OLEHLIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 5 MEI: Universiti Selangor (UNISEL) berhasrat mewujudkan Smart Selangor Care bagi membantu rakyat menerima perkhidmatan rawatan kesihatan percuma.
Dekan Fakulti Bioperubatan dan Kesihatan, Prof Dr Mohd Nazil Salleh, berkata program itu memberi keutamaan kepada tiga program iaitu kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU), pesakit terlantar dan fisioterapi.
“Dengan ini, UNISEL bukan sahaja dapat berbakti kepada masyarakat, tetapi kita juga dapat berkongsi segala kepakaran dan fasiliti berkenaan kesihatan kepada orang ramai.
“Lebih mengujakan, usaha ini mendapat sokongan dan galakan daripada Kerajaan Negeri,” katanya dalam kenyataan.
Baru-baru ini, Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi melakukan lawatan kerja ke Pusat Fisioterapi dan Pusat Makmal dan Klinikal Diagnostik UNISEL.
Nazil berkata, program pemeriksaan kesihatan percuma itu dijangka disediakan di kesemua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
“Kepercayaan Daroyah terhadap perkhidmatan yang UNISEL akan berikan adalah positif setakat ini kerana ini kali kedua lawatannya ke sini.
“Kita mahu menyumbang kepada masyarakat menerusi perkhidmatan percuma baucar yang akan diberikan Kerajaan Negeri berdasarkan jumlah dihadkan bagi setiap DUN,” katanya.
-AA-