SHAH ALAM, 19 MAC: Motosikal, Ipad, Samsung Galaxy S2, hamper dan kupon belanja adalah antara hadiah yang menanti pengunjung di Karnival Terima Kasih Rakyat yang akan berlangsung pada hari Ahad, 25 Mac ini.
Karnival yang bertempat di Stadium Kuala Selangor itu merupakan satu penghargaan atas kepercayaan yang ditunjukkan oleh rakyat Selangor terhadap pentadbiran Pakatan Rakyat selama empat tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew berkata karnival itu juga memaparkan program-program menarik sepanjang hari dan berakhir dengan rapat rakyat perdana.
?Semua rakyat Selangor dijemput hadir ke Karnival Terima Kasih Rakyat kerana terdapat pelbagai hadiah yang menarik dan kupon-kupon belanja yang akan diberikan kepada golongan berpendapatan rendah,? ujar Ronnie di dalam sidang media di Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor hari ini.
Antara program tersebut adalah senamrobik, pertandingan futsal dan sukan tradisional, Pertunjukan Auto Drift, sesi bersama Alternative Riders Club (ARC), pertunjukkan tarian singa dan klinik bola sepak bersama pemain-pemain professional Selangor.
Bagi pengunjung wanita, karnival itu turut menyediakan sesi pertunjukan memasak, sesi kaunseling bersama Ustazah Siti Nur Bahyah Mahamood dan pertandingan gubahan bunga.
Pertandingan mewarna, ?petting zoo? dan ?pony ride? bagi kanak-kanak turut disediakan.
Persembahan artis-artis popular seperti OAG, Sixth Sense, Fify Emielia, Blank Gamma, Komuniti Jazz Shah Alam dan penampilan istimewa Buddhi Hekayat sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu bagi lirik Lagu Awan Nano juga bakal mewarnai karnival ini.
Karnival ini akan berakhir dengan program Rapat Rakyat bersama pimpinan Pakatan seperti Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.