Categories
SELANGOR

Pengambilalihan SPLASH, penstrukturan air manfaatkan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah teruja apabila Kerajaan Negeri berjaya memuktamadkan penstrukturan industri bekalan air dengan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

Baginda bertitah, pengambil alihan dilakukan melalui Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dengan nilai RM2.55 bilion menandakan operasi penstrukturan semula itu dapat dilakukan bagi pembekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Beta difahamkan dengan berakhirnya rundingan pengambilalihan SPLASH pada 3 Ogos lalu, Kerajaan Negeri melalui Air Selangor mengemukakan surat tawaran pengambil alihan kepada wakil pemegang saham SPLASH dengan nilai RM2.55 bilion setelah ditolak diskaun 28 peratus berdasarkan NBV SPLASH, pada 30 Jun lalu.

“Pengambilalihan tidak membabitkan peruntukan kewangan dari dana Kerajaan Negeri distrukturkan dengan pembayaran secara jangka panjang.

“Beta berkenan apabila Air Selangor dapat beroperasi dengan tahap perbelanjaan kos operasi munasabah yang sekali gus dapat memastikan kadar tarif air tidak membebankan rakyat di Selangor,” titahnya.

Sultan Selangor bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Keempat Belas 2018, di sini, hari ini.

Beginda bertitah, pengambilalihan SPLASH itu juga menjadikan Air Selangor sebagai syarikat tunggal memproses, merawat dan mengagihkan air terawat kepada seluruh pengguna di Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

KPS terima tawaran Air Selangor miliki SPLASH

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 OGOS: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) menerusi syarikat sekutunya, Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (SPLASH Holdings) menerima tawaran pengambilalihan daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) untuk membeli 100 peratus kepentingan ekuiti Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

KPS dalam kenyataan berkata, cadangan pengambilalihan itu membolehkan Air Selangor membeli semua 50 juta saham biasa dan 350 juta saham pinjaman boleh tebus tanpa jaminan SPLASH.

Katanya, ia membabitkan pertimbangan pembelian keseluruhan berjumlah RM2.55 bilion.

“SPLASH Holdings dan Air Selangor dijangka memuktamadkan terma dan syarat penjualan serta pembelian SPLASH melalui perjanjian pembelian saham sebelum 14 September ini.

“SPLASH Holdings merupakan syarikat sekutu KPS dengan 30 peratus, oleh itu, penerimaan tawaran pengambilalihan SPLASH tidak memerlukan kelulusan daripada pemengang saham kami,” katanya.

Pembelian itu oleh Air Selangor dilaksanakan sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula dan penggabungan industri air, di Selangor dan Lembah Klang.

Proses terbabit dilaksanakan dalam usaha meningkatkan margin simpanan air dan mengurangkan air tidak berhasil (NRW).

Categories
SELANGOR

Perangsang Selangor sasar selesai penstrukturan air

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 JULAI: Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) mensasarkan untuk menyelesaikan isu penstrukturan air, di negeri ini dalam tempoh terdekat.

Ketua Pegawai Operasi KPS, Suzila Khairuddin berkata, ia antara matlamat utama Kerajaan Negeri seperti dimaklumkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari sebelum ini.

“Kami daripada KPS turut komited menyelesaikannya dan ia akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya kepada SelangorKini selepas Program Cergas Sihat KPS, di Plaza Perangsang, pagi tadi.

KPS mempunyai 30 peratus kepentingan dalam Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

Sebelum ini, penstrukturan air tidak mendapat kata putus memandangkan Selangor bergelar negeri pembangkang di peringkat Persekutuan.

Malah pengambilalihan sepenuhnya juga sukar dibuat susulan keengganan Kementerian Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) masih belum mengemukakan nilai sebenar ekuiti rundingan.

Kelewatan itu menyebabkan proses rundingan gagal dimuktamadkan walaupun di peringkat Kerajaan Negeri, jumlah nilai ekuiti sebenar sudah dinyatakan menerusi lantikan panel penilai negeri.

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Cabaran Noh tidak selesai isu air di Selangor

Cabaran Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar untuk berdebat dengan Menteri Besar Selangor mengenai isu air negeri ini jelas satu cubaan untuk melindungi isu nasional lebih parah yang melanda Malaysia ketika ini. Terang lagi bersuluh, ianya taktik lapuk UMNO/BN mengalih isu!

Umum sedia maklum, isu air Selangor terlalu kerap dibangkitkan ahli Parlimen BN dalam Dewan Rakyat mutakhir ini sehinggakan dewan yang sepatutnya membincangkan masalah di semua bahagian pada Persekutuan menjadi medan perbahasan hal ehwal Selangor saja, seolah-olah hanya Selangor negeri yang ada dalam Malaysia.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sudah acap kali membahaskan isu air Selangor, khususnya pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dengan Menteri di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA)

Seperti biasa, menteri mengelak apabila ditanya mengenai hasil dapatan penilai bebas untuk pembiayaan pengambilalihan SPLASH. Menteri Besar Selangor banyak kali menegaskan, pihaknya memerlukan maklumat itu bagi membolehkan tawaran sebut harga dilakukan.

Kementerian tidak bertindak menjadi pemudah cara dalam isu air ini, bahkan menyukarkannya. Kenyataan Ketua Setiausaha KeTTHA juga tidak membantu, sebaliknya turut terkait dengan agenda politik.

Lebih malang, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Isnin minggu lalu membangkitkan isu air Selangor apabila membuat perbandingan dangkal dengan permasalahan hutang 1MDB yang disiasat di tujuh negara serta menjadi tumpuan masyarakat dunia. Akibatnya, seluruh negara menjadikan Perdana Menteri sebagai bahan ketawa, yang mana jelas dapat dilihat melalui media sosial.

Isu air Selangor yang berlaku ketika ini adalah kerana kesilapan Kerajaan Negeri Selangor di bawah BN suatu ketika dahulu. Ia berpunca daripada nafsu tamak pimpinan UMNO/BN ketika itu yang menswastakan sumber air milik rakyat kepada kroni. Bukankah Tan Sri Noh adalah sebahagian daripada pimpinan UMNO/BN Selangor ketika itu? Mengapa baru sekarang mahu berbahas isu air Selangor? Kenapa Tan Sri Noh tidak berbahas ketika ia hendak diswastakan suatu ketika dahulu? Mengapa diam? Atau mungkinkah ada sedikit saham untuk Tan Sri Noh dalam penswastaan air di Selangor?

Tan Sri Noh jangan hanya melihat kuman diseberang laut, tetapi gajah didepan mata seolah-olah tidak kelihatan.

Isu 1MDB jelas jauh lebih memudaratkan kehidupan rakyat dengan hutang berbilion ringgit untuk beberapa generasi sedangkan ketiadaan air untuk beberapa hari di Selangor sengaja digembar gemburkan melalui media massa pro UMNO/BN. Ini semua agenda ‘setting’ UMNO/BN menjelang PRU14.

Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan sedaya upaya berusaha menyelesaikan isu air di Selangor. Hasilnya, kini margin simpanan air Selangor berada pada paras lebih baik antara tiga hingga lima peratus dan dijangka meningkat kepada 11 peratus pada hujung tahun depan. Kerajaan Persekutuan pula tidak banyak membantu, malah memburukkan lagi keadaan dengan menyebar berita palsu mengenai isu air Selangor.

Saya cabar Tan Sri Noh, jika benar beliau jujur mahu membantu rakyat Selangor, gunakan peranan beliau untuk dua perkara; pertama memujuk KeTTHA untuk berkongsi hasil dapatan penilai bebas berhubung pengambilalihan SPLASH dengan Kerajaan Negeri supaya proses pengambilan ini dapat dimuktamadkan segera, bukannya mensabotaj dan menganiaya rakyat Selangor.

Kedua, jika ikhlas mahu membantu rakyat Selangor, Tan Sri Noh juga perlu berani memujuk pihak berkaitan membenarkan isu 1MDB dibincangkan di Parlimen. Barulah adil untuk Dato’ Seri Mohamed Azmin mempertimbangkan cabaran beliau.

SHUHAIMI HAJI SHAFIEI
SETIAUSAHA POLITIK KEPADA MENTERI BESAR SELANGOR
ADUN SRI MUDA

Categories
SELANGOR

SPLASH bertanggungjawab atas kegagalan mereka

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 MAC: Pengurusan Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) harus bertanggungjawab atas kegagalan mereka dan seharusnya mempersiapkan semua jangkaan termasuk kecederaan dialami kakitangan mereka, di tapak projek.

Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata, tahap kecuaian dan ketidakcekapan harus diselidik dengan lebih teliti supaya kes seperti itu dapat dikurangkan.

“SPLASH pernah dianugerahkan konsesi selama 30 tahun oleh Kerajaan Negeri terdahulu untuk membina, mengendali dan menyelenggara Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).

“Saya dimaklumkan gangguan air berjadual berlaku di beberapa kawasan terjejas bertujuan memudahkan kerja pembaikan peralatan kritikal di SSP3 selama 10 jam pada 6 Mac lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor berkata, letupan sistem kapal surut di loji rawatan air SSP3 menjadi punca kelewatan memulihkan bekalan air ke kawasan yang terjejas, pada 6 Mac lalu.

“SPLASH gagal memberikan pembaharuan tetap berhubung status kerja pembaikan yang mengakibatkan banyak gangguan terhadap rutin harian isi rumah dan operasi perniagaan.

Katanya, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, meminta campur tangan segera Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan Air Selangor untuk membantu SPLASH mempercepatkan kerja pembaikan, di loji itu.

Hannah berkata, hal itu mengakibatkan penderitaan besar kepada lebih 500,000 isi rumah di Selangor untuk empat hari yang tidak diselesaikan.

“SPLASH menjadi konsesi dan pembekal air terawat untuk SYABAS seharusnya lebih bijak dalam menangani kejadian terbabit. Saya tidak dapat membayangkan impak melampaui Ahad ini jika campur tangan kerja pembaikan tidak diberikan oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Terdahulu, beberapa kawasan terjejas gangguan air berterusan adalah di daerah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat.

Categories
SELANGOR

Putrajaya tangguh lagi tawaran saham SPLASH

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 NOV: Rundingan pengambilalihan saham Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) ditangguhkan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mendedahkan, Putrajaya memaklumkan tempoh penangguhan dibuat menerusi dua surat yang dihantar Kementerian kepada Kerajaan Negeri.

Mohamed Azmin berkata, tuntutan penangguhan itu dibuat Kerajaan Persekutuan, susulan kegagalan panel penilai dilantik kementerian.

“Rundingan pengambilalihan SPLASH masih belum dimuktamadkan, justeru Kerajaan Negeri masih belum dapat sahkan nilai sebenar jumlah pengambilalihan isu air negeri.

“Kementerian berpandangan terdapat keperluan untuk lanjut tempoh pengambialihan yang mana tempoh untuk melanjutkan tempoh ini diminta oleh Kerajaan Persekutuan.

“Justeru, Kerajaan Persekutuan menerusi surat dihantar kepada Kerajaan Negeri mencadangkan supaya perjanjian jual beli saham dilanjutkan pada tempoh sembilan bulan sehingga 4 Julai 2018 yang ditentukan sendiri oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang, Dato’ Sulaiman Abdul Razak di Dewan Negeri Selangor (DNS), pagi ini.

Untuk rekod, tempoh proses pengambilalihan itu sepatutnya berakhir pada 5 Oktober lalu, dengan nilai pengambilalihan itu didedahkan kepada umum pada tarikh berkenaan.

Susulan keputusan itu kata Mohamed Azmin, Kerajaan Negeri kecewa berhubung hasil dapatan penilaian yang dibuat oleh panel penilai lantikan peringkat Persekutuan.

Katanya, Kerajaan Persekutuan sewajarnya lebih terbuka dan mengamalkan prinsip bertintegriti demi menjaga kepentingan rakyat.

“Pandangan Kerajaan Negeri, penilaian dibuat panel penilai ini sewajarnya telus dan tidak perlu disorok.

“Ini kerana kedua dua pihak mempunyai kepentingan tentang harga perlu dibayar Kerajaan Negeri itu mestilah tidak membebankan rakyat.

“Sehingga kini, Kerajaan Negeri masih belum mendapat sebarang pengesahan berhubung nilai munasabah nilai bersesuai pengambilalihan itu,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

SPLASH: OK bincang tapi KeTTHA perlu dedah harga

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Kerajaan Selangor sedia berbincang dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) bagi menyelesaikan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

Bagaimanapun, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bertegas dengan pendirian sebelum ini bahawa Kerajaan Persekutuan perlu mengemukakan harga yang dinyatakan penilai bebas, Deloitte.

“Ok, saya sedia bertemu menteri untuk menyegerakan perkara ini tetapi dia (menteri) perlu berterus terang dalam Parlimen, jangan salahkan Kerajaan Negeri,” katanya.

Bercakap kepada media di Lobi Parlimen, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan berbincang dalam Mesyuarat Exco berkenaan pertimbangan harga jika Kerajaan Persekutuan mendedahkannya sebelum menyatakan persetujuan.

Namun, Ahli Parlimen Gombak itu mengingatkan Kerajaan Persekutuan supaya membiayai sepenuhnya pengambilalihan itu seperti dilakukan terhadap Puncak Niaga dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

azmin-parlimen“Tidak semestinya (bersetuju), apa juga pertimbangan yang diputuskan Kerajaan Persekutuan kita akan bawa balik kepada Mesyuarat Exco untuk dibincangkan tetapi mesti dibiayai seratus peratus oleh Kerajaan Persekutuan kerana itulah kaedah yang digunakan terhadap Puncak Niaga dan SYABAS.

“Itu juga terma yang terdapat dalam perjanjian utama. Mereka tidak boleh lari dari perjanjian utama,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, KeTTHA turut meminta Kerajaan Negeri memberi jaminan secara bertulis untuk menaikkan tarif air bagi membiayai pengambilalihan terbabit.

“Kedudukan rizab kita besar, kita ada mekanisma lain untuk membayar hutang itu tetapi kita tidak setuju memaksa Kerajaan Negeri membiayai 40 peratus bayaran.

“Jangan bebankan kepada Kerajaan Negeri. Kerajaan Persekutuan suruh kita membayar 40 peratus untuk jumlah yang kita tidak tahu,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Henti politikkan isu SPLASH

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 JULAI: Kerajaan Negeri meminta isu pengambilalihan konsesi membabitkan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) tidak dipolitikkan pembangkang di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pembangkang dinasihatkan tidak mengulangi skrip Ahli Parlimen Tanjung Karang yang menyalahkan Kerajaan Negeri kerana tidak bersetuju dengan cadangan Kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya, beliau menegaskan Kerajaan Negeri tidak akan bersetuju dengan cadangan Kerajaan Persekutuan yang mahu menaikkan tarif air di Lembah Klang.

Malah, Mohamed Azmin memaklumkan cadangan nisbah 60:40 pengambilalihan SPLASH turut ditolak kerana nilai sebenar pengambilalihan masih belum dimaklumkan kepada Kerajaan Negeri.

“Kita belum mengetahui nilai pengambilalihan SPLASH dari penilai bebas Kerajaan Persekutuan, jadi bagaimana kita boleh bersetuju? Ini proses keterbukaan, nilai sebenar belum dinyatakan. Mengapa membawa skrip dari Tanjung Karang seolah kita sudah tahu nilainya?

“Tuduhan ini tidak berasas. Apabila nilai itu dimaklumkan, Kerajaan Negeri akan membawa nilai dicadangkan itu ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk dipertimbangkan,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS).

AZMIN DNS 2016Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan dari Ahli Dewan Negeri Permatang, Dato’ Sulaiman Razak.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri masih menunggu maklum balas jemaah Menteri berhubung jumlah nilai pengambilalihan dari penilai bebas yang dilantik Kerajaan Persekutuan.

“Dalam perjumpaan saya dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada 18 Julai lalu, saya membangkitkan perkara ini dan beliau beri jaminan akan berbincang dengan Menteri Kewangan,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Persekutuan memutuskan lanjutan keputusan pengambilalihan kepada tempoh enam bulan yang akan berakhir pada 5 Oktober ini ekoran melantik penilai bebas untuk menilai jumlah sebenar.

Pada 30 Mac lalu, Mohamed Azmin memaklumkan kelewatan memuktamadkan pengambilalihan aset dan pengurusan itu memberi tekanan kewangan kepada Air Selangor memandangkan kos operasi seperti kadar bayaran pukal air (Bulk Supply Rate (BSR), Bayaran Tetap Bulanan (Fixed Monthly Payment (FMP)) akan terus dicaj oleh SPLASH.

“Jumlah ini akan meningkat setiap bulan. Sehingga 31 Disember 2016, jumlah tertunggak bagi BSR dan FMP meningkat kepada RM 3.7 bilion.

“Walaubagaimanapun, Air Selangor akan pastikan tekanan kewangan itu diuruskan dengan bertanggungjawab demi menjamin kepentingan pengguna serta tidak membebankan rakyat,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerjasama penting tangani isu pengambilalihan SPLASH

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 21 JUN: Kerjasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan perlu dalam usaha merealisasikan urusan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) demi kepentingan rakyat negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Selangor (JPK-SAS), Ng Sze Han berkata, perkara itu seharusnya menjadi keutamaan supaya pengurusan sumber air dapat dijalankan dengan lancar selepas itu.

“Kita berharap perbincangan bagi pengambilalihan SPLASH dapat dimuktamadkan dalam tempoh ditetapkan demi keperluan rakyat, di Selangor.

ngszehan“Sememangnya terdapat keperluan bagi Air Selangor untuk mengambilalih SPLASH bagi memastikan segala aspek pengurusan dan operasi dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun juga lancar jika menguasai sepenuhnya,” katanya selepas mempengerusikan Pendengaran Tertutup JPK-SAS kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara perkara disentuh adalah berkaitan status penggantian paip lama di kawasan ‘hotspot’ di Selangor, kewangan terkini dan senarai inventori aset yang tidak diguna pakai.

Secara keseluruhan, katanya, jawatankuasa itu berpuas hati dengan perkembangan operasi dijalankan walaupun terdapat beberapa kelewatan ekoran tidak mendapat permit daripada Pihak Berkuasa Tempatan atau Jabatan Kerja Raya.

“Bagi fasa pertam,a hanya terdapat satu sahaja berkaitan isu permit dan diyakini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat, manakala fasa kedua pula berpandu kepada kerja dijalankan dalam fasa sebelumnya, maka kita yakin ia mampu dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri tolak cadangan Persekutuan isu SPLASH

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 MAC: Kerajaan Negeri bertegas menolak cadangan Kerajaan Persekutuan untuk membiayai hanya 60 peratus pengambialihan membabitkan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, nisbah 60:40 (dibiayai Kerajaan Negeri) disifatkan pramatang ekoran Kerajaan Negeri masih belum menerima keputusan jemaah menteri berhubung dapatan penilai bebas yang dilantik Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Negeri dikejutkan apabila menerima surat daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) yang mahu kita menyatakan pendirian kaedah pembiayaan itu, pada 6 Mac lalu.

AZMIN DNS 2016“Kerajaan Negeri juga sudah menjawab surat terbabit dan menegaskan tidak akan bersetuju akan kaedah pembiayaan nisbah itu, pada 17 Mac lalu.

“Kerajaan Negeri bersetuju membawa semula kepada pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selepas hasil kajian daripada penilai bebas dilantik kita dibentang terlebih dalu kepada jemaah menteri dan sebarang keputusan dimaklumkan secara bertulis kepada Kerajaan Negeri,” katanya di Sidang Dewan Negeri, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, cadangan itu ditolak dengan mengambil kira prinsip ketika menandatangani perjanjian utama mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Wasia) oleh semua syarikat konsesi yang akan diambil alih Kerajaan Negeri.

Terdahulu, Mohamed Azmin mendedahkan tawaran sebenar yang dibuat dalam pengambilalihan ekuiti SPLASH oleh pentadbiran sebelum ini.

Katanya, bukti itu menunjukkan Dato’ Menteri Besar sebelum ini menawarkan ekuiti RM2.975 bilion kepada SPLASH.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Pusat belum ada keputusan, SPLASH tangguh enam bulan lagi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 MAC: Pengambilalihan konsesi membabitkan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dilanjutkan enam bulan lagi ekoran permintaan Kerajaan Persekutuan yang masih belum mendapat keputusan penilai bebas antarabangsa.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan secara bertulis itu diterima Kerajaan Negeri, pada 14 Mac ini.

Katanya, Kerajaan Persekutuan memaklumkan perkiraan lanjutan itu kepada tempoh, sehingga 5 Oktober ini.

“Berdasarkan penjelasan itu, ia menunjukkan kelewatan dalam memuktamadkan penstrukturan semula industri air bukan berpunca daripada Kerajaan Negeri.

“Ia berpunca daripada lanjutan Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan jemaah menteri dapat menilai kos sebenar daripada penilai bebas antarabangsa,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing, R Rajiv.

MB AZMINPada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Air Selangor menanggung RM3.7 bilion menerusi kos operasi kadar bayaran pukal air dan bayaran tetap bulanan kepada SPLASH, sehingga 31 Disember 2016.

“Kerajaan Negeri tidak menanggung kos akibat kelewatan pengambilalihan ini, namun ia memberi tekanan kewangan kepada Air Selangor dalamdua kadar bayaran itu dan ia terus meningkat setiap bulan.

“Namun, Air Selangor akan memastikan tekanan kewangan itu diuruskan dengan baik demi menjamin kepentingan pengguna dan tidak membebankan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri menggesa Kerajaan Persekutuan supaya pengambilalihan itu dapat dimuktamadkan segera demi menjamin ketelusan dan keterbukaan.

Sementara itu, Mohamed Azmin turut menolak cadangan R Rajiv yang mencadangkan menggunakan kaedah ‘expropriation clause’ bagi menamatkan konsesi SPLASH.

Katanya, hal itu kerana dianggarkan kos pampasan akan meningkat kepada RM4.9 bilion jika menggunakan kaedah itu, setakat 31 Mac 2015.

“Jika dibandingkan dengan kos pengambilalihan ekuiti SPLASH, kos ini lebih tinggi.

“Melalui kaedah ini, bayaran kos operasi kadar bayaran pukal air dan bayaran tetap bulanan yang tertunggak masih perlu dibayar Kerajaan Negeri kepada SPLASH selain nilai aset juga modal berbayar seperti dinyatakan dalam perjanjian konsesi.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk menggunakan kaedah ini kerana membebankan rakyat. Dalam kaedah rundingan bersama, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk membiayai proses pengambilalihan SPLASH melalui ekuitinya,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pengambialihan SPLASH: Selangor tunggu laporan akhir Putrajaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 23 MAC: Kerajaan Negeri masih menunggu hasil laporan akhir yang bakal diputuskan di peringkat Kabinet berhubung isu pengambilalihan entiti konsesi Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebarang keputusan lanjutan akan dibuat selepas laporan akhir itu dikeluarkan.

“Ketika ini masih belum ada sebarang keputusan kerana perbincangan masih berjalan dan Kerajaan Negeri sedang menunggu laporan akhir di peringkat Persekutuan yang akan dibentangkan di Kabinet,” katanya.

Mohamed Azmin bercakap kepada pemberita selepas hadir pada Program Pelancaran Kempen Stray Free Selangor (SFS) di Shah Alam Convention Centre (SACC) di sini, pagi ini.

Terdahulu, pengambilalihan SPLASH menjadi kontroversi selepas wujudnya kekeliruan jumlah sebenar tawaran pengambilalihan ke atas Syarikat Pengeluar Air Selangor itu.

Bagaimanapun Mohamed Azmin sebelum ini menegaskan komitmen pentadbiran negeri mengendalikan urusan industri perkhimatan air negeri itu dengan mendedahkan nilai tawaran sebenar pengambilalihan itu.

=EZY=