Categories
AGENSI SELANGOR

Yawas lulus 316 permohonan Skim Kesihatan Wanita

SHAH ALAM, 17 SEPT: Sebanyak 316 daripada 937 permohonan Skim Kesihatan Wanita diluluskan sehingga kini sejak ia dibuka pada 13 Julai lalu.

Pengurus besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) berkata skim yang menawarkan pemeriksaan mamogram secara percuma masih dibuka sehingga hujung tahun ini.

“Justeru, saya amat menggalakkan golongan wanita untuk memanfaatkan skim ini memandangkan kanser payudara merupakan kanser utama dalam kalangan wanita.

“Menerusi skim ini, kos pemeriksaan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri kepada wanita yang memenuhi syarat. Oleh itu segeralah memohon sekiranya anda layak,” kata Gan Pei Nei kepada SelangorKini.

Beliau menjelaskan terdapat tambahan perkhidmatan di mana seseorang yang mendapati ada ketulan semasa ujian ultrabunyi, individu itu layak menjalani biopsi dengan nasihat doktor panel hospital.

Katanya, permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web skw.yawas.my atau pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri. Untuk maklumat lanjut boleh hubungi yayasan di talian 03-5481 8800.

Skim Kesihatan Wanita Selangor diwujudkan pada Belanjawan Selangor 2020. Antara dilaksanakan menerusi program ialah ‘1 Juta Wanita Selangor Sihat’ yang mengkhususkan pemeriksaan mamogram percuma kepada golongan terbabit berusia 35 tahun ke atas.

Categories
SELANGOR

MammoSel, tujuh rakan kerjasama hospital bersatu

Oleh: NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 28 FEB: Program Skim Kesihatan Wanita atau MammoSel yang wujud sejak 2010 akan diperluaskan tahun ini membabitkan tujuh rakan kerjasama hospital seluruh Selangor.

Mereka adalah Majlis Kanser Nasional (MAKNA), National Cancer Society Malaysia (NSCM), Columbia Asia Hospital, BP Healthcare, KPJ Hospital, Darul Ehsan Medical Center (DEMC) dan Salam Medical Center.

IMG-20160228-WA0001Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata inisiatif itu membolehkan wanita menikmati program mamogram percuma secara lebih dekat.

“Kerjasama ini akan memudahkan wanita mendapatkan perkhidmatan lebih dekat dan diharapkan lebih ramai
tampil kehadapan menerima manfaat secara percuma ini.

“Ia sebagai satu langkah pencegahan awal daripada kanser payudara,” katanya kepada Selangorkini.

Daroyah berkata, Kerajaan Negeri juga merancang bersama MAKNA untuk membawa trak mamogram ke segenap kawasan mengikut permintaan.

“Kita juga akan melaksanakan program kesedaran supaya wanita ini diberikan ilmu berkenaan perkara ini,” katanya.

-AA-

Skim Kesihatan Wanita

Skim Kesihatan Wanita ini membantu meningkatkan kualiti kesihatan dan kesedaran di kalangan wanita sebagai langkah awal pencegahan.

Mammogram ialah pemeriksaan payudara menggunakan sinar-X yang memaparkan kelenjar susu, lemak dan salurah darah .

Categories
SELANGOR

Rodziah : Kesaksamaan Gender Perlu Bagi Pembangunan Seimbang

 

SABAK BERNAM 15 OKT: Setiap rakyat tidak kira wanita atau lelaki hendaklah dilayani dengan cara yang sama tanpa mengambilkira perbezaan biologi atau gender.

Exco Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail berkata, mencapai kesaksamaan gender diantara rakyat merupakan satu perkara penting dalam mencorakkan pembangunan untuk dinikmati oleh semua rakyat di Selangor.

Katanya, kefahaman mengenai gender adalah penting untuk mencapai pembangunan sosial, ekonomi dan politik supaya rakyat di Selangor khususnya dapat bergerak ke arah yang lebih baik.

“Apabila kita berbicara mengenai gender ia mestilah berkaitan tentang lelaki dan wanita supaya ianya tidak menimbulkan konflik di masa akan datang dan rakyat akan terus maju bergerak seiiring dalam pembangunan negara.

“Ia turut dapat menghasilkan keadilan kepada semua pihak dimana tiada diskriminasi berlaku diantara lelaki dan perempuan kerana kedua-duanya faham mengenai tanggungjawab dan tugas masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar ‘Ada Apa Dengan Gender’ yang dianjurkan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Selangor dengan kerjasama Pejabat Daerah Sabak Bernam dan Pusat Wanita Berdaya(PWB) di Dewan Sri Bernam, Sungai Besar hari ini.

Kesaksamaan gender katanya, bukan bermaksud keadilan yang diberi sama-rata tetapi mengambil kira keperluan lelaki dan wanita secara adil dan saksama.

“Jika kita ingin menyediakan gymnasium bagi kaum lelaki dan wanita, peralatan di dalamnya semestinya berbeza kerana wanita mempunyai keupayaan yang terhad berbanding lelaki dan pembangunan seimbang perlu diambil kira tanpa melibatkan kerugian,” katanya lagi.

Dalam pada itu, golongan wanita di negeri ini terus menerima manfaat daripada pelbagai program yang dirancang Kerajaan Negeri seperti Skim Kesihatan Wanita(SKW), Program Mikrokredit Wanita Ladang (WALA), Pemberdayaan Ekonomi Ibu Tunggal SOHO-Selangor(PET SOHO-S) dan Pusat Wanita Berdaya(PWB).