Categories
PBT SELANGOR

Upah pekerja asing, MBSA sita dua kedai runcit di Paya Jaras

SHAH ALAM, 22 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyita dua kedai runcit di Paya Jaras Hilir kelmarin kerana mengupah pekerja asing.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata operasi itu diadakan bagi mengesan dan membanteras peniaga atau penjaja warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen.

“Antara barangan yang disita adalah tong gas, rak barangan dan barangan runcit,” kata Shahrin Ahmad dalam kenyataan.

Beliau berkata sitaan dilaksanakan di bawah Undang-undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan Perindustrian MBSA 2007 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Tambahnya, operasi terbabit diadakan secara berkala bagi memantau warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di kawasan pentadbiran majlis itu.

Categories
PBT SELANGOR

MPS sita 92 barangan penjaja haram warga asing

SHAH ALAM, 8 APRIL: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita 92 barang perniagaan yang dikenakan kompaun atas kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa permit di tepi Pasar Borong Selayang, kata timbalan yang dipertuanya.

Dato’ Dr Juhari Ahmad berkata barangan ditinggalkan penjaja haram warga asing susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kawasan itu kotor dan menimbulkan kacau ganggu.

“MPS konsisten menjalankan operasi bersepadu melibatkan semua agensi kerajaan berkaitan untuk membendung kegiatan perniagaan tanpa kebenaran terutama warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Juhari berkata pihaknya memberi amaran kepada penjaja haram tidak lagi menjalankan perniagaan di situ dan meletakkan penghadang batu konkrit selepas tamat tempoh PKP.

Operasi pembersihan dan sitaan kali keempat melibatkan 90 anggota MPS dengan kerjasama polis dan wakil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu bermula jam 9 pagi serta menggunakan sembilan jentera.

Categories
PBT SELANGOR

MPK lupus barang sitaan bernilai RM74,000

KLANG, 17 SEPT: Pelbagai barang rampasan dianggar bernilai RM74,000 dilupuskan Majlis Perbandaran Klang (MPK), di sini hari ini.

Program Pelupusan Barang-Barang Sitaan itu disempurnakan Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin di stor Jabatan Perkhidmatan Persekitaran.

Mohamad Yasid berkata, pelupusan membabitkan 42,844 unit barang sitaan itu hasil tindakan penguatkuasaan yang dijalankan MPK bermula November 2018 hingga Julai 2019.

“Sejumlah 1,798 botol arak, 2,634 keping DVD/VCD dan 38,412 unit iklan tanpa permit dilupuskan ekoran pelanggaran undang-undang yang diguna pakai oleh MPK,” katanya ketika ditemui pada program itu.

Antara pelanggaran undang-undang itu adalah penyitaan arak di bawah UUK 3 (1) Pelesenan Establisymen Makanan (MPK) 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Manakala, penyitaan DVD/VCD pula di bawah UUK 3 Penjaja (MPK) 2007 kerana menjalankan aktiviti menjaja tanpa lesen dan penyitaan iklan di bawah UUK 7 Iklan (MPK) kerana mempamerkan iklan tanpa permit.

Beliau berkata, tindakan pelupusan itu dijalankan mengikut kaedah pelupusan berdasarkan justifikasi dan klasifikasi barang sitaan mengikut prosedur ditetapkan di bawah ISO 9001:2015.

“MPK terus komited dalam memastikan warga Klang mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan melalui pelaksanaan tindakan penguatkuasaan tegas dan efektif,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MDKL sita 3 premis abai kebersihan

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 6 MAC: Sebanyak tiga premis makanan disita Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) ekoran keadaan menjijikkan dan tidak mematuhi peraturan ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan itu.

Timbalan Yang Dipertuanya, Mohd Yasin Alwi berkata, sebanyak dua premis menjual makanan disita di bawah Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MDKL) 2007 dan satu lagi di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat.

Katanya, terdapat juga peniaga dikenakan tindakan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Pengendali Makanan (MDKL) 2007 kerana membuang cecair kotor ke dalam longkang dan satu notis pemberitahuan berkenaan alat perangkap minyak.

“Selain aktiviti rutin, tujuan pemeriksaan adalah bagi memastikan kebersihan premis menjual makanan berada pada tahap baik, keselamatan terjamin, memberikan penarafan dan pengiktirafan premis makanan mengikut tahap kebersihan.

“Selain itu, ia untuk mempertingkatkan tahap kebersihan sesebuah premis, mengurangkan kadar insiden penyakit bawaan makanan dan air, memberi pengetahuan serta kesedaran pengusaha juga pengendali premis terhadap kebersihan selain keselamatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, katanya, pemeriksaan disertai Jabatan Imigresen Malaysia itu turut menahan enam warga asing kerana tidak memiliki pas sah di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut mengeluarkan satu kompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipercatuan Peraturan 3 (1) Penandaan Harga oleh Peniaga Runcit (PHOPR) 1993 kerana tidak mempamerkan tanda harga makanan.

“Secara keseluruhannya, kita mengeluarkan 12 notis kesalahan iaitu enam notis di bawah Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Penjaja, tiga notis di bawah Seksyen 46 (1)(a), Akta 133 dan tiga notis di bawah Seksyen 46 (1)(d), Akta 133.

“Manakala, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat mengeluarkan 23 notis kesalahan dan KPDNHEP satu kompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipercatuan Peraturan 3 (1) Penandaan Harga oleh Peniaga Runcit (PHOPR) 1993,” katanya.

Beliau turut mengingatkan peniaga supaya mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan.

Terdahulu, seramai 41 penguat kuasa dari pelbagai agensi digerakkan bagi melakukan pemeriksaan mengejut ke atas 14 premis perniagaan antaranya restoran, kedai makan dan restoran makanan segera, pada 28 Februari lalu.

Pemeriksaan yang bermula jam 6 petang hingga 12 malam itu turut disertai Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat, Jabatan Imigresen Malaysia dan KPDNHEP.

Categories
PBT SELANGOR

MDKL sita premis makanan langgar peraturan kebersihan

OLEH AFIX REDZUAN

BANTING, 7 SEPT: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menyita sebuah premis perniagaan dalam satu operasi, semalam susulan kegagalan mematuhi peraturan kebersihaan penyediaan makanan selepas menerima aduan daripada orang awam.

Serbuan terhadap tiga premis yang diketuai Noor Hayati Ibrahim dilakukan bersama sepasukan anggota Bahagian Kesihatan dan Penguatkuasa MDKL, bermula jam 7 petang itu turut mengeluarkan empat kompaun atas pelbagai kesalahan.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap isu kebersihan dan penyediaan makanan di daerah itu serta mengingatkan peniaga supaya mematuhi semua syarat seperti yang terkandung dalam kelulusan lesen perniagaan.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, anggota kita mendapati pemilik premis makanan ini menyewakan lot gerai kepada peniaga yang membayar sewa bulanan kepada pemilik berkenaan.

“Tambah mendukacitakan, pemilik premis dan peniaga ini melakukan pelbagai kesalahan seperti tidak memakai apron, penutup kepala dan kasut, tidak menyediakan perangkap makanan hingga menyebabkan sisa makanan serta minyak terus masuk ke dalam longkang.

“Selain itu, peti sejuk penyimpanan makanan rosak, sisa makanan di sekitar premis dibiarkan terbiar dan peralatan makanan disimpan di tempat berhabuk ,” katanya.

Justeru, MDKL mengambil tindakan tegas dengan menutup dan memateri premis itu di bawah Undang-Undang Kecil 62, Undang-Undang Kecil Perlesenan Establisymen Makanan (MDKL) 2007.

Pemilik premis diberi tempoh 14 hari untuk melakukan kerja pembersihan dan penambahbaikan seperti diarahkan.

Dalam operasi sama, kompaun turut dikeluarkan atas kesalahan tidak menyelenggara premis menjual makanan dalam keadaan baik dan bersih di bawah Seksyen 15, Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MDKL) 2007 dan 3 di bawah Seksyen 9 (f), Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MDKL) 2007 kerana tidak mendapatkan imunisasi demam kepialu.

Categories
SELANGOR

Sampah haram: MPK sita kenderaan pacuan empat roda

KLANG, 26 MEI: Tindakan tidak bertanggungjawab lima individu yang disyaki membuang sisa perut ikan di Jalan Temenggung, Taman Sentosa, di sini, berjaya ditumpaskan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Ketua Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, kejadian itu berlaku ketika MPK menjalankan operasi khas membanteras pembuangan sampah haram di beberapa lokasi sekitar Klang.

sampahKatanya, lima lelaki terbabit sedang leka membuang sisa berkenaan ke dalam longkang berhampiran ketika operasi dilakukan.

“Ketika kejadian, kumpulan berkenaan menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk membuang sisa perut ikan yang dipercayai dari pasaraya berhampiran.

“Ekoran itu, kenderaan berkenaan disita atas kesalahan Undang-Undang Kecil 4 Pemungutan,Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MPK) 2007 kerana membuang sampah di tempat yang tidak ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Norfiza berkata, MPK mengambil perhatian serius dan tegas bagi menangani masalah pembuangan sampah haram terutama di beberapa lokasi yang dikenalpasti.

Norfiza-Mahfiz-(MPK)Katanya, MPK juga akan terus membuat pemantauan secara agresif dari masa ke masa untuk membanteras kegiatan tidak bertanggungjawab itu.

“Perbuatan ini sebenarnya mengundang pelbagai jenis penyakit serta mencacatkan pemandangan kawasan berkenaan. Setakat ini, MPK menyediakan tong sampah mencukupi bagi menampung pembuangan sisa makanan di kawasan strategik,” katanya.

Katanya, mana-mana pihak yang melihat kejadian ini diminta segera melaporkan kepada MPK jika aktiviti berkenaan berlaku di tempat mereka dengan menghubungi talian 03-33748845.