Categories
SELANGOR

Bantuan pendidikan anak Selangor bukti Kerajaan Negeri prihatin

SHAH ALAM, 29 NOV: Skim Iltizam Anak Selangor yang menawarkan pembukaan akaun Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime  dengan sumbangan RM100 setahun dapat membantu segelintir ibu bapa yang tidak berkesempatan menabung untuk pendidikan anak-anak.

Suri rumah, Siti Noor Hayati Yaacub, 36, berkata inisiatif diumum menerusi Belanjawan #Selangor2022 bukti Kerajaan Negeri prihatin terhadap masa depan pendidikan kanak-kanak.

“Ada ibu bapa yang tidak mampu, adakalanya pendapatan pun cukup-cukup makan sahaja dan tidak sempat untuk menyimpan wang lebih untuk pembelajaran anak.

“Apabila wujudnya skim Iltizam Anak Selangor ini ia sangat membantu tetapi pada masa sama saya berharap inisiatif ini berterusan dan bukan hanya separuh jalan,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Manakala, seorang penjawat awam, Fazeel Azuan Ja’afar ,42, berkata skim itu membantu ibu bapa untuk membuat persediaan tabungan pendidikan anak mereka.

Fazeel Azuan Ja’afar ,42
ketika ditemui di kedai kopi Tasik Shah Alam pada 28 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Ini merupakan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan anak-anak tidak tercicir dalam pendidikan dan semoga ramai rakyat Selangor mengambil peluang disediakan itu,” katanya.

Melalui Belanjawan #Selangor2022, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM3 juta melaksanakan skim Iltizam Anak Selangor yang menyasarkan penyertaan 30,000 kanak-kanak negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata skim berkenaan membabitkan pembukaan akaun Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime bagi anak yang baru lahir dan mereka akan diberikan RM100 setahun untuk tempoh lima tahun.