Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar mahu penjelasan penuh dakwaan salah guna kuasa Bank Negara

SHAH ALAM, 1 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan persekutuan memberi penjelasan penuh isu dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua pembangkang dalam sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini menegaskan tindakan tersebut perlu disegerakan berikutan pembongkaran kes itu pada peringkat antarabangsa.

“Kita mahu ada penjelasan menyeluruh sebab belum ada pengesahan daripada BNM, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

“Proses siasatan sudah 10 tahun berlalu tapi belum ada laporan dan keterangan selain pendakwaan dalam aspek tertentu melibatkan bekas perdana menteri,” kata ahli parlimen Port Dickson itu.

Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun membenarkan Anwar membahas keterangan bekas Pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara Tim Leissner di Mahkamah Amerika Syarikat dalam Kamar Khas.

Pada 28 Februari, Anwar mengemukakan usul bagi membincangkan dakwaan berkenaan.

Sebelum ini, Leissner dalam keterangannya memberitahu BNM membenarkan pemindahan keluar wang AS$1 bilion daripada 1MDB kepada PetroSaudi International (PSI).

Bagaimanapun, BNM pada Khamis menjelaskan semua pelaburan di luar negara oleh entiti pemastautin tertakluk bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang (AKPW) 1953.

Categories
AGENDA NASIONAL

Laporan C4 tidak bertanggungjawab, Yawas gesa tarik balik

SHAH ALAM, 15 APRIL: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menggesa Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) supaya menarik balik laporan yang mengaitkannya dengan skandal kewangan.

Menegaskan dakwaan badan bukan kerajaan itu tidak berasas, pengurus besarnya berkata gambaran dalam dokumen bertajuk ‘Foundations and Donations: Political Financing, Corruption and the Pursuit of Power’ tidak bertanggungjawab.

“Cara laporan dan penyenaraian seperti ini tanpa semakan fakta dan ulasan yang lanjut daripada Yawas telah mengundang persepsi yang salah dan negatif… seterusnya menjejaskan imej Kerajaan Negeri.

“Atas prinsip laporan yang adil, bahagian berkenaan Yawas dalam laporan C4 perlu ditarik balik,” kata Gan Pei Nei dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata yayasan tersebut sentiasa mematuhi tadbir urus korporat yang ditetapkan undang-undang, malah tatacara pengurusan Yawas terikat dengan ketetapan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Gan juga menjelaskan penyata kewangan tahunan Yawas juga disemak oleh audit luar selain dipantau Jabatan Audit Dalaman Menteri Besar Pemerbadanan (MBI).

“Malahan, pengauditan yang dijalankan oleh pihak Audit Negara terhadap Yawas pada 2018 mendapati pengurusan Yawas berada di tahap pencapaian yang memuaskan,” katanya.

Dalam laporan tersebut, Yawas disenarai dalam lampiran jadual seiring skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan skandal melibatkan ahli politik Umno-BN.

Categories
AGENDA JENAYAH

1MDB: Pendengaran lucut hak wang Jakel Trading 7 Februari

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 7 Februari untuk mendengar permohonan pihak pendakwaan bagi melucut hak wang berjumlah RM628,314 disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Jakel Trading yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memberitahu mahkamah bahawa kedua-dua pihak telah memfailkan afidavit berhubung permohonan itu.

“Saya memohon satu tarikh untuk pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis,” katanya semasa pengurusan kes itu hari ini yang turut dihadiri peguam Thevini Nayagam mewakili Jakel Trading selaku responden.

Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis pada 30 Januari ini.

Dalam sidang akhbar sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata permohonan pelucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) yang suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Categories
AGENDA NASIONAL

Skandal 1MDB: Wang RM4.901 juta daripada Yayasan Permata kini hak kerajaan

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Wang berjumlah RM4.901 juta yang disita daripada Yayasan Permata Malaysia didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini menjadi hak Kerajaan Malaysia.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nik Haslinie Hashim memohon satu perintah kepada mahkamah supaya harta itu dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

Yayasan Permata Malaysia, yang kini dikenali sebagai Yayasan GENIUS Malaysia yang diwakili Setiausaha Lembaga Pemegang Amanah Yayasan itu Dr Noraisah Spahat, memberitahu mahkamah bahawa pihaknya bersetuju dan tidak membantah harta itu dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

“Pihak Yayasan telah bersetuju untuk tidak menuntut pada harta itu dan bersetuju untuk menyerahkan wang itu kepada Kerajaan Malaysia,” katanya ketika ditanya Hakim Sequerah sama ada pihak Yayasan membantah atau tidak terhadap permohonan lucut hak itu.

Permohonan melucut hak itu dibuat pendakwa raya mengikut Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Sementara itu, dalam kes bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam, pendakwaan memaklumkan bahawa penyiaran pewartaan notis untuk pihak ketiga telah dibuat dan notis umum difailkan melalui sistem e-filing pada 22 Ogos lepas.

Bagaimanapun, Nik Haslinie berkata tiada pihak ketiga yang hadir ke mahkamah untuk menuntut aset yang disita daripada Kasitah dan mahkamah menetapkan 10 September untuk pendengaran permohonan lucut hak.

Kasitah yang tidak diwakili peguam hadir ke mahkamah.

Pihak pemohon (pendakwaan ) turut memberitahu mahkamah bahawa pewartaan notis kepada pihak ketiga telah disiarkan dalam kes lucut hak melibatkan tujuh pihak lain, namun tiada mana-mana pihak ketiga hadir ke mahkamah untuk menuntut harta itu.

Tujuh pihak itu ialah ahli perniagaan Tan Sri Bustari Yusuf, Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP), Jakel Trading, Mediaedge Cia Malaysia Sdn Bhd dan Yayasan Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (PBAKM).

Peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin mewakili Bustari dan mahkamah menetapkan 4 Oktober untuk pendengaran kes itu.

Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor diwakili peguam Mohd Haziq Dhiyauddin Razali; Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor diwakili peguam Haslina Lily manakala peguam Datuk Jagjit Singh bertindak bagi pihak LDP Sabah.

Jumlah wang yang dimohon kerajaan untuk dilucut hak ialah RM677,872.55 dari Badan Perhubungan UMNO Johor dan LDP Sabah berjumlah RM509,560.96.

Mahkamah menetapkan 4 Oktober untuk pendengaran kes melibatkan UMNO Johor, 18 Okt bagi UMNO Selangor dan LDP Sabah serta 1 November untuk mendengar kes Mediaedge Cia yang diwakili peguam S.Gopal manakala 8 November bagi PBAKM yang diwakili peguam Adzly Ab Manas dan 25 Oktober bagi kes Jakel Trading.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1MDB: 27 September pengurusan kes, warta notis pihak ketiga

KUALA LUMPUR, 19 JUL: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 27 September untuk pengurusan kes bagi permohonan pihak pendakwaan mewartakan notis kepada pihak ketiga yang berkepentingan ke atas wang berjumlah RM677,872.55 yang disita daripada Barisan Nasional (BN) Bahagian Johor Bahru.

Wang tersebut yang disita SPRM tahun lepas dikatakan berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Allan Suman Pillai memohon satu tarikh untuk pihaknya mewartakan notis berkenaan.

Dalam prosiding tersebut, peguam Mohd Haziq Dhiyauddin Razali yang mewakili BN Bahagian Johor Bahru yang dinamakan sebagai responden tidak membantah permohonan pendakwaan selaku pemohon.

Proses pewartaan notis berkenaan dibuat mengikut Seksyen 61(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Mohd Haziq Dhiyauddin turut memaklumkan pihak responden memerlukan masa yang panjang untuk membuat afidavit balasan kepada pendakwaan.

“Pihak responden perlu mengambil kira beberapa isu ini kerana akaun yang dimohon untuk dilucutkan adalah dari BN Bahagian Johor Bahru.

“Perkara ini membabitkan tiga parti komponen yang mana pihak kami perlu mendapatkan arahan khusus daripada parti komponen untuk membalas afidavit,” katanya ketika ditanya Hakim Mohd Nazlan mengapa pihak responden memerlukan tempoh masa yang panjang untuk membalas afidavit tersebut.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 20 Ogos untuk pihak responden memfailkan afidavit balasan dan pihak pendakwaan perlu menjawab sebelum 27 September.

Pewartaan notis itu bagi membolehkan pihak berkepentingan terbabit untuk tampil di mahkamah pada hari yang akan ditetapkan kemudian bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Allan Suman berkata pihak-pihak yang mempunyai kepentingan terhadap wang tersebut boleh hadir ke mahkamah pada tarikh tersebut untuk menuntut wang itu. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Skandal 1MDB : 29 Ogos ditetapkan bagi individu, organisasi tuntut wang RM428,500

KUALA LUMPUR, 18 JUL : Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 29 Ogos bagi mana-mana individu atau organisasi untuk menuntut wang berjumlah RM428,500 yang disita daripada Akademi Pemuda yang dikatakan berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman memberitahu bahawa responden atau wakil responden (Akademi Pemuda) hari ini tidak hadir ke mahkamah semasa sebutan kes itu dan perkara berkenaan dimaklumkan melalui surat kepada mahkamah.

“Dimaklumkan melalui surat kepada mahkamah yang mereka (Akademi Pemuda) tidak akan hadir ke mahkamah dan tiada peguam yang hadir hari ini,” katanya.

Bagi satu lagi responden, Sim Sai Hoon yang diwakili peguam Cheow Wee memberitahu mahkamah bahawa beliau baru sahaja dilantik untuk mewakili pihak responden (Sim Sai) dan memohon satu tarikh untuk memfailkan afidavit balasan daripada pihak pendakwaan.

“Saya baru sahaja dilantik oleh responden dan afidavit telah diserahkan pendakwaan. Jadi saya memohon lebih masa untuk meneliti afidavit,” kata Cheow.

Terdahulu, Cheow membantah notis warta itu atas alasan Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 sepatutnya didengar bersama dan bukannya secara berasingan.

“Pihak kami menyatakan bahawa Seksyen 61(2) seharusnya didengar selepas pelucutan hak di bawah Seksyen 56(1) kerana pada peringkat ini kedua-dua isu (Seksyen 56(1) dan Seksyen 61(2) ) ini sepatutnya dibuat serentak bukan secara Seksyen 61 (2) dahulu atau Seksyen 56(1) dahulu.

“Sememangnya permohonan seharusnya dibuat serentak,” katanya.

Proses pewartaan notis berkenaan dibuat mengikut Seksyen 56(1) dan 61(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah kerana Seksyen 56(1) perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi membolehkan mahkamah mengeluarkan notis warta kepada pihak ketiga secepat mungkin.

Oleh itu, mahkamah menetapkan 16 Ogos untuk pihak responden memfailkan afidavit balasan dan pihak pendakwaan perlu menjawab selewat-lewatnya 30 Ogos.

Mahkamah turut menetapkan 3 Sept untuk mendengar hujahan lanjut pihak terlibat berhubung bantahan terhadap pewartaan notis itu.

Pewartaan notis itu bagi membolehkan pihak berkepentingan terbabit untuk tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan kemudian bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.

-BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

Mana dana RM2.4 bilion patut guna biaya dan naik taraf pengkalan tentera?

OLEH : RAFIZI RAMLI

Saya merujuk kepada kenyataan 1MDB bertarikh 6 Januari 2016 yang jelas cuba mematahkan soalan-soalan yang saya tanya khusus mengenai perkara-perkara berikut:

1. Pembiayaan untuk memindahkan dan menaiktaraf pengkalan-pengkalan tentera udara sebagai sebahagian dari tanggungjawab 1MDB setelah dianugerahkan tanah kerajaan di Sungai Besi

2. Kesan kepada keselamatan negara akibat dari penjualan pegangan di dalam Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) milik 1MDB kepada satu konsortium yang dianggotai oleh syarikat berkaitan Kerajaan China

Jawapan 1MDB pada 6 Januari 2016 sebenarnya mengesahkan kebimbangan saya mengenai (2) iaitu keterlibatan syarikat berkaitan Kerajaan China di dalam projek pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan tentera udara.

RafiziKenyataan 1MDB tempoh hari mengakui bahawa bahawa salah satu pilihan struktur urusniaga yang sedang dibincangkan ialah pembelian ekuiti di dalam BMSB.

Ini selari dengan pengumuman 1MDB sebelum itu bahawa ia telah menjual ekuitinya di dalam BMSB sebanyak 60% kepada konsortium yang dimiliki bersama oleh syarikat berkaitan Kerajaan China itu.

Apabila ini dipadankan dengan pengumuman yang difailkan di Bursa Hong Kong, ia mengesahkan bahawa struktur urusniaga melalui kaedah penjualan ekuiti telah dilaksanakan kerana syarikat berkaitan Kerajaan China itu memfailkan nilai urusniaga ekuiti (bukannya nilai tanah seperti yang diumumkan oleh 1MDB).

Namun yang lebih merunsingkan, penjualan ekuiti kepada konsortium itu sebenarnya mendedahkan satu lagi perkara yang lebih besar – kenapa bebanan kewangan untuk memindahkan dan menaiktaraf pengkalan-pengkalan tentera masih lagi berbangkit sehingga menjadi sebahagian dari urusniaga jual beli ekuiti BMSB; sedangkan 1MDB/BMSB telah meminjam RM2.4 bilion dalam tahun 2014 untuk membiayai kerja-kerja tersebut?

Saya sertakan lampiran-lampiran yang mengandungi terma-terma utama Perjanjian Sukuk Murabahah RM2.4 Bilion yang diterbitkan oleh 1MDB dalam tahun 2014. Saya rujuk kepada mukasurat-mukasurat penting seperti berikut:

1. Mukasurat 6 mengesahkan bahawa BMSB (anak syarikat milik penuh 1MDB) menerbitkan Sukuk Murabahah bernilai RM2.4 bilion

2. Mukasurat 10, 11, 12 mengesahkan bahawa kontrak-kontrak pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan tentera udara/polis udara Sendayan, Ipon, Butterworth, Gong Kedak, Kuantan, Subang (2 kontrak bagi 2 pengkalan berbeza) dan Kajang yang merupakan bayaran balik 1MDB kepada Kerajaan Persekutuan telah dicagarkan sebagai tukaran kepada tanah-tanah yang dianugerahkan

3. Mukasurat 13 dan 14 mengesahkan bahawa dana RM2.4 bilion yang diperolehi 1MDB hasil dari terbitan Sukuk Murabahah ini hanya boleh digunakan untuk 2 tujuan sahaja; iaitu membiayai pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan udara di atas dan membiayai aliran tunainya.

Dalam kenyataannya bertarikh 6 Januari 2016, 1MDB sendiri mengakui bahawa nilai keseluruhan kontrak pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan tentera ini adalah RM2.7 bilion dan sehingga kini, baki pembiayaan yang perlu dikeluarkan 1MDB untuk membayar kontraktor adalan RM1.9 bilion.

Secara mudahnya, mengambil kira bahawa 1MDB telah menerbitkan Sukuk Murabahah berjumlah RM2.4 bilion untuk membiayai kerja-kerja itu – maka persoalan yang paling besar: adakah ini bermakna dari jumlah RM2.4 bilion yang diperolehi itu, hanya RM800 juta yang dibelanjakan bagi kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan tentera (iaitu jumlah projek keseluruhan RM2.7 bilion tolak jumlah baki bayaran RM1.9 bilion)?

Ini bermakna sejumlah RM1.6 bilion dari Sukuk Murabahah yang sepatutnya digunakan untuk membiayai kerja-kerja itu TIDAK DIGUNAKAN bagi tujuan itu. Ke mana dana berjumlah RM1.6 bilion ini dan bagi tujuan apa ia telah digunakan?

Oleh sebab itulah, maka 1MDB tiada pilihan lain kecuali melibatkan pihak swasta di dalam urusniaga melibatkan BMSB sedangkan BMSB telah pun mencagarkan kontrak-kontrak itu sebagai sebahagian dari terbitan Sukuk Murabahah.

Apabila pihak swasta itu pula melibatkan syarikat berkaitan Kerajaan China, sudah tentu ini menimbulkan pertanyaan sejauh mana keterlibatan mereka di dalam keputusan-keputusan mengenai pemindahan dan naiktaraf pengkalan-pengkalan tentera kerana mereka (syarikat China itu) kini adalah pemilik bersama BMSB yang dipertanggungjawabkan dengan kerja-kerja tersebut.

1MDB tidak boleh lari dari soalan-soalan ini dan saya akan terus menyelidik supaya perkara ini dibawa ke pengetahuan umum.

* Rafizi Ramli adalah Naib Presiden dan Setiausaha Agung KEADILAN

1BestariNet:SPRM digesa siasat Muhyiddin

Menyusuli kritikan pedas mantan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Perdana Menteri Najib Tun Razak berhubung skandal 1MDB, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah menerima laporan berhubung projek yang diluluskan ketika Tan Sri Muhyiddin memegang portfolio pendidikan.