Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB tinjau bilik gerakan SM Sains Banting, salur bantuan barangan asas

KUALA LANGAT, 27 APRIL: Dato’ Menteri Besar turun padang meninjau bilik gerakan di Sekolah Menengah (SM) Sains Banting yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi Ahli Dewan Negeri Morib Hasnul Baharuddin mendengar taklimat tertutup oleh Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim berhubung situasi terkini.

Beliau kemudian menyampaikan bantuan barangan asas untuk menampung keperluan sepanjang tempoh PKPD.

Ketika ditemui pemberita, beliau berkata seramai 92 individu di sekolah itu positif Covid-19 setakat hari ini.

“Saya dimaklumkan ujian saringan kedua akan diadakan pada 29 April dan 1 Mei, sama-sama kita berdoa semoga tiada lagi kes positif, Insya-Allah,” katanya.

Pelaksanaan PKPD di SM Sains Banting bermula 24 April hingga 7 Mei.

Kuarantin melibatkan seramai 966 individu terdiri 836 pelajar, 70 guru, 21 kakitangan, enam warden asrama, 20 pekerja dewan makan, enam pekerja pembersihan dan tujuh pekerja keselamatan.

Kes indeks pertama melibatkan seorang pelajar tingkatan satu yang dikesan bergejala pada 12 April serta disahkan positif pada 15 April manakala kes kedua dan ketiga pula melibatkan kontak rapat kepada kes pertama.

Categories
ADN SELANGOR

PKPD Sains Banting: Wakil rakyat sumbang 1,000 botol air mineral

SHAH ALAM, 26 APRIL: Ahli Dewan Negeri Morib menyumbang 1,000 botol mineral kepada warga Sekolah Menengah Sains Banting, Kuala Langat yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Wakil rakyat, Hasnul Baharuddin berkata sumbangan diserahkan semalam bagi memenuhi keperluan mereka.

“Saya dimaklumkan mereka memerlukan air. Jadi saya sediakan air mineral bersaiz besar dan berharap ia membantu warga sekolah ini.

“Keperluan mereka akan dipantau dari semasa ke semasa supaya PKPD berjalan lancar. Bantuan untuk petugas juga akan diberi perhatian,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

PKPD SM Sains Banting dikuat kuasa Sabtu lalu hingga 7 Mei depan membabitkan 966 individu termasuk pelajar, guru dan kakitangan sekolah.

Arahan PKPD dikeluarkan selepas 71 pelajar sekolah itu disahkan positif Covid-19 daripada 473 saringan dilakukan.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

PKPD Sains Banting: Pelajar pertama bergejala disahkan positif 15 April lalu

SHAH ALAM, 24 APRIL: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sekolah Menengah (SM) Sains Banting, Kuala Langat yang bermula hari ini adalah susulan seorang pelajar Tingkatan 1 dikesan bergejala pada 12 April lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Langat Mohd Jusni Hashim berkata pelajar itu telah disahkan positif pada 15 April manakala kes positif ke-2 dan kes-3 pula adalah kontak rapat kepada kes pertama.

Grafik dari Twitter MKN

“Hasil daripada tiga kes yang dikesan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah menjalankan siasatan serta penilaian awal dan telah menjalankan 206 ujian saringan awal ke atas kontak rapat. Daripada jumlah itu, 71 pelajar disahkan positif Covid-19.

“PKD Kuala Langat juga mengesahkan penularan kes masih berlaku di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi. Ia berikutan jangkitan Covid-19 ke atas Kluster Jalan Shah Banting,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata PKPD itu melibatkan keseluruhan kawasan SM Sains Banting yang terdiri daripada 966 pelajar, guru dan kakitangan sekolah.

Semalam, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di sekolah itu bermula hari ini hingga 7 Mei depan selepas 71 pelajar disahkan positif Covid-19 daripada sejumlah 473 ujian saringan yang dilakukan.

– BERNAMA