Categories
SELANGOR

Mohd Hanis, Zulaikha Menang Anugerah Khas MB

SHAH ALAM, 31 MAC : Seramai 432 orang pelajar pelbagai jurusan menerima sijil dan diploma kemahiran masing-masing di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Majlis Konvokesyen INPENS International College kali ke 16 ini berlangsung dengan jayanya dan beberapa anugerah diberikan kepada para pelajar berkat hasil usaha gigih yang mereka lakukan selama ini.

Anugerah Khas Menteri Besar Selangor berupa trofi, piala pusingan, sijil dan wang tunai diberikan kepada Mohammad Hanis Abdul Malek, 24 dan Siti Zulaikha Mohamad Kamal, 20, yang menunjukkan prestasi membanggakan dalam bidang akademik dan kokurikum masing-masing.

Hanis, yang berasal dari Johor Bahru ini menunjukkan ciri-ciri ketokohan kerana menjadi Ketua Platun kawalan Kehormat Pertahanan Awam ketika di INPENS dan kini bekerja sebagai Service Advisor di Suzuki Motor Sdn Bhd.

Pemegang Diploma Eksekutif Automobil ini turut mencipta mini skuter yang kreatif ketika melaksanakan projek tahun akhirnya dan menyimpan cita-cita ingin membangunkan industri permotoran di negara ini.

Sementara itu, Siti Zulaikha, beliau aktif dalam menyertai pelbagai program seperti perkhidmatan gunting rambut secara percuma serta beberapa kursus dandanan rambut merasa terharu dengan anugerah yang diberikan kepadanya.

Selain itu, pemegang sijil pendandan rambut ini turut menyimpan cita-cita ingin menjadi seorang pakar rujuk dalam bidang dandanan suatu hari nanti dan kini telah bekerja sebagai tenaga pengajar muda di pusat kecantikan di bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Shah Alam.

Anugerah-anugerah yang disediakan mendapat tajaan dari beberapa syarikat korporat seperti PNSB Insurance Broker Sdn Bhd, Lembaga Zakat Selangor, Proton Holding Berhad, PERODUA group of Companies, UMW Toyota Motor Sdn Bhd, PKNS dan Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN).

Majlis ini dihadiri Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Presiden INPENS, Datuk Dr. Mohd Mydin Mohd Sherif, Pengerusi Lembaga Pengarah INPENS, Datuk Dr. Rosti Saruwono dan Exco-exco Selangor, Dr. Xavier Jayakumar dan Dr. Ahmad Yunus Hairi.

Kampus INPENS di Kuala Selangor ini berjaya melahirkan ramai graduan dalam bidang kemahiran dan sering berusaha meningkatkan kualiti graduannya supaya mendapat tempat di dalam bidang pekerjaan di Malaysia.