Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Permintaan, nilai hartanah di kawasan bah tidak turun

SHAH ALAM, 7 FEB: Nilai hartanah di Selangor tidak terjejas meskipun beberapa kawasan dilanda banjir teruk pada Disember tahun lalu, kata EXCO perumahan.

Rodziah Ismail berkata kecekapan Kerajaan Negeri mengendalikan situasi banjir dan pascabanjir dalam tempoh 10 hari menjadi faktor nilai hartanah tidak menurun.

“Banjir hanya berlaku dua hari sahaja tapi saya tak rasa sampai menjejaskan nilai dan permintaan hartanah.

“Bagaimanapun, saya mengalu-alukan pihak yang membuat kajian berhubung perkara itu boleh berkongsi kajian mereka. Namun pada asasnya tidak berlaku penurunan nilai hartanah,” katanya.

Rodziah menjelaskan Kerajaan Negeri juga masih mengekalkan harga rumah di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) terutama rumah mampu milik.

“Harga ditawarkan paling mahal RM250,000 dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) lebih mahal. Buat masa ini, paling penting bukan hendak kurangkan tetapi sediakan lebih banyak rumah.

“Paling mendesak sekarang ini ramai yang memohon tetapi kapasiti untuk melaksanakannya kurang,” katanya.

Pada 28 Januari lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi kenyataan memaklumkan Selangor mengalami kerugian RM3.1 bilion akibat banjir besar hujung tahun lalu, kira-kira 50 peratus daripada jumlah seluruh negara.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kerugian terbesar melibatkan daerah Klang sebanyak RM1.2 bilion diikuti Petaling (RM1.1 bilion) dan Hulu Langat (RM0.4 bilion), tiga lokasi terjejas teruk dalam bah 18 Disember lalu.

Kerugian akibat banjir keseluruhannya RM6.1 bilion yang bersamaan 0.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar nominal.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Kebun tembikai kuasa solar

Foto Remy Arifin

KEBUN P Manickavasagam bukan di atas tanah terbentang luas, sebaliknya tanaman tembikai wangi (rock melon) diusahakannya hanya di lot parkir terbiar.

Terletak di bumbung tingkat empat Plaza Sri Muda, Shah Alam yang panas dan berangin, sesuai untuk tanaman itu, kawasan seluas 1,800 meter persegi asalnya berlumut, catnya luntur bahkan ada dindingnya kopak.

Beliau mengambil masa beberapa bulan sebelum mengubahnya kepada ‘panorama’ hijau apabila kebun itu mula ‘menjadi’ sejak 10 tahun lalu.

Malah, pengarah Kolej VIS Mechatronic berusia 60 tahun juga menggunakan kepakarannya dalam bidang mekatronik untuk membangunkan sistem kuasa solar dan program pengkomputeran di situ.

Panel solar

Lapan panel solar dipasang untuk menjana kuasa elektrik bagi menggerakkan pam yang menyalurkan baja cecair dan air ke tanaman. Panel itu mampu menghasilkan kuasa 2,000 watt, malah ia boleh disimpan dalam enam bateri.

Tanaman tembikai wangi di atas parkir Kolej VIS Mechatronic

Beliau berbelanja kira-kira RM6,000 untuk membina sistem tersebut. Ketika itu, harga panel jauh lebih mahal berbanding sekarang.

“Walaupun modal permulaan agak tinggi tetapi untuk jangka panjang kaedah itu jauh menjimatkan dan praktikal untuk ladang-ladang yang biasanya tiada bekalan elektrik.

“Saya harap idea ini boleh digunakan petani lain kerana biasanya ladang-ladang pertanian tiada bekalan elektrik, lebih-lebih lagi kos untuk membina sistem solar sekarang semakin murah dan mudah,” kata Manickavasagam kepada SelangorKini baru-baru ini.

Campuran baja dan air disalur menggunakan komponen ‘programmable logic controller’ (PLC) melalui komputer dengan 48 batang paip sepanjang enam meter. Paras baja cecair di tangki pula dikawal menggunakan pengesan had (level sensor). Pam berfungsi apabila ia mencapai paras ditetapkan. Teknologi itu mengelakkan pembaziran sekali gus mengurangkan penggunaan sumber tenaga manusia.

Kaedah hidroponik

Manickavasagam memulakan penanaman itu dengan modal permulaan kira-kira RM7,000. Awalnya, beliau menanam 500 pokok menggunakan kaedah fertigasi. Namun, beliau beralih kepada teknik hidroponik – mudah diurus, hasil lebih banyak dan kualiti buah-buahan meningkat.

Manickavasagam meninjau tekanan air yang akan disalurkan ke tanaman

Risiko serangan serangga juga jauh lebih rendah menggunakan teknik hidroponik. Sedangkan, kaedah fertigasi memerlukan penanaman dalam polibeg yang mengandungi sabut kelapa dan tanah sekali gus memerlukan lebih masa untuk diselenggarakan.

Bagi penyediaan tapak, teknik hidroponik cuma mengambil masa kira-kira seminggu untuk disediakan berbanding lebih 15 hari menggunakan kaedah fertigasi yang memerlukan proses memulihkan tanah sebelum boleh ditanam semula.

Gred A

Pokok tembikai mengambil masa kira-kira 75 hari untuk mengeluarkan hasil. Kebun itu mampu mengeluarkan lebih 3,200 buah gred A, rata-ratanya seberat dua kilogram. Buah gred A akan dibeli peraih pada harga kira-kira RM9 sebiji manakala bakinya dijual sendiri di kawasan berhampiran.

Justeru, Manickavasagam yang mendapat bimbingan dan bantuan baja daripada Jabatan Pertanian Gombak memperoleh jualan antara RM7,000 hingga RM8,000 setiap kali tiba masa menuai.

Beliau yang kerap dijemput Jabatan Pertanian untuk memberi ceramah berharap lebih ramai petani menggunakan kaedah berteknologi tinggi bagi meningkatkan pengeluaran. Manickavasagam juga giat melakukan penyelidikan bagi meningkatkan pengeluaran buah gred A.

“Kita perlu sedar keluasan tanah untuk pertanian semakin berkurangan disebabkan pembangunan tetapi dengan pertanian moden masalah ini dapat diatasi,” katanya.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Pasang solar di bangunan kerajaan, PBT

SHAH ALAM, 1 NOV: Tumpuan lebih akan diberikan kepada pembangunan teknologi hijau bagi memastikan Selangor ke aras negeri yang melaksanakan pembangunan mampan secara holistik.

Bagi tujuan itu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri akan melaksanakan pemasangan solar di bangunan kerajaan bermula tahun depan.

“Baru-baru ini kita dikejutkan dengan gelombang Greta Thunberg yang menjana pergerakan menuntut keperihatinan terhadap isu pemanasan global.

“Greta menjadi perhatian kerana anak gadis ini baru berusia 16 tahun dan mesej beliau yang jelas dan kerap agak garang, pastinya dia bukanlah sosok terawal yang menukilkan perihal pemanasan global.

“Namun anak muda ini kini menjadi suri tauladan kepada kita untuk bersikap serius terhadap permasalahan alam sekitar demi generasi masa hadapan,” katanya pada pembentangan Belanjawan #Selangor2020 di Dewan Negeri hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga menggalakkan semua Pihak Berkuasa Tempatan memperluaskan pemasangan panel solar di bangunan dan kawasan seliaannya.

Categories
EKONOMI

Serba Dinamik sasar 200 megawatt tenaga boleh baharu tahun ini

KUALA LUMPUR 8 OGOS: Serba Dinamik Holdings Bhd menjangka dapat mencapai sasaran pengeluaran tenaga boleh baharu sehingga 200 megawatt (MW) pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya Datuk Dr Abdul Karim Abdullah berkata setakat ini projek berkenaan sedang dibangunkan di Sabah, Perak dan Laos.

“Sehingga kini syarikat membangunkan projek menghasilkan 130 megawatt dengan anggaran kos sebanyak RM1.3 bilion di lokasi tersebut,” katanya kepada pemberita pada program Smart Living Innovation Caucus 2018 (SLIC) di sini pada Selasa.

“Sebagai contoh, di Kota Marudu (Sabah) kita sedang membangunkan projek 30 MW loji kuasa hidro. Kita juga menandantangani kontrak untuk membina 60 MW di Perak.

Malah, kata Abdul Karim, syarikat juga optimis baki 70 MW yang melibatkan anggaran kos sebanyak RM700 juta mampu dicapai menjelang hujung tahun ini.

Mengenai hasrat kerajaan untuk menghasilkan 20 peratus tenaga boleh baharu menjelang 2025, beliau berkata pelbagai pihak perlu memainkan peranan.

“Untuk memastikan hasrat ini tercapai, perlu ada penglibatan dan komitmen yang serius daripada pemain industri jana kuasa.

“Ia termasuk kerajaan sebagai penggubal dasar baharu, institusi kewangan yang memberi sokongan dan penerimaan pengguna sebaik ia dilaksanakan dengan tarif yang berpatutan, katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
PENDIDIKAN

Penduduk kampung pedalaman nikmati lampu solar

Oleh Nazli Ibrahim

MEMBIMBANGKAN, juga menyeramkan.

Itulah gambaran perasaan penduduk Kampung Ijok setiap kali melalui Jalan Pusara. Namun, perasaan itu terhapus apabila jalan sekitar Kampung Ijok kini sudah diterangi lampu berkuasa solar.

Malah, lampu seumpama itu dipercayai pertama kali dipasang di kawasan pendalaman di negeri ini, mungkin juga di negara ini.

Lampu Diod Pemancar Cahaya (LED) itu jauh lebih efisyen dan menjimatkan kerana tidak melibatkan kos pemasangan yang tinggi ekoran tidak melibatkan kerja penanaman kabel.

1557476_10152134902598901_1497340616_nIa juga lebih menjimatkan dari segi kos operasi dan penyelengaraan ekoran penggunaan kuasa semula jadi berbanding penggunaan kuasa elektrik yang melibatkan caj dari pembekal elektrik.

Teknologi LED memberi kecerahan lebih tinggi dengan penggunaan tenaga sekurang-kurangnya 50 peratus lebih rendah berbanding lampu jalan konvensional.

Selain tidak menggunakan sumber mencemarkan, teknologi LED juga tidak memerlukan masa pemanasan sekaligus membenarkan penggunaan pengesan gerakan untuk kecekapan tambahan.

Seperti lampu jalan berkuasa elektrik, lampu LED  juga mempunyai pemasa automatik sekaligus membolehkannya menyala dan padam secara automatik.

Bergantung kepada model, ia mampu kekal menyala lebih semalaman tanpa cahaya matahari selama beberapa hari. Ini berikutan bateri lampu menyimpan elektrik dari panel suria pada siang hari dan membekal tenaga untuk penyalaan pada malam hari.

Lampu LED solar dilengkapi panel solar, breket panel solar dan bateri asid plumbum yang tidak memerlukan penyelengaraan manakala tiangnya pula diperbuat dari bahan tahan lasak.

d64e5389-b0b8-4488-b465-71302d5b3778

Pada masa ini, Ecolite Technologies Sdn Bhd sudah memasang lampu berkenaan di 20 lokasi strategik atas dasar tanggungjawab korporat dengan Kampung Ijok dan Kampung Halmwood sebagai pilihan.

Ecolites Technologies ialah salah sebuah cawangan RuiGuang Electronic Co Ltd berpangkalan di China yang memiliki kepakaran dalam bidang lampu jalan LED berkuasa solar sejak 2003.

Penggunaan lampu LED itu semakin meluas di China, malah kian berkembang pesat di seluruh dunia.

Tinjauan Selangor Kini di Kampung Ijok mendapati penggunaan lampu LED memberi kesan pencahayaan lebih baik berbanding okasi yang menggunakan lampu jalan konvesional.

idrisAhli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr Idris Ahmad pada program perasmian penggunaan lampu itu baru-baru ini berharap faktor kecerahan cahaya membantu mengurangkan risiko kemalangan jalan raya dan kes ragut.

“Dahulu, susah nampak orang berjalan pada waktu malam tetapi sekarang ada yang berjogging sebab sudah terang. Suasana malam tampak lebih ceria berbanding sebelumnya.

“Dahulu gelap, bimbang ada peragut dan jalannya pula berliku. Ini berbahaya,” katanya ketika menyampaikan taklimat yang turut dihadiri Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sebelum ini, banyak kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan terbabas ke gaung dan belukar berhampiran akibat suasana jalan yang gelap.

1522020_10152134902593901_898738893_nTidak hairanlah, penduduk di beberapa kampung lain turut menyatakan harapan mereka supaya lampu jalan solar itu dipasang kampung mereka pula.

Lebih-lebih lagi, Abdul Khalid sendiri menunjukkan minat dan sedia mengkaji keperluan untuk memperluas penggunaan lampu LED itu di kampung lain.

– FZL