Categories
AGENDA SUKANKINI

Badminton Asia: Siti Nurshuhaini paling menyerlah – Choong Hann

SHAH ALAM, 19 FEB: Pemain perseorangan wanita muda negara Siti Nurshuhaini Azman disifatkan sebagai pemain paling menyerlah dari kaca mata Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, di sini.

Choong Hann berkata beliau sangat mengagumi kesungguhan Siti Nurshuhaini yang juga pemain ranking 311 dunia, selepas menampilkan corak serangan serta bertahan yang baik sepanjang kejohanan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City di sini, sejak Selasa lepas.

Bagaimanapun katanya masih terdapat banyak ruang yang perlu diperbaiki pemain berusia 17 tahun itu terutamanya dari segi pendekatan taktikal serta kemahiran di dalam gelanggang untuk menjadi pemain yang baik.

“Saya rasa Siti Nurshuhaini mempunyai kekuatan dari segi bentuk badan, namun beliau perlu tingkatkan kemahiran supaya mempunyai pilihan taktikal atau ‘game plan’ ketika bermain di gelanggang.

“Kawalan gelanggang memang bagus, namun beliau perlu menambah baik dari segi mencari mata,” katanya ketika ditemui selepas Malaysia tewas 0-3 kepada Korea Selatan di peringkat separuh akhir BATC 2022, di sini.

Choong Hann pada masa sama percaya Siti Nurshuhaini boleh digilap untuk menyertai kelompok sekurang-kurangnya 40 pemain terbaik dunia tidak lama lagi sekiranya dapat meningkatkan daya pukulan serta kemahiran.

Mengulas mengenai persembahan Malaysia hari ini, Choong Hann mengakui pasukan negara tewas kepada skuad yang lebih kuat dan banyak lagi perlu diperbaiki anak buahnya dalam sesi latihan selepas ini.

Walaupun tewas 11-21, 21-15, 13-21 kepada Lee Se Yeon, Siti Nurshuhaini muncul satu-satunya pemain negara yang mengheret perlawanan ke set penentuan hari ini, selepas dua lagi wakil negara tewas ‘straight set’ kepada lawan masing-masing.

Pemain perseorangan utama negara, S. Kisona tewas 16-21, 17-21 kepada Sim Yujin dalam aksi pertama, manakala beregu ke-14 terbaik dunia Baek Ha Na-Seong Seung Yeon mudah menewaskan pasangan negara Valeree Siow-Pearly Tan 21-15, 21-14.

Nama Siti Nurshuhaini turut menjadi buah mulut dalam kalangan peminat badminton tanah air apabila kemenangannya pada perlawanan ketiga menentang Hina Akechi dari Jepun 21-16, 22-20 dalam aksi Kumpulan Y Selasa lepas, memberi inspirasi kepada Malaysia untuk bangkit daripada ketinggalan, seterusnya menang 3-2 ke atas juara bertahan itu.

Ditanya mengenai prestasi Kisona, Choong Hann berkata pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 itu, menunjukkan peningkatan selepas bergelut dengan prestasi tidak menentu selain dijangkiti Covid-19 tahun lepas.

“Kisona memang ada peningkatan dari segi pergerakan dalam gelanggang, namun perlu sedikit masa lagi untuk menjadi lebih kuat,” katanya.

Sementara itu Choong Hann mengakui jurang kem perseorangan wanita negara masih besar jika dibandingkan dengan kuasa besar dunia lain terutamanya dari segi mental dan fizikal, namun yakin mereka boleh mempamerkan cabaran lebih sengit pada masa depan apabila barisan kejurulatihan bertindak meningkatkan intensiti latihan kepada pemain ketika ini.

Walaupun tidak berupaya ke final BATC 2022, skuad wanita Malaysia masih boleh berbangga terhadap pencapaian mereka apabila menepati sasaran ke separuh akhir, seterusnya menyaksikan Malaysia secara automatik ke Piala Uber yang dijadual berlangsung di Bangkok, Thailand, Mei ini.

Sementara itu jurulatih perseorangan Korea Selatan kelahiran Malaysia Wong Tat Meng berkata beliau berpuas hati dengan keazaman tinggi ditunjukkan barisan muda negara itu dalam kejohanan kali ini.

Justeru Tat Meng yang pernah menjadi jurulatih di BAM, berharap para pemainnya dapat melakukan yang terbaik menewaskan Indonesia pada aksi final esok dalam usaha muncul juara buat kali pertama di BATC selepas bergelar naib juara edisi 2020, yang merupakan pencapaian terbaik mereka setakat ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Siti Nurshuhaini akui kurang fokus, berdebar lawan Korea Selatan

SHAH ALAM, 19 FEB: Kurang fokus selain berdebar antara punca Siti Nurshuhaini Azman tewas di tangan Korea Selatan pada aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022.

Meskipun kecewa, namun pemain perseorangan berusia 18 tahun itu menjadikan kekalahan dalam perlawanan hari ini sebagai sumber kekuatan untuk melangkah lebih jauh.

“Agak kecewa juga kerana tidak dapat beraksi seperti menewaskan Jepun hari itu. Mungkin kerana saya terlalu berdebar dan tidak dapat ikut lenggok gaya bermain pihak lawan.

“Tetapi saya bangga dapat wakili Malaysia ke peringkat separuh akhir. Insya-Allah akan jadikan pengalaman hari ini sebagai sumber kekuatan pada masa depan,” katanya ditemui di Pusat Konvensyen Setia City.

Pemain muda itu turut mengakui sedikit tertekan selepas dua perlawanan perseorangan dan beregu wanita negara tewas kepada lawan masing-masing dalam aksi pagi tadi.

“Mungkin agak tertekan sehingga hilang fokus tetapi pengadil minta bertahan, saya cuba buat yang terbaik pada masa akan datang,” katanya.

Siti Nurshuhaini yang memberi saingan sengit tewas di tangan Lee Se Yeon 21-11, 15-21 dan 21-13 sekali gus menoktahkan perjuangan skuad negara ke peringkat akhir.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Siti Nurshuhaini bersedia diturunkan pemain utama negara berdepan India

SHAH ALAM, 16 FEB: Siti Nurshuhaini Azman bersedia diturunkan sebagai pemain pertama menentang India pada saingan kedua peringkat kumpulan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 petang ini.

Pemain perseorangan ketiga berusia 18 tahun itu berazam mempamerkan aksi terbaik seperti dilakukan semalam ketika membenam pemain Jepun, Hina Akechi 21-16, 22-20.

“Seandainya turun sebagai pemain pertama, insya-Allah saya sedia menggalas tanggungjawab itu.

“Perlawanan esok (hari ini) bertemu India mungkin lebih mudah dari Jepun, tetapi saya tetap kena buat yang terbaik dengan mengubah corak permainan dan bertahan dalam gelanggang,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Setia City di sini.

Pemain perseorangan wanita negara Siti Nurshuhaini Azman bercakap kepada media ketika Kejohanan Badminton Berpasukan Asia Selangor 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 15 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Mengulas perlawanan pertama semalam, pemain pada kedudukan ke-311 dunia itu mengakui sedikit tertekan selepas dua pemain perseorangan wanita negara tewas kepada lawan masing-masing.

Bagaimanapun, Nurshuhaini yang berasal dari Rawang, Selangor enggan menjadikannya halangan untuk mencari mata pertama buat negara.

“Ada sedikit (takut), tetapi saya cuba untuk dapatkan mata demi mata. Walaupun pada pusingan kedua agak ketinggalan, namun saya cuba bangkit dan keluarkan segala (strategi) yang ada,” katanya.