Categories
AGENDA SUKANKINI

Pemain skuasy remaja muncul juara Terbuka Malaysia 2021

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Kisah dongeng pemain skuasy remaja negara Aifa Azman di Terbuka Malaysia 2021 menjadi realiti apabila menundukkan pilihan utama dari Mesir Salma Hany di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil hari ini.

Aifa yang layak beraksi dalam kejohanan berkenaan melalui tiket wildcard tidak menghalangnya untuk menewaskan pemain di ranking kelapan dunia 12-10, 11-8, 11-4.

Pada awalnya, Hany dilihat menguasai perlawanan apabila mendahului set pertama 9-4, sebelum pemain berusia 19 tahun bangkit menyamakan kedudukan 9-9 sebelum menamatkan set pertama 12-10.

Aifa yang menduduki ranking ke-69 ternyata lebih bersedia pada set kedua untuk menang 11-8.

Pada set ketiga, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu terus menguasai permainan untuk memastikan gelaran sulungnya di kejohanan berstatus gangsa dalam Jelajah Dunia PSA dengan kemenangan 11-4.

Terdahulu, Aifa mencuri perhatian pada kejohanan kali ini apabila mengejutkan tiga pemain Mesir yang menduduki ranking lebih tinggi – Mayar Hany (ranking ke-47), Yathreb Adel (ranking ke-31) dan Hana Ramadhan (ranking ke-35) serta pemain pilihan kelima dari Kanada Danielle Letourneau sebelum mara ke final.

Aifa ketika ditemui selepas perlawanan berkata rentak permainannya seperti tidak menjadi pada awal set pertama sebelum menemukan rentak dan kekal fokus dalam permainan.

“Saya rasa luar biasa di atas kemenangan ini terutama selepas status saya selaku pemain wildcard dan apa lebih menarik, saya berjaya menewaskan seorang daripada pemain yang berada dalam kelompok terbaik dunia,” katanya kepada pemberita.

Mengenai misi seterusnya, Aifa yang menjadikan Datuk Nicol David sebagai idolanya berkata beliau mahu berlatih dengan lebih keras untuk memperbaiki ranking dunia pada masa depan.

Pada masa sama, beliau terus memberi fokus untuk membantu rakan sepasukan di Kejohanan Berpasukan Asia yang dijadual berlangsung pada 30 Nov hingga pada 4 Dis di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil.

Sementara itu, pemain pilihan utama Miguel Rodriguez dari Colombia terpaksa akur apabila tewas kepada pemain India Saurav Ghosal dalam aksi final perseorangan lelaki.

Ghosal yang diletakkan sebagai pilihan kedua bagaimanapun memerlukan 55 minit sebelum berjaya menundukkan Rodriguez 11-7, 11-8, 13-11.

Bagi pemain berusia 35 tahun itu, kemenangan hari ini adalah istimewa kerana beliau sering beranggapan Rodriguez adalah lawan yang sukar dikalahkan.

“Satu perlawanan yang sukar, Rodriguez adalah pemain terbaik yang berkualiti, bagus dan padu sepanjang perlawanan. Saya tahu saya perlu lebih baik untuk berdepan dengannya hari ini dan saya cuba sedaya upaya mengikut perancangan dan saya gembira muncul juara hari ini,” katanya.

Ghosal turut mendedikasi kemenangan hari ini buat bekas jurulatihnya mendiang Malcolm Willstrop yang meninggal dunia pada Mei lepas, iaitu individu yang memainkan peranan besar dalam kejayaannya hari ini.

Juara Terbuka Malaysia masing-masing (lelaki dan wanita) membawa pulang wang hadiah kemenangan AS$50,000 (kira-kira RM200,000) dan trofi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Pemain skuasy negara janji tampil terbaik pada Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow berjanji menampilkan persembahan terbaik dalam usahanya mempertahankan gelaran pada Terbuka Malaysia 2021 yang akan bermula Selasa hingga Sabtu ini, di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil.

Walaupun hampir dua tahun tidak menyertai sebarang kejohanan, juara dunia remaja 2016 itu yang menjalani latihan di Bristol, England di bawah bimbingan Hadrian Stiff, bersama para pemain profesional termasuk pemain nombor dua dunia Mohamed El Shorbagy dari Mesir, sudah bersedia untuk beraksi dalam kejohanan itu.

“Saya yakin penyokong boleh mengharapkan satu persembahan yang baik daripada saya.

“Pastinya hebat apabila sebuah kejohanan besar dapat diadakan semula di Malaysia dan ia juga amat berfaedah untuk para pemain muda yang berpeluang melihat pemain-pemain terbaik dunia beraksi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Eain Yow, yang menjuarai Terbuka Malaysia pada 2019, merupakan pilihan ketiga kejohanan.

Pemain berusia 23 tahun itu menerima ‘bye’ pada pusingan pertama dan akan berdepan sama ada dengan seorang lagi pemain Malaysia Ivan Yuen atau Lau Tsz Kwan dari Hong Kong pada pusingan kedua.

Selain Eain Yow dan Ivan, tiga lagi pemain Malaysia yang turut bertanding Syafiq Kamal, Addeen Idrakie dan Darren Rahul Pragasam.

Bagi kategori wanita, cabaran Malaysia akan digalas oleh Rachel Arnold, Aifa Azman, Chan Yiwen dan Ooi Kah Yan.

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

2 cemerlang pada Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Britain

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Dua pemain remaja negara cemerlang dalam kategori masing-masing, manakala tiga lagi gagal di Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Britain 2019 yang berakhir di Birmingham, England, pada 5 Januari lalu.

Dalam kejohanan itu, Ameeshenraj Chandaran, pemain pilihan kelima hingga kelapan bagi kategori Lelaki Bawah 15 (B-15) berjaya membuat kejutan apabila berjaya mengatasi pilihan pertama, Dennis Gilevisky dari Ireland, 8-11, 11-6, 11-5 dan 11-7.

Seorang lagi pemain negara, Nickhileswar Moganasundharam pula berjaya menepati kedudukannya sebagai pemain pilihan pertama kategori Lelaki B-11, dengan mengetepikan pilihan kedua, Chris Baddour (Mesir) dengan menang, 9-11, 11-7, 11-4 dan 11-6.​​​​​​​

​​​​​​​Nasib berbeza dilalui juara bertahan kategori Perempuan B-15, Aira Azman apabila gagal mempertahankan gelarannya dengan tewas kepada pemain pilihan kedua, Salma El Tayeb (Mesir), 8-11, 11-9 11-7, 13-15 dan 7-11.​​

Seorang lagi pemain negara Whitney Wilson yang merupakan pemain pilihan pertama Perempuan B-11 tewas mengejut kepada pemain pilihan ketiga-keempat Anahat Singh (India), 11-13, 9-11, 11-7 dan 9-11.​​​​​​​

Pemain pilihan bersama kelima Lelaki B-13, Harith Danial Jefri juga mengalami nasib yang sama selepas tewas kepada seorang lagi pemain Mesir Abdallah Eissa (pilihan kedua), 7-11, 11-9, 11-9, 7-11 dan 12-14.

*Sumber: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kejohanan Skuasy Selangor cungkil bakat baru

SHAH ALAM, 24 SEP: Seramai 216 peserta remaja berusia antara sembilan hingga 19 tahun akan berentap bagi merebut pingat dalam Kejohanan Skuasy Tertutup Selangor 2015.

Presiden Persatuan Skuasy Selangor, Farid Yunus, berkata kejohanan yang berlangsung pada 22 hingga 26 September ini mampu menjadi landasan mencungkil bakat baru dalam sukan itu.

Katanya, sambutan terhadap acara itu juga memberangsangkan berbanding tahun lalu yang hanya disertai 166 peserta.

237A9466“Kejohanan itu adalah pentas bagi pemain mempamerkan kebolehan dan kemahiran masing-masing. Pemain yang berjaya menjuarai kejohanan kali ini berpeluang mewakili Selangor ke kejohanan sirkit kebangsaan dan Sukan Malaysia (SUKMA).

“Kami juga berhasrat melahirkan jaguh skuasy bertaraf dunia seperti Datuk Nicole David,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, enam kategori dipertandingkan iaitu bawah sembilan, 11, 13, 15, 17 dan 19 tahun.

Katanya, antara pemain yang dijangka mencuri perhatian adalah Muhammad Harris Ramlee, 14, yang pernah menjuarai beberapa kejohanan peringkat antarabangsa seperti Terbuka Australia, Terbuka Jepun dan Terbuka Borneo.

237A9435“Juara akan menerima pingat, wang tunai RM1,000 dan barangan tajaan, sementara naib johan akan menerima pingat, wang tunai RM350 dan barang tajaan, manakala tempat ketiga menerima pingat dan wang tunai RM150,” katanya.

Acara itu turut mendapat tajaan bernilai RM36,428 daripada Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor).

-NFN-

Categories
SELANGOR

Skuasy terbuka PJ tawar RM10,000

Oleh: HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 22 SEP: Kejohanan Skuasy Terbuka Petaling Jaya 2015 menawarkan hadiah hampir RM10,000 berlangsung di Astaka Petaling Jaya, di sini, pada 17 hingga 24 Oktober ini.

Timbalan Setiausaha Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ahmat Mohaayen Said, berkata kejohanan kali ke-35 itu bakal disertai 128 pemain dalam beberapa kategori termasuk veteran 50 tahun ke atas.

SKUASY“Penganjuran kejohanan ini memberi peluang golongan muda bertukar pandangan berkaitan teknik permainan lebih berkualiti.

“Diharapkan peserta menunjukkan bakat serta memperbaiki mutu permainan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, MBPJ merakamkan penghargaan kepada Persatuan Skuasy Selangor sebagai penganjur dan penaja yang sudi bersama menjayakan kejohanan berkenaan.

Dalam majlis itu juga diadakan penyerahan tajaan kepada MBPJ membabitkan Ng Ping Loong dari Nestle Products (M) Sdn Bhd, Jodichai (Prince) serta Giam Say Khoon dan Sherifah Hanom (Sport Toto (M) Sdn Bhd).

EZY