Categories
AGENDA NASIONAL

KKM umum SOP pengembara ulang-alik minggu depan

TANGKAK, 10 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengumumkan tatacara operasi piawai (SOP) untuk pengembara berulang alik seperti yang bekerja dan berniaga di luar negara selewat-lewatnya minggu depan, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

Bercakap kepada media selepas melawat Klinik Kesihatan Bukit Gambir di sini hari ini, beliau berkata KKM sedang memperhalusi SOP yang lebih praktikal seperti ujian RT-PCR atau RTK Antigen secara mingguan.

Khairy berkata bagi pengembara biasa, protokol ujian PCR sebelum berlepas dan RTK Antigen selepas ketibaan adalah biasa namun protokol sedemikian menyukarkan bagi individu yang berulang alik.

“Kalau kita nak mereka buat saringan seperti pengembara yang biasa ia tak masuk akal, katakan dia nak kerja ke Singapura tapi tinggal di Johor Bahru, tak kan dia nak buat PCR setiap hari jadi kita sedang memperhalusi SOP untuk pengembara berkala ni.

Mungkin dia akan buat saringan setiap minggu dan dia kena tunjuk bukti saringan dia, dalam seminggu tu, dia negatif. Dan macam biasalah dia ada gejala dia kena buat saringan, itu cadangan setakat ini, kita tengah fikir apa yang paling praktikal dan yang paling selamat dari segi kesihatan awam ini,” katanya.

Khairy berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan individu yang berulang alik ke Singapura untuk bekerja tidak perlu menjalani kuarantin, namun perlu mematuhi SOP ditetapkan.

Langkah itu, menurut Muhyiddin adalah sebagai menyokong pembukaan sempadan dan memastikan pertumbuhan ekonomi yang baik.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Satu SOP, sembilan garis panduan peralihan ke fasa endemik mulai 1 April

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Satu tatacara operasi piawai (SOP) dan sembilan garis panduan akan dilaksanakan dalam Fasa Peralihan ke Endemik mulai 1 April ini, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 berkata ia merupakan antara tujuh tonggak paling penting di fasa tersebut terutama dalam usaha negara menuju kepada kehidupan normal.

Hishammuddin berkata secara asasnya, satu SOP yang mengandungi 10 keperluan itu telah dipermudahkan daripada 181 SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan ia masih akan dikuat kuasakan di bawah Akta 342 mulai 1 April.

“Kesemua 10 keperluan ini sudah biasa diamalkan oleh orang ramai dalam Fasa PPN. Atas sebab itu, saya percaya setiap lapisan masyarakat boleh untuk terus melaksanakannya dengan sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sepuluh keperluan itu ialah memakai pelitup muka ketika di tempat awam, waktu operasi mengikut lesen atau permit, menjaga kebersihan tangan, melakukan ujian pengesanan Covid-19 berdasarkan Strategi Pengujian Kebangsaan dan menguruskan kes yang disyaki atau disahkan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM).

Selain itu adalah menggunakan MySejahtera dan MySJTrace untuk pendaftaran kemasukan, memastikan penjarakan fizikal satu meter, memastikan pengudaraan dan sistem ventilasi yang baik, memastikan kebersihan premis dan mematuhi keperluan vaksinasi untuk aktiviti tertentu.

Seiring dengan Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ yang mengkehendaki rakyat belajar hidup bersama dengan Covid-19 dan lebih mengutamakan disiplin kendiri, Hishammuddin berkata adalah amat penting untuk semua memahami risiko penularan Covid-19 serta mengamalkan langkah pencegahan.

Beliau berkata susulan itu, sembilan garis panduan juga telah dibangunkan bagi membantu rakyat membuat pilihan lebih selamat ketika menjalankan aktiviti harian demi menjaga keselamatan diri, keluarga dan orang sekeliling.

Bagaimanapun, menurutnya sembilan garis panduan itu tidak akan dikuat kuasakan sebaliknya ia akan menjadi panduan yang amat digalakkan untuk dipatuhi supaya rakyat dapat kekal berwaspada dengan risiko jangkitan Covid-19 apabila melakukan aktiviti-aktiviti tertentu.

Sembilan garis panduan itu merangkumi pengangkutan dan perjalanan; pendidikan dan penjagaan; aktiviti peruncitan, makanan dan minuman; ruang kerja tertutup; kawasan kerja terbuka; acara, majlis, hiburan dan tarikan pelancong; hotel dan penginapan tetamu; keagamaan, perkahwinan dan pengebumian serta aktiviti dan fasiliti sukan, rekreasi dan riadah.

“Untuk setiap garis panduan berkenaan, terdapat dua perincian iaitu cara penilaian risiko penularan Covid-19 serta gejala Covid-19 dan cara mengamalkan SOP dengan betul,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata satu laman sesawang sedang dibangunkan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memudahkan masyarakat memahami dengan lebih lanjut mengenai satu SOP dan sembilan garis panduan tersebut serta Fasa Peralihan ke Endemik secara keseluruhannya.

Beliau berkata laman sesawang itu dijangka dapat diakses dua minggu sebelum 1 April sekali gus membantu masyarakat membuat persiapan sebelum fasa tersebut bermula.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan bahawa Malaysia akan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ serta pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April depan.

Ismail Sabri berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan KKM serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ramai setuju mansuh jarak di rumah ibadat, namun perlu ikut SOP asas

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Aktiviti solat jemaah di masjid atau surau dan upacara sembahyang di rumah ibadat bukan Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal yang diumumkan semalam, rata-rata diterima baik masyarakat.

Bagaimanapun, mereka menyarankan agar tatacara operasi piawai (SOP) asas dikekalkan apabila Malaysia memasuki fasa ‘Peralihan ke Endemik’ bermula 1 April ini.

Ahli Dewan Negara Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad berkata kerjasama Pihak Berkuasa Agama Negeri untuk mengekalkan SOP asas seperti pemakaian pelitup muka dan sanitasi tangan merupakan langkah pencegahan Covid-19.

“Jika diteliti apa yang telah diamalkan di negara-negara dunia dalam kalangan negara umat Islam, usaha merapatkan saf telah pun dijalankan sebagaimana yang telah dilaksanakan di Arab Saudi baru-baru ini,” katanya dalam ciapan Twitter beliau hari ini.

Zulkifli yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata hukum penjarakan sebelum ini adalah ketika Covid-19 sedang memuncak dan kadar vaksinasi masih rendah, namun apabila keadaan sebaliknya berlaku, wajarlah hukum penjarakan ketika solat disemak semula dan dipertimbangkan untuk dimansuhkan.

Pengerusi Surau Ar-Rahmah Seksyen 8 Shah Alam, Selangor Ab Halim Ab Rahman berkata pihaknya terbuka untuk menerima aktiviti solat tanpa penjarakan fizikal, bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan Kerajaan Negeri.

“(Kerajaan Persekutuan) mesti (sudah) lakukan kajian, justifikasi dan sebagainya dan kita akur. Jika kerajaan negeri buat SOP yang lebih ketat daripada yang dibenarkan iaitu penjarakan satu meter, saya tiada bantahan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Presiden Malaysia Hindu Sangam Datuk R.S. Mohan Shan berkata walaupun negara akan memasuki fasa peralihan ke endemik, adalah penting agar SOP seperti penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka terus dipatuhi.

“Sebagai presiden, saya secara peribadi ingin menasihatkan pengurusan kuil untuk terus mematuhi peraturan tertentu sebagai langkah pencegahan virus yang membawa maut ini walaupun telah lengkap vaksinasi. Kita perlu menjaga diri sendiri dahulu dan saya rasa SOP ini masih diperlukan dalam cara tertentu di kuil bagi memastikan penganut dapat melakukan ibadah mereka dengan selamat.

“Saya menyokong cadangan perdana menteri mengenai pemansuhan penjarakan fizikal bagi aktiviti di rumah ibadat, yang saya percaya keputusan itu dibuat dengan melihat kepada banyak aspek,” katanya kepada Bernama.

Presiden Kuil Sri Subramaniam Swamy Batu Gajah Dr Subramaniam Suppiah pula berkata kita tidak boleh selesa dengan peraturan baharu itu, malah perlu lebih berhati-hati dan mematuhi SOP.

“Masih ada orang yang menderita daripada virus Covid-19 ini dan saya ingin menyarankan kepada semua agar terus mengikut peraturan dan garis panduan untuk kekal selamat dan berhati-hati dengan virus ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Pastikan SOP kempen PRN adil kepada pembangkang

SHAH ALAM, 2 MAC: Kerajaan persekutuan diingatkan supaya berlaku adil ketika melaksanakan tatacara operasi piawai (SOP) terhadap parti pembangkang sepanjang pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya tidak sesekali menjadi alat kepada pemerintah hingga menjejaskan perjalanan pilihan raya.

“Buat PRN tidak boleh kempen, tempat (kempen) dalam dewan tapi banyak syarat. Motif dia adalah untuk memenangkan satu pihak.

“Keterbatasan ini tidak adil. Perdana Menteri harus lihat (SOP) supaya beri keadilan kerana mereka (kerajaan) yang putuskan untuk adakan PRN. Jadi sediakan SOP lebih baik,” katanya dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Malam tadi, Pakatan Harapan yang mengadakan ceramah umum pertama kali di Dewan Undangan Negeri Kota Iskandar dikenakan kompaun RM3,000 oleh Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru.

Tempoh berkempen bermula selepas proses penamaan calon selesai pada 26 Februari. Pembuangan undi ditetapkan pada 12 Mac. Seramai 2.597 juta pengundi layak mengundi pada PRN tersebut.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: PBT diminta tambah lokasi bazar Ramadan, elak sesak pengunjung

KLANG, 21 FEB:  Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta mengenal pasti lebih banyak lokasi bazar Ramadan serta tidak menumpukan satu kawasan sahaja bagi mengelak kesesakan pengunjung.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata langkah tersebut bagi memudahkan pemantauan serta memastikan peniaga dan pengunjung mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

“Lokasi-lokasi tersebut perlu dikenal pasti supaya dapat menentukan jumlah sebenar lokasi strategik untuk bazar Ramadan untuk mengurangkan kepadatan pengunjung.

“Kita memerlukan bantuan daripada PBT kerana mereka mempunyai maklumat dan kesesuaian lokasi untuk bazar Ramadan. Mungkin ada penambahan berbanding tahun lalu iaitu 11,773 tapak.

“Perkara paling utama kita mahu membantu peniaga dan pada masa sama memastikan SOP dipatuhi. Setakat ini, kita tidak dapat tentukan jumlah kerana terdapat permohonan bazar yang masih dibuka” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Penghargaan Klang Sejahtera Ke Arah Pembangunan Mampan 2020/2021 di Dewan Hamzah Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini.

Pada 13 Februari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan tiada sekatan akan dikenakan ke atas kegiatan ekonomi termasuk bazar Ramadan pada tahun ini.

Bagaimanapun beliau berkata SOP bazar tersebut akan diperhalusi dan diumumkan apabila sampai masanya nanti.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perlu dos penggalak untuk sertai aktiviti masjid, negeri tunggu perkenan Sultan

GOMBAK, 19 FEB: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyarankan hanya individu yang mengambil dos penggalak sahaja diberi kebenaran terlibat dalam aktiviti di surau dan masjid ketika Ramadan.

Bagaimanapun, Dato’ Menteri Besar berkata keputusan itu hanya boleh dimuktamadkan setelah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Ia bukan hak saya untuk mengumumkannya tetapi saranan itu disokong Majlis Keselamatan Negeri (MKN) pengurusan pandemik Covid-19.

“Kita menunggu perkenan Tuanku untuk meluluskan garis panduan dan tatacara operasi piawai (SOP) aktiviti ibadah di masjid atau surau kerana kebiasaannya menjadi tumpuan pada Ramadan,“ kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas merasmikan Bengkel Pengurusan e-Sukan di Dewan Kampung Melayu Batu Caves di sini hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri bersetuju menimbang keperluan pengambilan dos penggalak sebagai salah satu faktor dalam kebenaran penglibatan program berkaitan.

Amirudin berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor: Pengurusan Pandemik kali kedua untuk 2022 pada 14 Februari lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ceramah, kempen secara fizikal dibenarkan dalam PRN Johor

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Penganjuran ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal dan ziarah rumah ke rumah dibenarkan sepanjang 14 hari tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut tatacara operasi piawai (SOP) dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam, ceramah dan kempen hanya dibenarkan di pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang.

“Penganjur perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi ceramah, syarahan dan kempen diadakan.

“Tempoh setiap sesi ceramah, syarahan, kempen hanya selama dua jam dan tidak melebihi jam 10 malam manakala ceramah, kempen dan syarahan di premis yang terbuka atau tempat umum adalah tidak dibenarkan,” menurut SOP itu, menambah sebarang bentuk hiburan semasa berkempen tidak dibenarkan.

Bagi SOP kempen ziarah rumah ke rumah, penyertaan adalah tidak melebihi lima orang namun tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah atau berjumpa dengan ahli rumah dan aktiviti mengedarkan risalah perlu dibuat di luar pagar.

Mengenai SOP hari pengundian, pengundi wajib memakai pelitup muka berganda dan pengundi bergejala seperti demam, batuk, sakit tekak atau sukar bernafas perlu diasingkan serta-merta daripada pengundi lain dan mengundi di tempat khas sama ada khemah, bilik atau ruang khas.

“Selepas selesai mengundi, pengundi bergejala akan diuruskan oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertugas untuk tindakan lanjut termasuk membuat ujian kendiri Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag).

“Khemah, bilik atau ruang khas hendaklah dilakukan disinfeksi berdasarkan garis panduan KKM sebaik sahaja selepas setiap pengundi bergejala selesai mengundi,” menurut SOP itu.

SOP itu juga menetapkan pengundi yang disahkan positif Covid-19 tidak dibenarkan keluar dari tempat rawatan untuk mengundi bagi mengelakkan jangkitan dan menyebabkan penularan.

Bagi pengundi berstatus individu dalam siasatan (PUI) dan individu dalam pengawasan (PUS), mereka perlu memohon pegawai kesihatan daerah (PKD) untuk keluar sementara ke pusat mengundi dan kebenaran tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan oleh PKD itu.

Maklumat lanjut SOP bagi PRN Johor boleh diakses menerusi laman rasmi SPR di https://www.spr.gov.my.

SPR sebelum ini menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, penamaan calon pada 26 Februari manakala pengundian awal 8 Mac.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

SOP Liga Malaysia 2022 kekal, tiada cadangan tambah kelonggaran

TANJUNG MALIM, 18 FEB: Tatacara operasi piawai (SOP) bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2022 yang dijadual bermula bulan depan masih dikekalkan setakat ini, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata tiada cadangan untuk memberi kelonggaran SOP dari semua aspek bagi kancah liga bola sepak tanah air itu susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 sejak akhir-akhir ini.

“SOP dalam Liga Malaysia masih terpakai dan saya berharap orang ramai sentiasa mengikut perkara ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM). Ia demi keselamatan semua pihak dan SOP kendiri lebih penting untuk memastikan tiada penyebaran Covid-19.

“Bagaimanapun, saya nasihatkan orang ramai dan mereka terlibat (dalam Liga-M) supaya mendapatkan dos penggalak,” katanya ketika ditemui Bernama dan RTM selepas menutup Program Mengenal Pasti Bakat Murid Tahun 2022 di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris di sini semalam.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam dilapor berkata permintaan untuk memberi kebenaran kepada penyokong makan dan minum adalah satu daripada tiga pertimbangan ditawarkan badan pengelola liga tempatan itu yang ditolak pihak berwajib (kerajaan) untuk musim baharu Liga-M.

Stuart berkata pertimbangan lain yang turut ditolak adalah soal kuarantin pemain jika ada kes dalam pasukan serta penambahan jumlah kemasukan penonton ke venue perlawanan.

Saingan Liga Super dijadual bermula pada 4 Mac manakala perlawanan pembukaan Liga Perdana akan diadakan mulai 5 Mac ini.

Terdahulu, lebih 300 murid yang menyertai program TID melibatkan dua fasa iaitu pada 26 dan 27 Jan lepas serta dua hari bermula semalam, akan dinilai untuk ditawarkan sebagai atlet murid di Sekolah Sukan Negeri Perak bagi kemasukan tingkatan satu tahun ini.

Ahmad Faizal berkata pemilihan murid berbakat akan diputuskan dalam mesyuarat pemilihan melibatkan antaranya sukan bola sepak, sepak takraw, bola jaring dan hoki dengan ujian diadakan bukan hanya berfokus kepada kemahiran dan kecergasan, malah turut memberi tumpuan terhadap kemampuan murid dalam akademik.

“Hasil dapatan daripada program ini diharapkan dapat membantu pihak sekolah khasnya jurulatih merangka latihan dan strategi berkesan dalam mengoptimumkan potensi dan bakat sukan murid,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Had pengunjung bazar Ramadan jika kes Covid-19 naik, galak beli dalam talian

SHAH ALAM, 17 FEB: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) akan menambah baik tatacara operasi piawai (SOP) bazar Ramadan tahun ini jika kes Cavid-19 terus meningkat.

Yang Dipertua Rahilah Rahmat meskipun SOP bazar Ramadan belum dimuktamadkan, namun beberapa aspek perlu diteliti bagi mengekang penularan wabak.

“Cadangan itu meliputi pembayaran secara elektronik, galak beli juadah dalam talian selain mengehadkan jumlah kemasukan pengunjung ke tapak bazar Ramadan.

“Perkara ini sedang diteliti. Peniaga dan pengunjung akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui media sosial MPKS,” katanya kepada Selangorkini.

Bagaimanapun, Rahilah mengingatkan orang ramai memberi kerjasama dengan mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, kerjasama itu penting bagi memastikan kelancaran operasi bazar Ramadan sekali gus melindungi ekonomi peniaga kecil di daerah berkenaan.

Tahun ini, sebanyak 505 petak bazar Ramadan disediakan PBT terbabit di sembilan lokasi.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Badminton Asia: Hari pertama kejohanan jalan lancar, ikut SOP ketat

SHAH ALAM, 15 FEB: Hari pertama Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City dekat sini berjalan lancar mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata kehadiran penonton menggalakkan selain menjangka lebih ramai pada hari berikutnya.

Beliau memaklumkan kira-kira 200 tiket percuma ditempah secara dalam talian sehari sebelum kejohanan berlangsung, sekali gus membuktikan rakyat Selangor menanti penganjuran itu.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Perjalanan kejohanan sangat memuaskan walaupun dalam keadaan mengawal SOP. Malah, cara kita anjurkan acara ini juga mencapai piawaian dunia,” katanya kepada Selangorkini.

Pada masa sama, Mohd Khairuddin meminta Konfederasi Badminton Asia (BAC) mempertimbangkan permohonan supaya lebih ramai penonton dibenarkan masuk menyaksikan kejohanan tersebut.

“Kapasiti tempat ini mampu memuatkan sehingga 1,500 orang tetapi KKM (Kementerian Kesihatan Malaysi) dan BAC hanya benarkan beberapa peratus sahaja masuk. Jadi, kita akan kaji perkara ini.

“Diharap pada hari seterusnya mereka pertimbangkan permohonan ini. Buat masa ini, kita minta penonton bersabar kerana susunan kejohanan adalah di peringkat asia dan luar daripada kuasa penganjur,” katanya.

Buat julung kalinya, Selangor menjadi tuan rumah BATC 2022 dari 15 hingga 20 Februari yang diselaraskan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM)

Categories
AGENDA NASIONAL

Padah langgar SOP ketika berhibur, 154 individu dikompaun RM155,000

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Seramai 154 individu dikompaun berjumlah RM155,000 kerana gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika berhibur di sebuah premis hiburan di Jalan Telawi 2, Bangsar Baru semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata dalam serbuan pada 10.52 malam, polis telah menahan pengurus premis berkenaan iaitu seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun dan lapan pekerja lelaki warga asing kerana menjalankan perniagaan pusat hiburan tanpa lesen.

“Polis turut membuat rampasan antaranya resit perniagaan, minuman keras, mikrofon dan pelbagai aksesori atau peralatan muzik,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1952, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Amihizam menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pusat hiburan yang melanggar SOP PPN untuk memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan.

Beliau juga meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai yang berdekatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPM 2021 diteruskan ikut jadual, SOP kementerian

JOHOR BAHRU, 12 FEB: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diteruskan seperti yang dijadualkan dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar dan guru.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata meskipun terdapat peningkatan ketara kes baharu Covid-19, peratusan pesakit membabitkan kategori empat atau lima adalah kecil.

“Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk memastikan pengoperasian sekolah berjalan lancar, teratur dan selamat dengan memastikan kesemua SOP yang ditetapkan terus dipatuhi.

“Komitmen ini dibuat dengan mengambil kira pengalaman pelaksanaan SPM 2020 pada Februari tahun lepas berjalan dengan lancar dan kita juga sudah mempunyai SOP yang lengkap berhubung perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus bersama dengan warga pendidik serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kota Iskandar di sini hari ini.

Beliau berkata keadaan juga sudah berbeza dengan lebih 90 peratus pelajar Tingkatan 5 tahun ini lengkap divaksin berbanding mereka yang menduduki SPM tahun lepas.

SPM 2021 dijadualkan bermula pada 2 Mac dan berakhir pada 29 Mac.

Menyentuh jangkitan Covid-19, Mohd Radzi berkata memang terdapat kes melibatkan guru dan pelajar di kawasan sekolah namun peratusannya terlalu kecil.

“Kluster sekolah terlalu kecil iaitu hanya melibatkan 0.5 peratus daripada keseluruhan jumlah sekolah tidak berasrama iaitu lebih 10,000 buah di seluruh negara.

“Sementara itu, kita akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk memastikan perjalanan operasi persekolahan dilakukan dengan mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Beliau turut menggalakkan lebih ramai ibu bapa mendaftarkan anak mereka yang berumur lingkungan 5 hingga 11 tahun untuk mendapatkan suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids).

-BERNAMA