Categories
EXCO SELANGOR

SLIM Selangor dapat sambutan, diperluas ke jabatan lain

SHAH ALAM, 28 OGOS: Program SLIM Selangor yang bermula di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jun lalu semakin mendapat sambutan penjaw at awam Selangor.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, program ini akan diperluaskan ke jabatan dan agensi Kerajaan Negeri yang lain.

“Bagi kategori terbuka pada awalnya disertai kira-kira 30 orang sahaja tetapi semakin hari semakin bertambah dan kini melebihi 50 kakitangan.

“Oleh kerana sambutan yang baik, program ini akan diteruskan membabitkan jabatan dan agensi Kerajaan Negeri lain tetapi di tempat bersesuaian dengan lokasi kerja masing-masing,” katanya.

Dr Siti Mariah. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini pada aktiviti mingguan SLIM Selangor di Foyer, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Siti Mariah berkata, program ini dirangka bagi memastikan warga kerja Setiausaha Kerajaan Negeri dapat mengamalkan gaya hidup sihat.

Katanya, aktiviti senaman bagi kategori terbuka diadakan setiap Rabu dan dihadiri penjawat awam Selangor.

Manakala bagi kategori khas, Katanya, cabaran mengurangkan berat badan pula dilangsungkan pada Selasa dan Khamis.

Categories
SELANGOR

SLIM Selangor peluang kakitangan SUK semai gaya hidup sihat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 JUN: Kerajaan Negeri memberi pelepasan waktu kerja pada jam 4.30 hingga 5.30 petang setiap Rabu kepada warga kerja Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor bagi membolehkan mereka menyertai program SLIM Selangor.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, program setiap Rabu itu dilaksanakan bagi menggalakkan golongan itu sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat.

Untuk tujuan itu, Dr Siti Mariah berharap semua kakitangan SUK mengambil bahagian dalam program itu.

“Hari ini kita mulakan dengan program yang terbuka buat semua kakitangan dan pihak pentadbiran memberi pelepasan masa dari 4.30 hingga 5.30 petang.

“Esok kita mulakan pula kategori lebih intensif iaitu khas untuk mereka yang mempunyai berat berlebihan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada hari pertama program SLIM Selangor di ruang legar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, petang tadi.

Dr Siti Mariah berkata, kategori intensif dibuka kepada kakitangan awam yang mempunyai bacaan Indeks Jisim Tubuh (BMI) mencecah 30.

Katanya, jurulatih akan membantu golongan memiliki BMI 30 ini mengurangkan berat badan sekurang-kurangnya enam kilogram dalam tempoh tiga bulan.

Dr Mariah berkata, peserta kategori intensif juga akan diberikan panduan pemakanan sihat supaya dapat mengekalkan berat ideal.

“Bagi kategori ini kita mempunyai 50 peserta bagi sesi pertama dan sesi kedua dibuka selepas tiga bulan iaitu apabila selesai sesi pertama,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: SLIM Selangor mulai April ini

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 MAC: Program SLIM Selangor membabitkan kakitangan awam akan diperkenalkan April ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pelaksanakan program berkenaan bertujuan menggalakkan semua masyarakat menjalani amalan hidup sihat dengan mendapatkan dan mengekalkan berat badan ideal.

Katanya, penjawat awam diberikan pelepasan untuk melaksanakan aktiviti sukan pada setiap Rabu bermula jam 4.30 petang.

“Selangor sentiasa menjadi contoh dalam pelbagai bidang pembangunan mahupun ekonomi, justeru bagi menyahut seruan menjadi negeri sihat, Kerajaan Negeri merangka program SLIM Selangor.

“Menjadi hasrat Kerajaan Negeri supaya dapat mendidik rakyat negeri ini bersama-sama menggalakkan gaya hidup sihat dalam komuniti setempat sekali gus, mencipta bangsa bersukan,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program Fit Malaysia 2019 peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan, di sini.

Amirudin berkata, pada peringkat awal, program SLIM itu akan dilaksanakan di Bangunan SUK terlebih dahulu.

“Selain itu, setiap agensi lain turut digalakkan menyertainya dan berharap akan diikuti di pihak swasta,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin mahu memperkukuhkan lagi sukan berprestasi tinggi di seluruh negeri.

Katanya, ketika ini terdapat lebih 90 pusat latihan di setiap daerah bagi melatih golongan muda pelbagai jenis sukan untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Sejak menjadi EXCO dahulu, saya mengembangkan bukan hanya pusat latihan negeri malahan daerah, kita mempunyai lebih 800 atlet jadi kita mahu program begini diperkukuhkan lagi,” katanya.

Menerusi Belanjawan Selangor 2019, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan RM21 juta untuk tahun hadapan bagi menjayakan hasrat Selangor Negeri Sihat.

Manakala, bagi Program SLIM akan dilaksanakan di bawah Gaya Hidup Sihat dengan peruntukan RM2 juta.

Program ini menggalakkan masyarakat untuk menjalani aktiviti fizikal secara rutin, mengamalkan pemakanan sihat, melakukan pemeriksaan kesihatan serta menghadiri kempen kesihatan yang dianjurkan bagi memastikan rakyat Selangor mempunyai pengetahuan yang luas serta bijak dalam penjagaan kesihatan.