Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Anggota polis, bekas pegawai kanan Bukit Aman disiasat langgar SOP raya

SHAH ALAM, 15 MEI: Polis menyiasat enam anggota serta seorang bekas pegawai kanannya berhubung pelanggaran tatacara operasi piawaian (SOP) sambutan Aidilfitri kelmarin.

Ketua polis Shah Alam berkata siasatan mengikut Peraturan 17 P.U (A) 225/2021 (Melanggar SOP PKP) dan sabit kesalahan boleh dikompaun antara RM2,000 hingga RM10,000.

“Kertas siasatan ini akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya dalam kadar segera,” kata Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib menerusi kenyataan hari ini.

 

Terdahulu gambar anggota polis berkumpul menikmati juadah di sebuah rumah ketika pemantauan Ops Covid-19 tular di media sosial hingga mendapat kecaman warga maya.

Menurut Baharudin siasatan mendapati gambar terbabit dimuat naik di Facebook milik bekas Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Kamarudin Mat Desa yang bersara pada 2007.

“Menerusi gambar itu, enam anggota Balai Polis Seksyen 6 sedang menikmati juadah ketika menjalankan pantauan di rumah Kamaruddin selepas terdapat enam kereta di rumah berkenaan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Maklum kepada polis jika jiran langgar SOP Aidilfitri

KANGAR, 10 MEI: Orang ramai dinasihatkan supaya memerhati kawasan kejiranan mereka dan memaklumkan kepada polis sekiranya terdapat individu yang pulang beraya ke kampung tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa, kata Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad.

Beliau berkata maklumat sedemikian diperlukan bagi membolehkan pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap individu yang masih berdegil dan tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Aidilfitri 2021.

“Polis Perlis juga akan tingkatkan jumlah keanggotaan dalam memastikan pematuhan SOP serta akan mengambil tindakan tegas terhadap individu di kawasan perumahan…termasuk memperketatkan kawalan di sempadan negeri, stesen bas dan stesen keretapi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Surina juga menasihati orang ramai agar mematuhi SOP Aidilfitri dan berada di rumah kecuali mempunyai urusan penting.

Menurut beliau kadar pematuhan SOP di Perlis adalah tinggi iaitu 98 peratus dan berharap orang ramai terus mematuhi ketetapan tersebut bagi mengekalkan Perlis sebagai negeri hijau dan seterusnya memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.

Mengulas mengenai jumlah kenderaan yang dikesan bertambah di Perlis sejak beberapa hari kebelakangan ini, Surina berkata jumlah kemasukan kenderaan ke negeri itu tidak serius iaitu sekitar lima peratus berbanding hari biasa.

“Peningkatan jumlah kenderaan adalah berpunca daripada ibu bapa yang mengambil anak-anak mereka yang menuntut di institusi pengajian tinggi sekitar negeri ini untuk pulang beraya di samping kemasukan penduduk dari Kedah yang berulang-alik bekerja di Perlis,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew berkata pihaknya akan melakukan rondaan pematuhan SOP Aidilfitri secara menyeluruh di sekitar Kangar bermula hari ini.

“Hari Raya nanti, kita akan ‘all out’ termasuk melakukan rondaan dari rumah ke rumah bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Diharapkan agar orang ramai dapat terus memberi kerjasama dengan polis bagi mencegah penularan wabak Covid-19 di negeri ini,” katanya.

– BERNAMA