Categories
NASIONAL SELANGOR

DAP : Kos Dakwat ‘Pewarna Makanan’ 3 Kali Ganda Lebih Mahal – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 27062013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Anthony mendakwa kos pembelian dakwat kekal pada PRU13 lalu telah meningkat tiga kali ganda daripada kos pembelian dakwat kekal bagi PRU12.

2. Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Malaysia tidak perlu menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya kerana negara ini bukannya seperti “negara dunia ketiga” lain.

3. Solidariti Anak Muda Malaysia menggesa orang-ramai supaya berhati-hati dengan liputan media keatas tuntutan Black505.

4. Bertindak diatas aduan penduduk, Majlis Perbandaran Selayang meroboh satu tempat makan yang menimbulkan suasana bising dan mengakibatkan kesesakan lalulintas berhampiran Pusat Beli-Belah Selayang.

Categories
NASIONAL

Chegu Bard : 75 Peratus Cawangan Umno Haram

SAMM pc chegu bard badrul hisham 02

KUALA LUMPUR 31 MAC : Tahukah anda cawangan Umno di kawasan anda kemungkinan cawangan haram?

Ini kerana ia mungkin tidak didaftarkan semula dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) selepas parti itu diharamkan pada tahun Februari 1988.

Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata hampir 75 peratus daripada belasan ribu cawangan Umno di seluruh Malaysia tidak pernah didaftarkan dengan ROS sejak bekas Umno Baru ditubuhkan pada tahun 1988.

Justeru, SAMM mengajak orang awam untuk menyertai kempennya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Umno dengan menyemak status cawangan Umno di tempat tinggal mereka dengan ROS.

Badrul Hisham berkata Umno merasakan mereka amat berkuasa, maka ribuan cawangan Umno di seluruh negara bertindak tidak mendaftarkan semula organisasi politik mereka seperti yang dikehendaki dalam Akta Pertubuhan 1966.

“Diyakini 3/4 daripada cawangan Umno seluruh negara adalah terdiri daripada cawangan haram, malah ada bahagian Umno juga yang terdiri dari bahagian tidak sah pendaftarannya,” katanya lagi.

Contohnya, pada tahun 2008 berlaku pergolakkan dalam Umno bahagian Tanah Merah, Kelantan di mana mereka yang mahu bertanding jawatan utama tidak membayar yuran dan terdiri daripada ahli dari cawangan haram.

“Ini diakui sendiri oleh Setiausaha Agung Umno (Tengku Adnan Tengku Mansor) sendiri dan Pendaftar Pertubuhan.

?Cuma kes di mahkamah dibuang kerana pengadu yang merupakan Ahli Umno telah dipecat melalui surat pemecatan yang telah di ‘back-dated’ kan.

?(Oleh itu) Pengadu telah hilang status sah (local standi) sebagai ahli Umno untuk membawa kes ke mahkamah,” katanya dalam satu sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur (KLSCAH) hari ini.

Menurut Badrul Hisham, melalui proses mahkamah, sebanyak 126 cawangan Umno di Tanah Merah didapati adalah cawangan yang tidak berdaftar dengan ROS.

Akan tetapi Umno Tanah Merah terus bermesyuarat dengan perwakilan daripada cawangan haram Umno (126 cawangan) dan perwakilan daripada mesyuarat haram tersebut telah menghantar perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno pada tahun itu (2008).

“Impilikasinya Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada tahun itu juga adalah haram kerana dihadiri perwakilan yang haram daripada cawangan Umno yang haram,” katanya lagi.

Katanya, sehingga sekarang lebih 2,181 cawangan Umno di Kelantan adalah haram termasuk di Jeli, Bachok dan Tumpat dan di Kota Bharu.

SAMM dan gabungan Blogger Revolusi 13 mengajak seluruh rakyat di negara ini untuk membantu mengumpulkan maklumat jumlah keseluruhan cawangan Umno yang tidak berdaftar untuk di bawa ke tindakan undang-undang.

“Anda boleh pergi ke Pejabat Pendaftaran Pertubuhan di negeri masing-masing, ambil borang Pertubuhan 27, isi dan buat carian cawangan Umno di tempat anda. Salurkan maklumat itu kepada kami untuk menolak organisasi haram sebagai pemerintah negara.

“Berdasarkan Seksyen 10 Akta Pertubuhan 1966 menyatakan semua warga Malaysia diberi hak untuk memeriksa dokumen pendaftaran mana?mana organisasi berdaftar di Malaysia kecuali beberapa dokumen sulit seperti laporan kewangan,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Hasutan Melampau: Polis Dan SPR Digesa Ambil Tindakan Terhadap Muhyiddin

bas jelajah merdeka baling batu 01

SHAH ALAM 14 MAC : Polis serta Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) digesa mengambil tindakan tegas terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana melemparkan fitnah yang menuduh Pakatan Rakyat (PR) berusaha menggagalkan PRU-13 dengan mewujudkan keadaan porak-peranda.

Ketua Penerangan PAS, Riduan Mohd Nor berkata, tuduhan Timbalan Perdana Menteri itu terlalu berat serta berunsur hasutan bagi menimbulkan ketegangan serta kegelisahan dalam masyarakat.

Sebelum ini, Muhyiddin di Majlis Perletakan Batu Asas Kilang Baru Perodua di Hulu Selangor berkata, pakatan pembangkang akan menimbulkan huru-hara pada hari mengundi dan akan menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak bersih.

Katanya, pembangkang bertindak demikian kerana mereka semakin bimbang dengan kebangkitan rakyat menyokong Barisan Nasional (BN).

Beliau juga berkata, kerajaan mempunyai maklumat mengenai perkara berkenaan dengan mendakwa pembangkang merancang sesuatu untuk membuatkan suasana porak-peranda.

“Sebagai pemimpin nombor dua negara, kenyataan beliau boleh mencetuskan suasana panik dan penafsiran yang pelbagai daripada kalangan masyarakat.

bas jelajah merdeka baling batu 02“Apakah TPM tidak berfikir dahulu sebelum bercakap dengan memikirkan implikasi yang mungkin akan diterima terhadap masyarakat, khususnya pemimpin Pakatan Rakyat daripada ucapan beliau,” kata Riduan dalam kenyataan media.

Kata Riduan, dalam keadaan negara sedang diancam dengan masalah keganasan serta pencerobohan di Lahad Datu dan Sabah umumnya, TPM sengaja menambah marakkan lagi api permusuhan serta sindrom ketakutan kepada rakyat.

“Beliau juga menghina jutaan rakyat negara ini untuk memilih pemimpin dan parti politik pilihan mereka dengan kenyataan sedemikian.

“Sekiranya benar beliau mendapat maklumat tersebut melalui dokumen yang boleh dipercayai seperti dakwaannya, pemuda PAS mencabar TPM untuk mendedahkan butiran dokumen tersebut,” katanya.

Ujarnya, sekiranya Muhyiddin gagal mengemukakan bukti tersebut, Pemuda PAS tidak teragak-agak untuk mendesak pemimpin PR mengemukakan saman fitnah terhadap beliau.

Sementara itu, Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan berkata, kenyataan tersebut adalah ‘songsang’ dan menggambarkan seolah-olah TPM sedang bercakap di depan cermin.

“Rakyat tahu siapa yang merancang untuk menggagalkan pilihanraya, malah setakat ini pihak yang sama dengan sengaja telah melewat-lewatkan pilihanraya.

“Serangan cat, baling batu, baling telur, semua dilakukan Umno kerana gementar kehilangan besar sokongan rakyat.

“Rata-rata pemimpin Umno yang terlibat pelbagai skandal, bakal ke penjara jika Umno tewas di Putrajaya, yang mana ia seharusnya menimbulkan panik,” katanya.

Baru-baru ini di Bukit Katil, Melaka, bas Jelajah Merdeka Rakyat yang membawa penceramah Pakatan Rakyat dibaling dengan batu sehingga pecah cermin. Ia merupakan insiden kedua di Melaka bas itu diserang and ke-enam semenjak jelajah itu dimulakan pada September tahun lepas.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Takut Hilang Kuasa Punca Umno-BN Tangguh Pilihan Raya

Kediaman Rasmi MB Majlis Ramah Mesra dengan Dun Ijok dan Bandar Tun Razak 05

SHAH ALAM 26 JAN : Umno-BN didakwa menangguhkan pilihan raya beberapa kali kerana kajian dijalankan membayangkan gabungan itu akan kehilangan kuasa di Putrajaya.

Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard berkata Umno-BN kini kelihatan dalam keadaan terdesak bagi mengekalkan kuasa diperolehnya.

Katanya, maklumat dari sumber yang boleh dipercayai menyatakan Umno-BN pernah cuba mengadakan Pilihan Raya Umum Ke -13 (PRU13) tetapi melupakannya kerana tidak yakin bagi memenanginya.

“Untuk pengetahuan semua, empat kali Umno-BN pernah cuba panggil pilihan raya. Tanya pihak Kemas, tanya cikgu sekolah, tanya polis dan tanya pimpinan Umno, mereka telah diarah bersedia empat kali sebelum ini.

Kediaman Rasmi MB Majlis Ramah Mesra dengan Dun Ijok dan Bandar Tun Razak 06“Tetapi ternyata keempat-empat kali mereka tidak boleh panggil pilihan raya sebab kajian menyatakan kalau dia panggil pilihan raya iaitu Umno-BN bukan saja gagal merampas Selangor tetapi dipaksa keluar dari Putarajaya,” katanya ketika berucap dalam majlis meraikan jentera pilihanraya Ijok dan Bandar Tun Razak di sini malam tadi.

Turut hadir, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bagaimanapun, katanya, Umno-BN pada masa ini tidak boleh lagi mengelak PRU13 kerana tempoh masa bagi pembubaran parlimen dan DUN semakin hampir ke penghujung.

Tegasnya, sama ada setuju atau tidak, pembubaran DUN akan bermula di Johor pada 21 Mac depan diikuti negari lain serta di peringkat parlimen pada April.

Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, rakyat perlu bangkit bertindak bersama Pakatan Rakyat (PR) demi memastikan pentadbiran negara diuruskan dengan betul dan bertanggungjawab.

“Kita nak tadbir dan selamatkan Malaysia bukan berasaskan dendam. Tun Dr Mahathir Mohamad bersaralah, kita tidak berminat untuk memenjarakan beliau.

“Kita berminat untuk menyelamatkan wang rakyat dan memastikan anak cucu kita dapat menikmati kehidupan berkualiti, tidak seperti mereka yang terus mengkhianati perjuangan rakyat,” katanya.

Categories
NASIONAL

Jual Rahsia Negara: SAMM Buat Laporan Polis Seluruh Negara

SHAH ALAM, 11 JUN: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah membuat tujuh laporan polis dalam usaha mengadakan laporan di seluruh negara berhubung penjualan maklumat pertahanan negara kepada DCNS Perancis yang di dedahkan SUARAM baru-baru ini.

Pengarah Seketariat SAMM Kebangsaan, Zulkifli Ibrahim dalam kenyataan medianya berkata tujuh laporan polis tersebut adalah di Balai Polis Yong Peng Johor, Kedah di IPD Sik, Pulau Pinang di IPD Bayan Baru, Terengganu di IPK K.Terengganu, Selangor di IPD Sabak Bernam, Pahang di IPK Kuantan dan Wilayah Persekutuan di IPD Dang Wangi.

Beberapa negeri lain termasuk Melaka, N.Sembilan, Perak dan Perlis akan menyusul laporan polisnya hari ini.

Menurut Zulkifli, pendedahan tersebut menimbulkan tandatanya besar bagaimana dokumen sulit ketenteraan boleh denganmudah dijual kepada syarikat pertahanan asing.

“Perbuatan ini adalah jelas merupakan perlanggaran undang-undang negara malah boleh diklasifikasikan sebagai pengkhianatan kepada negara.

“SAMM dalam laporan polisnya meminta suatu siasatan yang telus dan professional dijalankan oleh pihak berkuasa dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan.

“Siasatan hendaklah dibuat ‘without fear or favour’ termasuk terhadap Menteri Pertahanan ketika itu (PM sekarang) kerana beliau bertanggungjawab secara langsung di atas keselamatan negara.

“Perbuatan menjual rahsia negara tidak boleh dipandang ringan kerana mengancam keselamatan negara. DS Najib Razak, yang pada ketika skandal penjualan dokumen rasmi pertahanan negara ini berlaku memegang portfolio Menteri Pertahanan.” jelas Zulkifli.

Pada 30 Mei lalu, SUARAM melalui artikel yang bertajuk “FRENCH SUBMARINES DIVING MALAYSIA INTO DEEP CONTROVERSY” di laman sesawang rasmi pertubuhan itu menyebut – Dokumen itu berkaitan laporan penilaian prestasi kapal selam Scorpene berasaskan keperluan pertahanan yang digariskan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Dokumen sulit itu dijual pada harga 36 juta Euro (bersamaan RM142 juta).

Dipercayai juga bahawa Terasasi Limited ini dimiliki oleh Abdul Razak Baginda dan bapanya Abdul Malim Baginda yang merupakan sekutu kuat dan penasihat utama Dato Sri Najib Razak. Maklumat juga mempercayai mereka juga adalah proksi Najib dalam skandal penyelewengan pembelian Scorpene.

Categories
NASIONAL

SAMM: Najib Perlu Saman The Phnom Penh Post

SHAH ALAM, 7 JUN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus segera membersihkan nama negara di atas pendedahan seorang wartawan yang berpengkalan di Kemboja yang mengatakan beliau telah dipertemukan dengan Altantuya Shaaribu oleh Razak Baginda di Paris.

Turut didedahkan ialah pembahagian skandal rasuah sebanyak USD160 juta antara Najib, Razak dan beberapa pemimpin Umno.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin mendesak Najib di atas kapasiti Perdana Menteri, menyaman akhbar The Phnom Penh Post serta penulis artikel di ruangan Regional Insider – Roger Mitton.

“Pendedahan beliau bukan sahaja memalukan negara ketika skandal rasuah berskala tinggi melibatkan kelengkapan pertahanan negara semakin memuncak, malah mengundang persepsi sangat buruk terhadap kredebiliti seorang Perdana Menteri beragama Islam yang sebelum ini pernah bersumpah kononnya tidak mengenali penterjemah yang dibunuh tanpa motif iaitu Altantuya Shaaribu.” kata beliau dalam satu kenyataan media.

Katanya, Najib sebagai seorang ketua negara tidak harus berdiam diri kerana artikel kenyataan yang dilempar oleh wartawan The Phnom Penh Post adalah sangat serius dan telah dilulus-terbit untuk tatapan seluruh dunia.

“Keadaan ini mengundang persepsi bahawa Malaysia mempunyai seorang perdana menteri yang terpalit jenayah rasuah, termasuklah jenayah pembunuhan. Ini kerana sikap berdolak-dalik Najib dalam membicarakan statusnya terhadap Altantuya kini menjadi persoalan yang besar.

“Jika Najib sudah tidak mampu lagi meneraju negara ini dengan kredibiliti yang bersih, maka SAMM sangat berbesar hati jika Najib mengambil langkah mengundurkan diri daripada terus memalukan negara.

“Mungkin Muhiyuddin boleh memangku sementara waktu sebelum PRU13 menjelang. Ini bukan lagi persoalan politik domestik tetapi persoalan maruah negara di peringkat antarabangsa.

“Yang memalukan negara bukan demonstrasi rakyat tetapi imej negara akan terjejas kerana beberapa pemimpin negara yang terpalit skandal jenayah terus menerajui negara tanpa ada keberanian membersihkan imejnya.” kata beliau yang juga Ketua Cabang Rembau.

Categories
NASIONAL SELANGOR

SAMM Desak Polis Ambil Tindakan Ke Atas Anggota Yang Merusuh Semasa BERSIH 3.0

KUALA LUMPUR, 7 MEI :  Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)  mendesak polis untuk segera mengambil tindakan tegas terhadap beberapa anggota mereka yang melakukan rusuhan ke atas orang awam semasa perhimpunan BERSIH 3.0 yang berlangsung 28 April lalu.

Pengerusinya, Badrul Hisham Shaharin berkata, pihaknya tidak menyalahkan mana-mana  anggota polis yang bertugas semasa perhimpunan itu, namun tindakan perlu diambil bagi menjaga hubungan polis dan orang awam.

Menurutnya, polis juga perlu memberi jaminan untuk menyiasat pihak-pihak tertentu yang dilihat cuba membuat dakwaan tidak berasas ke atas peserta perhimpunan BERSIH 3.0.

“Kami tidak menyalahkan anggota polis semasa perhimpunan itu. Apa yang berlaku ialah polis dan orang awam menjadi mangsa.

?Kami tidak halang polis menjalankan proses tindakan undang-undang jika berlaku jenayah, tetapi kami desak pihak polis ambil tindakan kepada anggota yang merusuh pada hari itu,” kata Badrul Hisham atau yang juga dikenali sebagai ?Chegubard?.

Perkara itu dinyatakan Badrul Hisham semasa menyerahkan memorandum ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini bagi mendesak pihak polis yang melakukan kekerasan supaya menyerah diri.

Memorandum itu antara lain turut mengandungi beberapa keping gambar yang menunjukkan anggota polis mengkasari peserta himpunan BERSIH 3.0.
“Polis perlu menyiasat khabar angin yang kononnya mendakwa ada anggota polis meninggal dunia semasa perhimpunan itu. Para blogger Umno yang menyebarkan perkara itu perlu dipanggil dan disiasat,” jelasnya.

Dalam pada  itu, suasana penyerahan memorandum hari ini menjadi tegang apabila kumpulan anti-BERSIH 3.0, cuba menghalang SAMM. Kumpulan anti-BERSIH 3.0 itu meluangkan sorakan “pengkhianat negara” dan kata-kata kesat terhadap aktivis SAMM.

Bagaimanapun, anggota polis menghalang dua-dua kumpulan tersebut daripada saling mendekati.

 

Categories
NASIONAL

Chegu Bard : Najib Menjadikan Peserta Dan Polis Mangsa Kekecohan Bersih 3.0

SHAH ALAM 29 APR : Peserta dan polis telah dijadikan mangsa di dalam kekecohan pada himpunan BERSIH 3.0 akibat tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin berkata ini kerana Najib tidak membenarkan peserta berhimpun di Dataran Merdeka.

“Jika rejim pemerintah memberi peserta masuk ke dalam dataran itu, lebih-lebih dua hingga lima jam sahaja yang boleh berhimpun dan akhirnya bersurai dengan aman tiada sebarang masalah berlaku,” katanya ketika dihubungi.

Bagi beliau, polis adalah mangsa dalam kejadian itu tetapi ini tidak menghalalkan tindakan ganas yang dilakukan pasukan keselamatan itu.

Di dalam himpunan di Kuala Lumpur semalam, polis menembak gas pemedih mavta dan menyembur air kimia kepada ribuan penyokong BERSIH 3.0 yang turun mengepung Dataran.

Setelah peserta-peserta tersebut yang menjangkau 250,000 itu berpecah lari ke beberapa lokasi di sekitar Dataran, mereka dikejar dan dihalau pasukan polis.

Dilaporkan polis memukul dan menggunakan kekerasan terhadap peserta yang tidak bersurai dan seramai 512 orang ditahan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di Kuala Lumpur.

Beberapa wartawan yang membuat liputan terhadap himpunan itu mendakwa mereka dikasari polis yang merampas kamera dan menghalang mereka daripada merakam tindakan polis terhadap peserta.

Badrul Hisham, yang juga dikenali Chegu Bard mendakwa beliau turut dipukul semasa ditahan polis di kawasan Masjid Jamek semalam.

“Tindakan ganas polis itu, Najib perlu bertanggungjawab penuh. Perbuatan polis seperti ‘gangster’ yang berindak diluar jangkaan seperti mengacukan pistol dan sebagainya sudah melampaui batas.

“Apa yang berlaku semalam adalah rusuhan polis di tengah-tengah Bandara Raya Kuala Lumpur,” kata Badrul Hisham.

Badrul Hisham bekata beliau dipukul sehingga luka di bahagian kepala malah tulang mukanya patah.

Tambahnya, beliau dipukul oleh kira-kira 50 anggota polis di Jalan Tunku Abdul Rahman.

“Pada waktu hampir Maghrib, ketika saya berada di Masjid India, saya ditarik dan dipukul teruk oleh lebih 50 anggota polis di Jalan Tunku Abdul Rahman kemudian ditarik dan dibawa ke Dataran Merdeka.

“Saya mengatakan simpati kepada anggota polis dan rakyat semua. Kita adalah mangsa kepada tindakan Najib yang memperkudakan polis itu,” katanya.

Beliau berkata perhatian hanya diberikan kepada tindakan ganas yang dilakukan peserta BERSIH.

“Tetapi sebagai contoh, ianya berlaku di depan mata saya di Sogo, anggota polis membawa kereta dan merempuh seterusnya melanggar peserta BERSIH sehingga ada yang terperosok di bawah kereta.

“Malah peserta yang tiada pilihan lain bertindak menterbalikkan kereta terbabit apabila polis tidak menghiraukan permintaan mereka untuk mengalihkan kereta bagi mengeluarkan mangsa yang cedera teruk terbabit.

“Dan akhirnya polis mengeluarkan kenyataan memberitahu bahawa anggota polis itu meninggal dunia akibat dipukul,” katanya.