Categories
AGENSI SELANGOR

Kes dera kanak-kanak, keganasan rumah tangga antara 30 aduan ketika banjir

SHAH ALAM, 2 JAN: Sebanyak 30 aduan termasuk kes dera dan keganasan rumah tangga diterima menerusi talian SELamat dalam tempoh banjir dan pascabanjir setakat 30 Disember lalu.

Tanpa memperinci kes berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) Siti Kamariah Ahmad Subki menjelaskan panggilan membabitkan kes dera diterima daripada jiran mangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS), Siti Kamariah Ahmad Subki memegang plakad ‘Hentikan Keganasan Terhadap Wanita’ sempena pelancaran talian khas SELamat
di Perbadanan Perpustakan Awam Selangor (PPAS), Shah Alam pada 22 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Ada kes kanak-kanak melarikan diri ketika banjir kerana didera bapa. Bagi kes penderaan, ia dirujuk kepada Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC).

“Ada juga kes tertekan akibat kejadian banjir dan kes ini telah pun berjaya diselamatkan,” katanya sambil menambah kes keganasan rumah tangga juga ada diterima.

Siti Kamariah berkata pihaknya juga ada menerima panggilan daripada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) yang meminta dos penggalak lantaran bimbang dijangkiti Covid-19.

Dibangunkan untuk aduan keganasan rumah tangga, talian SELamat beroperasi 24 jam sejak 3 November menerusi talian 03-64195027 yang dikendalikan kakitangan Wanita Berdaya Selangor dan sukarelawan terlatih.

Pada 9 Jun 2021, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana RM100,000 untuk membangunkan talian tersebut, sebahagian inisiatif Pakej Kita Selangor 2.0.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Talian khas SELamat mula terima aduan kes keganasan rumah tangga

SHAH ALAM, 5 NOV: Talian khas SELamat mula menerima aduan berhubung keganasan rumah tangga sejak beroperasi Isnin lalu.

Ketua pegawai eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) berkata pihaknya merujuk kepada polis dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk tindakan lanjut.

“WBS bergerak dalam model kolaborasi dan satu ekosistem iaitu jika pemanggil memerlukan intervensi tambahan akan dirujuk kepada rakan kerjasama seperti jabatan Kerajaan Negeri, polis atau NGO bergantung kepada kes.

“Selain keganasan rumah tangga, kes lain diterima berkaitan pemberian vaksin dan bantuan Kerajaan Negeri,” kata Siti Kamariah Ahmad Subki kepada SelangorKini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya juga mengadakan mesyuarat bersama Pertubuhan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) Malaysia berhubung perkhidmatan kaunseling.

“Kita kerjasama untuk merujuk kepakaran mereka dalam khidmat kaunseling sekiranya pemanggil memerlukan intervensi psikologi,” katanya.

Pada 9 Jun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana sejumlah RM100,000 untuk membangunkan talian khas tersebut.

Peruntukan itu terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta yang bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Produk dipasar Hasil Suri Selangor laris sejak PKP

SHAH ALAM, 23 JULAI: Produk hasil tangan wanita yang dipasar menerusi platform Hasil Suri Selangor (HaSSel) laris dijual sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Ketua pegawai eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS) berkata produk seperti makanan dan perhiasan mendapat sambutan sehingga laman sesawangnya terpaksa ditutup sementara untuk menambah stok.

“Laman sesawang ini dijangka beroperasi semula dalam waktu terdekat bagi membolehkan masyarakat membelinya,” kata Siti Kamariah Ahmad Subki kepada SelangorKini.

Beliau berkata selain memberi peluang memasarkan produk pihaknya juga menggalakkan usahawan membeli bahan mentah secara dalam talian.

“Kita sedar terdapat kekangan sepanjang PKP namun mereka dinasihat menggunakan medium tersebut untuk mendapatkan bahan berkaitan untuk menghasilkan produk jualan seterusnya berada dalam pasaran,” katanya.

HaSSel merupakan landasan bagi usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) wanita memperkenalkan produk bagi tujuan komersial.

Ia adalah inisiatif Kerajaan Negeri memperkasakan golongan terbabit di Selangor terutamanya mereka mempunyai masalah daripada segi sosio ekonomi.

Categories
AGENSI SELANGOR

Manis landasan terbaik jamin masa depan wanita

SHAH ALAM, 31 OKT: Penubuhan Majlis Wanita Selangor (Manis) tahun hadapan mampu menghasilkan polisi terbaik jangka panjang menjamin golongan wanita.

Ketua pegawai eksekutif Institut Wanita Berdaya (IWB) berkata melalui penyertaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi, platform itu akan mendapat input berkesan hasil idea dilontarkan semua pihak.

“Mereka boleh bersuara dan memberi pandangan masing-masing. Pendapat mereka akan dikaji untuk dijadikan dasar.

“Oleh itu kita mengalu-alukan penyertaan mana-mana NGO dan agensi. Matlamat kita mahu memberdayakan wanita dalam semua aspek,” kata Siti Kamariah Ahmad Subki ketika dihubungi hari ini.

Melalui Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penubuhan Manis bagi memperteguh agenda martabat wanita negeri ini.

Dato’ Menteri Besar berkata Manis akan merangka dasar pemberdayaan wanita meliputi ekonomi, sosial, politik dan budaya.