Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sabotaj air: Dua lelaki kes pertama dituduh bawah SOSMA

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Dua lelaki termasuk seorang pengarah sebuah syarikat menjadi individu pertama dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan melakukan sabotaj kepada perkhidmatan air di negeri Selangor melibatkan kesalahan terhadap keselamatan negara mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

R Nathan, 42, seorang kontraktor dan Lim Kian Aik, 42, pengarah syarikat, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Selayang Maziah Joary Mohd Tajudin.

Mereka didakwa bagi mencapai niat bersama melakukan sabotaj dengan niat untuk mendatangkan mudarat kepada perkhidmatan air di Selangor di premis No 32, Jalan Velox 2, Taman Velox, Rawang, Gombak antara 2 dan 10 Nov lepas.

Pendakwaan mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 124K kanun serupa yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

R Nathan didakwa melakukan sabotaj dengan niat untuk mendatangkan mudarat kepada perkhidmatan air di negeri Selangor di premis No 32, Jalan Velox 2, Taman Velox, Rawang, Gombak antara 2 dan 10 Nov 2020. Foto BERNAMA

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Iskandar Ahmad tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh kerana Seksyen 124K Kanun Keseksaan disenaraikan di bawah Bab 6 Kanun Keseksaan yang menggunakan tatacara SOSMA seperti mana diperuntukkan di bawah jadual pertama Akta 747 (SOSMA).

Beliau berkata kes ini membabitkan kesalahan terhadap keselamatan negara dan perlu mengguna pakai tatacara SOSMA, iaitu kes akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

“Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan untuk mendapatkan izin bagi kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi,” katanya.

Peguam Erni Ahmad daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Nathan berkata tindakan pendakwaan yang tidak menawarkan jaminan terhadap anak guamnya adalah ultra vires (melampaui kuasa) Perkara 5 dan 21 Perlembagaan Persekutuan.

“Anak guam saya bekerja sebagai kontraktor jalan dengan pendapatan sebulan RM2,500 malah anak guam saya penanggung tunggal keluarga serta menghidap penyakit kencing manis,” katanya.

Peguam Harcharanjit Singh yang mewakili Lim memohon jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai empat anak berusia 11 hingga 17 tahun.

“Dalam kes ini, anak guam saya memberikan kerjasama baik dengan pihak berkuasa. Anak guam saya merupakan seorang pengarah syarikat yang masih beroperasi. Dia juga penanggung tunggal keluarga,” katanya.

Terdahulu, dua lelaki itu tiba di mahkamah pada 9.45 pagi diiringi pasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Mereka juga menghadapi lima pertuduhan lain. Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan niat bersama melepaskan bahan berbahaya ke dalam tempat rawatan kumbahan awam milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd di Jalan Velox Utama, Taman Velox, Rawang, Selangor di mana tindakan tersebut mengurangkan fungsi tempat rawatan kumbahan tersebut di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan ketiga pula, mereka didakwa dengan niat bersama menjalankan aktiviti kemudahan penstoran (luar tapak) yang merupakan aktiviti yang disenaraikan di perenggan 14(a)(iii) dalam Jadual Pertama, Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015 tanpa kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling daripada ketua pengarah Kualiti Alam Sekeliling di tempat pada 10.45 malam, 10 Nov lepas.

Bagi pertuduhan keempat, mereka dituduh dengan niat bersama menggunakan premis tersebut sebagai premis yang ditetapkan untuk menempatkan buangan terjadual seperti dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 iaitu pelarut organik bukan terhalogen yang dikategorikan sebagai SW322 tanpa mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling di tempat, masa dan tarikh sama.

Mengikut pertuduhan kelima dan keenam, Nathan dan Lim didakwa dengan niat bersama menggunakan premis tersebut untuk penempatan bahan buangan dan menempatkan 40 IBC terjadual seperti yang diperuntukkan dalam Jadual Pertama Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 iaitu pelarut organik bukan terhalogen yang dikategorikan sebagai SW322 tanpa lesen daripada ketua pengarah Kualiti Alam Sekeliling di premis sama pada 10.45 malam, 10 Nov lepas.

Kelima-lima pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 yang memperuntukkan hukuman penjara setahun hingga lima tahun atau denda hingga RM500,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Muhammad Iskandar tidak menawarkan jaminan bagi pertuduhan kedua hingga keenam kerana tertakluk kepada pertuduhan pertama mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin berjumlah RM50,000 bagi pertuduhan kelima dan keenam dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, pasport diserahkan kepada mahkamah, dilarang mengganggu saksi pendakwaan selain melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan dan 8 Jan 2021 ditetapkan untuk sebutan kes.

Bagaimanapun bagi pertuduhan lain, mahkamah tidak membenarkan mereka diikat jamin. Oleh itu mereka kekal ditahan reman.

Sementara itu, di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan, Nathan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjalankan aktiviti perniagaan di premis sama tanpa lesen yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Melesen di tempat sama pada 10.45 malam, 10 Nov lepas.

Pertuduhan mengikut Undang-undang Kecil 3 Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Selayang) 2007 dan boleh dihukum di bawah Undang-Undang Kecil 47 undang-undang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana tertuduh hari ini dituduh di Mahkamah Sesyen di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan manakala peguam Erni yang mewakili Nathan memohon jaminan dibenarkan kerana dia penanggung tunggal keluarga.

Nik Mohd Fadli membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap bulan dan menetapkan tarikh sama (8 Jan 2021) untuk sebutan semula kes.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

PGA tahan tujuh tekong seludup 21 migran di perairan Sekinchan

PELABUHAN KLANG, 22 OGOS: Tujuh bot nelayan tempatan membawa 28 migran termasuk tujuh tekong ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah dalam satu operasi bersepadu di perairan Sekinchan, dekat sini pada Rabu dan Khamis lepas.

Komander PGA Briged Tengah, SAC Muhammad Abdul Halim berkata operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pelabuhan Klang dan Jabatan Siasatan Jenayah D3 Bukit Aman.

Beliau berkata operasi yang bermula jam 1.30 petang Rabu itu adalah hasil risikan pihaknya selepas mendapati sindiket penyeludupan migran kini menggunakan bot nelayan tempatan berdaftar sebagai taktik terbaharu untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

“Sindiket didalangi dua tekong warga Myanmar dan lima tekong warga Indonesia berkenaan menyeludup masuk pendatang tanpa izin dari negara asal menggunakan bot-bot nelayan tempatan kelas B dan C dan bertindak sebagai ‘transporter’ di Selat Melaka.

“Pemeriksaan mendapati, kesemua lelaki yang ditahan dalam serbuan ke atas bot berkenaan tidak mempunyai dokumen sah dan kita sedang menyiasat sama ada mereka merupakan kru kapal atau migran yang dibawa masuk,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan memindahkan migran daripada kapal rakan sejenayah di sempadan perairan antarabangsa ke bot nelayan tempatan dalam jumlah yang sedikit.

Katanya, taktik tersebut bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa kononnya migran berkenaan merupakan kru kapal malah ada migran yang terpaksa mengikuti aktiviti menangkap ikan sebelum diturunkan di jeti tertentu.

Tambah beliau, hasil siasatan mendapati sindiket mengenakan caj antara RM800 hingga RM1,500 untuk satu perjalanan masuk seorang migran ke negara ini.

“Polis sedang mengesan pemilik bot-bot nelayan berkenaan dan sejauh mana penglibatan mereka dengan sindiket penyeludupan migran tersebut.

“Hasil risikan mendapati, kawasan pendaratan migran yang menjadi tumpuan adalah di sekitar pesisir pantai di Selangor atau diseludup melalui jeti nelayan di Sekinchan,” katanya.

Muhammad berkata kesemua migran yang berumur lingkungan 20 hingga 50 tahun itu direman sehingga 17 September depan dan bot nelayan serta peralatan yang dirampas bernilai RM4.2 juta itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pindaan SOSMA dibentang dalam sesi Parlimen akan datang

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Pindaan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dijangka dibentang pada sesi Parlimen akan datang, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman.

Beliau berkata kementerian kini dalam proses memuktamadkan Rang Undang-undang bagi pindaan SOSMA yang memerlukan penelitian dan kajian lanjut kerana dikhuatiri terdapat kelompongan perundangan dalam akta-akta sedia ada yang lain.

“Terutamanya di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan SOSMA ini digubal dan memberi kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang bagi menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya.

“Walaupun undang-undang itu berlawanan dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 5 iaitu kebebasan diri, Perkara 9 (larangan buang negeri dan kebebasan bergerak), Perkara 10 (kebebasan berhimpun, bercakap dan menubuhkan persatuan) dan Perkara 13 (hak terhadap harta),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pertanyaan jawab lisan pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Lee Tian Sing yang mahu kerajaan menyatakan kepentingan SOSMA sedangkan Malaysia sedang menuju ke arah sebuah negara maju dan berjanji ia tidak akan disalah guna pihak berkuasa untuk kepentingan politik.

Mengulas lanjut, Mohd Azis memberi jaminan antara fokus utama pindaan akta berkenaan adalah untuk memastikan ia tidak disalah guna, dengan kajian menyeluruh terutama dari aspek perundangan dan hak asasi manusia akan dilaksanakan.

Katanya satu jawatankuasa dianggotai antara lain Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia dan ahli akademik telah ditubuhkan.

“Jawatankuasa (itu) juga memberikan pandangan dari segi implikasi keselamatan yang akan timbul sekiranya akta tersebut dipinda atau dimansuhkan,” katanya.

Mengenai pertanyaan Senator Raj Munni Sabu yang ingin tahu mengapa undang-undang bersifat ‘drakonian’ berkenaan tidak dihapuskan, Mohd Azis berkata undang-undang sedemikian perlu dalam menghadapi kompleksiti ancaman keganasan dan sebagai pencegahan kepada ‘mereka’ untuk melakukan perkara-perkara yang sebenarnya beroperasi di luar negara.

“Jangan bimbang jawatankuasa kita bentuk ini melibatkan pelbagai latar belakang, Suhakam ada, Majlis Peguam pun ada, insya-Allah ia akan dibawa ke Parlimen dan akan dibahas, bila perbahasan dilakukan kita akan lihat kesudahannya dan jika diluluskan, saya yakin ia mampu kawal keselamatan negara kita,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Undang-undang zalim akan dipinda secepat mungkin

PUTRAJAYA, 6 NOV: Kerajaan akan meminda undang-undang bersifat drakonian atau zalim termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) secepat mungkin, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata pindaan undang-undang yang terlibat akan dibentang di Parlimen secepat mungkin sama ada pada sesi kali ini atau sesi akan datang.

“Walaupun mungkin kita tidak menghapuskan rang undang-undang ini sama sekali tetapi kita akan ada perubahan supaya bahagian-bahagian yang dikatakan drakonian seperti menangkap dan menyimpan dalam tahanan tanpa dihadapkan (di mahkamah), tanpa didakwa, ini akan kita pinda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) di sini malam tadi.

“Itu akan dilakukan secepat mungkin kerana kita dapati bahawa kalau ia tidak dilakukan ada kemungkinan ia disalah guna,” katanya yang juga Pengerusi PAKATAN.

Ditanya sama ada pindaan undang-undang itu dilakukan susulan penahanan 12 individu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bawah SOSMA kerana dipercayai terbabit dalam LTTE, Dr Mahathir berkata pindaan tersebut merupakan sebahagian janji PAKATAN pada pilihan raya umum lalu.

“Kami telah membuat janji ini sebelum ini tetapi tertangguh kerana faktor tertentu, jadi kami kini merasakan kami harus segera mengambil tindakan sekiranya ia digunakan lagi,” katanya.

Ketika ditanya mengenai janji untuk menyerahkan jawatannya kepada Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir berkata beliau tetap akan menunaikan janjinya.

“Saya berjanji, saya akan tunaikan janji saya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

LTTE: Anwar setuju polis guna SOSMA, tapi perlu ditambah baik

BUKIT MERTAJAM, 13 OKT: Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan, Langkah-Langkah Khas 2012 (SOSMA) dalam menangani isu keganasan termasuk penahanan beberapa pemimpin berkaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Namun, katanya, beberapa perkara dan bahagian tertentu dalam SOSMA harus dipinda serta ditambah baik demi kepentingan semua pihak kerana peruntukan undang-undang itu terlalu keras.

“Kami telah menentang akta ini sejak awal namun sebenarnya jika ia berkaitan dengan keganasan saya menyokong tindakan polis menggunakan SOSMA, ia tidak terhad kepada tindakan terhadap LTTE tetapi semua yang membabitkan keganasan.

“Ini yang orang bangkitkan sekarang terhadap KEADILAN (mengapa KEADILAN tidak bantah guna SOSMA), mana-mana negara sudah pasti akan mengekang isu berkaitan keganasan dan kita juga patut serahkan kepada PDRM untuk mengambil tindakan bagi menangani isu itu di bawah SOSMA, mereka (polis) lebih tahu mengenainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvesyen KEADILAN Pulau Pinang di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan beberapa pemimpin Pakatan Harapan yang membantah polis menggunakan SOSMA dalam penahanan 12 orang termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerana disyaki mempromosi, menyokong, menghasut, menggalak, mencari dana dan memiliki item berkaitan LTTE.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menafikan bahawa beberapa bekas ahli KEADILAN turut ditahan berkaitan LTTE sejak minggu lepas.

“Saya tidak menerima sebarang laporan yang ada sekarang atau bekas ahli KEADILAN yang terlibat atau ditangkap oleh Bahagian Keganasan Kaunter (E8) PDRM,” katanya ditanya mengenai khabar angin bahawa empat bekas anggota PKR adalah antara mereka yang ditahan dalam operasi berterusan oleh polis.

Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir urus Parlimen berkata Belanjawan 2020 kurang memberi fokus kepada industri pertanian sedangkan ia adalah antara industri penting bagi negara.

Menurutnya, industri pertanian juga memerlukan belanjawan khusus supaya ia dapat ditingkatkan kerana setiap tahun negara mengimport RM52 bilion hasil pertanian dari luar.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Anwar akan bertemu Muhyiddin bincang isu SOSMA

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan negara memerlukan satu undang-undang khas bagi mengekang aktiviti keganasan tetapi perlu menekankan aspek layanan terhadap tahanan.

Menurutnya, beliau akan bertemu dengan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dalam masa terdekat.

“Saya tidak fikir seseorang harus ditahan dibawah SOSMA hanya kerana memaki baju ISIS. Kita harus tegas terhadap pengganas tetapi saya merujuk kepada isu bagaimanana mereka dilayan di penjara; tidak diberikan akses bertemu keluarga dan peguam.

“Tindakan segera perlu dilakukan. Saya akan membawa isu ini dalam pertemuan dengan Muhyiddin dan kementerian pada masa akan datang,” katanya kepada media selepas Majlis Peluncuran buku ‘Anwar Returns – The Final Twist, The Prosecution and Release of Anwar Ibrahim’ bertempat di Grand Ballroom Hotel Hilton.

Menurutnya, terdapat pelbagai fleksibiliti undang-undang yang membolehkan pihak berkuasa membuat keputusan tanpa berbincang.

“Contohnya jika anda dibebaskan, menunggu rayuan, anda masih dalam penjara. Ini saya fikir bukan rangka kerja undang-undang yang sah untuk negara demokratik bebas,” katanya.

Semalam, hampir 160 tahanan SOSMA mengadakan mogok lapar sejak jam 8 pagi di Penjara Sungai Buloh bagi mendesak kerajaan menghapuskan akta berkenaan.

Situasi itu menyaksikan hampir 200 ahli keluarga tahanan SOSMA berkumpul di hadapan penjara berkenaan sejak jam 10 pagi.

Categories
NASIONAL

PAKATAN kutuk penahanan Siti Noor Aishah, salah guna SOSMA

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan menahan pelajar, Siti Noor Aishah Atam dan mengecam penyalahgunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang digunakan ke atasnya.

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata, tindakan dilakukan itu jelas tidak boleh diterima serta bertentangan dengan prinsip demokrasi dan hak asasi manusia.

Beliau berkata, PAKATAN merakamkan simpati dan bersolidariti dengan keluarga Siti Noor Aishah yang difahamkan masih belum dibenarkan bertemu dengannya, bahkan adalah jelas SOSMA yang ada masa kini tiada bezanya dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dikecam dahulu.

“Hari ini, kita sekali lagi melihat SOSMA disalah gunak dan menunjukkan hak rakyat dinafikan serta dizalimi kerana pelaksanaan undang-undang ini adalah satu tindakan arbitrari.

tian-chua“Pembangkang membantah klausa tertentu ketika SOSMA ingin diluluskan kerana agak kabur dalam definisinya. Kita menyatakan bakal disalah guna dan kini terserlah SOSMA diguna pakai terhadap rakyat yang tidak melakukan kesalahan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Hari ini, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) hadir ke Dewan Rakyat bagi menyerahkan memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memohon pembebasan Siti Noor Aishah yang ditahan atas kesalahan memiliki 12 buku serta mengimport bendera dikatakan berkaitan kumpulan pengganas yang belum dibuktikan pihak berkuasa.

Beliau kini berada di Penjara Kajang dan ditahan di bawah SOSMA, manakala penahanan sebelumnya dibuat di bawah dua akta iaitu SOSMA dan Akta Pencegahan Jenayah 1956 (POCA).

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad berkata, penahanan dilakukan itu menunjukkan orang awam terdedah kepada bahaya kerana buku yang belum diharamkan masih berada di pasaran.

Aishah Atam“Kita membantah ketidakadilan undang-undang ini kerana Siti Noor Aishah menggunakannya untuk keperluan akademik sama seperti Ahli Parlimen yang membaca buku berkaitan pengganas untuk kerja kami, maka kepada pelajar dihukum?,” soalnya.

Bapa Siti Noor Aishah, Atam Yusuf berkata, keluarganya kecewa terhadap apa yang menimpa anaknya kerana segala kajian dilakukan menggunakan bahan bacaan itu atas arahan universiti.

“Beliau menggunakan buku itu atas arahan pensyarahnya tetapi kerajaan menuduhnya memiliki bahan yang salah.

“Saya dukacita terhadap segala apa yang berlaku ke atas dirinya dan berharap pihak berkuasa mempertimbangkan supaya dia dibebaskan secepat mungkin supaya dapat meneruskan penggajiannya,” katanya.

Dilaporkan pada 29 September 2016, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Shariff Abu Samah membuat keputusan mengarahkan Siti Noor Aishah dibebaskan ekoran kegagalan KDN membuktikan semua buku itu diharamkan dalam negara ini.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada unsur terorisme, kerajaan perlu bebaskan Siti Noor Aishah

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Kerajaan diminta membebaskan pelajar universiti tempatan, Siti Noor Aishah Atam, yang ditahan atas dakwaan bersekongkol dengan aktiviti keganasan ekoran tangkapan dilakukan tanpa bukti.

Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN), Dr Siti Mariah Mahmud berkata, tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu zalim dan kerajaan sewajarnya berhenti menakutkan rakyat selain menilai modus operandi membasmi kegiatan keganasan dengan lebih baik serta terancang tanpa menzalimi pihak tidak bersalah.

“Saya mendesak kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membebaskan Siti Noor Aishah dengan segera dan membersihkan namanya daripada kezaliman Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah 1956 (POCA).

mariah“Penahanan dibuat ke atas beliau kini dan sebelum ini menafikan haknya sebagai pelajar untuk membaca sebarang bahan rujukan sebagai satu kajian penyelidikan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Dilaporkan Siti Noor Aishah kini ditempatkan di Penjara Kajang, dan ditahan di bawah SOSMA, manakala penahanannya sebelum ini dibuat di bawah dua akta iaitu SOSMA dan POCA.

Beliau berkata, difahamkan Siti Noor Aishah ditahan atas kesalahan memiliki 12 buku berkaitan keganasan serta mengimport bendera sebuah kumpulan pengganas yang belum dibuktikan pihak berkuasa.

Katanya, bagi tuduhan itu, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Shariff Abu Samah pada 29 September tahun lalu memerintahkan pelajar terbabit dibebaskan ekoran kegagalan KDN di bawah Menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, membuktikan semuaa buku itu diharamkan di negara ini.

“Menggunakan peruntukan undang-undang seperti SOSMA dan POCA sebenarnya satu kezaliman terang-terangan, sekali gus bertentangan dengan hak rakyat dalam negara ini.

“Pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini juga tidak menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk tunduk hormat kepada perlembagaan dan hak rakyat, malahan membawa negara kepada satu lagi bentuk kezaliman pentadbiran,” katanya.

Manivanan-Gowin-4aAhli Parlimen Kapar, G Manivanan berkata, KEADILAN menuntut kerajaaan membebaskan Siti Noor Aishah serta berpandangan SOSMA dan POCA tidak sewajarnya digunakan dalam kes berkenaan.

“Saya difahamkan buku dimiliki Siti Noor Aishah belum diharamkan kerana masih boleh diperoleh di perpustakaan awam dan terjual di pasaran.

“Malah, bapanya memaklumkan kepada saya bahawa hakim dalam satu kes menyatakan anaknya juga membaca buku terbabit dan tiada kaitan keganasan juga unsur terorisme maka dibebaskan,” katanya.

-NFN-

Categories
GLOBAL

Dakwa tiada bukti sahih, bekas polis tuntut bebas SOSMA

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 20 DIS : Tanpa bukti kukuh membabitkan dakwaan yang mengaitkan anaknya, Lans Koperal Mustaza Abdul Rahman sebagai pengganas, Abdul Rahman Abdul Hamid berharap keadilan terhadap anaknya dapat ditegakkan.

Beliau berkata, anaknya kini ditahan di Penjara Sungai Buloh mengikut Akta Kesalahan Keselamatan Khas (SOSMA) 2012, sejak Julai lalu kerana dikatakan terlibat dengan pengganas IS.

“Ketika kejadian anak saya berada di dalam kereta dan memegang sebuah telefon bimbit dan ditahan polis kerana dikatakan cuba terlibat dalam aktiviti keganasan.

“Saya ini bekas anggota polis, anak saya juga seorang polis dan arwah bapa saya yang juga adalah polis yang meninggal dunia ketika mempertahankan negara dari serangan pengganas.

“Saya saran anak saya untuk masuk polis demi negara ini. Jadi adakah masuk akal apabila anak saya dituduh sebagai pengganas oleh pihak polis tanpa sebarang bukti?” katanya.

Sebelum ini, Mustaza didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, bapa kepada seorang anak perempuan berusia dua tahun itu boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun atau denda.

Mustaza didakwa dengan sengaja tidak memberi sebarang maklumat berkenaan kesalahan di bawah Seksyen 130C dan Seksyen 130J(1)(b) kanun sama.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 130M kanun yang sama dan kini masih ditahan mengikut Akta SOSMA.

Kes berkenaan kini disimpan dalam rekod Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) membabitkan tangkapan dan penahanan individu di bawah akta berkenaan.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

MP Pembangkang ke Bukit Aman, desak bebas Maria

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 22 NOV : Ahli-ahli Parlimen Pembangkang berarak dari Parlimen ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pagi ini, menuntut pembebasan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

Diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mereka turut membawa pelbagai sepanduk dan plakad dan menggesa hal Ahli Parlimen untuk bersuara dihormati dan dipertahankan.

Mereka turut melaungkan “Bebas Maria!”, “Hentikan Sosma” dan “Hidup BERSIH’ sebagai bantahan kepada penahanan Maria di bawah dalam tempoh maksimum 28 hari dan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Antara pimpinan tertinggi hadir berarak pagi ini, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua; Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.

Dalam perkembangan sama, mereka turut menyerahkan memorandum bantahan penahan tersebut untuk diserahkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Hadir menerima memorandum tersebut, Pegawai Komunikasi Korporat Urusetia Ketua Polis Negara, ASP Noor Azman yusuf.

Terdahulu, Maria juga disiasat berhubung sumbangan dana asing Open Society Foundation (OSF), ditahan menurut Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana dikatakan cuba menggugat demokrasi berparlimen.

Seksyen tersebut boleh membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun, jika sabit kesalahan.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Menteri Umno ‘jahil’ undang-undang, langkah terdesak pertahan SOSMA

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 27 JULAI: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dianggap ‘jahil’ apabila cuba membandingkan akta SOSMA, POTA dan NCY dengan Akta Patriot yang digunakan di Amerika Syarikat.

Peguam KEADILAN, N Surendran, berkata cubaan pemimpin Umno itu untuk terus mempertahankan perundangan terbabit memperlihatkan langkah tidak produktif kepada usaha memerangi keganasan.

“Menteri BN mengaitkan Akta Patriot dalam usaha mempertahankan tindakan penahanan tanpa bicara di negara ini.

N Surendran“Ini menampakkan kejahilan luar biasa (menteri) berkenaan Akta Patriot yang sememangnya tidak membenarkan tahanan tanpa bicara dilaksanakan di Amerika Syarikat,” katanya.

Ahli Parlimen Padang Serai itu mengulas kenyataan Nur Jazlan yang mempertahankan penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), yang membolehkan penahanan awal sehingga 28 hari tanpa bicara.

Mengulas lanjut, kata Surendran, Nur Jazlan gagal merujuk beberapa negara yang berisiko tinggi diserang pengganas, namun tidak menggunakan perundangan sedemikian bagi tujuan itu.

“Ahli politik BN seperti Nur Jazlan perlu memahami sistem perundangan negara ini sebelum mengaitkan perundangan negara luar seperti Amerika Syarikat.

“Terutama apabila tiada warga Amerika Syarikat perlu bimbang untuk ditahan tanpa bicara kerana ketetapan proses perundangan negara itu,” sindirnya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Gagal kekang keganasan, Pakatan seru wujudkan jawatankuasa rentasi parti

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 12 JULAI: Kerajaan Persekutuan gagal mengekang ancaman keganasan di negara ini walaupun memperkenalkan pelbagai akta seperti Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Akta Hasutan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Security Offences (Special Measures) Act (SOSMA).

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata Pakatan Harapan menyeru supaya diadakan satu jawatankuasa merentasi semua parti bagi membincangkan isu ancaman keganasan secara bersama berbanding tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang lebih berminat menggunakan akta itu bagi menyekat kebebasan rakyat.

PKR02“Majlis Presiden Pakatan Harapan memandang berat beberapa kejadian keganasan yang disabitkan dengan Daulah Islamiyah (IS atau Daesh).

“Ini bermakna walaupun Datuk Seri Najib menggunakan ancaman keganasan sebagai alasan untuk memperkenalkan pelbagai undang-undang yang menyekat hak kebebasan rakyat seperti POTA, Akta Hasutan dan SOSMA, pentadbiran beliau masih gagal mengekang ancaman ini.

“Oleh itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan menekankan perlunya satu jawatankuasa merentas parti berkenaan ancaman keganasan ditubuhkan supaya pimpinan pembangkang juga mempunyai peranan menangani ancaman bersama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat KEADILAN di Tropicana, di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika menyentuh usaha mengukuhkan hubungan antara kaum di negara ini, Dr Wan Azizah melahirkan keyakinan bahawa Pakatan gabungan politik terbaik bagi mengukuhkan persaudaraan di antara pelbagai kaum di negara ini.

“Mengambil kira pelbagai usaha untuk memecah belahkan perpaduan kaum kebelakangan ini termasuk cubaan melabel bukan Islam sebagai kafir harbi, Majlis Presiden Pakatan akan meneruskan program yang meningkatkan persefahaman rakyat berasaskan rasa hormat kepada pegangan dan amalan setiap kaum di negara ini,” katanya.

-NFN-