Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Bayar parkir secara digital lebih mudah, cepat dan selamat

SHAH ALAM, 11 DIS: Pembayaran parkir secara digital menerusi aplikasi Smart Selangor Parking memudahkan, cepat dan selamat.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkata inisiatif dilaksana Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) itu selaras hasrat MBSA ke arah pendigitalan.

“Saya berharap orang awam memanfaatkan peluang ini dan bersedia beralih ke arah digital yang lebih menjimatkan masa dan penggunaan kertas,” kata Shahrin Ahmad kepada SelangorKini.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Kamarul Izlan Sulaiman pula berkata pelaksanaan parkir secara digital itu yang dapat mengurangkan orang dikenakan kompaun.

“Kita harap masyarakat mematuhi pelaksanaan parkir menerusi aplikasi di samping ia juga sebagai tanda sokongan kepada Kerajaan Negeri untuk mendigitalisasikan perkhidmatan awam di Selangor,” katanya.

Seorang penjawat awam Annaz Eilaina Ahmad Anwar Merican, 42, berkata usaha Kerajaan Selangor melaksanakan sistem parkir secara digital itu harus dipuji dan memudahkan masyarakat.

“Contohnya penduduk luar Selangor mereka tiada kupon parkir dan tidak tahu dapatkan dimana. Apabila adanya aplikasi ia lebih mudah hanya perlu muat turun dan terus guna.

“Caj parkir melalui aplikasi juga mungkin lebih tepat mengikut jumlah jam kenderaan diletakan,” katanya.

Selain itu, seorang peniaga Abdul Halim Abdul Razak, 30, berkata perubahan itu selaras dengan era modenisasi di samping menjaga persekitaran.

“Menggunakan aplikasi untuk bayar parkir lebih mudah kerana telefon pintar sentiasa ada pada kita. Jika guna kupon adakalanya ia akan bersepah di merata tempat,” katanya.

SSDU menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan semua pembayaran dibuat menggunakan e-kupon menerusi aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) mulai 3 Januari.

Pengguna hanya perlu mengisi nombor pendaftaran kereta dan membayar berdasar tempoh meletak kenderaan. Selain itu, pembayaran juga boleh dibuat melalui ejen e-kupon yang sah.

Layari Facebook Smart Selangor Parking dan hubungi 1 700 81 9612 untuk keterangan lanjut.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bilik Gerakan Covid-19 Selangor pantau wabak menyeluruh

SHAH ALAM, 22 JAN: Bilik Gerakan Covid-19 Selangor akan memulakan operasinya di Pusat Operasi C5i Smart Selangor (SSOC) bagi pemantauan wabak dengan lebih sistematik.

Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berkata pusat kawalan itu akan merancang pengurusan bantuan, menyokong operasi kawalan bersama agensi Persekutuan termasuk memantau kes pandemik di negeri ini.

“Pusat kawalan menelan belanja RM6 juta mempunyai keupayaan operasi 24 jam lengkap dengan jaringan internet berkelajuan tinggi.

“Ia turut dilengkapi pusat data hibrid dan sistem komunikasi berpusat serta Smart Data Platform yang dilengkapi dengan keupayaan analisis data raya,” kata agensi itu menerusi kenyataan.

Mengulas lanjut, SSDU memaklumkan SSOC siap dibangunkan pada Disember tahun lalu di Dewan Jubli Perak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Menurutnya, ia merangkumi lima fungsi bersepadu iaitu arahan, kawalan, komunikasi, komputer, kolobrasi dan kerjasama.

“Pembinaan SSOC ini merupakan salah satu daripada 60 inisiatif di bawah program Smart Selangor yang dibangunkan SSDU bagi menjadikan Selangor sebagai negeri pintar berdaya huni di rantau Asean menjelang 2025,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pusat kawalan pintar tingkat kelancaran operasi ketika kecemasan

SHAH ALAM, 31 OKT: Pusat Kawalan Smart Selangor (C5i) yang kini di peringkat akhir pembinaan bakal meningkatkan kecekapan operasi pelbagai agensi sekiranya berlaku kecemasan.

Pengarah urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berkata teknologi pintar membolehkan pengumpulan data dilakukan dengan pantas sekali gus memudahkan proses atur dan gerak pihak berkuasa.

“Pusat C5i memastikan operasi kawal dan perintah dijalankan bersama melibatkan Unit Pengurusan Bencana Negeri, polis, Jabatan Alam Sekitar, pihak berkuasa tempatan serta pelbagai agensi lain.

“Kecekapan operasi pusat C5i turut disokong jaringan kamera litar tertutup (CCTV), papan pemuka utama pintar dan komputer,” kata Dr Fahmi Ngah kepada SelangorKini hari ini.

Semalam ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Menteri Besar mengumumkan pembinaan pusat tersebut di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri seiring sasaran Negeri Pintar menjelang 2025.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pusat C5i menjadi infrastruktur utama berasaskan jaringan internet Gigabit dan Tier-4 ready Cloud Data Centre.

Jelasnya dianggar 2,000 unit CCTV akan dipasang di seluruh negeri dengan projek rintis 100 unit di pusat bandar Shah Alam untuk mewujudkan konsep Smart Selangor Safe City.

Pembangunan Pelan Tindakan Smart Selangor 2025 bakal melengkapkan Blueprint Smart Selangor 2016 yang menetapkan empat pelaksanaan iaitu kerajaan pintar, ekonomi pintar, komuniti pintar dan infrastruktur digital pintar.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Program khusus tangani isu pencemaran sungai

SHAH ALAM, 1 OKT: Kerajaan Negeri akan membina rangkaian program khusus bersama Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) bagi memudahkan pemantauan berkala di sungai utama negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, usaha itu bertujuan untuk mengurangkan kejadian pencemaran sumber air mentah sehingga menyebabkan loji dihenti tugas.

“Kita perlu bertindak melaksanakan langkah pencegahan awal, ketika ini Kerajaan Negeri sedang membina program untuk memantau sungai utama khususnya sungai yang berpotensi tercemar.

“Kita sedang aturkan untuk ditangani. Kerajaan Negeri komited bukan hanya mengambil tindakan undang-undang tetapi di peringkat pemantauan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Konvensyen Tranformasi Pengurusan Hal Ehwal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah, Masjid Negeri di sini, hari ini.

Amirudin Shari melawat ruangan pameran ketika Konvensyen Transformasi Pengurusan Hal Ehwal JAIS di Dewan Muzakarah, Masjid Negeri pada 1 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Setakat ini, Amirudin berkata, pemantauan hanya dilakukan sekiranya terdapat aktiviti pencemaran dilaporkan.

“Pemantauan berlaku apabila adanya pencemaran sahaja dan bukannya bagaimana perlu mengelak pihak yang menjalankan aktiviti berkaitan.

“Sebab itu wujudnya rizab sungai. Tetapi apabila kita bertindak tegas kepada mereka yang tinggal di rizab sungai, kita dituduh macam-macam.

“Apabila pencemaran berlaku, marah pula kepada Kerajaan Negeri jadi perkara ini perlu diteliti dengan serius,” katanya.

Sabtu lalu, Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya, selepas berlaku insiden pencemaran bau dengan bacaan lima ton, di sumber air mentah Sungai Semenyih.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan berkata, henti tugas loji itu akan menyebabkan sebanyak 204 kawasan membabitkan 372,031 akaun pelanggan berdaftar di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terjejas.

Categories
SELANGOR

SSDU-KTMB kongsi kepakaran CCTV analitik

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 17 JUN: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) menerima kunjungan 20 warga kerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), di sini baru-baru ini.

Delegasi diketuai Pengurus Besar Keselamatan KTMB, Meyor Hamdan itu bertujuan mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan inisiatif Smart Selangor, khususnya inisiatif CCTV analitik selain berkongsi kepakaran sesuai untuk diaplikasikan pada pengurusan perkhidmatan KTMB.

Pengarah Urusan SSDU, Dr Fahmi Ngah berkata, lawatan itu menjadi medan mewujudkan kerjasama antara pihaknya dan KTMB dalam usaha mengintegrasi data Aplikasi MyRailTime Journey Planner bersama aplikasi Selangor Intelligent Transport System (SITS).

“Mod pengangkutan yang berbeza dalam satu aplikasi ini dapat memangkin kadar penggunaan pengangkutan awam oleh rakyat Selangor.

“Lawatan ini diharap sedikit sebanyak dapat memberi input yang mencukupi kepada pihak KTMB untuk digunapakai pada masa hadapan kelak,” katanya.

Warga kerja KTMB turut dibawa ke Smart Selangor Command Centre untuk melihat sendiri demo ujian CCTV analitik yang mampu membuat pengecaman wajah individu, mengesan haba badan melalui kamera thermo, pengesahan pencerobohan termasuk fungsi mengira bilangan orang secara automatik.

Categories
SELANGOR

SSDU rai 45 penghuni Rumah Amal Al-Firdaus

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 29 MEI: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) meraikan 45 kanak-kanak Rumah Amal Al- Firdaus Denai Alam dalam Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di sini, kelmarin.

Program tradisi anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri itu dianjurkan untuk menceriakan 15 kanak-kanak lelaki dan 30 perempuan berusia antara dua hingga enam tahun di rumah kebajikan berkenaan.

SSDU dalam kenyataan berkata, ia juga bertujuan meringankan beban penghuni di rumah kebajikan terbabit menerusi sumbangan berbentuk barangan kelengkapan bagi persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.

“Program ini adalah salah satu pendekatan bagi kerja kesukarelawan warga kerja SSDU di samping dapat beramal sempena Ramadhan.

“Program seumpama ini turut mampu memberi impak positif kepada semua yang membabitkan diri sekali gus berkongsi rezeki dan kegembiraan bersama,” katanya.

Selain sumbangan kelengkapan raya, anak-anak di rumah terbabit turut berpeluang menikmati sajian Mc Donald’s yang disediakan SSDU.

Rumah Amal al-Firdaus adalah sebuah rumah kebajikan dan pendidikan ditubuhkan pada 25 Jun 2010 yang berperanan mendidik serta mengasuh kanak-kanak.

Ia dikelolakan Syamsiati Said berbekalkan semangat untuk berkhidmat kepada masyarakat, khususnya anak-anak bangsa.

Dalam pada itu, Syamsiati turut merakamkan penghargaan kepada SSDU atas penganjuran program CSR dan sumbangan berkenaan yang memberi manfaat kepada seluruh penghuninya.

Categories
SELANGOR

SSDU: Smart Selangor Parking di MPSJ mula digunakan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 MEI: Penduduk di seluruh kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sudah boleh mula menggunakan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) bermula Rabu lalu.

Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dalam kenyataan memaklumkan, MPSJ adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) ke tujuh menggunakan aplikasi berkenaan.

Katanya, aplikasi SSP dibangunkan Kerajaan Negeri menerusi SSDU itu adalah sebuah sistem pembayaran parkir dan kompaun berintegrasi secara atas talian yang seragam merentasi PBT negeri.

“Aplikasi ini turut disertakan dengan fungsi tambahan yang lain seperti peringatan tempoh tamat waktu meletak kenderaan, perkongsian kredit antara pengguna dan pendaftaran sehingga enam nombor kenderaan berbeza.

“Bagi transaksi pembelian kredit, beberapa saluran atas talian disediakan untuk memudahkan pengguna seperti perbankan atas talian, kad kredit dan juga e-dompet,” katanya.

Pada masa sama, SSDU berkata, aplikasi SSP itu turut membolehkan proses pemantauan dan penguatkuasaan oleh PBT khususnya kesalahan salah laku dan pembayaran parkir.

Terdahulu, aplikasi itu adalah satu inisiatif Smart Selangor yang dibangunkan di bawah domain “Smart Transport and Mobility”.

Ia sekali gus menyasarkan objektif untuk mendidik rakyat Selangor ke arah penggunaan teknologi pintar bagi kemudahan urusan yang membabitkan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Ia juga mencerminkan bahawa Kerajaan Negeri kekal komited untuk terus menyediakan kemudahan terbaik seiring dengan agenda menuju ke arah Smart State menjelang 2025,” katanya.

Sehingga kini, aplikasi Smart Selangor Parking juga boleh digunakan di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Turut digunakan di Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB puji inisiatif MBSA sedia Smart Bus Stop

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 27 APRIL: Dato’ Menteri Besar memuji usaha Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan projek ‘Smart Bus Stop’ sebagai langkah penambahbaikan terhadap kemudahan dan perkhidmatan pengangkutan awam sedia ada, di pusat bandar itu.

Amirudin Shari berkata, kemudahan yang disediakan MBSA dengan kerjasama Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) itu sejajar hasrat Kerajaan Negeri memberi kemudahan perkhidmatan pengangkutan awam kepada rakyat Selangor.

Katanya, hentian bas pintar dan unik itu mencerminkan beberapa ciri utama yang perlu dimiliki sebuah bandar pintar seperti mesra pengguna, infrastruktur selesa serta kewujudan lapisan digital.

“Ciri penting ini membolehkan pengumpulan data dilakukan seperti jumlah bilangan pengguna, pengguna semasa waktu puncak, demografi pengguna, ketepatan waktu ketibaan bas dan beberapa lagi ciri keselamatan untuk menjamin keselesaan pengguna.

“Malah, melalui data berkenaan, unjuran waktu perjalanan dan penjadualan yang lebih tepat dari semasa ke semasa juga dapat dilakukan sekali gus memastikan perkhidmatan ini menjadi lebih efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Projek Trek Basikal, Smart Bus Stop dan Aplikasi Selangor Intelligent Transport System (SITS), di Perkarangan Plaza Perangsang, Seksyen 14, di sini, hari ini.

Hadir sama EXCO Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim; Pengurus Besar SSDU, Dr Fahmi Ngah dan Timbalan Dato Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan.

Sementara itu, Mohd Rashidi berkata, projek terbabit dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan pengangkutan, sekali gus memberi keselesaan dan keyakinan kepada penduduk untuk menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Katanya, sebanyak dua unit projek itu juga sudah disiapkan di hadapan Wisma MBSA dan Persiaran Sultan, Seksyen 14 untuk kemudahan pengguna.

“Kedua-dua hentian ini mula dibina pada 2018 dan ia dihubungkan dengan laluan pejalan kaki berlampu isyarat.

“Ia dilengkapi dengan tujuh elemen pintar iaitu panel paparan maklumat ketibaan bas, butang mengambil penumpang, wifi percuma, kamera litar tertutup, hab pengecas USB, butang kecemasan atau ‘panic button’ dan pengesan kualiti udara,” katanya.

Categories
SELANGOR

SSDU pelawa swasta jalin kolaborasi bangun Smart Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 MAC: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) mempelawa syarikat pembekal teknologi tempatan dan luar negara untuk turut serta dalam membangunkan inisiatif Smart Selangor.

Pengarah Urusannya, Dr Fahmi Ngah berkata, kolaborasi dengan pihak swasta, akademik dan pereka cipta penting bagi memastikan agenda Smart Selangor dapat dibangunkan selain memenuhi keperluan rakyat pada kos bersesuaian.

“Bermula hari ini, SSDU mengumumkan suatu proses ‘Expression of Interest’ (EoI) untuk pihak ini mengusulkan cadangan mereka berdasarkan beberapa keutamaan Smart Selangor tahun ini.

“Tahun ini adalah tahun ketiga pembangunan Smart Selangor dilaksanakan oleh SSDU, pihak kami amat berterima kasih dan menghargai segala sokongan yang ditunjukkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Kerajaan Negeri dari pelbagai peringkat,” katanya di sidang media di Bangunan Annex, di sini.

Dr Fahmi berkata, dokumen berkaitan proses EoI itu boleh dibeli daripada Pejabat SSDU di tingkat 15, Plaza Perangsang, Shah Alam bermula 26 Mac hingga 5 April pada jam 9.30 pagi hingga 5 petang.

“Cadangan itu perlu dikembalikan semula ke pejabat SSDU sebelum jam 12 tengah hari pada 12 April,” katanya.

Sementara itu, Amirudin menyambut baik usahasama pihak luar untuk membantu merealisasikan agenda berkenaan.

“Ia adalah satu lagi contoh polisi dan pendedahan ‘business friendly’ oleh Kerajaan Negeri yang menjadi teras pentadbiran ini.

“Saya berharap supaya agenda Smart Selangor ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya menerusi pembabitan lebih banyak syarikat swasta di Malaysia,” katanya.

SSDU adalah anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri yang diberikan mandat untuk menerajui pembangunan program Smart Selangor sekali gus, menjadikan Selangor sebagai ‘The Premier Regional Smart State’ di rantau ASEAN menjelang 2015.

Program Smart Selangor bermatlamat menjadikan Selangor sebagai negeri serantau yang lebih produktif dan berdaya huni selain memastikan kemampanan dan pemuliharaan alam sekitar seiring dengan pembangunan dicapai.

Sejumlah 60 inisiatif dibangunkan di bawah 12 domain iaitu ‘Smart Governance, Smart Waste Management, Smart Traffic and Mobility, Smart Digital Infrastructure dan Smart Healthcare’.

Selain itu, ‘Smart Education, Smart Disaster Management, Smart Food and Agriculture, Smart Building and Energy, Smart Water Management, Smart Safety and Security dan Smart Social Support’.

Categories
SELANGOR

SSDU beri ruang pelajari teknologi baharu

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 20 MAC: Amazon Web Selangor (AWS) Academy dan AWS Educate dengan kerjasama Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) bakal menyediakan peluang kepada pelajar negeri itu mempelajari bidang teknologi baharu.

Pengarah Projek dan Pembangunan Perniagaan SSDU, Mazlan Mahadi berkata, ia sekali gus membantu pelajar mendapatkan sijil daripada AWS yang diiktiraf seluruh dunia serta melayakkan mereka bekerja di syarikat gergasi.

“Contohnya, mereka di Australia yang mempunyai sijil ini membolehkan mereka diambil bekerja dengan pendapatan 30 peratus lebih tinggi berbanding yang tidak mempunyai sijil ini.

“Pada peringkat permulaan, kami sedang memperincikan program AWS Educate bagi memberi peluang pelajar mempelajari lebih mendalam kursus berkaitan dengan Revolusi Industri 4.0.

“Menerusi AWS Academy pula, pelajar mahupun pensyarah boleh mendapatkan akses kepada perisian analisis data serta pembelajaran kecerdasan buatan dan melayakkan mereka memperolehi sijil berkenaan,” katanya kepada SelangorKini.

Mazlan berkata, program berkenaan dijangka akan diperkenalkan suku ketiga tahun ini.

“Pada September tahun ini, SSDU juga akan mengadakan hackathon untuk pelajar menunjukkan bakat dengan penggunakan perisian AWS dan pemenang akan diberi peluang ke peringkat ASEAN,” katanya.

Terdahulu, SSDU melakar sejarah apabila dilantik AWS Amerika Syarikat menjadi Organisasi Pembangunan Ekonomi (EDO) AWS pertama di rantau Asia.

Lantikan sebagai EDO itu membolehkan SSDU menyegerakan pembangunan beberapa insiatif utama di bawah program Smart Selangor.

Ia membolehkan kerjasama di antara SSDU dan AWS memperkenalkan program AWS Cloudstart, AWS Educate dan AWS Academy di Selangor.

Categories
SELANGOR

Pusat Kecemerlangan Cloud Computing latih penjawat awam

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 20 MAC: Pusat Kecemerlangan Cloud Computing atau pengkomputeran awan bagi melatih penjawat awam di Selangor mempertingkat kemahiran dan pengetahuan perkhidmatan bakal dilancarkan Julai ini.

Pengarah Projek dan Pembagunan Perniagaan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Mazlan Mahadi berkata, pihaknya diberi tanggungjawab oleh Kerajaan Negeri untuk mempersiapkan penjawat awam menghadapi cabaran seiring perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“SSDU melihat pelbagai agensi kerajaan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan perlu melengkapkan diri dan pengetahuan dalam penggunaan Cloud Computing ini.

“Ramai penjawat awam masih belum cukup meneroka kemudahan yang terdapat dalam teknologi ini.

“Justeru, menjadi hasrat SSDU melahirkan sejumlah penjawat awam yang mahir menerusi pusat kecemerlangan di Universiti Kebangsaan Malaysia itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini ketika ditemui di Program Smart Selangor AWS Students Awareness, di Taylor’s University, di sini.

Mazlan berkata, reformasi perkhidmatan awam dengan menambah baik segala tadbir urus serta mendukung akauntabiliti dan ketelusan dalam pentadbiran akan meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap kecekapan perkhidmatan awam.

Pada masa sama, Mazlan berkata, teknologi baharu seperti Cloud Computing itu diterima dan digunapakai secara tidak sedar dalam kalangan masyarakat.

“Sebagai contoh, bagaimana kita menyimpan data-data menggunakan iCloud atau google drive. Itu merupakan asas kepada cloud computing. Namun, ia hanya perkara asas dan banyak lagi boleh diteroka,” katanya.

IR4.0 kini merangkumi pelbagai teknologi baharu antaranya automasi, Internet Of Things, analisis data besar, simulasi, robotik, kecerdasan buatan dan cloud computing bagi merancakkan kemajuan landskap dunia moden.

Categories
SELANGOR

SSDU dedah ‘Cloud Computing’ kepada mahasiswa

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SUBANG JAYA, 20 MAC: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) buat julung kalinya menganjurkan program ‘Smart Selangor Amazon Web Services (AWS) Student Awareness’ bagi memberi pendedahan berkaitan penggunaan pengkomputeran awan (cloud computing) kepada mahasiswa.

Pengarah Projek dan Pembagunan Perniagaannya, Mazlan Mahadi berkata, program itu penting bagi membina masyarakat pintar sekali gus mempercepatkan agenda Selangor sebagai ‘Smart State’ terunggul di ASEAN menjelang 2025.

Katanya, penggunaan pengkomputeran awan kini mula menjadi trend dalam semua sektor pekerjaan mahupun perkhidmatan.

“Jika mahasiswa kita tidak menggunakan dan tiada pengetahuan tentang pengkomputeran awan, ia akan memberi kesan kepada kebolehpasaran mereka.

“Sebab itu, hari ini kita jemput pelatih daripada Amazons Web Services (AWS) untuk beri sedikit pengetahuan tentang pengkomputeran awan kepada mahasiswa kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini ketika ditemui pada Program Smart Selangor AWS Students Awareness, di Taylor’s University, di sini.

Sementara itu, Muhammad Shahmi Abdul Jadi, 23, berkata program berkenaan banyak memberi pendedahan baru berkaitan dunia pengkomputeran awan.

Pelajar tahun akhir Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu turut menunjukkan minat untuk meneroka lebih lanjut khidmat pengkomputeran awan AWS itu selepas program terbabit.

“Program seperti ini merupakan peluang keemasan bagi pelajar menambah pengetahuan bagi menghadapi dunia pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Justeru, usaha ditunjukkan Kerajaan Negeri dalam membantu pelajar mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan adalah sangat baik selain usaha ini perlu diteruskan,” katanya.

Terdahulu, program berkenaan dihadiri kira-kira 800 mahasiswa daripada 12 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di seluruh Selangor.