Categories
NASIONAL

SKVE batal cadangan tambah nilai minimum RM30

SHAH ALAM, 2 MAC: Pelaksanaan tambah nilai minimum RM30 Touch ‘n Go di lorong tambah nilai Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) yang sepatutnya bermula semalam, ditarik semula.

Pengurus Besar Operasi dan Penyelenggaraan SKVE, Zainal Alam Kamaruzzaman mengesahkan langkah itu tidak akan dilaksanakan di tol terbabit walaupun pernah membuat pengumuman sebelum ini.

“Tidak…kita tarik semula dan tidak akan melaksanakannya,” katanya lapor Sinar Harian.

Sebelum ini, pengurusan SKVE memaklumkan lebuh raya berkenaan akan melaksanakan tambah nilai minimum RM30 untuk Touch ‘n Go, bermula 1 Mac.

Namu, langkah pelaksanaan yang mula tular di laman sosial mendapat bantahan orang ramai yang tidak bersetuju dengan tindakan terbabit.

Terdahulu, Zainal berkata, langkah itu diambil bagi mengelak kesesakan lalu lintas di lorong tambah nilai selain mendidik orang ramai menyediakan wang secukupnya.

-AA-

Categories
NASIONAL SELANGOR

KASE Terima Lebih 100 Aduan Saman AES

SHAH ALAM 16 NOV: Kaunter penerimaan saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dibuka Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) kini menerima lebih 100 aduan daripada pengguna jalanraya yang menjadi mangsa.

Penasihat Undang-Undang KASE, Zulhazmi Sharif berkata, kaunter yang dibuka sejak 21 November lalu menerima banyak aduan daripada pengguna jalanraya di seluruh negara yang menerima surat saman melalui kamera AES.

Katanya, beliau bersama Jawatankuasa KASE akan membuat pengumuman dalam jangka masa terdekat bagi memberitahu tindakan seterusnya yang akan diambil bagi membantu penerima saman tersebut.

“Setakat ini kaunter aduan masih dibuka dan kita belum membuat pecahan mengikut negeri dan kita akan membuat pengumuman berkaitannya pada minggu hadapan kerana kes.

“Ini kerana tarikh paling awal ke mahkamah melibatkan penerima saman itu adalah pada 7 Disember 2012 dan kita akan mengagihkan peguam-peguam kita bagi membantu mereka,” katanya kepada TVSelangor hari ini.

Sementara itu, kaunter yang dibuka dua minggu sekali bermula jam 12 tengah hari sehingga 2 petang itu bertujuan memudahkan orang awam yang menerima saman AES mendapatkan nasihat dan khidmat peguam yang diberikan secara percuma.

“Di Selangor sendiri terdapat belasan orang yang menerima saman AES dan dimaklumkan hanya dua kawasan di Selangor yang mempunyai kamera itu iaitu di kawasan Kajang.

“Lebih mengejutkan, terdapat seorang pengguna jalanraya menerima tiga saman AES di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) kerana ia merupakan laluan hariannya,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi KASE, Datuk Mahfuz Omar menyatakan sepasukan peguam disediakan jika penerima saman AES bersetuju ke mahkamah dan perkhidmatan peguam dari Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS (JUHAM) akan disediakan kepada mereka yang terlibat.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Saman AES: Ronnie Arahkan MPKj Jadi Saksi

SHAH ALAM 15 NOV: Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu akan mengarahkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menjadi saksi terhadap pengguna jalanraya yang disaman kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Katanya, beliau akan mengarahkan MPKj untuk menghantar pegawainya menjadi saksi di mahkamah bagi mengesahkan pemasangan kamera itu tidak sah.

Ronnie berkata, pemasangan kamera AES di dua kawasan di Kajang adalah tidak sah kerana kontraktor yang dilantik Kerajaan Pusat tidak mendapat Kebenaran Merancang (KM) daripada MPKj.

“Pemasangan AES di Kajang adalah di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan sebarang pemasangan perlu mendapat KM daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Tanpa KM, walaupun kamu pemilik tanah, kamu tidak boleh buat begitu dan ianya dianggap salah,” katanya kepada pemberita di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) semalam.

Ronnie menjelaskan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha seharusnya faham mengenai akta itu kerana sebarang pemasangan perlu mendapatkan kelulusan.

“Mesti ada kelulusan baru boleh buat, Dia Menteri (Cho Ha) (Chee Heung) mesti ikut undang-undang juga,” jelasnya.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri mengeluarkan arahan bagi menanggalkan semula kamera tersebut dalam tempoh 14 hari bermula Isnin lalu.

Ronnie berkata, jika amaran tersebut tidak diendahkan, Kerajaan Negeri akan meminta MPKj menanggalkan kamera tersebut.

“Kalau tak roboh, kita akan minta MPKj buat surat untuk roboh dalam tempoh 14 hari dan dalam tempoh itu jika tidak dirobohkan, kita akan robohkan, kita patuhi undang-undang,” katanya yang juga Adun Pandamaran.

Sebelum ini, dua kamera AES tersebut di Kajang dipasang di kilometer 6.6 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan di kilometer 301.6 menuju ke utara di Lebuhraya Utara-Selatan.

Categories
NASIONAL

Pulau Indah Bakal Menjadi Pusat Pelancongan

SHAH ALAM, 25 MEI : Pulau Indah bakal menjalani proses perubahan pembangunan dengan termetrai perjanjian persefahaman (MoU) diantara Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) dan Norzakiah Arkitek di sini semalam.

Sehubungan itu, Norzakiah Arkitek, sebuah syarikat perunding dan perkhidmatan senibina dengan kerjasama Buchan Group of Perth, Australia menyediakan pelan lengkap berkaitan pembangunan di tanah milik KHSB di Seksyen 9,10 dan 11 di Pulau Indah, Klang yang melibatkan tapak seluas 1,196 ekar.

Menurut Pengerusi Norzakiah Arkitek, Norzakiah Arshad, pelan lengkap yang dicadangkan itu melibatkan pembangunan perumahan, pusat bandar dan resort.

Pengerusi KHSB, Raja Idris Raja Kamaruddin berkata, MoU itu membolehkan Norzakiah Arkitek menjalankan kajian terperinci mengenai projek itu yang dianggarkan bernilai RM8 bilion dan dijangka dimulakan mulai tahun 2013.

“Melalui projek pembangunan ini, kami menawarkan kediaman berciri ‘resort home’ dengan kos mampu milik,” katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani MoU itu di sini.

Majlis menandatangani MoU ini dihadiri Menteri Besar , Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Quality Hotel, Shah Alam.

Abdul Khalid berkata, Selangor menyambut baik cadangan untuk membina infrastruktur di Pulau Indah seterusnya mampu meningkatkan pelaburan di negeri ini.

“Lembah Klang khususnya sedang mengalami proses peningkatan industri hartanah yang mampu menarik pelabur asing untuk datang ke sini,” katanya.

Sementara itu, projek itu bakal menjadikan Pulau Indah sebagai salah sebuah destinasi perlancongan antarabangsa kerana pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) menghubungkan Saujana Putra ke Pulau Indah akan siap pada 2014.

“Pelancong-pelancong boleh terus ke Pulau Indah dari KLIA melalui Kajang Saujana Putra dengan siapnya lebuhraya ini,” kata Raja Idris.