Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tutup sekatan jalan di sempadan negeri mulai tengah malam ini

SHAH ALAM, 10 OKT: Polis akan menutup semua sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri seluruh negara, bermula tengah malam ini, kata Ketua polis negara.

Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata penutupan itu susulan pengumuman kerajaan membenarkan rentas negeri bermula esok.

Bagaimanapun, sekatan jalan raya di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Op Benteng serta cegah jenayah dan keselamatan dikekalkan.

“Meskipun tiada sekatan jalan raya di sempadan negeri, PDRM akan tetap menggerakkan pasukan tatacara operasi piawai (SOP) bagi memastikan masyarakat sentiasa mematuhi SOP.

“Pemeriksaan ini akan dijalankan pihak berkuasa secara rawak di lokasi tumpuan umum, berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini perdana menteri mengumumkan kebenaran pergerakan rentas negeri kepada individu lengkap vaksin bermula esok.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pergerakan itu boleh dilakukan tanpa memerlukan kebenaran polis.

Categories
AGENDA NASIONAL

Rentas negeri: Surat Miti tidak diterima mulai 18 hingga 21 Julai

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Polis Diraja Malaysia tidak menerima dokumen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), sebagai kelulusan pergerakan yang sah bagi tempoh empat hari mulai 18 hingga 21 Julai ini, untuk pergerakan rentas negeri.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ini susulan pihaknya mengesan peningkatan bilangan kenderaan di lebuh raya untuk tempoh dua hari, kebelakangan ini.

“Semua sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri diarahkan untuk meningkatkan penguatkuasaan, dan tidak menerima dokumen MITI sebagai kelulusan pergerakan yang sah.

“Ini bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab, daripada menyalahgunakan surat kebenaran MITI sebagai kelulusan merentas negeri, untuk sambutan Hari Raya Aidiladha,” katanya dalam kenyataan malam tadi

Bagaimanapun, Acryl Sani berkata larangan tersebut tidak terpakai bagi urusan kecemasan dengan kebenaran polis, serta urusan kesihatan termasuk vaksinasi.

Jelasnya lagi, mana-mana pihak yang didapati melanggar larangan ini, akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi dan masyarakat turut dinasihatkan untuk bersama memainkan peranan dalam melandaikan lengkuk jangkitan wabak Covid-19.

— BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Rempuh sekatan jalan raya, bekas ratu cantik tumbuk polis ditahan

PETALING JAYA, 8 JULAI: Polis menahan bekas ratu cantik negara kerana menumbuk anggota polis dan merempuh sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Persekutuan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, suspek berusia 28 tahun berkenaan bertindak agresif dipercayai akibat mabuk.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata wanita berkenaan memandu kenderaan bersama rakannya dari Kuala Lumpur ke Petaling Jaya.

“Setibanya di SJR Lebuhraya Persekutuan, suspek tidak memberhentikan kenderaan dan merempuh sekatan berkenaan.

“Anggota kereta peronda polis (MPV) mengejar kenderaan suspek sebelum berjaya menahannya. Namun, suspek bertindak menumbuk anggota polis berkenaan ketika cuba ditahan,” lapor Harian Metro.

Mohamad Fakhruddin berkata ujian air kencing terhadap suspek dan rakannya mendapati mereka positif ganja.

“Suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26 (2) Akta Polis, Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

80 peratus polis Selangor dikerah pantau PKPD

SHAH ALAM, 2 JULAI: Sebanyak 80 peratus daripada hampir 14,000 anggota polis di Selangor akan terbabit dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lebih 30 mukim mulai esok.

Ketua polis Selangor berkata antara penugasan yang dilakukan adalah menempatkan anggota di sekatan jalan raya (SRJ), pasukan pemantau di beberapa lokasi bagi memastikan tiada aktiviti merentas dan pemeriksaan di kawasan perkilangan.

“Secara keseluruhan kita ada hampir 14,000 keanggotaan dan kita akan gunakan sekurang-kurangnya 80 peratus kekuatan yang ada ini untuk tujuan operasi Covid-19.

“Kita mempunyai 140 SJR secara kekal dan sekatan secara mobil dengan bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Malah kita juga menjalankan pemeriksaan di mana-mana laluan dalam tempoh sejam ke dua jam bagi mengekang aktiviti merentas,” kata Datuk Arjunaidi Mohamed.

Beliau berkata demikian dalam program ‘Bual Bicara PKPD di Selangor: Yang Perlu Anda Tahu’ yang disiarkan secara langsung di Media Selangor.

Arjunaidi dalam pada itu mengakui pihaknya berdepan cabaran susulan terdapat 34 mukim yang dikenakan PKPD dan 21 mukim lagi masih dikenakan PKP.

“Ada yang bertanya adakah polis akan letakkan kawat duri, kalau nak letak di kawasan PKPD ianya tidak mencukupi jadi apa yang boleh kita lakukan adalah meletakkan SJR di laluan kebiasaan orang ramai merentas,” katanya.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan PKPD akan dilaksana di 34 mukim di lapan daerah Selangor selama 14 hari bermula esok dan dijadual berakhir 16 Julai.

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Permit pergerakan tamat tempoh 14 Jun masih diterima

PUTRAJAYA, 12 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menerima surat atau permit pergerakan pekerja sektor ekonomi perlu yang tamat tempoh pada 14 Jun sehingga sekatan pergerakan penuh tamat pada 28 Jun ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata langkah itu bagi tujuan penyelarasan penguatkuasaan kawalan pergerakan di sekatan jalan raya (SJR).

“Susulan keputusan kerajaan melanjutkan sekatan pergerakan penuh hingga 28 Jun, PDRM akan terus menerima surat atau permit pergerakan yang dikeluarkan 12 kementerian dan agensi yang telah dipersetujui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam sidang media rangkuman operasi pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) sekatan pergerakan penuh, di sini hari ini.

Hamzah berkata polis melakukan hampir 1,000 SJR dan menutup 129 jalan kecil yang dikenal pasti menjadi laluan alternatif orang awam untuk melanggar larangan rentas negeri dan daerah.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati memalsukan permit pergerakan atau memberikan maklumat palsu kepada pihak berkuasa bagi mendapatkan permit kebenaran.

Mengenai tindakan penguatkuasaan pematuhan SOP, Hamzah berkata PDRM telah mengeluarkan 9,808 kompaun dan melakukan 542 tangkapan atas pelbagai kesalahan pelanggaran SOP, sejak 1 Jun hingga semalam.

Menurutnya Kementerian Dalam Negeri akan terus mempertingkat pemantauan pematuhan SOP menerusi PDRM, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia serta Jabatan Pendaftaran Negara.

Dalam perkembangan lain, Hamzah memberi amaran tindakan tegas akan dikenakan ke atas individu yang mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan terhadap institusi raja-raja.

Beliau berkata pihaknya mendapati terdapat peningkatan kes penghinaan terhadap institusi raja-raja yang tular di media sosial ketika ini.

“Yang boleh menyebabkan gangguan ketenteraman awam, kita akan ambil tindakan mengikut lunas perundangan dalam negara kita ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SJR untuk cegah wabak merebak, bukan mahu susahkan rakyat

PUTRAJAYA, 6 JUN: Meskipun sudah lebih setahun Malaysia berdepan pandemik Covid-19, masyarakat masih gagal untuk memahami keperluan sekatan pergerakan, yang bertujuan untuk mengekang risiko penularan dari satu tempat ke tempat yang lain.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali berkata, tindakan segelintir orang awam di Putrajaya cuba membolos sekatan jalan raya (SJR) dengan merosakkan penghadang jalan, ‘blinker’, membuka laluan alternatif serta memandu secara lawan arus, selepas 10 jalan bersempadan Selangor ditutup sejak pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, pada 1 Jun.

“Kita dapati laluan alternatif dibuat penduduk tinggal bersempadan Putrajaya seperti Dengkil untuk masuk pusat pentadbiran. Di Jalan 7G menghala masuk Putrajaya Sentral, kita dapati banyak kenderaan melawan arus untuk keluar ke arah Puchong, kerana jalan keluar telah ditutup.

“Sekatan di beberapa jalan namun orang awam masih mencari ruang untuk memudahkan perjalanan dan melepasi SJR yang ditetapkan. SJR bukan bertujuan menyusahkan orang ramai, tetapi mengurangkan risiko penularan dan melindungi kawasan daripada jangkitan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas melakukan tinjauan di beberapa kawasan yang masih menjadi laluan keluar masuk orang awam ke Putrajaya dari kawasan bersempadan Selangor, antaranya Dengkil, Puchong, Bangi dan Kajang, di sini hari ini.

Selain itu Mohd Fadzil berkata, tinjauan di Taman Cabaran Presint 5 mendapati, ‘laluan tikus’ di sempadan Tanah Perkuburan Presint 20 mendapati, motorsikal dan penunggang perkhidmatan penghantaran makanan mencari laluan terdekat untuk memasuki Putrajaya, serta berlakunya perbuatan vandalisme terhadap penghadang jalan dan ‘blinker’ yang dipecahkan, kerana rasa kurang puas hati dengan penutupan jalan.

Beliau berkata, tindakan orang awam itu boleh disiasat di bawah Seksyen 269/270 Kanun Keseksaan, kerana perbuatan cuai atau jahat yang mungkin menyebabkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa.

Mohd Fadzil berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya telah mengeluarkan sebanyak 16 kompaun sejak sekatan pergerakan penuh dilaksanakan pada 1 Jun, di mana pada Jumaat sebanyak tujuh kompaun kerana merentas negeri dan daerah tanpa surat sah dan kebenaran, dan semalam enam saman trafik terhadap individu memandu melawan arus.

Beliau berkata, SJR di empat lokasi mendapati kesesakan berikutan 10 jalan susur keluar Putrajaya ditutup, dan ini menunjukkan tindakan itu wajar dalam membolehkan pemeriksaan lebih rapi di SJR, serta memastikan pergerakan keluar masuk orang awam lebih terkawal dengan surat kebenaran rasmi dan urusan kecemasan.

Empat lokasi SJR statik di Putrajaya terletak di Lebuh Sentosa menghala keluar ke Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Persiaran Selatan menghala keluar ke Dengkil (Presint 5), Pintu 2A Persiaran Utara menghala keluar ke Hospital Serdang (Presint 12) dan Pintu 3 Persiaran Utara menghala keluar ke Puchong (Presint 9).

Mohd Fadzil meminta penduduk Putrajaya dan orang awam supaya bersabar sehingga 14 Jun ini, serta memahami keperluan penutupan jalan dan SJR, dalam usaha membendung risiko penularan Covid-19 sekali gus memutuskan rantaian jangkitan.

Beliau turut melahirkan rasa kesal, atas tindakan kakitangan jabatan dan agensi kerajaan yang menggunakan laluan khas untuk petugas barisan hadapan di SJR, untuk mengelakkan sekatan dan mempercepatkan perjalanan.

Katanya polis tidak menghalang orang awam memasuki Putrajaya, namun perlu menunjukkan surat kebenaran rentas yang sah, serta menasihati kakitangan jabatan dan agensi kerajaan yang bukan tergolong sebagai petugas barisan hadapan, untuk merancang perjalanan dengan baik dan mengikuti setiap peraturan yang telah ditetapkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banyak lagi kenderaan, menteri anggar hingga 1,000 sekatan di KL, Selangor

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Bilangan sekatan jalan raya (SJR) khususnya di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor akan ditambah berikutan jumlah kenderaaan di jalan raya masih banyak di sebalik penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau menganggarkan hingga 1,000 sekatan akan diadakan setiap hari selepas ini berbanding 930 SJR dan operasi benteng ketika ini.

“Semalam beberapa kawasan yang saya lihat, masih banyak kenderaan menggunakan jalan raya maka saya telah berbincang dengan Ketua Polis Negara (Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani) untuk menambah lagi sekatan jalan raya di kawasan-kawasan tertentu, khususnya di dua negeri berkenaan (Kuala Lumpur dan Selangor).

“Selain itu, saya juga telah buat tinjauan di Pulau Pinang dan mendapati penggunaan kenderaan di sana juga masih tinggi di sesetengah kawasan,” katanya pada sidang media selepas membuat lawatan mengejut pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di sebuah pusat beli-belah, di sini hari ini.

Negara kini berada di bawah sekatan pergerakan penuh yang berkuat kuasa sejak 1 Jun lepas hingga 14 Jun ini dalam usaha kerajaan menangani peningkatan kes Covid-19 yang terlalu tinggi.

Mengenai pematuhan SOP di pusat beli-belah tersebut, beliau mahu pemantauan dipertingkat di pintu masuk premis bagi memastikan setiap SOP dipatuhi orang ramai.

“Seperti yang kita tahu, rakyat di negara ini sekiranya ada cuti iaitu pada Sabtu dan Ahad kebiasaannya mereka ini akan keluar rumah dan menjadikan pusat beli-belah seolah-olah tempat riadah.

“Saya hendak memaklumkan kepada rakyat semua, tolonglah duduk di rumah kecuali mereka benar-benar memerlukan untuk membeli barang (keperluan asas) tetapi kalau hendak buat pertemuan, saya minta pasukan pemantau ini memperketat penguatkuasaan,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah memohon maaf kepada orang ramai sekiranya ada kekerasan membabitkan pasukan pemantauan SOP memandangkan terdapat orang ramai yang masih degil melanggar SOP.

“Mereka (pasukan pemantau SOP) berbuat demikian untuk memastikan orang ramai mengikut SOP dengan betul,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis terima surat daripada mana-mana kementerian di sekatan jalan raya

SHAH ALAM, 2 JUN: Polis menerima surat yang dikeluarkan oleh mana-mana kementerian atau jabatan bagi urusan kerja di sekatan jalan raya (SJR).

SAC Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, M V Srikumar M Nair berkata, arahan itu daripada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

“Ketua Polis Negara telah memutuskan dan mengarahkan supaya kita menerima pakai semua surat pergerakan baik daripada MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), kementerian atau jabatan walaupun selepas dua tiga hari yang dikatakan diberi kelonggaran kita tetap benarkan pemakaian surat-surat ini.

“Harap tuan-tuan dan puan-puan maklum kepada semua bahagian yang menjalankan sekatan jalan raya,” katanya menerusi video yang dikongsikan Facebook Kementerian Pengangkutan, malam ini.

Pada 31 Mei, Acryl Sani berkata semua sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi perlu mendapatkan surat kebenaran pergerakan baharu daripada MITI.

Surat kebenaran pergerakan dikeluarkan MITI ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini tidak boleh diguna pakai lagi dan mereka perlu membuat permohonan baharu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Plaza tol Jalan Duta sesak bukan sebab balik kampung – polis

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Polis menafikan kesesakan jalan raya di Plaza Tol Jalan Duta pada 31 Mei lalu, berpunca daripada orang ramai yang dalam perjalanan pulang ke kampung seperti tular di media sosial, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata, semakan kandungan video berkenaan mendapati, kesesakan sepanjang tiga kilometer sebelum plaza tol itu berlaku antara 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang, pada tarikh berkenaan.

“Punca utama kesesakan adalah kerana pemeriksaan rapi oleh pihak polis, bagi memastikan orang awam mengikuti tatacara operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan, dan hasil pemeriksaan secara menyeluruh mendapati kenderaan-kenderaan itu mempunyai surat kebenaran merentas negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkefly berkata, kesesakan itu juga disebabkan orang ramai keluar membuat pelbagai urusan penting, sebelum bermulanya sekatan pergerakan penuh.

Beliau berkata pada tarikh dan masa berkenaan, pihaknya telah memeriksa kira-kira 4,536 kenderaan yang melalui plaza tol itu.

“JSPT KL akan terus membuat pemeriksaan secara terperinci, bagi memastikan tiada pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan 3.0, dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, aliran trafik di plaza tol berkenaan pada semalam mencatatkan penurunan sebanyak 66 peratus.

“Pemantaun berterusan oleh JSPT mendapati tiada sebarang kesesakan dikesan di semua sektor lebuh raya dan sekatan jalan raya selepas fasa PKP 3.0 dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menggesa orang ramai untuk menghentikan sebarang penyebaran mesej tidak benar dan sentiasa memastikan kesahihan sesuatu fakta sebelum dimuat naik atau dikongsi dalam laman sosial dan sebagainya.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Empat sekatan jalan raya di PJ kekal sepanjang PKP

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Polis Petaling Jaya akan mengekalkan empat sekatan jalan raya (SJR) di daerah itu susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor termasuk daerah Petaling bermula 6 hingga 17 Mei.

Di daerah Petaling Jaya, empat lokasi SJR yang dikekalkan ialah di SJR Tol Sungai Buloh, SJR Tol Kota Damansara, SJR Tol Damansara dan SJR Tol Subang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata pihaknya juga akan menambah kekuatan pasukan pemantauan tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang pelaksanaan PKP selain akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar terus mematuhi SOP supaya jaringan wabak Covid-19 dapat diputuskan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis, tentera buat sekatan jalan raya seluruh negara kekang Covid-19

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Penugasan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mengurangkan pergerakan rakyat selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula tengah malam semalam dengan pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara.

Pemantauan terhadap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan wabak Covid-19, yang semakin meningkat kini, turut dilaksanakan terutama di kawasan tumpuan.

Tinjauan Bernama di seluruh negara mendapati keadaan trafik bergerak lancar di kebanyakan jalan utama terutama di ibu negara dan ibu negeri yang lazimnya sesak pada sebelah pagi.

Di Kuala Lumpur, polis mengadakan 39 SJR di enam lokasi dan menempatkan seramai 1,291 pegawai dan anggota polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata setakat ini pihaknya belum mengeluarkan kompaun terhadap mereka yang ingkar SOP yang ditetapkan ketika PKP.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata bilangan kenderaan memasuki daerah ini adalah seperti biasa dan pihaknya akan terus membuat pantauan di kawasan dikenal pasti untuk memastikan pematuhan SOP pada tahap maksimum selain pemeriksaan semasa SJR.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe pula berkata pihaknya mengadakan tujuh SJR di daerah itu antaranya di Plaza Tol Gombak menghala ke Bentong, Pahang dan dari Bentong ke Kuala Lumpur, selain turut membuat SJR di Rawang serta Selayang.

Di Negeri Sembilan, hari pertama pelaksanaan SJR yang bermula tengah malam semalam berjalan lancar walaupun aliran trafik di plaza tol susur keluar masuk dari Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) tol Senawang sedikit sesak.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata terdapat 17 SJR di seluruh negeri ini melibatkan Jalan Lubok China- Melaka, Sungai Lui-Pahang, Tampin-Melaka dan Port Dickson-Sepang serta di plaza tol susur keluar masuk dari Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Tol Pedas, Tol Seremban-Labu, Tol Nilai-Plus, Tol Pajam-Mantin dan Tol Setul-Lekas.

Di Melaka, sebanyak 14 SJR secara tetap dan 11 SJR secara bergerak dilaksanakan dalam tempoh dua minggu PKP.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata sebanyak 10 SJR dilaksanakan di daerah Alor Gajah, Melaka Tengah (lapan) dan Jasin (tujuh), membabitkan 700 pegawai dan anggota polis serta tentera yang ditugaskan secara bergilir-gilir di 25 sekatan yang dilaksanakan sepanjang 24 jam itu.

Di Johor, tinjauan Bernama pada tengah malam semalam mendapati polis mula melakukan persiapan untuk berkawal di SJR terutama di Plaza Tol Skudai arah Selatan seawal pukul 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata SJR di Kulai melibatkan Plaza Tol Skudai, Lebuhraya Kulai, Senai Utara dan Sedenak dengan setiap SJR mempunyai seorang pegawai dan lima anggota yang berkawal selama 24 jam.

Di Perak, jumlah kenderaan di kedua-dua arah di Lebuhraya Utara Selatan sepanjang 222 kilometer di negeri ini berkurangan susulan larangan rentas negeri semasa tempoh PKP, PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan selama 14 hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mazuki Mat berkata sebanyak 16 SJR didirikan di Perak susulan larangan rentas negeri di seluruh negara itu.

Di Kedah, sebanyak 18 SJR dilaksanakan di negeri ini dalam tempoh pelaksanaan PKP Bersyarat yang melibatkan keanggotaan pasukan barisan hadapan hampir 500 anggota polis termasuk tentera.

Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan berkata terdapat 86 pasukan pemantauan bergerak dari satu tempat ke satu tempat di negeri ini semasa PKP Bersyarat ini bagi mengekang penularan Covid-19.

Di Perlis, sebanyak sembilan SJR dilaksanakan dalam tempoh PKP Pemulihan bermula pada 12.01 tengah malam tadi.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata sembilan SJR di negeri ini melibatkan tiga SJR Op Benteng dan enam SJR sempadan negeri.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menyatakan lebih 300 SJR dan mungkin berganda bergantung kepada situasi semasa di seluruh negara.

Beliau berkata SJR ini dilaksanakan di setiap jalan keluar plaza tol di lebuh raya dan jalan-jalan Persekutuan yang menghubungkan dua buah negeri yang terdapat PKP serta PKP Bersyarat.

Di Serdang, empat SJR diadakan pihak berkuasa melibatkan beberapa laluan di daerah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razali Abu Samah berkata lokasi SJR itu termasuk di Lebuhraya Bukit Jalil di bawah Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Kinrara 5; Jalan Puchong ke Klang Lama; Jalan Putra Permai dan Jalan Utama Serdang Raya Seksyen 8.

“Sehingga petang ini, sebanyak 4,178 kenderaan diperiksa melibatkan 6,497 individu di kesemua SJR terbabit. Mereka yang tidak mempunyai dokumen lengkap untuk melakukan perjalanan diminta berpatah balik,” katanya kepada pemberita ketika memeriksa kenderaan di SJR di Bandar Kinrara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tindakan tegas jika ingkar SOP PKP – polis

PUTRAJAYA, 13 JAN: Polis Putrajaya akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri bermula hari ini hingga 26 Januari.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya ASP Marlizan Pa’adek berkata tindakan tegas akan diambil pada PKP kali ini kerana situasi Covid-19 yang membimbangkan dengan kes harian yang tinggi.

“Dalam dua hari ini kita akan bagi nasihat dan teguran kepada masyarakat kerana mereka terlalu bebas selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat pada 6 Disember lepas.

“Lepas itu, tindakan tegas perlu diambil kerana masyarakat harus pandang serius penularan Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi sekatan jalan raya (SJR) di Lebuh Sentosa menghala Lebuhraya Maju Expressway (MEX), di sini hari ini.

Marlizan berkata SJR akan dilaksanakan di empat lokasi di Putrajaya iaitu Lebuh Sentosa menghala Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Persiaran Selatan menghala Dengkil, Persiaran Utara menghala Hospital Serdang dan Persiaran Utara menghala Puchong.

Selain itu, beliau berkata langkah kawalan tambahan turut diambil dengan menutup semua ‘laluan tikus’ yang menghubungkan Putrajaya dengan kawasan bersempadanan termasuk laluan ke Cyberjaya, Dengkil, Pinggiran Putra, Bangi dan Puchong, serta operasi pematuhan akan dijalankan di kedai makan, tapak penjaja, lokasi trak makanan dan pasar raya untuk memastikan masyarakat patuh SOP.

“Operasi kali ini membabitkan kekuatan 164 anggota terdiri daripada 22 pegawai dan 82 anggota serta 60 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya.

Beliau berharap masyarakat perlu ada kesedaran diri untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha membendung penularan Covid-19 dan terus mematuhi SOP kerana kes harian yang semakin meningkat adalah ancaman kepada negara dan komuniti.

Pada Isnin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan semula PKP selama 14 hari di enam negeri berkuat kuasa 12.01 tengah malam tadi hingga 26 Januari. Negeri yang terbabit ialah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Ia susulan hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kerana tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya hampir mencapai kapasiti maksimum.

– BERNAMA