Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Pakar perubatan persoal sukatan suhu tidak tepat, langgar SOP

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas dan kini PKP Bersyarat (PKPB), boleh dikatakan ramai yang sudah mengamalkan normal baharu dalam urusan kehidupan seharian.

Daripada budaya kerja, bidang pembelajaran kepada perniagaan, pergantungan kepada teknologi digital semakin ketara. Begitu juga amalan tatacara operasi piawai (SOP) yang disarankan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk penjarakan sosial.

Hendak masuk ke mana-mana pejabat dan pusat membeli-belah juga tidak semudah dahulu. Setiap daripada kita pada masa ini wajib melepasi pemeriksaan suhu badan sekiranya ingin melangkah masuk ke dalam bangunan.

Benarlah, pandemik Covid-19 merubah banyak perkara dalam rutin kehidupan kita.

Hanya yang bacaan suhu badan memenuhi SOP akan mendapat lampu hijau untuk masuk daripada pengawal keselamatan yang ditugaskan untuk membuat pemeriksaan. Langkah ini amat penting untuk memastikan tiada penularan wabak Covid-19.

Namun begitu, adakah pengambilan suhu itu benar-benar mengikut SOP yang ditetapkan? Persoalan paling penting, adakah anda yakin bahawa bacaan suhu itu adalah tepat mahupun sebaliknya?

Suhu rendah

Ini yang dipersoalkan oleh Pakar Paru-Paru Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Helmy Haja Mydin dalam satu ciapan di Twitternya baru-baru ini, selepas mengunjungi sebuah restoran di sekitar kawasan Petaling Jaya.

Pembantu perubatan memeriksa suhu badan pesakit sebelum menerima rawatan di Klinik Ajwa Seksyen 7, Shah Alam pada 27 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau yang ketika itu sedang menunggu giliran untuk diperiksa suhu badan oleh pekerja restoran berkenaan terkejut sebaik melihat segala rekod suhu badan pelanggan sebelum ini yang dicatatkan mereka di sebuah buku.

Agak luar biasa menurut Dr Helmy kerana kesemua suhu badan pelanggan yang datang ke restoran itu adalah di bawah suhu 36.0 darjah selsius iaitu 33.0, 32.0, 31.5, 33.5, dan paling rendah adalah 29 darjah selsius, sesuatu yang langsung tidak masuk akal!

Ini kerana suhu badan manusia normal adalah antara 36.0 darjah selsius sehingga 37.5 darjah selsius dan sekiranya melebihi suhu berkenaan seseorang itu dikira demam dan tidak boleh dibenarkan masuk ke dalam sesebuah premis.

Seperti diketahui, gejala utama Covid-19 adalah demam dan saringan paling mudah untuk memastikan pelanggan sesebuah restoran, pekerja ke pejabat atau sesiapa sahaja untuk melangkah ke dalam bangunan merupakan seorang yang sihat adalah melalui bacaan suhu badan menggunakan termometer.

Itu yang telah ditetapkan dan wajib dipatuhi sektor ekonomi kerana kegagalan mematuhi SOP akan membuatkan mereka berhadapan tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Tak guna buat saringan suhu badan sekiranya peralatan yang digunakan tak jitu. Use the right equipment and check your thermometers – we don’t want false assurances!” kata beliau dalam ciapannya di akaun @dochelmy.

Bernama yang menghubungi beliau baru-baru ini untuk bertanya lebih lanjut mengenai ciapannya itu dimaklumkan bahawa, keadaan tersebut jelas membuktikan pelanggan yang dibenarkan masuk ke dalam restoran berkenaan tidak disaring sebetulnya dan sudah tentu ia membimbangkan.

Ini kerana kemungkinan besar ada antara mereka mempunyai suhu badan lebih daripada 37.5, mempunyai gejala Covid-19 seperti demam tetapi dibenarkan masuk apabila bacaan suhu rendah kerana tidak disaring sebetulnya oleh pihak premis.

Hal ini menjadi kerisauan Dr Helmy kerana berkemungkinan pelanggan tidak disaring sebetulnya ini merupakan pesakit Covid-19 tanpa mereka sedari yang akhirnya menjangkiti orang lain.

Kena tahu cara guna

“Kalau tengok catatan buku tersebut ada yang mempunyai suhu serendah 29 darjah selsius dan ia sangat tidak logik kerana itu sudah suhu tahap mayat. Suhu badan manusia walau di mana saja kita berada termasuklah di negara sejuk, akan tetap sama antara 36.0 darjah selsius sehingga 37.5 darjah selsius.

Penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam melakukan ujian saringan suhu badan kepada pengunjung Pasar Seksyen 6, Shah Alam pada 1 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Sekiranya ada yang mempunyai suhu bawah 36.0 darjah selsius adalah disebabkan mereka sakit seperti penyakit hypothermia tetapi tidaklah sampai serendah 29 darjah selsius.

“Perkara ini perlu diambil perhatian jitu kerana normal baharu yang menetapkan setiap individu diperiksa dahulu suhu badan sebelum masuk tidak akan berguna sekiranya tidak disaring sebetulnya.

“Bayangkan, pemilik restoran sudah bersedia lengkap mematuhi SOP ditetapkan tetapi disebabkan kesilapan bacaan suhu badan, kita bimbang ada kes demam berkait dengan Covid-19 terlepas masuk,” katanya kepada Bernama menerusi WhatsApp.

Menurut Dr Helmy, ada beberapa faktor yang menyebabkan pembacaan suhu itu tidak tepat antaranya disebabkan kesilapan pengendalian alat berkenaan kerana tidak memahami sebetulnya tatacara penggunaan, kualiti mahupun aspek menyelaraskan fungsi tentukur termometer tidak diambil perhatian.

Walhal, amat penting sebenarnya alat tersebut diselaraskan fungsinya (menentukur) sebelum digunakan buat pertama kali dan juga sekiranya ia terjatuh mahupun apabila diguna berulang kali bagi memastikan bacaan yang akan diambil nanti adalah tepat.

Selain perlu juga memahami termometer mempunyai pelbagai jenis dan setiap alat pengimbas suhu ini adalah berbeza cara penggendaliannya.

Paling popular digunakan ketika ini oleh kebanyakan syarikat, restoran adalah termometer temporal artery atau juga dipanggil termometer dahi yang menggunakan sinaran inframerah untuk menentukan suhu pada dahi kerana agak mudah mengendalikannya serta tidak berlakunya sentuhan.

“Sebenarnya, pemeriksaan suhu paling tepat adalah menggunakan termometer merkuri di mana perlu meletakkannya di bawah lidah selama beberapa minit. Ia susah sikit berbanding dengan yang dipakai pada dahi,” jelas Dr Helmy.

Berbeza

Sementara itu, menurut Pakar Perubatan Kecemasan KKM, Dr Ahmad Zakimi Abdullah, kepentingan untuk mengetahui fungsi setiap termometer ini penting bukan sahaja untuk memastikan bacaan suhu yang diambil tepat bahkan juga disebabkan cara bacaan suhu alat pengimbas itu adalah berbeza antara satu sama lain.

Berkongsi maklumat berkenaan di laman sosial, Facebook miliknya selepas berhadapan insiden hampir serupa dengan Dr Helmy, beliau terkejut apabila ada penjaga pintu di satu premis yang dikunjunginya tidak tahu suhu yang betul untuk dibenarkan masuk.

Petugas keselamatan memeriksa suhu penghantar makanan di pusat membeli-belah Central i-City, Shah Alam pada 26 Mac 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Tak semua orang tahu kan. Oleh itu, kita perlu memberi sedikit penerangan tentang tatacara penggunaan termometer untuk saringan awal.

“Suhu badan normal adalah sekitar 36 darjah selsius hingga 37.4 darjah selsius. Maka suhu 37.5 darjah selsius atau lebih sudah dikira anda demam. Ini hanya untuk bacaan ‘thermoscan infrared’.

“Bacaan suhu dengan termometer jenis lain dikira demam adalah berbeza; ketiak >37.2 darjah selsius, mulut >37.8 darjah selsius dan rektum (punggung) atau telinga >38 darjah selsius.

Menurut beliau, cara mengambil suhu tujuan saringan pintu masuk, mestilah dengan menggunakan termometer jenis infrared gun demi mengekalkan penjarakan 1 meter.

“Jarak menggunakan termo gun ini taklah terlalu jauh kerana ia akan memberi ralat dan tidak tepat pada bacaan. Perlu lihat tatacara penggunaan termo gun mengikut pengeluar.

“Penyaring perlu memakai PPE sekurang-kurangnya topeng muka. Penjarakan 1 meter adalah diwajibkan. Bateri termometer ini kena sentiasa diperiksa secara berkala juga,” katanya dalam status tersebut.

Golongan berisiko

Sememangnya, hal ini tidak boleh dipandang ringan. Apatah lagi, media sebelum ini ada melaporkan terdapat ramai individu membawa golongan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 seperti kanak-kanak dan warga emas ke tempat awam sejak PKPB dilaksanakan pada 4 Mei lepas.

Justeru, bayangkanlah apabila golongan berisiko tinggi ini berada di tempat awam yang tidak disaring betul suhu bacaannya dan berkemungkinan besar terdedah kepada jangkitan Covid-19 tanpa disedari. Bukankah ini membahayakan mereka?

Kerana itulah, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berpandangan adalah sebaiknya setiap daripada kita mengelak untuk berada di tempat awam sekiranya tidak ada keperluan penting biarpun sesuatu aktiviti itu dibenarkan mahupun premis itu lengkap dengan SOP ditetapkan.

Jangan mudah selesa dengan angka semasa Covid-19 yang ketika ini berlegar sekitar dua digit. Kecuaian dan kelekaannya memungkinkan Malaysia berdepan peningkatan penularan Covid-19 secara mendadak pada pertengahan Jun berdasarkan pemodelan dan ramalan Covid-19 oleh Institut Kesihatan Negara (NIH) .

“Janganlah kita sesekali sia-siakan pencapaian agak cemerlang yang gigih lagi tekun kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19 sehingga dikitiraf di peringkat dunia!

“(Apa yang kita lalui hari ini adalah) “norma baharu yang bersifat sementara sahaja” sehingga pandemik ini dapat diperangi dengan jayanya tidak lama lagi,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Taska khas untuk anak petugas hadapan selaras SOP negara luar

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Penyediaan taska khas kepada anak-anak petugas barisan hadapan yang sedang dikaji Kementerian Kesihatan (KKM) khususnya pasukan kesihatan selaras tatacara operasi piawai (SOP) yang dilaksanakan di negara luar.

Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berkata SOP itu dilihat melalui amalan terbaik yang dilaksanakan Centre for Disease Control, di Amerika Syarikat serta United Kingdom.

“Di sana ada disebut bahawa tumpuan harus diberi keberatan kepada anak anak petugas kesihatan. Kerana mereka perlu kerja di barisan hadapan dan anak-anak mereka perlu dijaga dengan baik.

“Jadi, dalam menyediakan taska dan sebagainya memang kita perlu wujudkan penjarakan sosial, penjagaan kebersihan dan sebagainya untuk semua anak-anak.

“Kalau ada keupayaan, penyediaan tempat khas untuk anak-anak barisan hadapan ini juga harus tidak jauh dari hospital supaya mereka boleh kerja dengan selesa dan mengetahui anak mereka selamat,” katanya dalam temu bual Skype di Buletin Bernama hari ini.

Dr Jemilah mengulas pertanyaan berhubung dakwaan wujudnya diskriminasi terhadap anak-anak petugas barisan hadapan khususnya kakitangan hospital di taman asuhan kanak-kanak (taska), sebaliknya mereka hanya ditempatkan di ruang khas.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihata, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut mengulas langkah itu dilaksanakan selari kedudukan kanak-kanak berkenaan sebagai kumpulan berisiko.

Jelas Dr Jemilah yang juga pakar perubatan dan pengendalian bencana, daripada segi SOP KKM mengenal pasti beberapa kumpulan yang dianggap berisiko lebih tinggi antaranya kumpulan tabligh, pelajar tahfiz, pekerja asing dan pekerja kesihatan di barisan hadapan.

Mengulas lanjut, Dr Jemilah turut menyifatkan penggunaan perkataan diskriminasi terhadap anak-anak barisan hadapan itu juga dilihat terlalu keras.

“Itu bukan yang sepatutnya digunakan dan saya rasa SOP (taska) ini akan diperincikan lagi dan kita melihat bagaimana kita boleh lindungi anak-anak barisan hadapan kesihatan ini supaya mereka dijaga dengan lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Jemilah berkata kemudahan sistem perkhidmatan kesihatan negara antara yang terbaik di dunia dan jelasnya, KKM mampu menampung jumlah pesakit sekiranya wujud gelombang baharu COVID-19.

“Malaysia mempunyai perkhidmatan kesihatan antara yang terbaik di dunia. Saya dah merata bekerja dalam kawasan epidemik dan pandemik. Saya rasa yakin dengan KKM dan penjagaan kesihatan kita.

“Buat masa ini juga, penggunaan wad-wad di KKM yang memang khas untuk COVID-19 berada dalam tahap 15 peratus ke bawah. Bermakna KKM boleh menampung keperluan lebih kalau ada gelombang baharu pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati rakyat Malaysia untuk turut sama-sama bekerjasama membantu kerajaan dalam mengurangkan risiko jangkitan virus COVID-19 ini.

“Kita sebagai rakyat, kalau kita tengok orang sesak, kita harus tegur untuk jaga kesihatan diri kita dan orang ramai. Kita sudah dewasa dan harus ambil tahu apa yang patut dibuat.

“Ia bukan sahaja memerlukan usaha daripada kerajaan dan swasta, tetapi semua orang. Jadi, rakyat sendiri harus terima kehidupan kita semua tidak akan macam biasa. Kita harus hidup dengan disebutkan normal baharu. Kita harus ambil langkah pencegahan menjarakkan diri satu meter, dan kalau boleh di tempat awam kita gunakan penutup hidung dan mulut,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP PKPB, pasar raya terkemuka diarahkan tutup

JOHOR BAHRU, 25 MEI: Sebuah pasar raya terkemuka di Taman Desa Tebrau di sini diarahkan tutup setelah didapati tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah Kesihatan Johor Dr Aman Rabu, yang mengesahkan perkara itu, berkata penutupan tersebut berkuat kuasa mulai 4 petang hari ini sehingga 1 Jun depan.

“Saya dimaklumkan oleh Pegawai Kesihatan Daerah Johor Bahru bahawa pemantauan yang dibuat pasukan penguat kuasa mendapati pasar raya terbabit tidak dapat mematuhi SOP PKPB yang ditetapkan.

“Ia umumnya tidak memastikan penjarakan sosial, tidak memastikan cecair pembasmi kuman digunakan dan tiada kawalan pengunjung di dalam pasar raya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau diminta mengulas gambar notis perintah tutup premis yang dikeluarkan ke atas pasar raya itu hari ini sebelum ia tular di aplikasi WhatsApp.

Menurut notis itu, penutupan adalah untuk menjalankan kerja-kerja mencegah penyakit berjangkit seperti yang termaktub dalam Subseksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri R. Vidyananthan, ketika dihubungi, berkata notis tersebut dikeluarkan sebagai memberi peluang kepada pihak pengurusan pasar raya terbabit untuk memperbaiki pelaksanaan SOP mereka.

“Sekiranya mereka (pengurusan) patuh, maka pasar raya itu nanti boleh dibuka semula,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Raikan Aidilfitri ikut kebiasaan baharu

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Budaya saling berkunjung sudah menjadi amalan dalam masyarakat Islam pada sambutan Aidilfitri sepanjang bulan Syawal, bertepatan dengan konsep rumah terbuka dan menerima kunjungan tetamu.

Bagaimanapun, tahun ini, tradisi tersebut terpaksa dikorbankan dengan kebiasaan baharu susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Ini termasuk amalan balik kampung di musim perayaan terpaksa dilupakan kerana sekatan pergerakan rentas negeri selain budaya kunjung mengunjung hanya dibenarkan pada hari pertama sahaja dan ia terhad kepada 20 orang ahli keluarga terdekat.

Selain itu, amalan menziarahi kubur juga perlu dielakkan dan bilangan jemaah bagi solat sunat Aidilfitri dihadkan di masjid.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerjasama orang ramai dalam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika menyambut 1 Syawal amat diperlukan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini.

Namun, kesedaran masyarakat dalam memutuskan rantaian penularan Covid-19 masih utuh, apabila kaji selidik Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 18 Mei lepas menunjukkan sebanyak 74 peratus daripada 215,712 respondennya memilih untuk tidak menerima tetamu sepanjang sambutan Aidilfitri.

Malah, sebanyak 20 peratus sahaja memilih untuk membenarkan Aidilfitri disambut dengan saudara-mara terdekat bukan daripada kediaman sama manakala hanya enam peratus memilih untuk menyambut bersama saudara-mara jauh serta jiran tetangga.

Meskipun kajian itu menunjukkan rakyat memilih untuk menyambut Aidilfitri dengan cara selamat, ia tidak bermakna sebahagian kecil yang sudi menerima tetamu berkunjung ke rumah boleh sewenang-wenangnya berjalan ke sana ke sini tanpa mengira batasan.

Orang ramai juga diingatkan dalam keterujaaan menyambut 1 Syawal, jangan melangkau batasan sehingga pihak berkuasa berkunjung ke rumah anda kerana didapati melanggar SOP.

Ini berikutan polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus membuat rondaan tanpa mengira waktu dalam musim tersebut dan jika didapati banyak kenderaan di luar rumah, mereka akan memeriksa kediaman berkaitan daripada segi jumlah orang yang berada di dalamnya.

Seperti yang dimaklumkan oleh pelbagai pihak sebelum ini, raikanlah Hari Raya pada tahun ini dengan cara yang tertutup di rumah masing-masing dengan ahli keluarga dalam rumah yang sama sahaja.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Patuh PKPB, jangan susahkan diri sehingga ditahan

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Orang ramai tidak sepatutnya merumitkan keadaan dan menyusahkan diri mereka ketika negara sedang ‘berperang’ dengan wabak Covid-19 kerana tidak mahu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga ditahan dan dihadapkan ke mahkamah.

Peringatan sering diberikan dalam isu pematuhan arahan PKPB kerana ia bertujuan memastikan bahawa masyarakat secara keseluruhannya terlindung daripada penularan wabak Covid-19 .

Pengunjung pasar raya Giant di Seksyen 7, Shah Alam menjalani pemeriksaan suhu badan dan mematuhi jarak sosial sebelum dibenarkan masuk ke premis itu pada 5 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Berikutan kedegilan segelintir pihak mematuhi arahan itu, kerajaan terpaksa mengerakkan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dengan lebih kerap di pusat membeli-belah dan pasar raya terutama di premis perniagaan yang mengadakan jualan murah atau promosi tertentu.

Walaupun tiada akta melarang membawa kanak-kanak ke pusat membeli-belah, sepatutnya ibu bapa lebih peka dengan situasi ketika ini iaitu tidak selamat untuk membawa anak ke tempat awam yang dipenuhi orang ramai.

Orang ramai juga perlu membiasakan diri dengan kelaziman baharu iaitu mengamalkan disiplin sosial yang tinggi, mematuhi jarak sosial dan mementingkan tanggungjawab sosial untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19 dalam masyarakat.

Buang Sikap Pentingkan Diri

Sedarlah, sikap pentingkan diri sendiri dan tidak bertanggungjawab dengan melanggar arahan yang ditetapkan bukan sahaja memakan diri sendiri malah akan memberi kesan buruk kepada masyarakat.

Sumber Grafik: KKM

Berbaki kira-kira 10 hari lagi bagi umat Islam di negara ini menyambut Aidilfitri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk mengehadkan aktiviti ziarah bagi perayaan itu pada hari pertama sahaja dan ia turut terpakai untuk Pesta Kaamatan serta Hari Gawai

Namun beringatlah, aktiviti ziarah itu hanya terhad kepada ahli keluarga terdekat sahaja dan tidak boleh melebihi 20 orang dalam satu hari.

Arahan itu juga selari dengan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bahawa berdasarkan pemodelan dan ramalan Covid-19 oleh Institut Kesihatan Negara (NIH) Kementerian Kesihatan (KKM), Malaysia bakal berdepan peningkatan penularan Covid-19 secara mendadak pada pertengahan Jun, sekiranya rakyat gagal mematuhi SOP PKPB.

Beliau berkata ketika ini, nilai kebolehjangkitan atau R-nought (R0) wabak itu diturunkan kepada 0.3 berbanding 3.5 pada awal pelaksanaan PKP dan sekiranya masyarakat leka dan ingkar dengan SOP yang ditetapkan, nilai R0 akan meningkat semula dan jika mencapai nilai 1.6 atau paras amaran, kemungkinan kerajaan akan melaksanakan PKP seperti 18 Mac lalu.

Sumber: KKM

Menurut unjuran itu, KKM juga menjangkakan Malaysia mampu mencapai tahap satu angka bagi kes baharu dalam tempoh seminggu sekiranya rakyat terus mematuhi SOP PKPB.

Kita mungkin tidak mampu membantu petugas barisan hadapan dalam aspek teknikal kesihatan namun dengan mematuhi SOP PKPB yang ditetapkan, matlamat memutuskan rantaian pandemik maut itu pasti akan tercapai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dron pantau pematuhan SOP di kawasan tumpuan – polis

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Teknologi dron turut digunakan untuk memantau serta memastikan pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dipatuhi.

Ketua Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Supt Rasha Azaldin Shafii berkata, hebahan dan pemantauan udara di tempat tumpuan awam dibuat supaya orang ramai mematuhi SOP ditetapkan untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

“Penugasan dron masih berjalan seperti biasa tetapi sekarang fokusnya adalah pematuhan terhadap SOP kerana kita (polis) mahu orang ramai mematuhi SOP seperti mengamalkan jarak sosial,” katanya kepada Bernama hari ini.

Teknologi dron mula diperkenal pada fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ia diguna pakai sepenuhnya oleh anggota polis serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menyampaikan maklumat selain memantau pergerakan orang ramai.

Dron, yang digunakan oleh kedua-dua pasukan keselamatan itu dilengkapi dengan pembesar suara yang akan menghebahkan pesanan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Cina dan Tamil, kepada orang ramai agar sentiasa berada di rumah.

Pada Selasa, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 15 agensi kerajaan termasuk ATM; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) diberi kuasa untuk pelaksanaan pematuhan serta penguatkuasaan sepanjang PKPB.

Menurut Ismail Sabri, pendekatan yang akan diambil pasukan berkenaan adalah untuk memberi nasihat kepada orang ramai dan sektor industri serta memberi amaran jika tahap pematuhan masih tidak memuaskan.

Dalam pada itu, Rasha Azaldin berkata teknologi dron juga digunakan untuk membantu Pasukan Gerakan Am (PGA) membuat pengawasan udara di sempadan dan maritim negara.

“Pemantauan ini dibuat khusus untuk mengekang kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SOP operasi Taska, Tadika diketahui hari ini

PUTRAJAYA, 30 APRIL: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk hari kedua dalam fasa keempat, menyaksikan kerajaan terus berusaha keras untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Hari ini, rakyat bakal mengetahui tatacara operasi piawai (SOP) berkaitan pembukaan operasi taman asuhan kanak-kanak (Taska) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) sepanjang PKP keempat yang bermula 29 April hingga 12 Mei.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan perkara berkenaan akan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan PKP hari ini.

Selain isu berkenaan, Ismail Sabri juga memaklumkan bahawa pada mesyuarat yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan membincangkan SOP berkaitan ibadah sepanjang bulan Ramadan ini selain nasib penganjuran aktiviti sukan seperti Liga Malaysia (Liga-M).

PKP fasa keempat turut memperlihatkan kelonggaran yang diberi kerajaan dengan membenarkan dua individu dari rumah yang sama dan keluarga terdekat, bergerak dalam satu kenderaan untuk keluar membeli makanan dan barang keperluan harian.

Sebelum ini, hanya ketua keluarga sahaja dibenarkan bergerak untuk membeli makanan dan barang keperluan harian.

Kelonggaran SOP fasa keempat juga menyaksikan kerajaan membenarkan pergerakan melebihi 10 kilometer (km) untuk mendapatkan barang keperluan serta perkhidmatan kesihatan dan perubatan, jika keperluan dan perkhidmatan itu tidak terdapat dalam radius 10km dari kediaman mereka.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut menegaskan bahawa tiada istilah hukuman dua darjat bagi mereka yang melanggar PKP kerana kerajaan sentiasa bersikap adil dan tindakan undang-undang yang diambil adalah mengikut tuduhan dikenakan.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat menitikberatkan garis panduan yang ditetapkan sebelum ini ke atas mana-mana sektor, susulan beberapa sektor ekonomi sudah mula beroperasi pada fasa keempat PKP.

Sama ada taska, restoran atau institusi berkaitan ekonomi sekalipun, mereka perlu mengutamakan garis panduan yang ditetapkan dan perkembangan ini akan dipantau KKM sebelum membenarkan sektor lain seperti pendidikan dan sosial pula dibuka untuk beroperasi.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bauksit: Proses libat urus tambah baik SOP

PUTRAJAYA, 23 FEB: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) akan mengadakan sesi pendengaran awam dan libat urus bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) pengurusan perlombongan dan pengeskportan bauksit, di Pahang.

Kementerian itu dalam kenyataan berkata, proses terbabit akan diadakan sebelum 31 Mac ini dan akan mengambil kira kepentingan rakyat serta badan bukan kerajaan berkaitan alam sekitar.

Katanya, ia merangkumi semua aspek termasuk perancangan perlombongan, pengurusan tapak perlombongan bauksit; pengangkutan dan penguatkuasaan; pengurusan tapak stok dan pelabuhan serta prosedur pengeksportan bauksit.

“Orang awam akan dapat mengakses dan meneliti SOP terbabit, pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Katanya, sesi libat urus itu diadakan ekoran keputusan kabinet, pada 18 Februari lalu bahawa moratorium kegiatan perlombongan dan pengeksportan bauksit dari Pahang ditamatkan, pada 31 Mac ini.

Ekoran itu, katanya, semua aktiviti melombong dan pengeksportan bahan mineral berkenaan boleh diteruskan semula, namun kali ini dengan SOP baharu serta penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat.

“KATS komited untuk memastikan segala keluhan rakyat terutama mereka yang terkesan secara langsung dengan aktiviti perlombongan bauksit didengari selaras visi kementerian sebagai peneraju pengurusan air, tanah dan sumber asli secara mampan demi kesejahteraan negara.

“Usaha giat sedang giat dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Kerajaan Pahang,” katanya.

*Sumber: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Wujud SOP khas pemindahan rumah ibadat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 NOV: Kerajaan Negeri disarankan supaya mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) khas bagi kerja pemindahan rumah ibadat, di Selangor.

Ahli Dewan Negeri Sentosa, Gunarajah R. George berkata, garis panduan dalam SOP itu mampu membantu melancar dan mengelakkan kejadian tidak diingini semasa proses pemindahan rumah ibadat.

“Kita perlukan satu kaedah khas supaya pemindahan rumah ibadat tidak menjadi huru-hara,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Negeri Selangor, di sini.

Katanya, kerajaan hari ini tidak boleh mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu yang tidak memikirkan penyelesaian isu kedudukan rumah ibadat di atas tanah yang mahu dipindah milik.

Gunarajah turut mendakwa terdapat banyak tanah estet di kawasan kuil dijual kepada syarikat pemaju.

“Sepatutnya sebelum dipindah milik, kerajaan perlu memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan isu rumah ibadat yang sudah sedia terbina di atas tanah itu,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Rakyat sambut baik penubuhan jawatankuasa khas SOP pembangunan

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 8 JAN: Hasrat Kerajaan Selangor menubuhkan Jawatankuasa Khas memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi setiap projek pembangunan di negeri itu mendapat reaksi positif rakyat.

Shaifudin Mohamed, 48, berkata setiap pembangunan akan dilakukan mengikut perancangan dan dibina dengan lebih berhati-hati dengan adanya jawatankuasa khas itu.

Shaifudin Mohamed,48“Ini satu perkembangan yang baik, tidak perlu tunggu musibah baru cari punca dan jalan penyelesaian.

“Ia jelas membuktikan Kerajaan Selangor peduli rakyat dan mahukan setiap pembangunan yang dibina merangkumi elemen manusiawi,” katanya ketika ditemui Selangor Kini di Pusat Perdagangan Worldwide, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri akan memastikan kelulusan setiap pembangunan di Selangor akan dilakukan dengan lebih berhati-hati iktibar daripada musibah bencana alam di Pantai Timur, baru-baru ini.

Justeru, Kerajaan Negeri berhasrat menubuhkan satu jawatankuasa khas memastikan SOP diikuti seperti yang diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKKN), baru-baru ini.

Nazri Abd Malik,44Sementara itu, Nazri Abd Malik, 44, berkata usaha itu wajar ekoran banyak projek pembangunan hari ini gagal dibina mengikut SOP yang akhirnya menyebabkan insiden tidak diduga.

“Wajar ditubuhkan, kerana banyak kes yang didedahkan di media. Tanah runtuh, banjir kilat dan rekahan pada asas bangunan berpunca dari kegagalan pembangunan mengikut SOP.

“Sudah tentu rakyat mahu yang terbaik untuk masa depan jika musibah sama (banjir) berlaku di Selangor,” katanya.

Bagi, Borhan Muse, 37,  dia berjarap Kerajaan Negeri menjalinkan usaha yang sama di kawasan berisiko banjir bagi memastikan kes banjir dapat dicegah selain memberi jaminan kehidupan lebih berkualiti kepada rakyat.

“Di kawasan yang kerap berlaku banjir, kita dapat lihat selain faktor muka buminya yang rendah, ia juga berpunca dari masalah sampah dalam sungai, longkang cetek dan ketiadaan kawasan tebatan banjir.

“Perkara ini harus diambil berat supaya kes banjir dapat dihindar pada masa hadapan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

ADUN Semenyih puji Kerajaan Negeri tubuh jawatankuasa pantau SOP pembangunan

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 8 JAN: Hasrat Kerajaan Selangor menubuhkan satu jawatankuasa khas memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi setiap projek pembangunan di negeri itu, dipuji ADUN Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz.

Katanya, persediaan ke arah itu perlu bagi memastikan kelangsungan pembangunan di Selangor tidak memberi kesan negatif kepada rakyat.

“Satu inisiatif yang bagus tetapi perlu direalisasikan menjadi satu realiti dan bukan sekadar retorik.

Datuk-Johan-Abd-Aziz“SOP, pemantauan dan penguatkuasaan dalam perkara ini perlu dibuktikan dengan tangkapan atau pendakwaan di mahkamah kepada pesalah yang menceroboh hutan simpan,” kata Johan,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri akan memastikan kelulusan setiap pembangunan di negeri itu akan dilakukan dengan lebih berhati-hati iktibar daripada musibah bencana alam di Pantai Timur, baru-baru ini.

Justeru, Kerajaan Negeri berhasrat menubuhkan satu jawatankuasa khas memastikan prosedur operasi standard (SOP) diikuti dan keputusan berhubung perkara terbabit diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKKN), baru-baru ini.

“Kita jadikan kejadian itu (banjir di Pantai Timur) sebagai pengajaran. Ini bermakna, ia termasuk cerun bukit, sistem perparitan dan kolam tadahan air perlu diambil serius,” kata Mohamed Azmin.

Kerajaan Negeri juga meminta penasihat undang-undang untuk mengambil satu tindakan keras bagi kejadian pencerobohan ikhtibar tragedi tanah runtuh di Cameron Highland dengan mengekalkan 30 peratus kawasan hutan simpan negeri.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor jadikan PJ dan Klang Bandar bertaraf dunia

MBI-01

KENYATAAN MEDIA

Kerajaan Negeri Selangor sedang merancang untuk menubuhkan sebuah dana kekayaan negara – ?sovereign wealth fund? (SWF ) di bawah Menteri Besar Incorporated ( MBI ) untuk membuka nilai aset di Petaling Jaya dan Klang bagi tujuan pembangunan semula dan pembangunan baru.

Dana ini buat sementara waktu dinamakan Selangor Urban Development Fund atau SUDF, dijangka mempunyai saiz dana permulaan sebanyak RM1 bilion yang akan diperoleh daripada sumbangan pihak-pihak berkepentingan sektor swasta dalam industri pembangunan hartanah dan infrastruktur termasuk pemaju dan syarikat-syarikat pembinaan.

Di samping itu, kerajaan negeri bersama-sama dengan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan akan memperuntukkan peratusan tertentu daripada rizab tunai atau lebihan belanjawan untuk dana tersebut.

Rancangan itu didedahkan semalam oleh Dato? Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Dato? Seri Abdul Khalid bin Ibrahim ketika membentangkan kertas kerja dalam The Future Of Urban Living Conference di Iskandar, Johor.

“Menyedari terdapat beberapa kekangan kewangan terutama kekangan kewangan yang bersifat semulajadi, kerajaan negeri akan membuka nilai aset asas dalam bidang hartanah tertentu yang dimiliki oleh negeri, melalui kaedah konfigurasi atau memanfaatkan aset itu sendiri sebagai sumber pembiayaan utama.

“Dengan model ini, kerajaan negeri ( dan pihak berkuasa tempatan ) akan menjadi penggerak atau pemangkin kepada pembangunan bandar dengan satu pelan induk komprehensif dan menyeluruh, manakala pemain sektor swasta hanya akan menjadi pelaksana rancangan yang digariskan oleh kerajaan negeri,” kata Dato? Menteri Besar yang juga merupakan Felo Eisenhower.

Beliau berkata satu pasukan petugas akan ditubuhkan tidak lama lagi untuk menyelesaikan semua butir-butir yang berkaitan termasuk perancangan & reka bentuk umum, peratusan rizab tunai untuk diasingkan oleh kerajaan negeri, jumlah sumbangan oleh pihak-pihak swasta, profil risiko-pulangan, prosedur standard untuk operasi ( SOP ), tahap pendedahan atau mana-mana spesifikasi lain.

SUDF bertujuan untuk menjadikan Petaling Jaya dan Klang sebagai bandar-bandar bertaraf dunia berdasarkan konsep “kondusif, mapan dan kehidupan bandar bestari” dengan mengintegrasikan semua aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar selaras dengan agenda “Merakyatkan Ekonomi Selangor”.

Jika berjaya, SUDF akan menjadi SWF Malaysia kedua selepas Terengganu Investment Authority ( TIA ), yang kemudiannya ditukar menjadi 1Malaysia Development Berhad ( 1MDB ).

Persidangan tiga hari itu dianjurkan bersama oleh Eisenhower Fellowship, organisasi dari Malaysia dan Singapura. Pada hari Khamis sebelum itu, Dato? Menteri Besar telah membentangkan kertas kerja bertajuk “How To Make World-Class City: The Shah Alam Experience”.