Categories
AGENDA NASIONAL

Kontraktor lebuh raya di Ampang ‘curi air’ untuk jalankan projek

SHAH ALAM, 17 OGOS: Kontraktor lebuh raya di Ampang Jaya, Ampang dikesan menyambung air haram bagi menjalankan projek pembinaan, kata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Agensi berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan 60 akaun pengguna mengalami gangguan air secara tidak berjadual.

“Operasi dilakukan bersama Air Selangor (Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd) di tapak projek selepas mendapat maklumat risikan.

“Ujian klorin di lokasi mengesahkan bekalan air digunakan kontraktor itu milik Air Selangor,” katanya di Facebook malam tadi.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 125 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655). Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Sistem bekalan air yang terganggu itu dibaik pulih bagi memastikan akaun pengguna tidak lagi terjejas.

“Orang ramai diminta memaklumkan maklumat sekiranya terdapat kegiatan mencuri bekalan air bersih termasuk membuat penyambungan secara tidak sah,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Buang sisa dalam lurang kumbahan, premis ayam diserbu lagi

SHAH ALAM, 3 APRIL: Sebuah premis memproses ayam yang membuang sisa dalam lurang kumbahan di Klang diserbu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semalam.

Syarikat itu dalam kenyataan di Facebook berkata premis terbabit disyaki melepaskan bulu ayam ke saluran pembetungan dan masuk ke loji rawatan kumbahan awam.

“Perkara ini menyebabkan saluran pada lurang kumbahan milik Indah Water Konsortium (IWK) tersumbat. Tindakan sita premis juga dilakukan Majlis Perbandaraan Klang,” kata SPAN.

Kali pertama premis terbabit diserbu pada November tahun lalu.

Agensi itu menegaskan operasi terbabit isyarat jelas tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang melepaskan efluen terlarang ke lurang pembentungan awam.

SPAN berkata perbuatan melepaskan atau membuang bahan terlarang dalam sistem pembetungan awam boleh disiasat mengikut Seksyen 61(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” kata syarikat itu lagi.

Sebarang aduan berkenaan pencemaran boleh dilaporkan ke talian 03-8317 9333 atau e-mel [email protected].

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SPAN serbu asrama pekerja asing curi bekalan air

SHAH ALAM, 12 MAC: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyerbu sebuah asrama pekerja asing di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur semalam selepas didapati melakukan sambungan bekalan air secara tidak sah.

Agensi itu menerusi kenyataan memaklumkan operasi dilakukan selepas menerima aduan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan kes disiasat mengikut peruntukan Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

“Premis diserbu adalah penginapan pekerja projek pembinaan fasiliti pengangkutan yang dihuni hampir 800 individu.

“SPAN mendapati mereka mendapatkan bekalan melalui satu meter air tidak sah dan semakan menjelaskan  ia tiada dalam rekod Air Selangor bagi asrama berkaitan,” katanya.

Katanya, semakan lanjut turut membuktikan meter air itu telah dinyahtauliah dan berasal dari lokasi tapak pembinaan lain.

“Hasil ujian klorin dilakukan di premis itu mengesahkan bekalan diterima adalah air terawat,” ujarnya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kilang cat di Rawang lepas sisa buangan ke loji rawatan kumbahan IWK

PUTRAJAYA, 17 JAN: Sebuah kilang pembuatan dan penjualan cat di Taman Industri Nautical di Rawang, Selangor disyaki melepaskan efluen terlarang ke dalam loji rawatan kumbahan milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pihaknya menerima aduan daripada IWK berhubung kemasukan efluen terlarang itu hari ini dan kemudiannya membuat pemeriksaan secara mengejut ke atas kilang berkenaan.

Katanya, kilang tersebut disyaki melepaskan efluen terlarang iaitu efluen pembuatan cat berwarna merah ke dalam sistem pembetungan awam dan seterusnya mengalir masuk ke Loji Pengolahan Kumbahan/Stesen Pam (GBK 281) miliki IWK di Taman Industri Nautical Rawang, Selangor.

“Perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini dapat dikesan awal dan tidak melibat sebarang pencemaran sumber air yang akan mengakibatkan henti tugas loji rawatan air,” menurut SPAN dalam satu kenyataan hari ini.

Suruhanjaya itu berkata pemeriksaan hari ini dilakukan SPAN bersama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Lembaga Urus Air Selangor, Majlis Perbandaran Selayang dan IWK.

SPAN akan mengambil tindakan tegas tanpa sebarang kompromi ke atas mana-mana pihak disyaki melepaskan sebarang efluen terlarang ke dalam lurang pembetungan awam yang memberi impak kepada sistem rawatan kumbahan awam dan alam sekitar.

Perbuatan melepaskan atau membuang sebarang efluen terlarang ke dalam sistem pembetungan awam akan disiasat di bawah Seksyen 61(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

SPAN memohon kerjasama orang awam untuk melaporkan kes-kes pencemaran kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan SPAN di talian 03–8317 9333 atau e-mel ke [email protected].

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPAN pastikan operator bekalan air ganti paip bermasalah

PUTRAJAYA, 30 DIS: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), akan memastikan operator bekalan air menggantikan paip bermasalah secara berjadual, bagi mengelak berlakunya insiden paip bocor atau pecah yang akan menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna.

SPAN dalam satu kenyataan menyatakan, pihaknya memantau rapi perancangan setiap operator bekalan air termasuk meluluskan projek penggantian paip di setiap negeri termasuk di Selangor, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengguna.

“Program Penggantian Paip, merupakan salah satu aspek yang diberi perhatian oleh SPAN dalam semua perancangan Pelan Perniagaan operator bekalan air,” menurut SPAN dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan merujuk insiden gangguan bekalan air di 58 kawasan sekitar Shah Alam, Klang dan Petaling, yang berpunca dari masalah pada paip utama milik Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), yang berlaku hari ini.

Untuk rekod, SPAN menyatakan pada November lepas, pihaknya meluluskan Pelan Perniagaan dikemukakan oleh Air Selangor, yang turut menyenaraikan aktiviti bagi program penggantian paip berjumlah lebih RM500 juta, yang akan dilaksanakan Air Selangor dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

“Program penggantian paip yang dirancang ini, akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun bermula tahun 2020 hingga 2022 secara berperingkat, melibatkan penggantian kira-kira 150 kilometer (km) panjang paip agihan setahun dan 4,260 paip penghubung,” menurut kenyataan itu lagi.

Suruhanjaya itu menyatakan untuk rekod, jumlah panjang paip jenis Asbestos Cement (AC) yang masih digunakan dalam sistem agihan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah sekitar 6,205km atau 21.4 peratus daripada panjang keseluruhan rangkaian paip agihan iaitu 29,044km.

“Program penggantian paip bagi paip-paip yang mencapai usia perkhidmatan maksimum adalah sesuatu yang dirancang secara berjadual, oleh setiap operator bekalan air.

“Ini kerana paip ini berisiko tinggi untuk bocor atau pecah, akan menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna, dan pada waktu sama menyumbang kepada kadar Air Tidak Terhasil (NRW) yang tinggi,” katanya.

SPAN menyatakan, aktiviti menggantikan paip oleh operator akan mengambil masa dan dijalankan secara berperingkat, bagi tujuan mengelak gangguan bekalan skala besar dan kesabatan dan kefahaman pengguna amatlah diperlukan dan dihargai.

Sementara itu, SPAN menyatakan untuk rekod, kerajaan mensasarkan NRW pada paras 25 peratus untuk dicapai pada tahun 2030.

Berdasarkan rekod semasa, paras NRW Kebangsaan sehingga suku kedua 2020 adalah 36.9 peratus dan anggaran kerugian akibat NRW ini adalah sekitar RM2 billion setahun.

SPAN akan terus memantau aktiviti operator berdasarkan kelulusan diberi untuk pelan pembangunan dan penambah baikan terhadap kualiti perkhidmatan agar keperluan pengguna akan sentiasa dapat diutamakan.

Orang ramai juga diminta menggunakan air secara berhemat dan melaporkan kes disyaki melakukan kecurian bekalan air, serta sebarang aktiviti yang boleh mencemarkan sumber air kepada Bahagian Penguatkuasaan SPAN di talian +603-8317 9333 atau e-mel ke [email protected].

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Kertas siasatan kes cemar Sungai Gong siap dalam masa terdekat – SPAN

PUTRAJAYA, 5 SEPT: Kertas siasatan kes pencemaran Sungai Gong, Rawang, yang menyebabkan gangguan bekalan air sejak Khamis lepas kepada hampir lima juta pengguna di sebahagian kawasan di Selangor, dijangka siap dalam masa terdekat, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Wan Hassan Mohd Ramli.

Beliau berkata pihaknya kini, sedang melengkapkan kertas siasatan termasuk mendapatkan keterangan daripada pihak terbabit, dan akan diserahkan kepada Pegawai Pendakwa Raya untuk pertimbangan dan tindakan lanjut, dalam tempoh seminggu.

“SPAN bakal mengambil tindakan tegas kepada pencemar sumber air mentah di Sungai Gong, ini termasuk mempertimbang untuk mengguna pakai Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau maksimum 10 tahun penjara atau hukuman sebatan atau ketiga-tiganya.

“Melalui Akta 655 (Akta Industri Perkhidmatan Air 2006) SPAN mempunyai hak untuk menyiasat dan mendakwa mana-mana pihak atau individu, yang melakukan kesalahan berkaitan pembekalan air terawat dan perkhidmatan pembetungan termasuk isu pencemaran ke atas sumber air mentah,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Wan Hassan berkata, Kumpulan Pengurusan dan Jawatankuasa Perlesenan, Perundangan dan Penguatkuasaan SPAN, yang diterajui oleh Anggota Suruhanjaya akan membantu Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), mengambil tindakan segera dan seterusnya memastikan hukuman wajar dikenakan ke atas pelaku.

“SPAN memandang serius segala perbuatan yang membawa mudarat kepada kelangsungan bekalan air pengguna dan akan terus mendokong serta membantu KASA dalam memperkasakan alam sekitar terutamanya kesejahteraan sumber air.

“SPAN juga komited, untuk memastikan sebarang perbuatan salah laku terhadap air bersih dan sumbernya akan diambil tindakan tegas, dalam tempoh sesegera mungkin,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan proses pendakwaan terhadap pihak yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran sumber air di Sungai Gong akan dilaksanakan minggu depan.

Empat pengurus kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran sumber air itu telah direman enam hari sehingga Khamis depan.

Ekoran pencemaran minyak daripada kilang berkenaan pada Khamis lepas, Loji Rawatan Air (LRA) Sg Selangor Fasa 1, 2, 3 dan LRA Rantau Panjang dihenti tugas, menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SPAN: Bil Mei tinggi rangkumi penyelarasan Mac, April

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan bil air bagi Mei 2020 adalah lebih tinggi daripada biasa kerana ia merangkumi penyelarasan bil bagi bulan Mac dan April 2020.

Menjelaskan terdapat banyak aduan pengguna mengenai bil air yang tinggi, SPAN dalam satu kenyataan berkata bil yang dikeluarkan pada bulan Mac dan April adalah mengikut bacaan secara anggaran kerana operator agihan air tidak membuat bacaan meter sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Setelah pembacaan meter secara fizikal dibuat oleh operator agihan air pada bulan Mei, pengiraan bil bagi bulan Mei akan dibuat mengambilkira penyelarasan bil anggaran bulan Mac dan April.

“Selain itu, pengguna domestik menggunakan air lebih banyak daripada biasa semasa tempoh PKP yang berpunca daripada aktiviti rutin yang tertumpu di kediaman masing-masing. Ini telah menyumbang kepada peningkatan bil air,” kata SPAN.

Menurut SPAN, satu ketetapan kaedah pengiraan bil air sepanjang pelaksanaan PKP telah dikeluarkan untuk dirujuk dan dipatuhi oleh operator agihan air bagi memastikan caj yang dikenakan kepada pengguna adalah pada kadar yang wajar.

“Sekiranya kaedah pengiraan yang digunakan oleh operator adalah tidak selaras dengan ketetapan yang dikeluarkan oleh SPAN, operator dikehendaki membuat penyelarasan bil pada akaun pengguna yang terlibat,” kata kenyataan itu.

Bagi mengelak kekeliruan berterusan, SPAN meminta operator agihan air untuk membanyakkan sesi penjelasan kepada pengguna berhubung isu itu melalui pelbagai medium penyampaian.

“Pengguna diminta menjelaskan bil air masing-masing dan jika ada lebihan caj setelah penyelarasan dibuat, ia akan direkodkan dalam akaun pengguna untuk bulan seterusnya.

“Bagaimanapun, sekiranya pengguna merasakan bahawa caj yang dikenakan adalah tidak munasabah dan memerlukan penjelasan lebih terperinci, pengguna dinasihatkan menghubungi operator air masing-masing atau mengemukakan aduan ke [email protected],” kata SPAN.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Kilang buang dakwat ke saliran awam disita

SHAH ALAM, 18 APRIL: Sebuah kilang percetakan di Kawasan Perindustrian Hi-Tech Semenyih, disita serta-merta hari ini kerana disyaki melepaskan efluen (sisa buangan) industri ke sistem saliran awam.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menerusi kenyataan berkata tindakan kilang itu melepaskan dakwat pewarna ke sistem saliran awam berjaya dikesan oleh Bahagian Penguatkuasaan SPAN bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Pengurusan Air Selangor.

“Tindakan pantas anggota penguat kuasa berjaya mengelak perkara ini mengganggu gugat operasi sistem rawatan air di sekitar Sungai Semenyih.

“Aktiviti penyitaan premis dilakukan oleh penguatkuasa MPKj,” kata kenyataan itu.

Menurut SPAN, pihaknya sentiasa menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi yang berkaitan bagi memastikan sistem bekalan air sentiasa terpelihara.

Katanya, Bahagian Penguatkuasaan SPAN akan mempertingkatkan lagi pengawasan dan rondaan di kawasan berisiko bagi mengelak pencemaran terhadap sumber air.

Categories
AGENDA NASIONAL

SPAN: Bekalan air disalur secara berperingkat malam ini

PUTRAJAYA, 23 DIS: Bekalan air bersih akan mula disalurkan secara berperingkat kepada 1.5 juta penduduk di Selangor pada selewat-lewatnya malam ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago.

Katanya pihak Air Selangor menyatakan kerja mengepam air ke dalam loji telah bermula pada 1 tengah hari tadi bagi menstabilkan air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan selepas itu air akan disalurkan kepada premis-premis pengguna terlibat.

“Jadi pada malam ini, air sepatutnya sudah mula disalurkan dan keluar secara berperingkat. Harapannya, dalam tempoh tiga hari, seluruh negeri Selangor akan dapat bekalan air sepenuhnya,” katanya dalam sidang media berhubung penutupan LRA Sungai Semenyih ekoran pencemaran bau, di sini hari ini.

Pencemaran bau air dilaporkan berlaku di Bandar Bukit Mahkota, Bangi yang terletak berhampiran loji kumbahan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

Charles berkata siasatan mendapati kira-kira 50 meter padu sisa haram, telah mencemarkan sistem air sedia ada, disebabkan pembuangan sisa haram seperti minyak hitam, sisa lemak yang digunakan untuk makanan dan sisa industri.

Oleh itu, SPAN telah meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memantau restoran dan kedai makan, sama ada mereka menggunakan sistem gris atau perangkap minyak selain memantau pihak industri.

“Ini penting kerana kita dapati dalam lurang ada sisa lemak dari restoran. Kita minta PBT supaya pantau dan restoran yang didapati tidak guna gris atau perangkap minyak, akan dikenakan kompaun atau diminta mendapatkan perangkap minyak,” katanya.

Charles berkata tindakan susulan akan meminta IWK bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar untuk mengemukakan cadangan menaik taraf kawasan di loji rawatan air, menutup lurang dengan plug dan pemantauan 24 jam di kawasan loji.

“Kita telah minta IWK beri satu cadangan, supaya masalah ini tidak berulang kerana kawasan telah digunakan dua kali untuk mencemarkan air di Selangor. Oleh itu kita ambil isu ini serius dan saya memberi jaminan kalau IWK atau Air Selangor tidak mengikut pelan yang dibincangkan, SPAN akan ambil tindakan serius,” katanya.

Charles berkata SPAN telah membuat laporan polis semalam berkait insiden ini, selepas netizen telah menyuarakan pendapat insiden tersebut kemungkinan angkara sabotaj, kerana kejadian yang sama berlaku dua kali di tempat yang sama.

Beliau berkata juga dicadangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan menggunakan sensor di lurang, supaya aktiviti haram akan dikesan IWK dan Air Selangor.

“Ini akan dihalusi dan cadangan tersebut akan dikemukakan kepada SPAN dalam dua tiga hari ini, supaya SPAN boleh membuat keputusan dan meminta peruntukan dari kerajaan untuk menaik taraf,” katanya.

Charles berkata SPAN juga akan mencadangkan kepada kerajaan untuk aktif semula ‘off-river storage’, supaya bekalan air bersih dapat disalurkan kepada pengguna, sekiranya berlakunya pencemaran di masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Agihan Pengurusan Air Selangor, Siew Kelvin menggesa orang awam memaklumkan sebarang aktiviti pelepasan sisa secara haram, dan beliau akan mengemukakan kepada pihak pengurusan untuk memberikan ganjaran setimpal, kepada sesiapa yang memberi bukti dalam bentuk video dan gambar.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Rombak pengurusan jika gagal salur air selepas 84 jam

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) perlu dirombak jika pengguna tidak mendapat bekalan air selepas 84 jam kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago berkata, pengguna sepatutnya mendapat bekalan air semula selewat-lewatnya 9 malam, pada Jumaat (26 Julai) dan pihaknya akan memantau rapat kerja lapangan yang bermula pada 23 Julai ini.

“Jika pengguna masih tidak mendapat bekalan air pada Jumaat jam 9 malam, SPAN meminta (Dato’) Menteri Besar Selangor untuk buat perubahan kepada pengurusan Air Selangor,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Antara wilayah yang terbabit adalah Klang, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Charles berkata, kerja penambahbaikan LRA SSP1 itu akan menjejaskan 758,570 akaun pengguna di 758 kawasan membabitkan tujuh kerja utama dan 28 kerja tumpang.

“SPAN memohon supaya Air Selangor memendekkan tempoh masa gangguan dan menyegerakan pemulihan bekalan air kepada pengguna terbabit.

“Bagaimanapun, Air Selangor menjelaskan tempoh 84 jam pemulihan mengambil kira semua faktor terbabit.

“Gangguan bekalan air ini tidak dilakukan sewenang-wenangnya kerana selama ini LRA beroperasi selama 24 jam seminggu dan memerlukan penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini pada masa hadapan,” katanya.

Mengikut rekod SPAN, margin rizab air Selangor berada dalam kedudukan rendah sekitar 2 peratus dan diharapkan ia meningkat kepada 8.2 peratus penghujung tahun ini selepas kerja baik pulih LRA SSP 1 selesai.

Categories
SELANGOR

Air Selangor belanja RM1.1 bilion naik taraf sistem bekalan

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) membelanjakan RM1.1 bilion bagi menjalankan kerja kapital (CAPEX Works) dalam tempoh tiga tahun dari 2016 hingga 2018.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negera, Charles Santiago berkata, perbelanjaan itu bagi membaik pulih dan menaik taraf sistem bekalan air sejajar matlamat syarikat untuk meningkatkan perkhidmatan kepada pelanggan.

“Bagi tempoh enam bulan sehingga Jun 2019, sebanyak RM196 juta dibelanjakan untuk tujuan sama (membaik pulih dan menaik taraf sistem bekalan air).

“Air Selangor juga merangka pelan perancangan 30 tahun dengan perancangan CAPEX sebanyak RM30 bilion,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Charles berkata, hasil penambahbaikan Air Selangor itu menyaksikan gangguan bekalan air tidak berjadual bagi setiap 100 kilometer berkurangan dari 20 kes, pada 2016 kepada 18 kes pada 2017 dan 13 kes, pada 2018.

Katanya, penggantian peralatan utama yang berpotensi menjejaskan operasi Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) mampu menjamin kelestarian bekalan air bersih untuk tempoh minimum lima tahun akan datang.

Kerja penambahbaikan LRA SSP1 selama 12 jam bermula 9 pagi sehingga 9 malam Selasa hadapan membabitkan 758,570 akaun pengguna di 758 kawasan akan mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 84 jam.

Semua pengguna di tujuh wilayah terbabit iaitu Klang, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat, Hulu Selangor dan Kuala Selangor dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya.

Categories
NASIONAL

Laporan penuh pencemaran LRA Sungai Semenyih dijangka siap minggu depan

NILAI, 2 JULAI: Laporan penuh berhubung siasatan insiden pencemaran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, dijangka siap sepenuhnya minggu depan, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Anthony Santiago.

Beliau berkata laporan itu kemudian akan diserahkan kepada Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar untuk tindakan lanjut.

“Siasatan sudah dimulakan dan hari ini kita panggil pihak bertanggungjawab yang dipercayai menyebabkan pencemaran untuk dapatkan keterangan dan saya percaya Kerajaan Selangor juga turut menjalankan proses sama.

“Laporan penuh dijangka siap minggu hadapan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada persidangan ‘Federalisme di Malaysia: Mentakrif Semula Hubungan Persekutuan-Negeri di Malaysia’ di sini, hari ini.

Beliau berkata apa yang penting adalah memastikan pihak bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya.

“Apa yang utama, mereka yang terbabit mesti diheret ke mahkamah kalau dikesan ada melakukan kesalahan sebab ini (pencemaran) turut berlaku di tempat lain.

“Kalau kerajaan tidak respon dengan serius dan efisien maka ia memberikan satu gambaran pada orang lain bahawa mereka boleh buat apa-apa sahaja kerana kononnya tiada respon daripada kerajaan,” katanya.

Ahad lalu, Dr Xavier mengarahkan SPAN menyiasat insiden pencemaran LRA Sungai Semenyih bagi mengetahui punca sebenar kejadian selain mengesan pihak bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan.

Pada Rabu lalu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan LRA Sungai Semenyih diarah henti tugas susulan pencemaran bau dipercayai dari sebuah kilang memproses sawit yang telah diarah tutup untuk siasatan.

Insiden pencemaran bau itu menyebabkan 512 kawasan melibatkan 377,141 pelanggan berdaftar di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terkesan dengan gangguan bekalan air dan tekanan rendah secara berperingkat.

LRA Sungai Semenyih beroperasi semula pada 6 pagi, Khamis lalu.

-BERNAMA