Categories
AGENDA NASIONAL

10,000 pelajar UPM kembali ke kampus mulai 16 Mac ikut SOP ketat

PUTRAJAYA, 12 FEB: Seramai 10,000 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dibenarkan kembali ke kampus dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat secara berperingkat bagi Semester Kedua Sesi Akademik 2021/2022 dan mendaftar di kolej kediaman bermula 16 hingga 18 Mac depan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM Prof Dr Arifin Abdu berkata selaras dengan ketetapan ini semua gerak kerja dan persediaan bagi menerima ketibaan pelajar untuk pulang ke kampus sedang giat dilaksanakan.

“Bagi mencegah risiko penularan pandemik Covid-19 dalam kampus UPM, pihak pengurusan kolej-kolej kediaman UPM telah mengambil keputusan bahawa semua proses dan prosedur berkaitan kemasukan dan pendaftaran pelajar hendaklah dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pendaftaran untuk menginap di kolej kediaman bagi pelajar Semester Kedua Sesi 2021/2022 akan mengutamakan langkah keselamatan seperti mengisi borang pengisytiharan kesihatan, pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, penggunaan pensanitasi tangan dan penjagaan kesihatan diri yang rapi.

Katanya pelajar antarabangsa yang telah lengkap vaksin dan telah mendapat dos penggalak dibenarkan kembali ke kampus dan wajib melaksanakan kuarantin tujuh atau lima hari setibanya dari negara asal di pusat kuarantin yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan (KKM) seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kekang Covid-19, kemasukan pekerja asing lalui SOP ketat

PUTRAJAYA, 16 DIS: Malaysia menyediakan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat untuk kemasukan pekerja asing membabitkan empat proses bagi mengekang risiko penularan Covid-19, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Beliau berkata empat peringkat itu adalah pekerja asing mesti lengkap vaksinasi di negara asal dan dibawa masuk melalui laluan khas apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pekerja asing kemudiannya akan dikuarantin di tempat khas yang disahkan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dipindahkan ke tempat kerja masing-masing dan disediakan tempat penginapan kondusif oleh majikan sebagai prasyarat mengikut Akta Standard Minimun Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).

Saravanan berkata pekerja asing yang dibawa masuk akan menjalani kuarantin 14 hari dan ujian saringan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) pada hari pertama, ketiga, kelima dan ketujuh sebelum dipindahkan ke tempat kerja masing-masing.

“Empat langkah diambil ini bagi memastikan kemasukan pekerja asing ke negara ini adalah selamat,” katanya kepada media selepas majlis graduasi ‘Certified Disability Management Professional’ (CDMP) hari ini. Seramai 105 graduan hari ini terlibat dalam bidang pengurusan hilang upaya.

Bagi kemasukan pembantu rumah asing pula, Saravanan berkata SOP untuknya sedang dikaji Kementerian Sumber Manusia.

Pada 8 Dis lepas, Saravanan dilaporkan berkata Malaysia dijangka menerima kemasukan antara 5,000 dan 10,000 pekerja asing dari Indonesia tahun depan bagi memenuhi sektor pembinaan dan pembuatan termasuk Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI).

Sementara itu, Saravanan berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menerima sejumlah 50,634 tuntutan faedah hilang upaya sementara dan permohonan ilat pula sebanyak 32,275 pada 2020, dan daripada jumlah itu, seramai 5,503 individu disahkan ilat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Pasukan Liga-M terima keputusan latihan singkat, SOP ketat

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Rata-rata pasukan Liga Malaysia (Liga-M) menerima baik keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang hanya memberikan mereka tempoh latihan tidak sampai tiga minggu sebelum liga bagi musim ini dilangsungkan pada 5 Mac.

Pasukan juga memahami sepenuhnya tatacara operasi piawai (SOP) ketat yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas sesi taklimat yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL Datuk Ab Ghani Hassan, dengan tempoh persiapan pramusim bermula Isnin ini.

Menurut CEO Kedah Darul Aman (KDA) FC Khamal Idris Ali, keputusan itu diterima baik selepas mendengar kekangan yang dihadapi MFL dalam memastikan semua aksi Liga-M dapat dihabiskan pada musim ini, selain tarikh kalendar perlawanan antarabangsa yang ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi skuad kebangsaan.

“Melihat beberapa faktor tertentu seperti pasukan kebangsaan juga perlukan ruang untuk membuat persiapan, kami perlu juga memahami atas kepentingan negara serta mengikut suara majoriti lain yang turut bersetuju.

“Kebenaran kerajaan untuk kami jalani latihan dan adakan perlawanan pun cukup menggembirakan. Dalam situasi semasa, pasukan memang tiada pilihan melainkan terpaksa kreatif lakukan persediaan,” katanya menerusi kenyataan daripada MFL.

Sementara itu, CEO Kelantan FC Norizam Tukiman turut bersyukur Liga-M musim ini tidak ditangguhkan lagi atau dibatalkan.

“Mungkin kalau kita tengok dari segi tempoh persiapan agak suntuk sedikit, tetapi yang penting kita sudah jelas bahawa sukan bola sepak boleh berlangsung juga,” katanya.

Pengurus Besar Negeri Sembilan FC Firdaus Bhari berkata jurulatih kecergasan pasukan itu sudah bersedia dengan perancangan untuk memastikan pemain berada di tahap terbaik sebelum sepak mula.

“Melalui nasihat serta pemantauan jurulatih kecergasan dan doktor, pemain mampu berada di tahap kecergasan terbaik semasa latihan,” jelasnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi Jabatan Laut Malaysia di Klang ikut SOP ketat

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Ibu Pejabat Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Laut Wilayah Tengah, Pelabuhan Klang, yang terletak di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan beroperasi mengikut tatacara operasi piawai (SOP) norma baharu yang diperketatkan.

Pelanggan digalakkan berurusan secara sidang video/suara, e-mel atau panggilan telefon serta melayari sistem Jabatan Laut Malaysia secara dalam talian bagi perkhidmatan seperti perkapalan, pelaut dan pelabuhan melalui laman sesawang di pautan www.marine.gov.my

Jabatan Laut Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan Institut Latihan Pengangkutan Laut (Matrain), Pulau Indah Klang bagaimanapun beroperasi seperti biasa kerana terletak di luar kawasan PKPB mukim Klang.

Sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Ibu Pejabat Jabatan Laut, Jabatan Laut Malaysia di talian 03-33467620, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Tengah (03-31695100) dan Matrain (03-33265555) atau e-mel kepada [email protected].

-BERNAMA