (MPK) 2007 terhadap satu premis milik warga asing di Jalan Sultan Abdul Samad 40, yang yang didapati tidak mempunyai lesen,” katanya.