Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PBT SELANGOR

MPSepang: Pengguna dibenar tuntut bayaran kupon parkir bergores

SEPANG, 27 FEB: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) membenarkan individu yang sudah membeli kupon parkir bergores membuat tuntutan bayaran balik.

Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata ia susulan pemansuhan penggunaan kupon bergores pada akhir Mac ini berikutan penguatkuasaan e-kupon menerusi aplikasi Smart Selangor Parking (SSP).

Katanya, tuntutan bayaran balik itu boleh dibuat kepada Suasa Efektif (M) Sdn Bhd (Suasa Efektif) selaku syarikat pengendali parkir tempatan.

“Kita menyambut baik langkah Kerajaan Negeri supaya kupon parkir bergores tidak lagi dilaksanakan dan digantikan dengan e-kupon menjelang 1 April ini.

“Jadi, mereka yang sudah membeli kupon tetapi masih belum digunakan boleh buat tuntutan semula,” katanya ketika ditemui pada program penanaman pokok bakau di Sungai Sepang Besar, Pantai Pasir Putih di sini hari ini.

Beliau berkata, MPSepang juga akan mempertingkatkan kempen bagi menggalakkan orang ramai beralih kepada sistem bayaran parkir digital sepenuhnya.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor mengumumkan pemansuhan kupon parkir kertas gores dan menguatkuasakan e-kupon melalui SSP yang boleh dimuat turun di App Store atau Google Play Store.

Bagaimanapun, pada 4 Januari lalu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memaklumkan orang ramai masih dibenar menggunakan kupon parkir bergores di seluruh PBT negeri ini sehingga akhir Mac.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 1-700-81-9612, atau e-mel [email protected]

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

100 kedai serbaneka dilantik ejen e-kupon Smart Selangor Parking

KLANG, 22 FEB: Sebanyak 100 kedai serbaneka dilantik sebagai ejen bagi menjamin kelancaran pelaksanaan e-kupon melalui aplikasi Smart Selangor Parking (SSP).

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata ejen tersebut bertanggungjawab membantu pengguna terutama warga emas dan pelancong mendaftar dan membayar kupon parkir.

“Pengguna juga terdiri daripada warga emas dan pelancong. Ejen ini akan membantu proses pembayaran kupon dan pengguna tidak perlu berpatah balik ke kereta untuk membuat pembayaran.

“Setakat ini, hampir dua juta pengguna sudah memuat naik aplikasi SSP sejak dilancarkan pada 2019 dan menjadi aplikasi parkir nombor satu di negara ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Penghargaan Klang Sejahtera Ke Arah Pembangunan Mampan 2020/2021 di Dewan Hamzah Majlis Perbandaran Klang (MPK) semalam.

Kerajaan Selangor memansuhkan penggunaan kupon parkir kertas gores dan menguatkuasakan e-kupon melalui aplikasi SSP yang boleh dimuat turun di App Store atau Google Play Store.

Setakat ini, orang ramai masih dibenar menggunakan kupon parkir bergores di semua kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini sehingga akhir Mac bagi membolehkan mereka menghabiskan stok sedia ada.

Kupon parkir bergores yang tidak habis digunakan boleh ditebus di pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas Mac nanti.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 1-700-81-9612 atau e-mel [email protected].

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Parkir secara digital bantu pengguna elak dikompaun

SHAH ALAM, 11 JAN: Penggunaan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) memudahkan pengguna berikutan mengurangkan potensi dikenakan kompaun.

Peniaga, Ashikin Abu Bakar, 41, berkata beliau telah menggunakan e-kupon sejak tahun lalu dan aplikasi itu memudahkannya memeriksa tempoh bayaran.

Ashikin Abu Bakar, 41. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Berbanding kupon parkir kertas gores, kadang kala kita tidak pasti tempoh waktu tetapi dengan aplikasi ini boleh lihat dan tambah dengan mudah sekali gus mengurangkan potensi dikompaun,” katanya kepada SelangorKini.

Jurujual yang mahu dikenali sebagai Keong, 45, berkata beliau kini sedang menghabiskan semua kupon parkir gores yang dibelinya.

“Saya perlu guna kupon parkir gores dalam kuantiti banyak bagi memudahkan urusan harian kerana pekerjaan memerlukan berjumpa ramai orang.

Keong, 45. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Pelaksanaan e-kupon amat bagus kerana memudahkan dan tidak perlu ke kedai mencarinya dan kini saya menghabiskan kupon sedia ada supaya tidak perlu membuat tebusan,” katanya.

Kerajaan Selangor memansuhkan penggunaan kupon parkir kertas gores dan menguatkuasakan e-kupon melalui aplikasi SSP, yang boleh dimuat turun di App Store atau Google Play Store.

Setakat ini, orang ramai masih dibenar menggunakan kupon parkir bergores di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini sehingga hujung Mac bagi membolehkan mereka menghabiskan stok sedia ada.

Kupon parkir itu yang tidak habis digunakan boleh ditebus di pejabat PBT selepas Mac nanti.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 1-700-81-9612, atau e-mel [email protected] .

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Aplikasi parkir secara digital mudah, jimat masa pengguna

SHAH ALAM, 7 JAN: Aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) memudahkan orang ramai di negeri ini berbanding kupon parkir bergores yang digunakan secara manual.

Pegawai acara dan pemasaran Muhammad Syafiq Abdullah Shatri, 31, berkata aplikasi parkir digital itu memberi kelebihan kepada pengguna terutama ketika kecemasan apabila tidak perlu mencari premis niaga bagi mendapatkan kupon letak kenderaan.

MUhammad Syafiq Abdullah Shatri, 31. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Penggunaan kupon kertas agak lambat kerana kadang-kala habis sedangkan kita ada kecemasan. Dengan adanya aplikasi ini amat memudahkan dan mempercepatkan urusan harian.

“Secara peribadi, saya pernah kena saman kerana tidak sempat gores kupon baharu berikutan tempoh mesyuarat dilanjutkan,” katanya kepada SelangorKini.

Penjawat awam Nurul Munirah Yahya, 31, berkata sebelum ini beliau membeli kupon parkir bergores untuk tempoh sebulan bagi memudahkan urusan dan mengelakkan disaman.

“Namun, kini saya mula menggunakan aplikasi itu dan memang mudah kerana selain menjimatkan masa, ia juga dapat memeriksa tempoh parkir.

Nurul Munirah Yahya, 31. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Jika perlu melanjutkannya, saya hanya perlu menambah menggunakan aplikasi sahaja,” katanya.

Pembantu operasi Perpustakaan Awam Selangor Abdullah Majid, 44, berkata penggunaan aplikasi dapat mengurangkan modal cetakan kupon bergores.

“Modal untuk tujuan itu sudah pasti agak tinggi dan dengan adanya aplikasi ini menjimatkan penggunaan kertas sekali gus dapat menjaga kelestarian alam sekitar,” katanya.

Kerajaan Selangor memansuhkan penggunaan kupon parkir kertas gores dan menguatkuasakan e-kupon melalui aplikasi SSP, yang boleh dimuat turun di App Store atau Google Play Store.

Setakat ini, orang ramai masih dibenar menggunakan kupon parkir bergores di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini sehingga hujung Mac bagi membolehkan mereka menghabiskan stok sedia ada.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 1-700-81-9612, atau e-mel [email protected] .

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Parkir digital di Selangor mulai 3 Januari depan

SHAH ALAM, 10 DIS: Pembayaran parkir diuruskan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini akan menggunakan sepenuhnya kaedah digital mulai 3 Januari depan, maklum Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

Dalam perkongsian di Facebook, agensi melaksanakan inisiatif Smart Selangor itu memaklumkan semua pembayaran dibuat menggunakan e-kupon menerusi aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) yang lebih mudah, cepat dan selamat.

Pengguna hanya perlu mengisi nombor pendaftaran kereta dan membayar berdasar tempoh meletak kenderaan. Selain itu, pembayaran juga boleh dibuat melalui ejen e-kupon
yang sah.

Tambah nilai kredit kupon juga boleh dibuat di beberapa kedai serbaneka antaraya 7-Eleven, 99 Speedmart dan KK Mart.

Pada Mac lalu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memaklumkan Kerajaan Negeri akan melaksanakan pembayaran parkir secara digital melalui aplikasi SSP dan menamatkan penggunaan kupon manual mulai Januari depan.

Bagi orang awam yang tidak mempunyai telefon pintar atau aplikasi berkenaan, sistem ejen e-kupon akan disediakan sebagai alternatif.

Layari Facebook Smart Selangor Parking dan hubungi 1 700 81 9612 untuk keterangan lanjut.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor henti guna kupon, bayar parkir melalui aplikasi tahun depan

SHAH ALAM, 12 MAC: Penggunaan kupon parkir di semua tempat letak kereta diurus pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor akan dihentikan pada 31 Disember ini.

EXCO kerajaan tempatan berkata sistem pembayaran digital menerusi aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) bagi menggantikan kaedah manual berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.

“Kita akan mewujudkan petak parkir khas (hot zone) di kawasan aliran trafik tinggi dengan mengehad masa maksimum,” kata Ng Sze Han menerusi Facebook.

Beliau berkata pihaknya juga menyediakan sistem ejen e-parkir sebagai alternatif kepada orang awam yang tidak mempunyai telefon pintar.

Pada Selasa, Sze Han mempengerusikan mesyuarat hala tuju pengurusan tempat letak kenderaan PBT Selangor di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam bagi memutuskan perkara berkenaan.

Berhubung petak parkir khas, ia akan diberi nama lebih sesuai yang mesra pengguna dan dikuat kuasa selepas pindaan ke atas jadual di dalam Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) diguna pakai PBT Selangor diwartakan.

Diperkenal pada Julai 2018, SSP digunakan secara meluas oleh PBT negeri dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Aplikasi dibangunkan Smart Selangor Delivery Unit selari agenda Negeri Pintar menjelang 2025.

Sehingga kini, pengguna berdaftar dengan sistem tempat letak kereta pintar itu melebihi 1.5 juta.

Categories
EXCO SELANGOR

Smart Selangor Parking tergendala, pengguna boleh tuntut pampasan

SHAH ALAM, 21 SEPT: Pengendali Smart Selangor Parking (SSP) mengambil tanggungjawab penuh dengan membayar semula kompaun tempat letak kereta yang dikenakan terhadap pengguna susulan gangguan sistem tersebut hari ini.

EXCO kerajaan tempatan berkata pengguna boleh menghubungi SSP melalui emel [email protected] atau talian 1700-819-612 bagi tuntutan pampasan kompaun dalam tempoh gangguan berkenaan.

“Sistem SSP tergendala dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari pada 21 September (hari ini) disebabkan masalah pengemaskinian sistem aplikasi.

“Pengendali telah mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan gangguan sistem aplikasi. Pengguna Android kini boleh melakukan pengemaskinian aplikasi manakala pengguna iOS masih perlu menunggu kebenaran Apple untuk berbuat demikian,” kata Ng Sze Han dalam kenyataan.

SSP diperkenalkan pada Julai 2018 kini menjadi aplikasi parkir nombor satu negara apabila digunakan pihak berkuasa tempatan di Selangor termasuk kawasan di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Categories
EXCO SELANGOR

Smart Selangor Parking sasar sejuta pengguna

SHAH ALAM, 8 FEB: Kerajaan Negeri menyasarkan sejuta pengguna aplikasi pintar Smart Selangor Parking (SSP) pada tahun ini, kata EXCO kerajaan tempatan dan pengangkutan awam.

Ng Sze Han berkata, orang ramai perlu memanfaatkan sepenuhnya aplikasi tersebut berbanding kaedah lama menggunakan kupon atau wang syiling bagi membayar parkir.

“Kita turut menawarkan kredit tambahan percuma bagi menggalakkan masyarakat menggunakannya.

“Jika menambah nilai RM100 mereka akan diberi kredit RM3 manakala RM1 bagi tambah nilai RM50,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

SSP diperkenalkan pada Julai 2018 kini menjadi aplikasi parkir nombor satu negara dengan 10 daripada 12 pihak berkuasa tempatan di Selangor menggunakan aplikasi tersebut, selain Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Categories
SELANGOR

Smart Selangor Parking sah di DBKL

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 JUL: Aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) kini boleh digunapakai untuk pembayaran parkir di kawasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kata EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru.

Ng Sze Han berkata, aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma itu membolehkan pengguna membuat bayaran segera dengan menggunakan kredit yang boleh ditambah nilai daripada perhidmatan perbankan tempatan (e-wallet).

Katanya, selain DBKL, tujuh kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Sepang.

“Selain itu, SSP juga boleh digunakan di parkir berpagar (off street parking) di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Paramount, Asia Jaya, Stadium Kelana Jaya dan Gerai Peniaga Atria.

“Pelaksanaan SSP ini juga berjaya menjimatkan penggunaan kupon parkir sebanyak 180 tan kertas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis penghargaan kepada PBT atas pencapaian cemerlang dalam SPB-PBT, di Suk, di sini.

Pada masa sama, Sze Han berkata, bagi menggalakkan lagi penggunaan SSP, Kerajaan Negeri menawarkan promosi istimewa selama sebulan bermula 9 Julai hingga 9 Ogos.

“Promosi ini membabitkan RM1 tambahan kredit diberikan kepada setiap pembelian kredit RM50 hingga RM99.

“Manakala RM3 tambahan kredit pula akan diberikan untuk setiap pembelian kredit RM100 hingga RM199,” katanya.

Selain itu, katanya, tambahan RM6 juga dikreditkan kepada pembelian RM200 hingga RM299, RM9 tambahan bagi pembelian RM300 hingga RM399 dan RM12 tambahan bagi pembelian RM400 hingga RM499.

SSP diperkenalkan pada Julai 2018 selaras dengan visi Selangor ke arah Smart State 2025.

Kadar caj letak kenderaan dan kompaun yang dikenakan SSP adalah mengikut kadar sedia ada seperti ditetapkan PBT yang menyertai pelaksanaan SSP.

Categories
SELANGOR

SSDU: Smart Selangor Parking di MPSJ mula digunakan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 MEI: Penduduk di seluruh kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sudah boleh mula menggunakan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) bermula Rabu lalu.

Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dalam kenyataan memaklumkan, MPSJ adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) ke tujuh menggunakan aplikasi berkenaan.

Katanya, aplikasi SSP dibangunkan Kerajaan Negeri menerusi SSDU itu adalah sebuah sistem pembayaran parkir dan kompaun berintegrasi secara atas talian yang seragam merentasi PBT negeri.

“Aplikasi ini turut disertakan dengan fungsi tambahan yang lain seperti peringatan tempoh tamat waktu meletak kenderaan, perkongsian kredit antara pengguna dan pendaftaran sehingga enam nombor kenderaan berbeza.

“Bagi transaksi pembelian kredit, beberapa saluran atas talian disediakan untuk memudahkan pengguna seperti perbankan atas talian, kad kredit dan juga e-dompet,” katanya.

Pada masa sama, SSDU berkata, aplikasi SSP itu turut membolehkan proses pemantauan dan penguatkuasaan oleh PBT khususnya kesalahan salah laku dan pembayaran parkir.

Terdahulu, aplikasi itu adalah satu inisiatif Smart Selangor yang dibangunkan di bawah domain “Smart Transport and Mobility”.

Ia sekali gus menyasarkan objektif untuk mendidik rakyat Selangor ke arah penggunaan teknologi pintar bagi kemudahan urusan yang membabitkan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Ia juga mencerminkan bahawa Kerajaan Negeri kekal komited untuk terus menyediakan kemudahan terbaik seiring dengan agenda menuju ke arah Smart State menjelang 2025,” katanya.

Sehingga kini, aplikasi Smart Selangor Parking juga boleh digunakan di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Turut digunakan di Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Categories
SELANGOR

SSP, PBP bantu pantau prestasi pegawai penguatkuasa

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 6 MEI: Prestasi pegawai penguat kuasa di Majlis Perbandaran Subang Jaya kini mampu dipantau secara lebih berkesan dan komprehensif melalui kesediaan fungsi sistem aplikasi pintar ‘Smart Selangor Parking’ (SSP) serta ‘Parkbyphone’ (PBP).

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, modul penguatkuasa SSP turut membantu pegawai penguat kuasa untuk menjalankan kerja penguatkuasaan parkir seterusnya membolehkan penggunaannya di lapangan.

“Selain itu, kertas kompaun juga dapat dicetak secara ‘real time’ bagi kesalahan seperti tidak membayar parkir dan meletakkan kenderaan di luar petak.

“Kewujudan aplikasi ini juga berjaya meningkatkan fenomena mesra pengguna, infrastruktur yang selesa dan pembangunan sebuah lapisan digital untuk memastikan tahap perkhidmatan awam lebih ceka, efisien dan saksama untuk semua penduduk di dalam dan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Sistem Aplikasi Pintar Letak Kereta ‘Smart Selangor Parking’ (SSP) dan ‘Parkbyphone’ (PBP), di Ibu Pejabat MPSJ, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze; Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan; Pengarah Urusan SSDU, Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Pengarah Eksekutif Bahagian Perniagaan Letak Kereta Godell Parking Sdn Bhd, Md Jaki Omar.

Sze Han yang juga ADN Kinrara menyambut baik komitmen pihak berkuasa tempatan (PBT) itu melaksanakan aplikasi pintar berkenaan yang mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri merealisasikan Selangor sebagai sebuah Smart State terulung di rantau Asia menjelang 2025.

“Aplikasi ini adalah satu pendekatan Smart State untuk menyediakan penyeragaman perkhidmatan pelbagai PBT melalui satu aplikasi telefon pintar untuk kegunaan rakyat.

“Saya harap sistem pembayaran parkir dilaksanakan MPSJ dan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) serta dioperasikan Godell Parking Sdn Bhd dapat memudahkan transaksi pembayaran parkir juga kompaun untuk penduduk setempat,” katanya.

Sebanyak 44,639 atau 60 peratus petak letak kereta diwartakan MPSJ bagi kawasan komersial, manakala 35,214 atau 40 peratus di kawasan industri dan industri bercampur melalui kedua-dua aplikasi pintar berkenaan.

 

Categories
SELANGOR

Aplikasi PBP, SSP mudahkan pengguna bayar parkir dan kompaun

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SUBANG JAYA, 6 MEI: Penduduk di Subang Jaya kini mempunyai pebagai landasan melunaskan
bayaran letak kereta dan kompaun apabila Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) memperkenalkan aplikasi Parkbyphone (PBP) dan Smart Selangor Parking (SSP).

Pengarah Eksekutif Bahagian Perniagaan Letak Kereta Godell Parking Sdn Bhd, Md Jaki Omar berkata, pembayaran itu memberi peluang kepada pengguna untuk memilih landasan pilihan mereka.

“Hasil tiga gabungan kepakaran iaitu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) dan Godell Parking bukan untuk bersaing, namun ia melengkapi antara satu sama lain sekali gus memberi inisiatif yang baik kepada pengguna.

“Pada masa sama, pembayaran melalui aplikasi itu akan mengesan lokasi secara automatik untuk memudahkan mereka dan ia mengambil masa yang cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media Majlis Pelancaran Sistem Aplikasi Pintar Letak Kereta MPSJ di Laman Kenanga, Aras Satu, Bangunan MPSJ, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Turut hadir Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan, Timbalan Yang Dipertua MPSJ; Mohd Zulkurnain Che Ali, Ahli Dewan Negeri Subang Jaya; Michelle Ng Mei Sze, Pengarah Urusan SSDU; Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Md Jaki berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan rakan sinergi menggunakan parameter bersesuaian berdasarkan garis panduan ditetapkan pihak majlis.

“Saya berharap, aplikasi ini memberi faedah kepada pengguna selain membuat bayaran parking menggunakan mesin bayar dan peraga (PND), kupon gores dan pas bulanan.

“Pada masa akan datang, aplikasi PBP bakal dilaksanakan di Hulu Selangor dan Sabak Bernam,” katanya.