Categories
AGENDA NASIONAL

SKMM sekat 1.6 bilion panggilan meragukan sejak 2018 hingga tahun lalu

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama pelbagai pihak menyekat sejumlah 1.6 bilion panggilan meragukan daripada sampai kepada pengguna sejak 2018 hingga tahun lepas.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini memaklumkan sejumlah 2,232 aduan awam berkaitan aktiviti berunsur penipuan diterima SKMM dan dirujuk kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan bagi tempoh Januari hingga 31 Disember 2021.

“Polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia adalah antara agensi penguatkuasaan yang dirujuk untuk perhatian dan tindakan lanjut di bawah bidang kuasa masing-masing,” menurut jawapan itu.

KKMM memaklumkan perkara itu bagi menjawab soalan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) mengenai statistik laporan palsu atau ‘scam’ setakat 2021 dan perancangan kementerian untuk memastikan panggilan telefon seumpama itu dapat dipantau selain dikesan dengan usaha sama syarikat-syarikat telekomunikasi.

KKMM memberitahu pihak penyedia perkhidmatan komunikasi turut terlibat dalam satu pasukan petugas khas bagi penipuan telekomunikasi untuk mengekang aktiviti penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab melalui panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Selain itu, SKMM juga mewujudkan dokumen Rujukan Industri yang menggariskan tujuh peraturan sekatan pada 2018 bagi mengurangkan jumlah panggilan yang meragukan serta penambahan lima peraturan sekatan pada 2020 bagi mengekang panggilan sampai kepada pengguna.

“SKMM juga sedang melihat keperluan untuk mewujudkan satu garis panduan baharu bagi mengekang penipuan melalui SMS,” menurut KKMM.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SKMM: Jangan terpedaya gimik jualan murah produk di internet

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Orang ramai diingatkan supaya tidak terpedaya dengan gimik jualan murah yang terdapat dalam internet kerana kebanyakan produk yang dijual adalah daripada laman sesawang atau aplikasi yang tidak berdaftar.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), produk yang dijual juga tidak tertakluk kepada akta dalam negara selain sesetengah daripadanya mempunyai kecenderungan untuk menyerupai produk berjenama.

“Pengguna akan menghadapi masalah untuk mendapatkan hak mereka daripada platform berkenaan jika kualiti produk yang dibeli melalui gimik jualan murah tersebut gagal memenuhi jangkaan yang dikehendaki oleh pengguna,” demikian menurut kenyataan itu hari ini.

Sehubungan itu, SKMM menasihati sebagai langkah yang lebih selamat, orang ramai digesa untuk lebih bijak menilai jualan dan promosi dalam platform e-dagang sedemikian.

Oang ramai juga dinasihati sentiasa berwaspada dengan promosi yang dijalankan dan platform digunakan ketika melakukan transaksi, selain perlu meneliti syarat perkhidmatan dan polisi berkaitan dengan pembayaran balik serta pampasan yang ditetapkan oleh penyedia platform e-dagang.

Menurut SKMM, ia penting bagi melindungi diri mereka daripada terdedah kepada risiko yang tidak diingini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Orang ramai dinasihat waspada maklumat tidak benar mengenai vaksin

CYBERJAYA, 9 JULAI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menasihatkan orang awam untuk berhati-hati dengan penularan maklumat tidak benar berkaitan pemberian vaksin.

SKMM berkata semua maklumat mengenai program vaksinasi perlu dirujuk kepada saluran rasmi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di tempat tinggal masing-masing.

“Pemberian maklumat peribadi kepada pihak yang tidak dikenali juga secara tidak langsung boleh membuka ruang kepada risiko eksploitasi maklumat peribadi dan pelanggaran privasi,” menurut suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini.

Tular dakwaan pemberian vaksin secara besar-besaran di pusat pemberian vaksin (PPV) Bangi Avenue Convention Centre (BACC) melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial yang mesejnya meminta orang ramai yang berminat mendapatkan vaksin itu untuk memberikan maklumat peribadi.

PKD Hulu Langat melalui laman Facebook menegaskan maklumat tersebut adalah palsu dan ia tidak dikeluarkan oleh PKD Hulu Langat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

UiTM lapor polis, SKMM kes pelajar alami gangguan seks

SHAH ALAM, 18 JUN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuat laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi memudahkan proses penyiasatan berhubung dakwaan gangguan seksual dilakukan oleh seorang tenaga pengajar terhadap beberapa pelajar yang tersebar dalam media sosial baru-baru ini.

Ketua Perhubungan Awam, Media dan Protokol Jabatan Komunikasi Korporat UiTM Nora Noordin berkata universiti itu juga mengarahkan jawatankuasa siasatan dalaman untuk meneliti dan menjalankan siasatan terperinci terhadap segala dakwaan yang bersangkutan.

“UiTM memandang serius dakwaan itu dan juga komited untuk menangani segala dakwaan yang dibangkitkan.

“Universiti sama sekali tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana staf yang mengambil kesempatan atau menyalahgunakan kuasa mereka sebagai staf kerana UiTM amat mengutamakan keselamatan, kebajikan dan kualiti seluruh warganya, khususnya dalam mengamalkan budaya integriti dan profesional yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata orang ramai, terutama ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kebajikan, keselamatan dan hal ehwal para pelajar adalah keutamaan universiti dan tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang terlibat mengikut peraturan dan ketetapan universiti sedia ada.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP penuh: 366 permohonan dapat kelulusan operasi, 1,420 ditolak

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) setakat semalam telah memperakui 366 permohonan surat kebenaran beroperasi dan pergerakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 Jun 2021.

SKMM dalam kenyataan hari ini berkata agensi itu yang berperanan sebagai agensi pengesahan dalam sistem Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) bagi sektor telekomunikasi dan internet, penyiaran serta pos dan kurier memaklumkan perakuan itu diberikan kepada sebahagian daripada 1,786 permohonan.

Daripada jumlah tersebut, 132 kelulusan melibatkan syarikat perkhidmatan telekomunikasi, 108 berkaitan penyiaran dan 126 berkaitan pos dan kurier.

SKMM berkata baki 1,420 permohonan ditolak kerana perkhidmatan bukan di bawah sektor komunikasi; perkhidmatan walaupun di bawah sektor komunikasi, namun bukan pemegang lesen atau menjalankan perkhidmatan perlu; atau tidak tersenarai sebagai vendor, pengedar atau ejen yang disahkan pemegang lesen.

“Untuk memastikan kelancaran proses pengesahan serta memastikan mereka yang benar-benar layak diberikan kebenaran beroperasi dan pergerakan dengan segera, MCMC memohon kerjasama semua pihak untuk memastikan status syarikat adalah tergolong dalam perkhidmatan perlu,” katanya.

SKMM memaklumkan, bagi mereka yang bukan pemegang lesen yang dikeluarkan suruhanjaya itu, syarikat perlu mendapat pengesahan pihak pemegang lesen yang berkaitan terlebih dahulu sebelum mengemukakan permohonan melalui CIMS.

CIMS merupakan pusat sehenti yang diuruskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk tujuan pengeluaran surat kebenaran beroperasi dan pergerakan semasa PKP kepada semua sektor industri yang dianggap sebagai perkhidmatan perlu, termasuk sektor komunikasi.

SKMM memaklumkan, proses kelulusan melalui CIMS bagi sektor di bawah pemantauan suruhanjaya itu dijalankan secara telus dan teliti bersandarkan matlamat meneruskan kesinambungan perkhidmatan perlu kepada rakyat serta mengelakkan penyalahgunaan surat kebenaran yang diberikan.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa MITI akan bertindak sebagai kementerian pusat bagi memproses permohonan syarikat perkhidmatan perlu untuk beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh mulai 1 hingga 14 Jun.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SKMM kesan satu lagi iklan ajak umat Islam berjudi

PUTRAJAYA, 17 APRIL: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengesan satu lagi penyiaran iklan yang mengajak umat Islam dalam negara berjudi bagi mendapatkan dana balik kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang tular di media sosial ketika ini, yang dianggap hanya mendatangkan mudarat kepada masyarakat.

Sehubungan itu menurutnya SKMM sekali lagi telah menghubungi pihak penyedia platform media seperti Facebook, Twitter, dan YouTube bagi menurunkan kandungan berkenaan mengikut terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan oleh pihak mereka.

Menurutnya terdapat pertambahan yang mendadak kepada kandungan dilaporkan kepada penyedia platform berkenaan hari ini, kerana terdapat percambahan dari semasa ke semasa berdasarkan muat naik semula oleh pengguna-pengguna media sosial, yang menyukarkan proses pembasmian penyebaran kandungan.

“Penyebaran video-video sedemikian dimuat naik di platform yang berpangkalan di luar negara dan tidak dapat dikawal. Manakala kandungan yang dimuat naik tidak perlu melalui Lembaga Penapisan Filem (LPF) kerana ia bukan di platform tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

SKMM berkata setakat ini 61 kandungan telah diminta untuk diturunkan oleh pihak Facebook, Twitter dan YouTube yang berpangkalan di luar negara, yang mana 13 peratus daripadanya telah pun diturunkan berdasarkan pelanggaran terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan pihak mereka, manakala selebihnya masih dalam proses penilaian dan penelitian penyedia platform.

SKMM berkata usaha membasmi kandungan ini juga bergantung kepada rakyat Malaysia amnya, sehubungan itu pengguna media sosial di negara ini diseru agar lebih bertanggungjawab dengan melaporkan secara terus kepada pihak berkuasa mengenai penyebaran video-video yang bercanggah dengan norma masyarakat untuk tindakan susulan mereka dan tidak menyebar kandungan berkenaan.

“Ini adalah penting kerana perbuatan menyebar kandungan berkenaan hanya akan membantu secara langsung pihak yang tidak bertanggungjawab itu. Perlu diperingatkan bahawa penghasilan kandungan adalah tertakluk kepada Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia untuk dipatuhi oleh mereka yang terlibat dengan penghasilan dan pengedaran kandungan,” katanya.

SKMM berkata dalam kebebasan menyediakan kandungan, penyedia harus mengikuti kod kandungan yang sesuai dengan norma masyarakat Malaysia yang majmuk.

Menurutnya pada masa yang sama, pihak yang terlibat seperti kru produksi dan pelakon seharusnya perlu lebih peka untuk tidak turut sama bersubahat dalam kegiatan mempromosikan judi dalam talian, yang jelas merupakan satu kesalahan.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Hina fizikal satu jenayah, mangsa boleh dakwa pelaku di mahkamah

Oleh Nordiana Barka dan N. Sevagamy

KUALA LUMPUR, 23 JAN: “Body shaming” atau perbuatan mengejek fizikal seseorang di media sosial bukanlah sesuatu yang baharu, namun nampaknya tiada apa yang boleh menghalang pembuli siber ini daripada meneruskan bentuk penderaan ini ke atas seseorang.

Baru-baru ini, seorang gadis berusia 21 tahun dibuli oleh pengguna aplikasi TikTok yang tidak bertanggungjawab semasa dia sedang melakukan video tutorial solekan secara langsung, mengatakan dia kelihatan hodoh dan harus memakai topi keledar.

Bagaimanapun, mangsa tidak mengendahkan komen yang menjelikkan itu dan tidak melaporkan penderaan tersebut kepada pihak berkuasa.

Seorang lagi mangsa, yang dikenali sebagai Sophia, 40, berkata dia menjadi mangsa “body shaming” apabila seseorang yang mendakwa sebagai jurulatih kecergasan memuat naik gambarnya di halaman Facebooknya dan mengutuknya mengatakan badannya geleber.

Ia berlaku tahun lalu dan Sophia baru-baru ini membuat laporan polis dan laporan berkenaan turut dihantar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Walau bagaimanapun, Sophia kesal kerana tiada apa-apa tindakan sehingga sekarang.

Grafik dikongsi di Facebook Persatuan Kaunseling Malaysia

Kedua-dua insiden itu jelas menunjukkan sikap acuh tak acuh yang ditunjukkan oleh mangsa sendiri dan tindakan pihak berkuasa yang perlahan dalam mengambil tindakan ke atas pembuli siber apabila penderaan sedemikian boleh menyebabkan tekanan emosi dan boleh menyebabkan mangsa membunuh diri.

Untuk memastikan keadilan ditegakkan dan menghalang pelaku daripada terus melakukan penderaan, peguam Nor Zabetha Muhammad Nor berkata yang paling utama adalah penting bagi mangsa untuk membuat aduan kepada polis dan juga SKMM di laman web www.mcmc.gov.my.

“Dalam kes seperti ini, tangkap skrin mesej digital yang menjelikkan itu boleh berfungsi sebagai bukti. Mangsa perlu mengumpul bukti yang relevan, seperti latar belakang pendera dan komen mereka untuk tindakan selanjutnya.

“Pengulas mempunyai hak untuk memberi komen kerana ia adalah kebebasan bersuara yang dijamin oleh perlembagaan. Walau bagaimanapun, kebebasan itu juga mempunyai had. Anda tidak boleh mengatakan perkara yang boleh mencemarkan nama baik seseorang,” katanya sambil menambah bahawa pelaku boleh didakwa di bawah Akta Fitnah juga.

Beliau menegaskan bagi kesalahan itu, seseorang boleh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang menyatakan bahawa mana-mana orang yang membuat kandungan yang mengancam atau menyinggung dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, menggugut atau mengganggu orang lain adalah satu kesalahan.

“Jika didapati bersalah, seseorang yang melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” kata beliau.

Seorang lagi peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman berkata pelaku juga boleh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 499 akta yang sama bagi kesalahan itu.

“Seksyen 509 Kanun Keseksaan menyatakan bahawa barang siapa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan seseorang, menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat atau mengganggu kesantunan seseorang itu, hendaklah dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika didapati bersalah di bawah seksyen itu.

“Sementara itu, Seksyen 499 Kanun Keseksaan menyatakan jika mana-mana individu ada membuat atau menerbitkan sebarang kenyataan tidak benar yang akan atau boleh merosakkan reputasi orang lain, serta ditulis atau disebarkan dengan niat jahat, adalah melakukan satu kesalahan jenayah fitnah,” katanya.

Jika didapati bersalah tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Shahrul mengingatkan pembuli siber bahawa mereka tidak akan terlepas daripada hukuman.

“Jadi setiap kali sebelum mengklik butang ‘hantar’, seseorang perlu tahu bahawa komen dan kenyataan yang boleh mengganggu, mendera, mengancam atau menganiaya orang lain boleh mendedahkan dirinya kepada kesalahan jenayah,” tegasnya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

SKMM minta kerjasama orang ramai lapor sebaran berita palsu

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Orang ramai diminta memainkan peranan dengan melaporkan tentang berita palsu dan mengelirukan yang disebarkan di media sosial atau khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terutama ketika wabak Covid-19 melanda negara.

Pengerusi SKMM Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata kurangnya kerjasama masyarakat untuk melaporkan perbuatan menyebarkan berita tidak sahih menyukarkan tindakan undang-undang diambil kepada pelaku kesalahan.

“Tindakan undang-undang (hanya) boleh diambil kepada mereka yang dilaporkan. Ini penting ya, kalau orang tak lapor (sukar untuk) tindakan diambil,” katanya kepada Bernama malam tadi.

Fadhlullah Suhaimi berkata bagaimanapun tindakan undang-undang sepatutnya menjadi pilihan terakhir dalam menangani perkara itu dan usaha advokasi akan diteruskan dalam mengubah mentaliti masyarakat termasuk menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkan kepada pihak lain.

Menyebarkan berita palsu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika didapati bersalah, mereka boleh disaman tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Pada Selasa, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehingga 18 Januari, sebanyak 278 kertas siasatan telah dibuka oleh polis dan SKMM berhubung berita palsu berkaitan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangan mudah percaya maklumat palsu media sosial, pastikan sahih

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Masyarakat perlu membebaskan diri daripada ‘mind-hostage’ atau terperangkap dalam pemikiran jumud kerana terlalu percaya dengan maklumat di media sosial yang belum disahkan kesahihannya.

Gesaan itu disuarakan Ketua Pegawai Kawal Selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Zulkarnain Mohd Yasin memandangkan trend netizen kini untuk cenderung mempercayai maklumat di media sosial berbanding kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak bertanggungjawab berhubung sesuatu isu.

“Oleh sebab itu, pengguna perlu menggunakan media sosial secara berhemah bagi mengelakkan diri daripada jumud, menjadi mangsa penipuan dan dikenakan tindakan undang-undang.

“Perkara negatif boleh dielak bergantung kepada sikap, mentaliti dan niat pengguna media sosial. Penyalahgunaan media sosial boleh diatasi sekiranya pengguna sedar tentang peranan masing-masing dan tekad melakukan perubahan,” katanya kepada Bernama.

Zulkarnain berkata demikian selepas menjadi tetamu program Temu Bual Radio di Bernama Radio bertajuk ‘Budayakan Penggunaan Media Sosial Secara Berhemah’ di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pengguna media sosial agar tidak terlibat dengan provokasi dengan membalas atau meninggalkan komen yang boleh mencetuskan kemarahan dan ketakutan kerana tindakan itu, salah di sisi undang-undang selain boleh mengguris perasaan pengguna lain.

Menurutnya, di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Mutimedia (AKM) 1998, terdapat peruntukan yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan unsur lucah, sumbang jelik, palsu dan mengancam di media sosial.

“SKMM yang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang didapati menyalahguna media sosial sehingga melanggar undang-undang malah menimbulkan kekecohan dan kemudaratan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa peruntukan undang-undang bukan bermaksud untuk menyekat kebebasan bersuara tetapi lebih kepada mendidik masyarakat menggunakan media sosial secara berhemah dengan mengelak daripada memuat naik ‘posting’ (kiriman) berbaur negatif serta sensitif.

Mengenai akaun palsu media sosial, Zulkarnain mendedahkan sehingga November lepas, sejumlah 5,329 akaun seumpama itu telah diambil tindakan oleh SKMM, dan 80 peratus daripadanya dipadam dengan kerjasama penyedia plaform media sosial, selaras dengan terma dan syarat platform masing-masing.

“SKMM bekerjasama dengan penyedia platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan Google untuk menyahaktif akaun palsu. Penyedia platform media sosial menggunakan kaedah teknologi ‘Artificial Intelligence’ (AI) untuk mengenal pasti akaun palsu di laman sosial kendalian mereka,” katanya.

Mengenai penguatkuasaan undang-undang, beliau memaklumkan bahawa SKMM dan PDRM telah membuka 274 kertas siasatan membabitkan berita palsu Covid-19 sehingga 3 Disember lepas.

“Daripada jumlah itu, 137 masih dalam siasatan manakala 35 kes didakwa di mahkamah dan 21 kes didapati bersalah,” katanya.

Zulkarnain berkata tindakan penguatkuasaan diambil di bawah peruntukan Seksyen 233 AKM 1998 atau Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

Berkongsi peranan yang dimainkan SKMM, beliau berkata portal sebenarnya.my yang dilancarkan suruhanjaya itu pada Mac 2017 menjadi antara sumber rujukan orang ramai bagi menyemak kesahihan sesuatu berita tular.

Sehingga kini katanya, portal www.sebenarnya.my menerima 220 juta layaran sejak dilancarkan dan secara purata menerima sehingga 4.9 juta ‘hits’ setiap bulan.

“Portal itu juga menerima 11,955 penyaluran maklumat daripada orang ramai mengenai berita tidak ditentukan kesahihannya dengan purata 268 saluran maklumat setiap bulan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SKMM: Waspada hasutan dari akaun palsu media sosial

PUTRAJAYA, 20 Nov: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini mengingatkan orang ramai agar berwaspada dengan akaun palsu di media sosial yang sengaja diwujudkan untuk tujuan penipuan dan hasutan.

SKMM dalam satu kenyataan hari ini memberikan antara ciri-ciri untuk mengenal pasti akaun palsu.

Antaranya ialah baru diaktifkan dalam tempoh beberapa bulan, yang menurut SKMM akaun baharu kerap diwujudkan, bagi mengaburi jejak daripada pihak berkuasa atau pembongkaran oleh mangsa penipuan sebelum ini.

“Nama pemilik akaun seolah-olah bukan nama sebenar dengan nama yang digunakan ialah nama samaran atau nama orang terkenal, manakala maklumat peribadi juga meragukan dengan biodata yang tidak realistik,” menurut kenyataan tersebut.

Menurut SKMM, akaun palsu mempunyai senarai rakan yang sedikit atau tiada langsung, kerana tujuan akaun dibuka bukan untuk perkenalan jangka panjang, dan senarai rakan juga mungkin akaun palsu.

“Akaun palsu juga boleh dikenal pasti melalui terlalu banyak ‘likes’ hantaran orang lain di pelbagai topik dan kumpulan namun terlalu sedikit ‘likes’ di halaman sendiri,” menurut kenyataan itu lagi.

SKMM menyatakan penjenayah siber dikesan menggunakan pelbagai taktik licik untuk menjalankan penipuan, termasuk ada yang menyamar menggunakan profil ahli keluarga, kenalan mangsa, orang kenamaan atau individu, serta syarikat terkenal.

SKMM menasihatkan orang ramai agar menjauhkan diri daripada memperkatakan isu sensitif berkaitan agama, kaum, institusi diraja dan politik, yang cuba diapi-apikan oleh pemilik akaun palsu bagi melindungi diri daripada tindakan undang-undang, sekiranya didapati terlibat dengan kenyataan berunsur fitnah, hasutan atau menggugat ketenteraman awam.

“SKMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan lain boleh mengambil tindakan undang-undang, sekiranya terdapat salah guna internet dan media sosial untuk tujuan jenayah atau hasutan.

“Orang ramai perlu sentiasa berhati-hati dan peka kepada percubaan menipu oleh mereka yang tidak mempedulikan undang-undang dan ketenteraman awam,” menurut kenyataan itu lagi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor, SKMM bincang usaha kukuh perkhidmatan komunikasi

SHAH ALAM, 16 NOV: Kerajaan Selangor bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mencari jalan bagi memperkukuh pembangunan dan perkhidmatan komunikasi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu khusus untuk manfaat rakyat Selangor selari misi ke arah Negeri Pintar Ulung menjelang 2025.

“Ini juga sejajar dengan misi Agenda Digitalisasi Selangor yang diumumkan ketika belanjawan negeri 2021 pada 30 Oktober lalu,” tulisnya di Instagram hari ini.

Sebelum itu, Amirudin menerima kunjungan hormat delegasi SKMM diketuai Pengerusinya Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek di pejabat Dato’ Menteri Besar di sini.

Dalam pertemuan itu, beliau turut mendengar taklimat dan berbincang berhubung Jalinan Digital Negara (Jendela) yang melibatkan Selangor.

Sejumlah RM369 juta, atau satu pertiga dari keseluruhan belanja pembangunan, disediakan bagi menjayakan agenda Negeri Pintar Ulung dan Agenda Digitalisasi dalam Belanjawan Selangor 2021.

Amirudin berkata usaha itu bagi menggerak ekonomi secara holistik melalui transformasi sistem
perkhidmatan, sosial, perniagaan dan keusahawanan, penciptaan nilai serta seni kreatif.

Beliau menjelaskan dasar itu juga memecahkan stigma bahawa pendigitalan tidak membunuh peluang pekerjaan, sebaliknya mewujudkan peluang pekerjaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

SKMM siasat aduan TM kurangkan kelajuan pakej Unifi

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memulakan siasatan terhadap aduan pengguna berhubung pengurangan kelajuan muat naik pakej Unifi 500Mbps yang dilancarkan oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) bulan lalu.

Dalam kenyataan hari ini, SKMM berkata butiran aduan menyatakan TM telah menawarkan kelajuan muat naik 200Mbps bersama pakej Unifi yang menyediakan kelajuan muat turun 500Mbps.

Setelah meneliti semula laman sesawang jualan rasmi pihak TM, SKMM berkata pengadu mengesan pakej tersebut telah berubah sejak 2 Sept dengan kelajuan muat naik dikurangkan separuh kepada hanya 100Mbps.

“Aduan ini turut dilaporkan oleh beberapa portal berita dalam talian yang menganggap pengguna terpedaya dengan tawaran yang dibuat dalam pakej awal yang diiklankan bulan lalu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, SKMM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pemberi perkhidmatan jika siasatan awal mendapati terdapat unsur yang melanggar kepentingan pengguna.

Katanya, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang dikuat kuasa oleh SKMM memberi perhatian berat terhadap kepentingan pengguna perkhidmatan telekomunikasi dan pihak suruhanjaya itu memberi jaminan siasatan isu tersebut akan dijalankan secara telus dan adil.

— BERNAMA