Categories
PBT SELANGOR

MBPJ benar tuntutan semula bayaran kupon parkir bergores

SUBANG JAYA, 4 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membenarkan individu termasuk ejen yang sudah membeli kupon parkir bergores membuat tuntutan bayaran balik.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata tuntutan itu boleh dibuat di pejabat Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

“Semua pihak termasuk ejen iaitu kedai yang menjual kupon parkir bergores boleh membuat tuntutan bayaran.

“Ini bermakna mereka tidak akan rugi apa-apa dan boleh mendapatkan semula wang mengikut harga yang dibeli,” katanya ditemui pada program jom shopping kembali ke sekolah di Pasaraya Mydin USJ Subang Jaya semalam.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor mengumumkan pemansuhan kupon parkir bergores dan menguatkuasa penggunaan e-kupon melalui Smart Selangor Parking (SSP) yang boleh dimuat turun di App Store atau Google Play Store.

Pada 4 Januari lalu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memaklumkan orang ramai boleh menggunakan kupon parkir bergores di seluruh PBT di negeri ini sehingga akhir bulan ini.

Jika ada sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian 1-700-81-9612, atau e-mel [email protected]

Categories
EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Pelaksanaan parkir digital bantu kumpul data lokasi tumpuan, mudahkan rancangan pembangunan

SHAH ALAM, 21 FEB: Pelaksanaan sistem parkir digital Smart Selangor Parking (SSP) dapat membantu memudahkan Kerajaan Negeri mengesan lokasi tumpuan orang ramai.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata menerusi SSP pihaknya dapat memperoleh data raya (big data) bagi merancang pelbagai kemudahan pada masa akan datang.

“Manfaat daripada SSP adalah kita dapat kesan lokasi yang menjadi tumpuan awam.

“Daripada data ini juga, kita boleh merancang untuk membina tempat parkir bertingkat atau pelbagai kemudahan lain,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga bercadang melaksanakan kawasan parkir terhad atau sistem parkir bertempoh sekurang-kurangnya selama dua jam dalam masa terdekat.

“Dengan kaedah ini, semua orang dapat parkir. Sebagai contoh, di kawasan tumpuan orang ramai tempat parkir yang dipenuhidi sekitarnya sehingga sukar untuk pengguna lain meletak kenderaan.

“Kita mahu PBT yang menentukan lot parkir sesuai untuk dihadkan tempohnya sama ada di bank atau restoran popular,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Selangor memansuhkan penggunaan kupon parkir kertas gores dan menguatkuasakan e-kupon melalui aplikasi SSP yang boleh dimuat turun di App Store atau Google Play Store.

Setakat ini, orang ramai masih dibenar menggunakan kupon parkir bergores di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini sehingga hujung Mac bagi membolehkan mereka menghabiskan stok sedia ada.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 1-700-81-9612, atau e-mel [email protected].

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

1.7 juta pengguna muat turun Smart Selangor Parking, aplikasi parkir nombor satu

PETALING JAYA, 18 DIS : Seramai 1.7 juta pengguna memuat turun aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) sejak dilancarkan pada 2019 sekali gus menjadi aplikasi parkir nombor satu di negara ini.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata peningkatan pengguna turut didorong sambutan menggalakkan pengguna di luar bandar yang bersedia menuju ke arah pendigitalan.

“Rakyat Selangor menyambut baik penggunaan SSP, nampaknya rakyat bersedia menuju ke arah Negeri Pintar menjelang 2025.

“Selain itu kadar penggunaan aplikasi ini menjimatkan penggunaan 904 tan kupon kertas gores iaitu bersamaan dengan menyelamatkan penebangan 21,700 pohon pokok,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan majlis pemakluman penggunaan eKupon menerusi aplikasi SSP di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini hari ini.

Sementara itu Pengarah Smart Selangor Delivery Unit Dr Fahmi Ngah berkata pihaknya menjangkakan peningkatan sebanyak 20 peratus daripada 1.7 juta pengguna aplikasi SSP.

“Kita jangka lebih 20 peratus lagi pengguna bakal memuat turun aplikasi ini selepas mansuhnya penggunaan kupon parkir kertas gores pada 3 Januari nanti,” katanya.

Kerajaan Negeri memansuhkan penggunaan kupon parkir kertas gores secara berperingkat mulai 3 Januari tahun depan dan akan digantikan dengan eKupon menerusi aplikasi SSP yang boleh dimuat turun melalui Apps Store atau Google Play Store.

Bagaimanapun, individu yang masih ada stok kupon parkir kertas masih boleh gunakan ia sehingga 31 Mac tahun depan. Layari Facebook Smart Selangor Parking dan hubungi 1 700 81 9612 untuk keterangan lanjut.

Sistem tempat letak kereta pintar itu digunakan secara meluas oleh pihak berkuasa tempatan negeri dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Aplikasi yang dibangunkan Smart Selangor Delivery Unit selari agenda Negeri Pintar menjelang 2025.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Bayar parkir guna aplikasi dikuat kuasa penuh mulai 1 Januari 2022

SHAH ALAM, 9 MAC: Bayaran parkir secara digital di seluruh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dikuat kuasa sepenuhnya mulai 1 Januari tahun depan.

EXCO kerajaan tempatan berkata kaedah melalui aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) bagi menggantikan penggunaan kupon yang akan ditamatkan pada 31 Disember ini.

“Sistem bayaran parkir berintegrasi yang boleh dimuat turun secara percuma di telefon sudah diseragam malah digunakan PBT negeri ini,” kata Ng Sze Han dalam sidang media hari ini.

Sementara itu, menurutnya, sistem ejen e-parkir akan dibangunkan sebagai alternatif kepada orang awam yang tidak memiliki telefon, namun perinciannya belum dimuktamadkan.

Diperkenal pada Julai 2018, sistem tempat letak kereta pintar itu digunakan secara meluas oleh PBT negeri dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Aplikasi yang dibangunkan Smart Selangor Delivery Unit selari agenda Negeri Pintar menjelang 2025.

 

Categories
EXCO SELANGOR

Bayar parkir guna aplikasi sepenuhnya mulai 1 Januari 2022

SHAH ALAM, 11 JAN: Pengguna perlu menggunakan aplikasi Smart Selangor Parking sepenuhnya bagi membayar caj parkir mulai 1 Januari 2022.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata kaedah itu bagi menggantikan penggunaan kupon yang masih dibenarkan ketika ini.

“Langkah ini lebih efisien dan mudah sekali gus mengurangkan penggunaan kertas, bersifat mesra alam dan senang dikawal kerana mempunyai rekod,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, aplikasi nombor satu di Malaysia itu mencatatkan lebih 1.4 juta pengguna sejak diperkenal pada Julai 2018.

Sze Han menambah aplikasi tersebut akan dinaik taraf bagi membolehkan pengguna melaporkan isu salah guna parkir orang kelainan upaya (OKU).

“Orang ramai hanya perlu mengambil gambar sebagai bukti dan menghantar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Sistem tempat letak kereta pintar itu digunakan secara meluas oleh 10 PBT dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lapor salah guna parkir OKU melalui Smart Selangor Parking

SHAH ALAM, 15 DIS: Aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) bakal dinaik taraf bagi membolehkan pengguna melaporkan isu salah guna parkir orang kelainan upaya (OKU).

EXCO kerajaan tempatan berkata orang ramai hanya perlu mengambil gambar sebagai bukti dan menghantar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut, lapor The Star.

“Melalui ciri baharu dalam aplikasi ini kita berharap dapat mengekang sikap mementingkan diri,” kata Ng Sze Han mengulas cadangan badan bukan kerajaan supaya Kerajaan Negeri mewujudkan aplikasi untuk melaporkan perkara tersebut.

Selangor memperkenalkan sistem tempat letak kereta pintar pada Julai 2018 yang digunakan secara meluas oleh 10 PBT dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Aplikasi bagi mengurangkan penggunaan kertas dan penyelenggaraan mesin parkir menyasarkan sejuta pengguna tahun ini.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Smart Selangor Parking bakal dilaksana seluruh PBT

SHAH ALAM, 19 OKT: Penggunaan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) yang bakal dilaksanakan di seluruh negeri dalam tempoh terdekat memberi penjimatan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

EXCO kerajaan tempatan berkata sistem dalam talian itu turut mengurangkan penggunaan kertas dan penyelenggaraan mesin parkir, selain memudahkan urusan orang ramai.

“Kerajaan Negeri dalam peringkat akhir memuktamadkan perkara ini, cuma apa yang boleh katakan sistem yang bakal digunakan adalah canggih serta memudahkan kita semua kerana tidak perlu mencari ejen jualan kupon.

“Belanjawan Kerajaan Negeri pada setiap tahun menekankan usaha merealisasikan Selangor Negeri Pintar menjelang 2025 dan pelaksanaan SSP antara usaha ke arah tersebut,” kata Sze Han kepada SelangorKini.

Pada 8 Februari, Sze Han berkata SSP yang diperkenalkan pada Julai 2018 menjadi aplikasi parkir nombor satu negara dengan 10 daripada 12 PBT negeri ini menggunakan aplikasi tersebut, selain Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau berkata Selangor menyasarkan sejuta pengguna SSP pada tahun ini.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Lebih 348,000 pengguna manfaat aplikasi Smart Selangor Parking

KLANG, 31 OKT: Pengguna aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) yang berdaftar kini mencecah 348,859 orang dengan bilangan transaksi lebih sejuta, kata Ng Sze Han.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru berkata jumlah memberangsangkan itu jelas menunjukkan rakyat Selangor menerima dan memberi sokongan padu ke arah agenda Negeri Pintar menjelang 2025.

“Sebagai langkah menggalakkan penggunaan aplikasi SSP, Kerajaan Negeri menawarkan kredit tambahan RM1 bagi setiap tambah nilai RM50.

“la akan dikreditkan terus ke dalam akaun SSP masing-masing dan boleh digunapakai serta-merta,” katanya pada Majlis Pelancaran Aplikasi SSP peringkat Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Dewan Hamzah, di sini hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin dan Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah.

Sze Han berkata, sehingga kini aplikasi berkenaan sudah digunakan di sembilan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk Petaling Jaya, Shah Alam, Subang Jaya, Kajang, Selayang, Ampang Jaya, Sepang, Kuala Selangor dan Klang.

“Pelaksanaan inisiatif sebegini akan mencerminkan kewujudan ciri-ciri utama yang perlu dimiliki sebuah Negeri Pintar.

“Ia juga bagi memastikan tahap perkhidmatan kerajaan kepada rakyat menjadi lebih cekap dan saksama, sama ada untuk penduduk bandar ataupun luar bandar,” katanya.

SSP adalah sistem pembayaran parkir berintegrasi melalui aplikasi telefon pintar di seluruh kawasan PBT yang terlibat.

Aplikasi berkenaan boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple Store.