Categories
AGENDA NASIONAL

Speaker puji penglibatan aktif wakil rakyat ketika bersidang

SHAH ALAM, 9 DIS: Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) ditangguhkan hari ini selepas 10 hari bersidang sejak 26 November lalu.

Speaker Ng Suee Lim berkata persidangan kali ini berjalan lancar dengan penglibatan sangat aktif Ahli Dewan Negeri (ADN) kerajaan dan pembangkang.

“Masing-masing memberi pendapat, pandangan yang bernas ketika berbahas. Kita juga bersyukur kerana usul-usul diluluskan. Perbalahan ketika berbahas itu biasa kerana ruang demokrasi itu ada,” katanya.

Beliau turut berharap teladan yang ditunjukkan dalam sidang kali ini diteruskan pada masa akan datang.

“Kita juga berharap penglibatan ADN selepas ini lebih cemerlang di mana kita akan ada bengkel pemantapan untuk pastikan mereka lebih rapi dan matang ketika berbahas,” katanya.

Sidang Dewan Negeri membuka tirainya dengan pembentangan Belanjawan Selangor 2022 oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 26 November.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dewan Negeri Selangor lulus dua usul, sembilan penyata

SHAH ALAM, 9 DIS: Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini meluluskan dua usul dan sembilan penyata yang dipersetujui sebulat suara oleh Ahli Dewan Negeri (ADN).

Speaker Ng Suee Lim berkata dua usul berkenaan ialah Usul Dasar Belia Selangor 2020 dan Usul Cadangan Pindaan Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor.

“Usul Dasar Belia Selangor 2020 dibawa oleh EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman manakala Usul Cadangan Pindaan Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor dibawa EXCO Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim,” katanya ditemui di sini.

Sembilan penyata yang diluluskan ialah:

  • Pewartaan sumber dan infrastruktur air sebagai tempat larangan/kawasan larangan/sasaran penting
  • Permohonan untuk pengeluaran hak milik strata bagi bangunan hotel
  • Fungsi dan peranan pejabat daerah dan agensi lain berkaitan dengan pengurusan dan pewartaan kampung serta penggubalan sebuah enakmen khas
  • Prestasi kaunter urus niaga di Pejabat Tanah dan Galian Selangor
  • Kategori miskin dan pemberian bantuan untuk golongan miskin di Selangor
  • Gerak kerja jawatankuasa pilihan khas pembasmian kemiskinan
  • Berkaitan Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd
  • Isu penguatkuasaan kilang tanpa kebenaran selepas penamatan program pematuhan syarat dan penguatkuasaan kilang tanpa kebenaran
  • Status pembinaan projek Taman Putra Perdana oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad
Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Dewan negeri lulus usul belanja pembangunan RM1.12 bilion

SHAH ALAM, 8 DIS: Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini meluluskan usul perbelanjaan pembangunan dalam belanjawan 2022 berjumlah RM1.12 bilion.

Kelulusan dibuat setelah mendapat persetujuan ahli dewan dan dibahas selama dua hari mulai semalam dengan bacaan sebanyak tiga kali, kata Speaker Ng Suee Lim.

“Bahawa menurut Seksyen 9, Subseksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966, dewan ini membuat ketetapan bahawa peruntukan RM1.12 bilion yang dinyatakan dalam anggaran perbelanjaan pembangunan yang dibentangkan di hadapan Dewan mengikut seksyen 4(1) akta sama, diluluskan,” katanya.

Isnin lalu, dewan meluluskan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2022 berjumlah RM1.22 bilion setelah dibacakan sebanyak tiga kali sebelum berakhirnya sesi pertama persidangan.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM2.34 bilion dalam Belanjawan Selangor 2022 bagi meningkatkan manfaat kepada rakyat dan merancakkan ekonomi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM1.22 bilion atau 52 peratus diperuntuk bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.12 bilion lagi untuk pembangunan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Cadang sidang dewan negeri Ogos depan, speaker mohon perkenan Sultan

SHAH ALAM, 18 JUN: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) akan memohon perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bagi pembukaan sidang dewan sekitar Ogos depan.

Ng Suee Lim berkata beliau akan mengutus surat kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam masa terdekat dan tindakan susulan bakal diambil sekiranya mendapat perkenan baginda.

“Sekiranya tarikh dicadangkan itu masih dalam tempoh perintah darurat, maka Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) pula akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).

“Ini kerana kita tidak tahu sama ada kerajaan pusat akan melanjutkan darurat yang sepatutnya tamat pada 1 Ogos,” katanya kepada Selangorkini.

Semalam, Amirudin dilaporkan berkata beliau akan berbincang dengan Suee Lim bagi merancang pembukaan sidang DNS secepat mungkin.

Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin selepas mempengerusi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata di peringkat negeri Raja-Raja Pemerintah juga berpendirian agar Dewan Undangan Negeri dibolehkan bersidang secepat mungkin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Speaker: Sidang media Belanjawan 2021 hanya di satu tempat

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan bahawa sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2021, esok hanya akan diadakan di Dewan Banquet, Blok Utama Parlimen.

Beliau berkata Ahli-ahli Jemaah Menteri akan dibenar untuk membuat sidang media mereka terlebih dahulu diikuti ahli backbenchers.

“Kemudiannya saya menjemput Ketua Pembangkang serta ahli-ahli yang berhormat dari pihak pembangkang dan bebas untuk mengadakan sidang media di situ juga.

“Disebabkan Covid-19 ini, pemberita dihalang daripada memberhentikan ahli-ahli yang berhormat untuk menemuramah di tepi lorong dan sebagainya. Jadi kita buat sidang media itu di satu tempat sahaja,” katanya selepas sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 esok dan sepanjang tempoh persidangan Dewan Rakyat selepas itu, kehadiran Ahli Parlimen di dalam dewan dihadkan hanya 80 orang pada satu-satu masa dengan pecahan pembahagian 41 pihak kerajaan serta 39 pembangkang dan Bebas.

Ketika menjelaskan pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai pecahan pembahagian Ahli Parlimen iaitu 41 pihak kerajaan serta 39 pembangkang dan Bebas, Azhar berkata ia merupakan keputusan konsensus daripada semua ketua Whip bagi mencerminkan majoriti di Dewan Rakyat.

“Sebenarnya terdapat cadangan hanya dua Ahli Parlimen daripada setiap parti untuk hadir tetapi saya yang fight (bertegas) untuk 100 orang dan kemudian setelah dibincangkan keputusan konsensus semua ketua Whip adalah untuk mengehadkan kepada 80 Ahli Parlimen.

“Pecahan Ahli Parlimen ini semasa kehadiran dan perbahasan sahaja. Kalau ditakdirkan ada undi belah bahagian maka kita setuju untuk bunyikan loceng selama dua minit dan tempohkan untuk 10 minit dan bunyikan semula loceng selama dua minit supaya semua Ahli Parlimen dapat masuk ke dewan dan mengundi, jadi tidak ada pembohongan dan penipuan,” katanya.

Dalam pada itu, Azhar menasihatkan semua Ahli Parlimen yang tiada keperluan mendesak supaya kekal di Kuala Lumpur memandangkan kes penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat di seluruh negara.

Katanya nasihat sama turut disampaikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Ini adalah demi kebaikan dan kemaslahatan semua pihak agar kita sama-sama terhindar daripada wabak yang membawa maut ini…boleh balik (ke kawasan masing-masing) kalau ada keperluan, tetapi ikut SOP (tatacara operasi piawai),” katanya.

Menjelaskan pertanyaan Datuk Dr A. Xavier Jayakumar (PAKATAN-Kuala Langat) keputusan Parlimen memilih media tertentu sahaja untuk membuat liputan persidangan Dewan Rakyat, Azhar berkata ia bagi memastikan terdapat penjarakan fizikal di bilik media.

Beliau berkata selain Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang merupakan media rasmi, pihak Ketua Pentadbir Parlimen membuat keputusan dengan memilih media yang dibenarkan membuat liputan mengikut budi bicara mereka.

Persidangan dewan bersambung esok untuk pembentangan Belanjawan 2021.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Speaker: Semua individu bakal hadir sidang DNS negatif Covid-19

SHAH ALAM, 30 OKTOBER: Kesemua 1,016 individu yang akan menghadiri sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) bermula hari ini negatif Covid-19, kata Speaker.

“Syukur kita terima berita gembira dan semuanya negatif Covid-19. Terima kasih kepada semua yang memberikan kerjasama baik bagi membolehkan sidang DNS berjalan lancar.

“Namun tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang sidang berlangsung adalah ketat, ini kerana kita masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Kerajaan Selangor komited untuk terus mencegah wabak ini,” kata Ng Suee Lim kepada SelangorKini.

Bermula 25 Oktober hingga 26 Oktober lalu, kesemua individu membabitkan wakil rakyat, kakitangan kerajaan, pegawai dan petugas media menjalani ujian saringan Covid-19 bagi memastikan keselamatan dan kelancaran persidangan.

Saringan itu juga dilakukan disebabkan penularan beberapa kluster tempatan di Selangor dan diisytihar di bawah PKPB.

Pada 7 Julai lalu, Kerajaan Negeri turut menjalankan saringan yang sama terhadap individu yang menghadiri sidang DNS pada 13 Julai .

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Speaker harap ADN cukup masa bahas Belanjawan 2021

SHAH ALAM, 25 OKT: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) berharap wakil rakyat mempunyai masa secukupnya bagi membahaskan Belanjawan 2021 pada persidangan bermula Jumaat ini.

Ng Suee Lim berkata ia bagi memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat Selangor terjamin walaupun ketika kes Covid-19 memuncak ketika ini.

“Saya mahu ahli dewan diberi masa secukupnya supaya belanjawan untuk rakyat pada tahun depan yang merangkumi kebajikan, pembangunan dan ekonomi dapat diperhalusi sebaiknya.

“Kita mahu supaya perjalanan dewan sihat dan subur dengan demokrasi,” katanya ditemui media selepas menjalani ujian saringan di Bangunan SUK hari ini.

Sementara itu, Timbalan Speaker Hasnul Baharuddin berkata belanjawan kali ini pasti menjadi perhatian masyarakat memandangkan Selangor antara negeri termaju.

“Tetapi harapan saya ialah supaya belanjawan 2021 dapat menyelesaikan masalah sedia ada seperti ekonomi terjejas akibat Covid-19.

“Tidak lupa ialah masalah air, dan saya yakin Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sedang berusaha keras bagi memastikan masalah berkaitan air di negeri ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Sidang DNS dijadulkan bermula 30 Oktober ini dengan pembentangan Belanjawan Selangor 2021.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat bahas cara matang, pelan pemulihan lulus sebulat suara

SHAH ALAM, 17 JULAI: Semua wakil rakyat termasuk pembangkang berbahas secara matang dan profesional hingga usul pelan pemulihan ekonomi diluluskan sebulat suara pada 15 Julai lalu.

Pelan lanjutan dua fasa pakej rangsangan Selangor Prihatin pada Mac dan April lalu bagi memulihkan ekonomi negeri dan membantu rakyat yang terjejas susulan Covid-19.

“Wakil rakyat sangat prihatin terhadap keadaan di Selangor dan bersetuju menyokong usul ini sebulat suara bagi menjamin pembangunan serta kebajikan rakyat dalam konteks pemulihan ekonomi,” kata Speaker Dewan Negeri Ng Suee Lim ketika dihubungi.

Pada 13 Julai lalu, Dato’ Menteri Besar membentang pelan pemulihan yang menekankan tiga tonggak utama iaitu jaminan bekalan makanan, kemampanan ekonomi dan pembangunan keupayaan.

Keseluruhan nilai ekonomi rancangan tersebut adalah RM55.85 bilion. Sehingga kini, sebanyak RM260.14 juta dibelanjakan yang memberi manfaat kepada lebih separuh penduduk Selangor.

Suee Lim yang juga wakil rakyat Sekinchan berkata dua lagi usul dibawa Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran serta tiga penyata jawatankuasa turut diluluskan.

Beliau juga merakam penghargaan kepada petugas yang hadir ke dewan kerana mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Usul desak Persekutuan gubal undang-undang antilompat parti diluluskan

SHAH ALAM, 16 JULAI: Usul bagi mendesak Kerajaan Persekutuan menggubal undang-undang antilompat parti dalam kalangan ahli Dewan Rakyat dan negeri diluluskan Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Speaker, Ng Suee Lim berkata usul yang dibawa Ahli Dewan Negeri (ADN), Rajiv Rishyakaran itu akan dihantar dalam tempoh dua minggu kepada Parlimen untuk diteliti.

Katanya, usul itu mendapat persetujuan dan sokongan daripada wakil rakyat daripada kerajaan dan pembangkang.

Speaker DNS, Ng Suee Lim ketika sesi penangguhan Sidang Dewan Negeri Selangor Mesyuarat kedua Penggal ketiga yang ke – 14 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 16 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“DNS hari ini meluluskan usul untuk mendesak Kerajaan Persekutuan menggubal undang-undang antilompat parti bagi menghalang ADN dan ahli parlimen lompat parti, sekiranya ia berlaku, mereka perlu mengosongkan kerusi demi pertahankan mandat rakyat.

“Isu lompat parti sememangnya menjadi kemarahan rakyat, oleh itu sudah sampai masanya kita memikirkan langkah munasabah untuk mencari penyelesaian terbaik, tidak guna kita berdebat perkara yang tidak berkesudahan ini,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menghadiri Sidang DNS, di sini, hari ini.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sesi perbahasan usul berkenaan berkata isu lompat parti membabitkan keselamatan dan kemakmuran di antara Kerajaan Persekutuan dan juga negeri-negeri.

“Kepimpinan yang tidak jelas ketika negara dilanda Covid-19 menyebabkan kes positif meningkat secara mendadak.

“Setelah itu, negara terpaksa berdepan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, ini adalah pengajaran terbesar kita akibat daripada kes lompat parti,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Usul pemilihan speaker antara fokus Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Persidangan Dewan Rakyat yang membuka tirai hari ini bakal tertumpu kepada usul mengosongkan jawatan Yang Dipertua dewan dan timbalannya yang dijangka menghangatkan suasana hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14.

Usul itu adalah untuk Yang Dipertua dewan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya Nga Kor Ming mengosongkan jawatan mereka.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membentangkan usul bagi memilih bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Yang Dipertua dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Timbalan Yang Dipertua mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Perdana Menteri turut dijangka mencadangkan enam ahli Dewan Rakyat dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pemilih di bawah Peraturan Mesyuarat 76 untuk tempoh Parlimen Keempat Belas.

Menurut laman rasmi Parlimen, keenam-enam mereka yang dicadangkan adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bersatu-Gombak); Datuk Seri Hamzah Zainudin (Bersatu-Larut); Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk); Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS-Petra Jaya); Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Port Dickson).

Persidangan Dewan Rakyat yang kebiasaannya bermula tepat jam 10 pagi akan dimulakan dengan sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan dan disusuli usul menjunjung kasih dan perbahasan titah diraja.

Persoalan berkaitan kedudukan ekonomi semasa, prestasi pertumbuhan ekonomi negara dan kadar pengangguran masa kini yang akan diajukan oleh Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) kepada Perdana Menteri merupakan antara tumpuan pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Tidak kurang menariknya soalan oleh Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) yang meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menjelaskan program yang disediakan oleh Agensi Nuklear Malaysia dalam usaha meningkatkan kemahiran teknikal berteraskan sains dan teknologi nuklear kepada rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Pandan) turut dijangka mengemukakan soalan mengenai persediaan dan tindakan kementerian dalam menangani dan mengukuhkan keselamatan siber negara, selain pertanyaan penglibatan Malaysia dalam usaha sama sektor perkhidmatan kesihatan bersama negara-negara lain bagi mengekang COVID-19 yang bakal diajukan oleh Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok).

Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 telah diadakan selama sehari pada 18 Mei lepas yang hanya melibatkan titah ucapan pembukaan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos 2020 berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

Ia termasuk pemakaian pelitup separuh muka, penyediaan dan penggunaan cecair pembasmi kuman serta jarak sosial satu meter antara tempat duduk ahli Parlimen semasa persidangan berlangsung seperti yang diputuskan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Usul jawatan speaker aturan kedua sidang Parlimen esok

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Kelancaran sidang Dewan Rakyat yang dijadual esok bergantung kepada sokongan ahli parlimen terhadap usul pengosongan jawatan yang dipertua.

Berdasarkan Aturan Mesyuarat dan Usul-usul Dewan Rakyat, usul yang dibawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berada pada aturan kedua esok.

Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sekiranya usul supaya Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatan mendapat sokongan majoriti, sebarang aturan mesyuarat lain tidak boleh diteruskan sehingga yang dipertua baharu dilantik.

“Kalau menang (dipersetujui), maksudnya Dewan Rakyat itu kosong, tak ada speaker (Yang Dipertua), mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, bila tak ada speaker, tak boleh teruskan urusan sidang yang lain, kecuali hanya untuk memilih speaker,” katanya kepada Bernama.

Selain usul berkenaan, menurut Aturan Mesyuarat, perdana menteri turut mengusulkan supaya bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Azhar Azizan Harun dipilih menggantikan Mohamad Ariff.

Muhyiddin juga akan mengusulkan supaya Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming mengosongkan jawatannya, sebelum membawa usul supaya Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said menggantikan Nga.

Sekiranya mendapat undian majoriti, Azhar akan menjadi Speaker ke-10, manakala Azalina akan mencipta sejarah sebagai wanita pertama dipilih untuk mempengerusikan sidang Dewan Rakyat.

Manakala, dalam hal mencalonkan nama bagi jawatan Yang Dipertua atau Speaker Dewan Rakyat, ia boleh diusulkan mana-mana ahli parlimen, namun perlu dilakukan dalam tempoh tidak kurang 14 hari sebelum Dewan Rakyat bersidang.

Dalam erti kata lain, Wan Junaidi berkata, cadangan nama ‘pada masa itu juga’ tidak boleh dilakukan mana-mana ahli parlimen untuk mengisi jawatan speaker mahupun timbalan speaker.

Wan Junaidi yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata sekiranya terdapat lebih daripada satu calon, maka undian akan dilakukan secara berbelah bahagi atau bersurat sepertimana Peraturan Mesyuarat 4(3).

Manakala, berdasarkan Peraturan Mesyuarat (6) (a), jika lebih daripada dua calon dicadangkan dan tidak ada calon mendapat undi lebih daripada jumlah undi didapati calon-calon lain dalam undi pertama, maka calon yang mendapat undian paling rendah perlu dikeluarkan daripada pilihan.

Undian perlu dijalankan sekali lagi dan dikeluarkan calon yang mendapat undian terendah seterusnya. Ia dijalankan berturut-turut sehingga hanya seorang calon mendapat undi lebih daripada calon atau jumlah undi calon-calon yang tinggal.

Wan Junaidi berkata ketika kekosongan jawatan yang dipertua, segala urusan di dalam Dewan Rakyat akan dilaksanakan setiausaha dewan, namun beliau boleh memohon seorang lagi timbalan yang namanya tidak diusul untuk dikosongkan iaitu Datuk Mohd Rashid Hasnon untuk membantu.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Speaker tidak teragak-agak bertindak tegas terhadap ADN cemar DNS

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 MAC: Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor disarankan supaya tidak menimbulkan isu sensitif dan melakukan provokasi yang menyentuh sensitiviti perkauman serta agama ketika berbahas.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Ng Sue Lim berkata, beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada mana-mana ADN yang sengaja memainkan sentimen terbabit, tidak menghormati DNS dan kesalahan lain yang melanggar peraturan tetap.

Sebaliknya beliau berkata, semua ADN perlu memberi tumpuan kepada isu yang menyentuh kepentingan negeri dan kawasan masing-masing.

“Saya sebagai Speaker juga menasihat ADN sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang lebih pro aktif dan berbahas dengan sopan, beradab, displin serta mengikut Peraturan Tetap DNS 1965.

“Kita juga boleh elak daripada menjadikan kemuliaan dewan ini sebagai medan provokasi, kebencian dan sentimen perkauman bagi menimbulkan kebencian antara kaum. Saya harap ADN perlu mengambil perhatian dan elakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor di Pejabat Speaker sebaik selesai Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal kedua DNS Yang Ke-14 Tahun 2019, di sini, hari ini.

Katanya, ADN boleh menjadikan DNS sebagai institusi legislatif penggubal undang-undang yang unggul dengan melontarkan cadangan, idea bernas dan membina supaya sama-sama membantu membangunkan Selangor.

“Kita mahu tumpukan kepada isu, masalah kawasan, masalah negeri dan juga memberi kritikan membina terhadap dasar yang dilaksanakan kerajaan kerana ini penting dalam usaha kita menjadikan DNS sebagai peneraju institusi legislatif, di Malaysia,” katanya.