Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Penerima Skim Air Darul Ehsan terlibat banjir layak terima pengecualian bil

SHAH ALAM, 5 JAN: Penerima Skim Air Darul Ehsan (SADE) yang terjejas akibat banjir layak menerima pengecualian bayaran bil air selama sebulan.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan penerima layak sekiranya akaun tersebut dikenal pasti sebagai Kod Tarif domestik.

“Bagaimanapun hanya jumlah lebihan bil setelah ditolak pelarasan SADE sahaja yang akan dikecualikan,” katanya menjawab soalan lazim pengecualian bayaran bil pelanggan.

Dalam pada itu, Air Selangor turut memaklumkan pihaknya menimbangkan untuk membuat penyambungan semula bekalan air sebelum atau tanpa bayaran kepada mangsa banjir.

Namun agensi tersebut menjelaskan pengguna masih perlu membuat pembayaran untuk tunggakan tersebut.

Selain itu Air Selangor turut memaklumkan akan menanggung kos penggantian meter patah atau hilang akibat banjir.

Sekiranya tiada rebat diberikan pada bil Januari atau caj masih dikenakan pada Februari, pengguna diminta menghubungi Air Selangor di talian 15300 atau pusat bantuan www.airselangor.com .

Semalam, Air Selangor memaklumkan memberi pengecualian bayaran bil air pada bulan ini kepada pengguna akaun Domestik (Kod Tarif 10) di Selangor dan Kuala Lumpur yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini.

Syarikat pengurusan air negeri itu dalam kenyataan memaklumkan pengecualian tersebut merupakan sebahagian daripada Program Bantuan Selangor Bangkit (BSB) diumumkan Kerajaan Selangor.

Bil air bulanan akan terus dikeluarkan sepanjang tempoh tersebut namun pengguna yang layak tidak perlu membayar bagi tempoh dinyatakan.